Saturday, July 27, 2013

Anak Ketua Pengarang Berita TV3 maut nahas


Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Julai 2013
TEMERLOH - Anak kepada Ketua Pengarang Berita TV3 Mohd Khaidir Ahmad, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di km143 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Mentakab malam tadi.
 
Mangsa, Muhammad Luqman Mohd Khaidir, 26, mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, kedua-duanya lelaki, seorang pemandu kereta Proton Wira berumur 21 tahun, dan penumpang bahagian belakang, 31, cedera parah.
 
Dalam kejadian 9.30 malam itu, kenderaan yang terbabit dalam nahas itu ialah kereta Proton Wira yang dinaiki mangsa, sebuah kereta jenis Toyota Corolla dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
 
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supt Zundin Mahmood, ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.
 
"Di tempat kejadian, dipercayai kereta dinaiki mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar Toyota Corolla terbabit menyebabkan kenderaannya berpusing dan melintang di atas jalan sebelum dirempuh Perodua Kancil yang datang dari arah Kuantan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, turut parah ialah pemandu Perodua Kancil seorang lelaki berumur 64 tahun, sementara pemandu Toyota Corolla berkenaan hanya cedera ringan.
 
Mohd Khaidir ketika ditemui Bernama berkata anak kedua daripada enam beradik itu pergi ke Kuala Lumpur bersama dua rakannya itu untuk membeli persiapan bagi menyambut hari raya nanti.
 
"Saya sekeluarga juga turut ke Kuala Lumpur secara berasingan untuk membeli persiapan raya dan dimaklumkan kejadian itu malam tadi," katanya.
 
"Arwah anak yang baik dan mendengar kata, saya sempat berbuka puasa dengannya sebelum ini selepas selesai membuat liputan pilihan raya kecil Kuala Besut, baru-baru ini," katanya.
 
Jenazah Muhammad Luqman selamat dikebumikan 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebak Muslim, dekat sini. - Bernama

Al-Fatihah




Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/anak-ketua-pengarang-berita-tv3-maut-kemalangan-1.187421
ntv7.com.my/7edition/local-en/TRAGIC_TRIP_TV3_NEWS_EDITOR_S_SON_KILLED_IN_AN_ACCIDENT.html


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount