loading...

Monday, February 21, 2011

Kereta Meletup Remaja Rentung

MASJID TANAH: “Sejak pagi semalam (kelmarin), dia tidak makan kerana katanya tidak berapa sihat selain hanya duduk di rumah sehingga rakan-rakannya menghubungi untuk mengajaknya keluar,” kata Dzalina Dzul, 22, kakak Dzarif Iskandar Dzul, 17.



Dzarif Iskandar maut dalam kemalangan di Jalan Masjid Tanah-Sungai Udang, dekat sini, kira-kira jam 1.20 pagi, semalam selepas kereta dipandunya terbakar akibat bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurut Dzalina, sebelum kejadian adiknya mengadu demam dan berkurung di dalam bilik tanpa menjamah makanan, namun meminta wang RM5 daripada ibunya sebagai duit belanja ketika keluar bersama rakannya.

Saksi kejadian, Sariza Othman, 24, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 pagi apabila kereta yang dinaiki empat remaja terbabit bertembung sebuah pikap, Nissan Frontier.

Menurutnya, sebelum kejadian dia memandu kereta bersama seorang teman sebelum melihat sebuah Perodua Viva memotong keretanya sebelum diikuti rapat kenderaan pacuan empat roda terbabit.

“Ketika di persimpangan lampu isyarat Sungai Udang-Bertam Ulu, pacuan empat roda itu cuba memotong Perodua Viva, tetapi gagal dan bertembung Proton Saga BLM dari arah bertentangan.


“Saya memberhentikan kereta dan melihat Proton Saga itu terbakar. Seorang daripada penumpang kereta itu keluar dan saya serta dia menjerit menyuruh rakannya keluar kerana takut kereta meletup.


“Ketika itu suasana pilu kerana saya dengar sayup-sayup jeritan meminta pertolongan daripada tiga lagi remaja yang terperangkap di dalam Proton Saga yang terbakar,” katanya.

Sariza berkata, dia bertambah sebak apabila melihat tiga remaja yang tersepit di tempat duduk masing-masing meronta sambil melambaikan tangan meminta tolong supaya dikeluarkan daripada kereta yang terbakar.

“Selepas itu, berlaku letupan kuat daripada kereta dan api semakin marak menyebabkan usaha beberapa pengguna jalan raya untuk mengeluarkan tiga mangsa terbabit agak sukar.

“Mujur, satu daripada pintu berjaya dibuka biarpun ketika api marak. Beberapa pengguna jalan raya mengeluarkan tiga mangsa terbabit dan sebaik saja mangsa terakhir dikeluarkan, berlaku satu lagi letupan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shahruddin, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu dikenali sebagai Dzarif Iskandar Dzul dan siasatan awal menunjukkan remaja berusia 17 tahun itu dipercaya memandu Proton Saga BLM terbabit.

“Mangsa yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Alauddin parah dan meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kem Terendak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, polis masih menyiasat identiti tiga rakan mangsa yang menaiki kereta berkenaan dan siasatan awal mendapati mereka dikenali sebagai Mohd Firdaus, 17, Abdul Wafi, 17, dan Azani, 20.

Beliau berkata, ketiga-tiga remaja itu serta pemandu Nissan Frontier, Mohd Sahid Suhaimi, 18, yang parah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga remaja menaiki Proton Saga BLM itu tinggal di Taman Seri Aman dalam perjalanan ke Sungai Udang sebelum bertembung sebuah pacuan empat roda yang memotong sebuah kereta di depannya,” katanya.

Seorang lagi saksi, Abdul Kahar Omar, 23, berkata dia bersama empat rakannya dalam perjalanan menuju Pasir Panjang, Port Dickson, berada di hadapan pacuan empat roda terbabit, sebelum dipintas kenderaan itu.

Katanya, kemalangan berlaku terlalu pantas kerana mereka melihat jelas ketika dua kenderaan itu bertembung dan melantun ke belakang sebelum terdengar letupan kecil.

Sunday, February 20, 2011

Anggota TLDM Terbunuh Dalam Kemalangan


20 Feb 2011. Kuching: Seorang anggota TLDM, Wan Fazli Wan Zin, 28, terbunuh apabila kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tun Jugah, Kuching awal pagi ini.

Beliau meninggal dunia di tempat kejadian setelah keretanya yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar pokok, serta tiang lampu jalan raya...

Wan Fazli yang masih bujang dan telah bekerja di Sarawak lebih dua tahun, dihantar ke Hospital Besar Sarawak untuk dibedah siasat.....
Al-Fatihah, Semoga Rohnya dicucuri rahmat... Amin.

Patuhilah Had Laju Jalan Raya

20 Feb 2010 : Lalu lintas di hadapan SMK Agama Sibu sesak selama lebih kurang 2 jam diakibatkan oleh kemalangan yang berlaku di hadapan sekolah. Kereta produa kenari berwarna hitam yang dipandu melebihi had laju yang cuba memotong kenderaan di hadapan telah gagal dikawal apabila hampir bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan menyebabkan pemandu hilang kawalan dan seterusnya merempuh laluan di hadapan sekolah dan terus menjunam ke dalam parit utama.

Keadaan basah selepas hujan menyebabkan jalan licin. Kenderaan tersebut telah terseret lebih kurang 5 meter sebelum menjunam ke dalam parit kerana cuba mengelak daripada bertembung dengan kenderaan dari hadapan. Bunyi bising kenderaan yang gagal dikawal tersebut telah menyebabkan orang ramai yang melalui kawasan sekolah terkejut dan panik. Mujurlah pemandu kenderaan tersebut hanya cedera ringan sahaja. Kejadian ini berlaku lebih kurang pada jam 12 tengahari.


Had laju yang telah ditetapkan ketika melalui kawasan sekolah ialah 50 km/j. Pemandu-pemandu perlulah mematuhi had laju ini untuk menjamin keselamatan murid-murid sekolah. Potong-memotong ketika melalui kawasan sekolah juga tidak digalakkan kerana mungkin membahayakan keselamatan murid-murid sekolah. Pihak sekolah berasa lega kerana tiada murid-murid berada di lokasi kemalangan pada masa tersebut. Semua murid-murid bercuti kerana cuti ganti tahun baru Cina.




Kerja-kerja untuk mengalihkan kenderaan yang terbabit mengambil masa lebih kurang 1 jam. Lori besar yang digunakan untuk mengangkut kereta produa kenari tersebut telah menghalang lalu lintas di hadapan sekolah dan menyebabkan jalan sesak seketika. Syukurlah semuanya selamat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my