loading...

Friday, October 12, 2012

2 beranak maut bertembung Toyota Hilux

 Inalillahi wainailaihi rojiun

13 Oktober 2012
 KOTA BHARU - Dua beranak maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan jenis pacuan empat roda di Jalan Kota Bharu-Machang berhampiran Stesen Minyak Esso Kok Lanas, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, pesara jururawat, Siti Zabidah Awang, 60, dan anaknya, Aiedel Idham Abdullah, 20, maut serta-merta di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kedua-dua mangsa maut selepas mengalami kecederaan parah akibat pertembungan tersebut.

“Siti Zabidah ketika itu memandu kereta jenis Perodua Kancil dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

“Mangsa sebelum ini mengambil anaknya, Aiedel Idham yang menuntut di Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang memandu dari arah Machang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dalam kemalangan itu, kereta yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba memasuki ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda berkenaan.

“Polis bagaimanapun, masih menyiasat punca kemalangan dan memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan,” katanya.

Mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mereka.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/dua-beranak-maut-kemalangan-1.94084

Remaja OKU maut kemalangan

 Inalillahi wainailaihi rojiun

13 Oktober 2012
 ALOR GAJAH - Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Pengkalan berdekatan sebuah kuil, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian pada kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Abdul Halim Abdul Kadir, 16, dari rumahnya di Pengkalan menuju ke tempat kerja di sebuah bengkel mencuci kenderaan di pekan Alor Gajah.

Menurut sumber, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha TZM sendirian dari arah Pengkalan ke pekan Alor Gajah hilang kawalan ketika melalui selekoh hingga memasuki laluan bertentangan.

“Motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum muncul pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dari arah Jelatang,” katanya.

Menurut sumber, pemandu berkenaan cuba mengelak dari terus bertembung dengan motosikal mangsa namun gagal kerana jarak kenderaan semakin dekat.

“Akibat pertembungan itu, mangsa terjatuh manakala motosikal ditunggang terbabas dan terseret berdekatan dengan pacuan empat roda itu.

“Mangsa cedera di bahagian badan dan dibawa ke Hospital Alor Gajah menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah untuk menerima rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan mangsa yang parah di bahagian badan dan dalaman disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian.

Ibu mangsa, Salina Hasan, 45, berkata, pada pagi sebelum kejadian arwah yang merupakan anak keempat dari enam beradik itu sempat menikmati sarapan sebelum ke tempat kerja.

“Kira-kira jam 8.30 pagi arwah sudah ke tempat kerja tetapi pulang semula pada jam 9 pagi untuk bersarapan dan arwah kelihatan berselera ketika makan,” katanya.

Kata Salina yang turut ditemani suami, Abdul Kadir Latif, 50, walaupun arwah dalam keadaan tergesa-gesa ke tempat kerja namun sempat bersalam mencium tangannya sebelum ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/remaja-oku-maut-kemalangan-1.94126


Yasin Sebelum Maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

13 Oktober 2012
 MARANG – “Tiba-tiba hati saya terdetik untuk membaca Yasin selepas menunaikan solat Asar kira-kira dua jam sebelum kejadian.

“Rupa-rupanya ia adalah petanda adik (tiri) saya akan ‘pergi’ meninggalkan kami sekeluarga,” kata Rohani Sulaiman, 29.

Rohani adalah kakak tiri kepada, salah seorang daripada dua mangsa maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dalam satu kejadian kemalangan berlaku di Jalan Cangkul Pak Abas ke Tertak Batu di Pengkalan Berangan, kelmarin.

Motosikal bertembung sesama sendiri

DALAM kejadian kira-kira jam 7 malam itu, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang adik tiri Rohani, Mohamad Nazri Kamarul Zaman, 13, bertembung dengan sebuah lagi motosikal juga jenis Honda EX5 ditunggang Tuan Muhammad Asyraf Tuan Zamani, 16.

Mohamad Nazri, anak ke 10 daripada 11 beradik, pelajar tingkatan satu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan dan tinggal dengan keluarganya di Kampung Temiang, Pengkalan Berangan.

Seorang lagi mangsa, Tuan Muhammad Asyraf yang dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum merempuh motosikal Mohamad Nazri, adalah anak keempat daripada tujuh beradik dan beralamat dari Kampung Padang Pak Su Man, Bukit Payung, di sini.

Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.


Tak sempat makan ikan panggang

ROHANI berkata, selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia bergegas ke tempat kejadian dari Kampung Temiang untuk melihat keadaan Mohamad Nazri tetapi sebaik tiba di situ dia hanya sempat mengajar adik tirinya itu me-ngucap dua kalimah syahadah.

“Tetapi saya tidak pasti ketika itu, dia (arwah) masih bersama kami atau sudah ‘pergi’.

“Tak sangka tujuannya ke kampung itu untuk berjumpa seorang rakan akhirnya membawa khabar buruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Temiang di sini, semalam.

Rohani memberitahu, dia juga terkilan kerana hasrat adik tirinya untuk makan ikan panggang tidak kesampaian selepas memesan makanan itu untuk dijadikan juadah makan malam sebelum keluar dari rumah mereka pada hari kejadian tersebut.

“Dia (arwah) tidak sempat makan ikan panggang yang dipesan. Ikan itu sudah dibeli tetapi tidak diusik kerana ia dibeli khas untuknya untuk makan malam pada hari kejadian,” katanya yang tidak mampu menahan air mata apabila teringatkan perkara itu.


Suasana sedih, pilu

SEMENTARA itu, suasana sedih turut menyelubungi ahli keluarga Tuan Muhamad Asyraf ketika solat jenazah diadakan di rumah keluarga mangsa di Kampung Padang Pak Su Man, Bukit Payung sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan Kampung Mak Kemas.

Bagaimanapun, pihak keluarga mangsa enggan memberi sebarang kenyataan berhubung kejadian itu, namun mereka mengucapkan terima kasih kepada pihak terbabit melancarkan urusan pengebumian khususnya kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Marang.

Tuan Muhammad Asyraf adalah pelajar tingkatan empat SMK Seri Payung di Bukit Payung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, mengesahkan kejadian itu, berkata, kejadian berlaku berpunca daripada salah seorang mangsa yang gagal mengawal motosikalnya lalu memasuki jalan bertentangan.

“Setibanya di lokasi, mangsa terbabit dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi motosikal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Mazlan mengingatkan pelajar di daerah berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya termasuk memiliki lesen motosikal serta me-ngambil pengajaran daripada kejadian yang menimpa kedua-dua mangsa terbabit.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/pelajar-maut-motosikal-tembung-motosikal-lain-1.94092


Kenari terbang



13 Oktober 2012
 KUANTAN - Beberapa pelanggan  yang sedang menikmati  cendol di sebuah gerai tergamam selepas menyaksikan adegan kereta ‘terbang’ disusuli dengan dentuman kuat setelah kenderaan tersebut tercampak ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Beserah di sini, petang semalam.


Nasib mereka baik apabila kereta jenis Toyota Camry dipandu seorang seorang lelaki bersama penumpangnya tidak terus menggelongsor merempuh gerai sebaliknya terhenti beberapa meter di tepi jalan selepas bertembung dengan kereta jenis Perodua Kenari yang terbang dari arah laluan bertentangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, lima remaja belasan tahun difahamkan pelajar salah sebuah sekolah di sini terselamat walaupun kereta Kenari yang dinaiki remuk dalam nahas tersebut.

Kelima-lima mereka bagaimana pun cedera agak serius manakala dua lagi termasuk pemandu parah.

Pemandu dan penumpang wanita Toyoya Camry berusia dalam lingkungan 30-an yang terbabit nahas terbabit turut cedera di bahagian muka dan kepala.

Semua mangsa dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang ramai sebelum dihantar menerima rawatan ke hospital.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Chong, 50-an berkata, dia bersama beberapa pelanggan sedang menikmati minuman cendol di sebuah gerai bergerak hanya kira-kira 20 meter daripada lokasi kemalangan.

Menurutnya, dia ternampak kereta yang dinaiki lima remaja itu dipandu dalam keadaan laju dari arah simpang empat Jalan Semambu-Jalan Tengku Muhammad menghala ke pusat bandar.

“Sampai di lokasi, kereta itu seolah-olah hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan dan sebatang tiang lampu  sebelum terbang masuk ke laluan bertentangan.

“Sebuah kereta di laluan itu gagal mengelak lalu bertembung dengan kereta yang dinaiki remaja terbabit hingga kedengaran bunyi dentuman amat kuat,” katanya.

Menurutnya, dia berlari untuk membantu mangsa bagaimana pun terpaksa membatalkan hasratnya itu kerana takut melihat darah yang keluar daripada bahagian anggota mangsa yang cedera hingga menitis ke atas jalan.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian membantu membawa mangsa yang cedera ke tepi jalan sementara menunggu ambulans tiba,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/kereta-terbang-7-selamat-1.94080


Tuesday, October 9, 2012

Penuntut Kolej Komuniti Masjid Tanah maut

 Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Oktober 2012
MASJID TANAH - Seorang penuntut Kolej Komuniti Masjid Tanah, di sini sempat mencium ibunya dan bergegas keluar rumah sebelum dia maut terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Durian Daut, dekat sini, semalam.

