loading...

Thursday, April 26, 2012

Proton Saga Rempuh Paip



MANTIN - Kemalangan yang berlaku di Jalan Besar Mantin kira-kira pada jam 4 pagi semalam mengakibatkan paip di bahu jalan pecah sehingga air paip yang memancut dikatakan setinggi rumah dua tingkat.

Saksi kejadian, Hisham A. Hasan, 41, berkata, semasa kejadian berlaku, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

“Kemalangan berpunca apabila sebuah kereta jenis Proton Saga hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar papan tangga sebelum melanggar paip air di bahu jalan berkenaan.

“Saya menghampiri kawasan kejadian dan lihat air paip menjulang tinggi setinggi rumah dua tingkat,” katanya yang menetap di Taman Andalas, Mantin, di sini, semalam.

Bagaimanapun, difahamkan pemandu kenderaan terbabit hanya mengalami cedera ringan dan paip berkenaan diperbaiki beberapa jam kemudian

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/air-paip-menjulang-tinggi-1.43162


Diseret lori 10 meter





KUANTAN - Sekumpulan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR), yang sedang bertugas menjalankan bancian lalu lintas terkejut mendengar bunyi brek yang kuat sebelum melihat sebuah kenderaan diseret lori treler.

Mereka kemudiannya bergegas ke arah kenderaan apabila mendapati kedua-dua kenderaan itu berhenti untuk memberi bantuan kepada mangsa.

Saksi awal kejadian, Wan Nasarudin Wan Aziz, 36, berkata, dia melihat sebuah kenderaan Perodua Alza yang dipandu seorang wanita diseret lori lebih 10 meter sebelum melanggar tiang lampu isyarat.

“Kami berusaha membantu mengeluarkan mangsa tetapi gagal kerana kedua-dua kakinya tersepit. Bagaimanapun seorang daripada rakan saya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Ubi,” katanya.

Katanya, ketika itu, wanita terbabit mengerang menahan kesakitan tetapi dia menenangkan mangsa itu supaya bersabar kerana mereka berusaha membantu mengeluarkannya dari keretanya yang rosak teruk.

Wan Nasarudin mengakui walaupun kejadian itu tidak membabitkan dirinya, dia tetap trauma serta fobia kerana kemalangan berkenaan berlaku di depan matanya dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa, Hayati Hanafi, 36, dari Felda Lepar Hilir, di sini, yang tersepit di tempat duduk pemandu mengalami kecederaan parah di kaki kanan dan cedera di bahagian badan.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Difahamkan, ketika kejadian mangsa dari arah Sungai Soi, di sini, sebelum tiba di Simpang Tiga Lampu Isyarat Sungai Soi, Jalan Kuantan-Pekan dan cuba membelok ke kanan untuk menghala ke arah Inderapura.

Bagaimanapun, pada masa sama, lori berkenaan yang datang dari arah Kuantan menghala ke Pekan tidak sempat mengelak berikutan jarak terlalu dekat sebelum melanggar kenderaan yang dipandu mangsa.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Anuar Hassan, berkata pihaknya yang menerima panggilan daripada orang awam bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera bersama 11 anggota.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa akibat kedua-dua kakinya tersepit sebelum dikejarkan ke HTAA untuk menerima rawatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/diseret-lori-10-meter-1.43154



Kerani maut motosikal rempuh pacuan empat roda

Inalillahi wainailaihi rojiun
 
DUNGUN - Seorang kerani akaun sebuah syarikat pembinaan maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah pacuan empat roda di Kilometer 8, Jalan Dungun-Bukit Besi, petang semalam.

Halimaton Saadiah Mohamad Arifin, 29, maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala dan patah tengkuk dalam kemalangan kira-kira pukul 5.40 petang.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari pejabatnya untuk pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Besi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit dikatakan memberhentikan kenderaannya di bahu kiri jalan sebelum dirempuh motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah belakang.

Pemandu pacuan empat roda terbabit, Fauzi Ibrahim, 43, dari Felda Ketengah Jaya yang tidak mengalami sebarang kecederaan, membuat laporan di Ibu Pejabat polis Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.- Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/kerani-maut-motosikal-rempuh-pacuan-empat-roda-1.43334


Wednesday, April 25, 2012

Kereta bakal pengantin terbalik


ALOR GAJAH - Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini, nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di Jalan Masjid Tanah-Hutan Simpan, dekat sini, kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, kereta Perodua Viva yang dipandu, Norhidayah Zakaria, 27, dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di sebuah kilang di Batu Berendam menuju ke rumahnya di Kampung Ramuan China Besar, di sini.

Difahamkan mangsa yang memandu dalam keletihan selepas tamat waktu bekerja pada jam 7 pagi, hilang kawalan sebelum melepasi satu selekoh mengakibatkan keretanya terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik.

Norhidayah berkata, dia tidak menyedari kereta dipandunya semakin menghampiri sebatang tiang elektrik di kiri jalan.

“Saya tidak sedar kereta sudah menghala ke arah kiri jalan dan terkejut sebaik melihat jarak antara kereta dengan tiang elektrik di hadapan semakin hampir.

“Dalam keadaan panik, saya cuba memaut stereng ke arah kanan bagi mengelak daripada merempuh tiang elektrik, namun gagal kerana jaraknya terlalu dekat,” katanya.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan keretanya terseret dan berpusing menghala semula ke arah bandar Melaka.

“Saya tersempit di tempat pemandu dan gagal keluar sendiri sebelum dibantu orang awam melalui pintu sebelah penumpang hadapan.

“Kemudian saya dihantar ke sebuah klinik panel di pekan Masjid Tanah oleh seorang wanita sebelum menghubungi keluarga memaklumkan kejadian yang berlaku,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian yang menimpa.

Bagaimanapun, Norhidayah yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Syukur Amin Mohd Arifin, 24, tidak mengalami kecederaan serius dan menerima rawatan pesakit luar.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-bakal-pengantin-terbalik-1.42923


Sunday, April 22, 2012

Menteri Sabah Kemalangan

KOTA KINABALU 22 April - Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun terlibat dalam kemalangan di lampu isyarat Jalan Pahlawan menuju ke Tanjung Aru di sini, kira-kira 7.45 pagi ini.

Azizah bersama dengan pengawal peribadinya, Sairun Hamid dan pemandu kenderaan , Yousriesyah telah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth.

Azizah dan Sairun dilaporkan tidak sedarkan diri, namun keadaan sebenar masih belum dikenal pasti.

Semasa melalui lampu isyarat itu, dikatakan kenderaan mereka hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan dan melanggar besi penghalang jalan. - UTUSAN

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_16.htm

Kereta berpusing Terbabas

KUANTAN: “Ketika kereta berpusing lebih 10 kali, saya terbayang ajal bakal menjemput,” kata Hazuan Afiqq Hamzah, 21, yang terselamat selepas kereta Proton Gen-2 dinaiki bersama empat rakan terbabas dan melanggar tiang elektrik akibat mengelak motosikal dan kereta Perodua Kancil di Jalan Tanah Putih, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam, Hazuan Afiqq bersama empat rakannya dikenali sebagai Zarif, 21; Tengku Ahmad, 21, Mohd Hanif, 21, dan Mohd Syafiq, 21, cedera dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.


Mengimbas semula detik cemas itu semalam, Hazuan yang tinggal di Tanjung Api, di sini, berkata sebelum kejadian, dia yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, selangor, bersama empat rakannya yang menuntut di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam perjalanan pulang ke Kuantan kerana cuti semester.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, Zarif yang memandu cuba mengelak seorang penunggang motosikal yang dikatakan terus masuk ke laluan jalan selepas membuat pusingan U untuk menghala ke Kuantan.


Katanya, ketika cuba mengelak motosikal itu serta sebuah kereta Perodua Kancil di depannya, kereta dinaiki terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tiang elektrik dan berpusing beberapa kali.


Hazuan berkata, selepas kereta terbabas ke dalam longkang, dia dan Zarif keluar melalui tingkap di tempat duduknya bahagian depan.

“Saya terkejut melihat Tengku Ahmad dan Mohd Syafiq terlentang di rumput, manakala Mohd Hanif terbaring dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri.


“Bagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana semua rakan saya terselamat dan sudah sedarkan diri, namun Tengku Ahmad dipercayai patah rusuk,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Trafik Negeri, Asisten Superintendan Zainalaibidin Othman berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit dan seorang mangsa sudah membuat laporan polis, pagi semalam

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Keretapusing10kali/Article/artikelMA

Tak Sempat Kirim Wang Untuk Ibu

Inalillahi wainailaihi rojiun

MELAKA: “Saya lihat ada kemalangan ketika melintas jalan tadi (semalam) dan mangsa ditutup dengan kain putih. Tak sangka, rupa-rupanya rakan sekuliah saya yang jadi mangsa,” kata mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohd Farhaan Kamaruzaman, 23.

Dia berkata demikian ketika berada di sisi mayat rakannya, Muhammad Nabil Wazir, 20, yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Ayer Keroh Lama, dekat sini, petang kelmarin.


Dalam kejadian 3 petang, arwah dalam perjalanan ke Bank Simpanan Nasional (BSN) dari Kolej Kediaman UTeM Murni di Taman Bukit Beruang Murni, Bukit Beruang, dekat sini, sebelum motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang wanita di selekoh berhampiran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), dekat sini.

Menurut Mohd Farhaan, mangsa yang berasal dari Taman Rawang Perdana, Selangor mahu memasukkan wang untuk ibunya, namun hasratnya tidak kesampaian apabila terbunuh dalam kemalangan.

“Arwah sempat beritahu dia mahu ke BSN untuk masukkan wang ke dalam akaun ibunya dan mahu meminjam motosikal saya.


“Bagaimanapun, dia meminjam motosikal rakan lain dan keluar dari asrama kolej, jam 2.30 petang sendirian.

“Saya hanya mengetahui dia terbabit kemalangan apabila dihubungi rakan dan terus datang ke sini. Sebetulnya, saya perasan kemalangan ini dan sangkakan arwah berhenti melihatnya kerana saya lihat motosikalnya dalam keadaan bertongkat tegak dan tidak kelihatan seperti ada kerosakan,” katanya.


Menurutnya, dia cuba menghubungi nombor telefon arwah, namun dijawab oleh rakan lain kerana ia ditinggalkan di bilik asrama.

Menurutnya, penuntut tahun pertama semester jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Rekabentuk dan Pembuatan) itu juga tidak menunjukkan perubahan pelik sebelum kejadian dan dia juga pelajar rajin, warak dan aktif dalam persatuan di universiti.


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Lihatmayatkawan/Article/artikelMA

Ajal belum tiba


ENDAU: Seorang pemuda hampir maut apabila Proton Saga dipandunya terperosok di bawah treler dalam kemalangan di Kilometer 1 Jalan Tanjung Gemuk, Endau–Rompin, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi, Abu Neklah, 32, dikatakan keluar dari Simpang Kampung Pianggu sebelum merempuh treler berkenaan yang gerak dari arah Endau.


Akibatnya, kenderaan berkenaan diseret 50 meter dan dia cedera di badan manakala pemandu treler, Ridzuan Adnan, 24, bersama kelindan, Zulkarnain Arnain, 21, tidak cedera.

Menurut Ridzuan, mereka dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu, dan hanya menyedari kemalangan selepas terdengar dentuman kuat selain terasa treler mengheret sesuatu.


“Sebaik mendengar bunyi dentuman, saya menurunkan tingkap untuk melihat cermin pandang sisi dan terkejut apabila mendapati ada kereta di bawah treler.


“Kami kemudian turun dan cuba membantu mangsa tetapi gagal kerana dia tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

Berikutan itu, katanya, mereka menghubungi pihak berkuasa sebelum sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Endau dan Rompin tiba 20 minit kemudian.


“Mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Mersing untuk menerima rawatan,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Tersepitbawahtreler/Article/artikelMA

Warganegara Indonesia Maut Rempuh Lori

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut manakala rakan pemboncengnya parah selepas terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Km37 Jalan Temerloh-Jerantut dekat Kampung Seboi, Kuala Krau awal pagi Ahad.

Mangsa, Edy Surya, 23, mati di tempat kejadian manakala rakannya Saipul Rahman Marohan, 18, parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Trafik Polis Kontinjen (IPK) Pahang, ASP Zainalabidin Othman, dalam kejadian pukul 12. 09 pagi itu, kedua-dua mangsa warganegara Indonesia itu dalam perjalanan dari arah Kuala Krau menuju ke Kuala Mai.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang lori yang bermuat kelapa sawit yang diletakkan di bahu jalan sebelah kiri menghala ke Jarantut.

"Kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai buruh ladang itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Penunggang disahkan meninggal oleh Hospital Jerantut, manakala pembonceng yang parah itu di bawa ke hospital di Temerloh untuk rawatan selanjutnya," katanya di sini, Ahad.

Zainalabidin berkata siasatan awal mendapati semasa kejadian jalan basah kerana hujan dan kawasan gelap. - BERNAMA


Al-Fatihah

Sumber:
mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2012/4/22/mstar_jenayah/20120422110412&sec=mstar_jenayah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount