loading...

Sunday, July 21, 2013

Maut dirempuh depan ibu


Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Julai 2013
Seri Manjung: Luluh hati seorang ibu melihat anak bongsunya yang menunggunya di tepi jalan depan rumah mereka, terpelanting dirempuh kereta yang terbabas di Kampung Permatang, Jalan Teluk Rubiah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Mohammad Darwisy Rahman, 12, yang parah di kepala dikejarkan ke Hospital Seri Manjung (HSM) dan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi.
Lebih memilukan Nurisah Abd Rashid, 46, dan suaminya, Mohmmad Daliman Shaari, 50, nahas itu seolah-olah mengulangi tragedi yang menimpa seorang lagi anaknya di tempat sama kira-kira 13 tahun lalu.

Pada Mac 2000, anak pasangan itu, Mohammad Shazwan Hakimi, 10, yang wajahnya saling tak tumpah wajah Darwisy, maut dirempuh kereta di tempat yang sama ketika menunggu untuk melintas bagi menghadiri kelas tuisyen di seberang jalan raya berkenaan.



Berdiri di tepi jalan 

Dalam kejadian petang kelmarin, Darwisy dikatakan berdiri di tepi jalan menunggu isyarat Nurisah untuk melintas selepas ibunya yang berada di seberang jalan raya memberi isyarat tangan supaya menunggu deretan kereta di jalan itu berlalu terlebih dulu.

Anak bongsu daripada lima beradik itu dikatakan mahu mendapatkan ibunya bagi membeli ayam percik yang dijual di kedai seberang jalan berdepan rumahnya.

Tiba-tiba sebuah kereta dari arah Teluk Rubiah menuju Seri Manjung, masuk laluan bertentangan dan memecut untuk memotong deretan kenderaan tetapi terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan lalu merempuh Darwisy menyebabkan mangsa terpelanting dan terhempas atas jalan raya.

Mohmmad Daliman berkata, keluarganya yang trauma dengan tragedi menimpa Shazwan, tidak membenarkan Darwisy berbasikal ke Sekolah Kebangsaan Kampung Dato Seri Kamaruddin yang terletak tiga kilometer dari rumah.

Dia menghantar dan mengambil anaknya dengan motosikal setiap hari, tetapi anak bongsunya itu maut juga di depan mata mereka.

“Ketika Shazwan meninggal dunia dulu, saya masih mampu menahan air mata supaya tidak mengalir tetapi kali ini saya tidak mampu untuk bertahan lagi selepas melihat Darwisy yang terbujur kaku.

“Bagaimanapun, saya reda kerana mungkin Allah meminjamkan sementara Darwisy kepada saya untuk mengubati kesedihan kehilangan Shazwan dan sekarang dia dikembalikan semula kepada-Nya,” katanya yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika ditemui di Rumah Mayat HSM, di sini, semalam.

Jenazah Darwisy selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Penchalang di sini, selepas Zuhur.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba, berkata pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Rashidi Ibrahim, yang menyertai aktiviti gotong-royong sempena Program Semarak Ramadan BH Bersama Bank Rakyat di Kampung Pasir Panjang Laut, menziarahi keluarga mangsa.

Turut serta menziarahi ialah Pengurus Besar Perancangan Strategik Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Hizamuddin Jamalluddin; Penolong Pengurus Projek Khas BH, Mohd Hazrul Rabu; Eksekutif Kanan Produk BH, Omar Tarmizi Ahmad Shaibi dan Ketua Biro BH Perak, Jalal Ali Abdul Rahim.

Al-Fatihah

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Mautdirempuhdepanibu/Article/index_html
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/murid-tahun-enam-maut-dilanggar-1.185011



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my