Sunday, July 21, 2013

Tercampak 15 meter



21 Julai 2013
TAMPIN – Seorang peniaga cincau pasar awam maut apabila motosikal jenis Yamaha 80 yang dinaikinya tercampak sejauh 15 meter dalam kemalangan di kilometer satu, jalan pintas Tampin-Alor Gajah, dekat sini, pagi semalam

Dalam kejadian kira-kira 6.20 pagi itu, mangsa Chin Ah Moy @ Chin Siew Lang, 68, maut di tempat kejadian setelah cedera parah di anggota badan dan kaki sebelah kanannya hancur.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk proses bedah siasat.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Minang dan ingin melintasi jalan utama antara Tampin ke Alor Gajah menuju ke laluan pintas ke pasar awam yang terletak di Tampin.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa berlanggar dengan sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an yang datang dari arah Tampin menyebabkan motosikal mangsa tercampak sejauh kira-kira 15 meter," katanya.

Katanya, mangsa yang terjatuh cedera parah dan maut di tempat kejadian.

"Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222," katanya.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Chong Song Kwi, 73, berkata, dia menerima panggilan daripada anaknya sekitar jam 7 pagi memaklumkan adik iparnya maut selepas terbabit dalam kemalangan.

“Memang kebiasaannya pada setiap hari mendiang pergi ke pasar awam untuk berniaga cincau. Kadangkala mendiang naik kereta dan ada kalanya naik motosikal bergantung kepada siapa yang membawa barangan jualan.

“Pada hari kejadian, salah seorang ahli keluarga mendiang sudah pergi ke pasar seawal jam 4.30 pagi bagi menjual cincau dan mendiang menyusul kemudian selepas jam 6 pagi," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/peniaga-cincau-maut-motosikal-tercampak-15-meter-1.184972



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount