Inalillahi wainailaihi rojiun
21 Julai 2013
GEORGETOWN - Akibat tidak menggunakan lorong motosikal yang disediakan, seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi, Mohd Nur Faiz Khan Abdullah, 16, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di kepala dan badan selepas merempuh belakang kereta Proton Wira yang dinaiki sepasang suami isteri.
Lebih menyayat hati, kejadian berlaku hanya 100 meter dari rumahnya di Flat Seri Idaman, Jelutong di sini.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa keluar bersiar-siar bersama rakannya di sekitar bandar raya.
Menurut sumber, mereka cuba menunjukkan aksi dengan menunggang secara berbahaya di sekitar kawasan berkenaan namun berakhir dengan tragedi.
“Sebelum kejadian, polis sedang mengarahkan mereka beredar tetapi kumpulan remaja berkenaan tidak mengendahkannya.
“Mereka kemudian terus menunggang sesama sendiri dan ketika tiba di lokasi kemalangan mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh kereta dinaiki pasangan suami isteri,” katanya.
Beliau berkata, mangsa tercampak beberapa meter selepas merempuh belakang kereta berkenaan dan rakan-rakannya yang lain terus memecut motosikal mereka kerana bimbang ditahan polis.
“Mangsa yang dibiarkan berseorangan itu akhirnya meninggal dunia kerana mengalami kecederaan teruk di kepala serta beberapa anggota badan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/ditinggalkan-rakan-ketika-maut-1.184985
No comments:
Post a Comment