Nurul Nabilah Daud, 18, dari Kampung Lendu, dekat sini, maut selepas motosikal jenis Honda EX5 yang ditungganginya terbabas, lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback.

Mangsa dalam perjalanan menuju ke kolej di pekan Masjid Tanah.

Ibu mangsa, Rosiah Sulong, 59, berkata, sebelum kejadian, anak bongsunya itu sempat mencium pipinya dan tergesa-gesa meninggalkan rumah untuk ke kolej kerana bimbang terlambat.

Dia yang ditemui di lokasi bagaimanapun tidak bercakap banyak kerana masih bersedih dengan kejadian menimpa anaknya itu.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit, Zaini Sidek, 42, berkata, ketika kejadian, dia bersama rakan sekerjanya, Omar Md Dom, 52, dalam perjalanan ke tempat kerja di Durian Daun, tidak jauh dari tempat kejadian.

“Belum sempat saya melepasi selekoh, datang motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan yang sudah terjatuh atas jalan raya serta terseret. Saya tidak sempat mengelak dan terus merempuhnya.

"Saya hanya sempat memaut stereng ke kiri bagi mengelak dari terus bertembung, namun gagal kerana motosikal mangsa semakin hampir,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, motosikal mangsa merempuh bucu sebelah kanan keretanya mengakibatkan mangsa terbaring tidak sedarkan diri, manakala motosikalnya tercampak.

“Saya segera berhentikan kereta di tepi jalan dan berlari menuju ke arah mangsa yang terbaring," katanya.

Rakannya, Omar berkata, dia tergamam dan mendekati serta memanggil mangsa, tetapi tiada tindak balas.

"Saya tidak berani sentuh sebelum penduduk mula mengerumuni tempat kejadian dan bantu hubungi bantuan kecemasan," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum terbabas.

"Ia dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987.

Rosiah Sulong tidak dapat menahan sebak melihat mayat anaknya di atas jalan raya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/sempat-cium-ibu-sebelum-tinggalkan-rumah-1.92698



Sunday, October 7, 2012

Ibu mengandung lapan bulan maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

8 Oktober 2012

KUANTAN — Dua maut manakala dua lagi parah dalam nahas jalan raya membabitkan dua kereta di Km 23 Jalan Pekan-Nenasi dekat Rompin, petang semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt. Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mereka yang terbunuh ialah Siti Rahmah Roman, 26 yang mengandung lapan bulan dan wanita warga emas Nah Yasin, 72.

Kejadian berlaku 5.30 petang apabila kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki tiga sekeluarga bertembung dengan Proton Waja yang dinaiki empat sekeluarga, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Siti Rahmah dari Kuala Rompin merupakan penumpang hadapan kereta Proton Saga, manakala Nah pula dari Jengka 13, Bandar Jengka penumpang belakang Proton Waja.

Mohamed Fauzi berkata, akibat pertembungan itu, Nah maut di tempat kejadian akibat terjerut tali pinggang keledar yang dipakainya, manakala Siti Rahmah meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.— BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1008&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_04.htm


Tukang cuci maut



8 Oktober 2012
BAYAN BARU - Seorang tukang cuci maut dalam satu kejadian langgar lari dipercayai melibatkan sebuah kereta di jambatan Sungai Kluang, kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu, motosikal mangsa, M Tana Bakyam, 61, dilanggar oleh sebuah kereta yang sedang menghala ke Bayan Baru.

Tana yang berasal dari Kampung Padang Assam, Bayan Lepas kemudiannya diseret sejauh kira-kira 10 meter dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian perut.

Pemandu kereta itu bagaimanapun tidak berhenti dan melarikan diri setelah menyedari kejadian itu.

Ketua Bahagian Trafik Daerah Barat Daya, Cif Inspektor Mohd Zin Mat Ali berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang laporan yang dibuat.

“Ketiadaan laporan pemandu dan saksi yang tampil menyalurkan maklumat menyukarkan siasatan kes berkenaan.

“Kita minta pemandu itu tampil membuat laporan manakala orang ramai yang melihat kejadian itu membantu memberi maklumat,” katanya.  

Menantu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Balan berkata, ibu mertuanya yang bekerja sebagai tukang cuci di kawasan perindustrian di Bayan Lepas melalui jalan itu setiap hari.  

“Ibu mertua saya merupakan seorang vegetarian dan akan makan di tokong Than Hsiang di Jalan Sultan Azlan Shah setiap kali selesai bekerja.

“Saya juga tidak tahu apa yang berlaku dan kami sekeluarga anggap kejadian ini sebagai takdir.

“Bagaimanapun diharapkan pihak polis dapat menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes ini dengan segera,” katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik Bayan Lepas, Inspektor Meoh di talian 013-9285067.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/tukang-cuci-maut-kemalangan-1.92461


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount