Inalillahi wainailaihi rojiun
24 Julai 2013
BESUT - Dua kakitangan wanita Universiti Kolej Bestari Setiu yang merupakan sahabat karib maut apabila kereta Perodua Kenari yang dinaiki mereka bertembung dengan lori tangki di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu dekat Kampung Anak Ikan, Jabi, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi itu, pemandu kereta, Wan Nor Fadhiaton Wan Mohd Fauzi, 32, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Nor Azura Husin, 35, yang duduk di kerusi penumpang hadapan, meninggal di Bahagian Kecemasan Hospital Besut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Universiti Kolej Bestari Bandar Permaisuri, Setiu dari Kelantan.
Menurutnya, kejadian berlaku dipercayai apabila lori tangki dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu cuba memotong sebuah lori lain dari arah sama.
“Bagaimanapun pemandu lori itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke dalam laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta yang dinaiki mangsa.
“Akibat pertembungan secara berdepan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dan pemandu mati di tempat kejadian,” katanya.
Menurut beliau, Wan Nor Fadhiaton bertugas sebagai pustakawan kolej universiti berkenaan beralamat di Kampung Kok Pasir, Pasir Mas, Kelantan manakala rakan setugasnya adalah pensyarah kejururawatan di pusat pengajian sama beralamat di Kampung Teluk Baru, Guchil, Kota Bharu.
Menurutnya, mayat mangsa dan rakanya yang tersepit terpaksa dikeluarkan pasukan bomba akibat kereta yang remuk teruk.
Mayat Wan Nor Fadhiaton dihantar ke bilik mayat Hospital Besut untuk bedah siasat.
Sementara itu, menurut salah seorang kakitangan universiti kolej berkenaan, kedua-dua sahabat itu berulang alik dari rumah mereka ke tempat kerja setiap hari sejak lebih enam tahun lalu.
Wan Nor Fadhiaton mempunyai dua anak termasuk seorang yang masih kecil manakala suaminya kakitangan Kolej Islam Sains (Kist) Bachok, Kelantan.
Azura pula telah berkahwin namun masih belum mempunyai cahaya mata.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/dua-sahabat-maut-kemalangan-1.186047
No comments:
Post a Comment