loading...

Saturday, September 29, 2012

Enjin kereta meletup



29 September 2012
KULIM - Seorang lelaki berusia 40-an nyaris maut apabila enjin keretanya meletup dalam kejadian berhampiran sebuah restoran dekat sini, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, mangsa dilihat masuk ke dalam keretanya setelah selesai makan malam di restoran berkenaan.

"Sebaik sahaja mangsa mengundurkan kenderaannya, satu letupan kuat berlaku di bahagian hadapan kereta.

"Bagaimanapun tidak ada mangsa yang mengalami kecederaan serius," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan berhampiran premis berkenaan yang didapati meletup secara tiba-tiba.

Menurutnya, mangsa selesai makan malam bersama keluarganya dan ingin balik ke rumah mereka di Taman Kenari dekat sini.

"Sebaik sahaja kenderaan mereka bergerak, satu letupan kuat kedengaran di bahagian hadapan kereta.

"Kejadian ini membuatkan ramai dalam kalangan pelanggan yang berada di tempat kejadian bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, dari pemeriksaan dijalankan terhadap kenderaan mangsa, polis mendapati tidak berlaku sebarang perlakuan jenayah atau khianat.

"Letupan itu berpunca dari kerosakan kotak gear kereta itu.

"Bagaimanapun orang awam yang mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan kenderaan itu dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapat rawatan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/nyaris-maut-enjin-meletup-1.89767


Lori terbakar


29 September 2012
SUA BETONG (PORT DICKSON) – Seorang pemandu nyaris maut apabila lori yang dipandunya hampir musnah dalam kebakaran di Jalan Sua Betong lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, pemandu berusia 33 tahun itu sempat menyelamatkan diri apabila terhidu bau hangit dan asap dari bahagian tayar kenderaan tersebut.

Pemandu berkenaan, R Saravanan berkata, sebaik menyedari tayar lorinya terbakar dia segera memberhentikan kenderaan itu di bahu jalan.

“Saya cuba memadamkan api berkenaan dengan pemadam api yang disediakan di lori namun tidak berhasil. Api semakin marak dan alat pemadam api itu habis digunakan. Dalam tempoh beberapa saat, kebakaran di bahagian tayar merebak ke bahagian lain.

“Menyedari kejadian tidak lagi terkawal, saya segera menghubungi bomba,” katanya.

Saravanan yang memandu bersendirian berkata, semasa kejadian dia membawa muatan arang dari Jeti Port Dickson menghala ke Bahau.

Difahamkan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson serta Telok Kemang tiba di lokasi dan mengambil masa lebih kurang lima minit untuk mengawal kebakaran.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-cemas-lori-terbakar-1.89811

Kemalangan Misteri


29 September 2012 
BUKIT BERUANG (MELAKA)  – Sebuah kereta yang tiba-tiba terbakar di Taman Bukit Baru, berhampiran sebuah pasar raya di Ayer Keroh, di sini, semalam menjadi tanda tanya apabila dikatakan sebelum kejadian bergerak sendiri sejauh kira-kira lima meter dari kedudukan asal.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang, kereta jenis Toyota Corolla yang didakwa begerak tanpa pemandu dan dipakir di bahu jalan kawasan perumahan itu turut merempuh sebuah kereta Perodua Kelisa di hadapannya.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua kereta milik dua pekerja kakitangan pasar raya berhampiran taman perumahan berkenaan terbakar di bahagian hadapan enjin.

Pemilik kereta yang enggan dikenali mendakwa dia telah menarik brek tangan ketika meletakkan keretanya di kawasan itu selepas masuk semula bekerja kira-kira 2.10 petang.

Wanita berusia 48 tahun yang bekerja sebagai jurujual berkata sering meletakkan kenderaan di situ seperti kebanyakan kakitangan lain.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Ayer Keroh, Musa Dora berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota bomba dan penyelamat bergegas lokasi kejadian.

“Api yang marak di bahagian hadapan kedua-dua kereta tersebut berjaya dikawal pada jam 2.51 dan padam sepenuhnya lima minit kemudian.

“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian dialami masih dalam siasatan. Bagaimanapun kebakaran tidak membabitkan kemala-ngan jiwa,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/misteri-kereta-terbakar-bergerak-sendiri-tanpa-pemandu-1.89703



Friday, September 28, 2012

Isteri mengandung 8 bulan maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

28 September 2012
BENTONG – Hasrat pasangan suami isteri untuk menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian apabila mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9.5 Jalan Baru Bentong-Raub, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Ketika itu, Jefri Khusairi, 28, bersama isterinya, Norazila Amira Radzuan, 24, yang mengandung lapan bulan dalam perjalanan balik dari rumah keluarga mereka di Kampung Lebu ke Kuala Lumpur menaiki kereta jenis Proton Persona.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, setibanya di tempat kejadian, sebuah kereta Wira dipandu anggota tentera, Mohd Romdan Ideris, 25, dari arah Bentong ke Raub dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.

Menurutnya, kereta Wira itu dipercayai berpusing sebelum bertembung dengan kereta dinaiki pasangan suami isteri tersebut.

“Mohd Romdan yang memandu seorang diri, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala, Norazila Amira pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong bersama kandungannya.

"Jefri pula cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mayat kedua-dua mangsa dituntut keluarga masing-masing tengah hari semalam untuk dikebumikan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/wanita-hamil-8-bulan-maut-1.89350



Rentung bersama kereta



28 September 2012 
MELAKA - Impian seorang usahawan mengadakan majlis pelancaran kedainya minggu depan, berkecai apabila dia maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di Lebuh AMJ, di Jalan Cheng, dekat sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, Chan Yan Seng, 32, rentung apabila kereta jenis Toyota Innova dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok menyebabkan kenderaannya hangus terbakar.

Mangsa dari arah Cheng menuju Alor Gajah dijadualkan akan melancarkan kedai menjual kamera litar tertutup (CCTV) dan alat penggera miliknya, 6 Oktober depan.

Bapa mangsa, Chan Chee Keong, 58, berkata, kali terakhir dia melihat anaknya kira-kira 10.30 malam kelmarin, sebelum mangsa keluar.

Menurutnya, dia terkejut apabila anggota polis tiba di rumahnya di Taman Melaka Perdana, di sini, kira-kira 6 pagi.

“Sejak sembilan tahun lalu, anak saya bekerja sendiri membaiki dan menjual CCTV serta penggera di semua tempat di bandar raya Melaka, tanpa memiliki kedai.

“Sabtu minggu depan adalah hari gembiranya kerana dia akan buka kedai CCTV sendiri dengan menggunakan nama Sigma Six Venture di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat Hospital Melaka, dekat sini, semalam.

Chee Keong berkata, lebih menyentuh hati, isteri Yan Seng, Soo Yen Ling, 29, kini sedang anak keenam mereka yang kini sudah masuk usia enam bulan.

Lima lagi anak mangsa berusia setahun hingga lapan tahun.

Sementara itu, Yen Ling ketika ditemui pemberita, enggan ditemubual kerana masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa suaminya.

Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, dia bersama mangsa sedang menjamu selera di Taman Kota Laksamana.

“Kami berada di sana kira-kira jam 4 pagi sehingga dia meminta diri untuk pulang sejurus kemudian.

“Saya ada pelawa dia untuk tidur di rumah saya di Taman Bachang Baru, tetapi dia tetap berkeras untuk pulang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/tauke-rentung-di-awal-pagi-1.89380
thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/9/28/nation/12091999&sec=nation


Pelajar SMK Seri Bedena Maut Bertembung Guru


Inalillahi wainailaihi rojiun

28 September 2012
 SABAK BERNAM - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena menemui ajal setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung kenderaan dipandu seorang guru, di Jalan Lama Kuala Selangor, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal EX-5 dalam perjalanan ke sekolah, di Sungai Besar.

"Pemandu kereta Toyota Innova dari arah bertentangan menuju Simpang Lima gagal mengelak lalu merempuh motosikal mangsa yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya.

"Mangsa, Muhammad Fiqri Mohd Kassim, 17, maut serta merta di tempat kejadian dipercayai cedera parah di kepala kerana hentakan di cermin hadapan kereta," katanya.

Menurut Mushar, pemandu yang bertugas di Sekolah Menengah Simpang Lima difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

"Pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan dan tampil membuat laporan sejurus kejadian tersebut.

Bagaimanapun, kita masih belum menerima laporan daripada keluarga mangsa yang maut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat,"
katanya.

Sementara itu, guru berkenaan, Huwaibatul Aslamiah Khodari,34, berkata, dia dalam perjalanan ke sekolah terkejut apabila motosikal berkenaan memasuki laluannya secara tiba-tiba.

"Saya cuba mengelak namun tidak sempat kerana jarak motosikal berkenaan begitu hampir menyebabkan kami bertembung," katanya.

"Saya bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya hanya bahagian hadapan kereta sahaja yang rosak," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/pelajar-maut-dirempuh-guru-1.89289


Thursday, September 27, 2012

Proton BLM Terhumban Cerun 4m



Inalillahi wainailaihi rojiun

27 September 2012
KULAIJAYA – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terhumban ke dalam cerun kira-kira empat meter sebelum ditemui orang ramai di Kilometer 2, Kulaijaya-Kota Tinggi, di sini, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Mangsa, Muhammad Fadzil Bakri, 27, yang memandu seorang diri menaiki Proton BLM sedang menghala ke Kota Tinggi apabila tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui sebuah selekoh lantas merempuh dua pokok di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya yang mengesahkan kejadian berkata, rempuhan kuat berkenaan menyebabkan bahagian hadapan dan sisi kereta remuk sehingga mangsa tersepit hampir dua jam di bahagian pemandu.

“Ketika ditemui, mangsa sudah meninggal dunia dalam keadaan tersepit sehingga pihak polis terpaksa memanggil Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membantu mengeluarkan mayat sebelum dihantar ke hospital Kulaijaya.

“Pemeriksaan yang dijalankan terhadap kenderaan tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berlaku antara jam lima hingga enam pagi berikutan keadaan enjin kereta yang sudah sejuk,” katanya.

Zulkefly berkata, faktor jalan yang lengang di lokasi kejadian menyebabkan kemalangan itu hanya disedari pengguna jalan raya lain pada jam 7 pagi sebelum dilaporkan kepada pihak polis.

“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut hanya membabitkan sebuah kenderaan yang dipandu mangsa dan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar.

Dalam pada itu, Zulkefly turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan mematuhi had laju ditetapkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, mayat mangsa juga sudah dituntut keluarganya di unit Forensik Hospital Kulaijaya untuk urusan pengebumian petang semalam.

Al-Fatihah

sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/lelaki-maut-kereta-terhumban-ke-dalam-cerun-1.89058




Calon SPM SMK Buyong Adil Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

27 September 2012
TAPAH - Perjalanan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kebangsaan Buyong Adil, di sini, berakhir tragedi apabila terlibat dalam satu kemalangan maut di Kilometer 3.5 Jalan Tapah-Changkat Petai, Tapah Road, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan ke sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitenden Som Sak a/l Din Keliaw berkata, mangsa, Ariffin Ramli, 17, berasal daripada Kampung Batu 5, Tapah Road, menunggang motosikal jenis Yamaha.

Katanya, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Tapah Road ke Tapah secara tiba-tiba hilang kawalan setiba tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa ketika itu menunggang di selekoh lokasi kejadian dengan keadaan jalan basah kerana hujan dan mengakibatkannya terbabas.

Beliau berkata,  motosikal yang ditunggang terlanggar besi penghadang di tepi jalan dan  mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tapah bagi tindakan lanjut.

"Hasil bedah siasat mendapati  pelajar itu mengalami  kecederaan parah di  bahagian kepala.

“Jenazah mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Pihak kami menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan turut melawat keluarga mangsa di Hospital Tapah, di sini, semalam.

Al-Fatihah

sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/calon-spm-maut-kemalangan-1.89040


Tak sempat bercuti ke Hatyai


27 September 2012 
JITRA - Hasrat dua sahabat untuk menghadiri majlis sempena kejayaan sebuah syarikat perbankan yang bakal disambut di Hatyai, Thailand, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di kilometer 21.8 Lebuhraya Utara Selatan dari Jitra-Bukit Kayu Hitam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, mangsa, Khaw Chun Seong, 21, dari Simpang Empat dan rakannya, Lye Guang Shyong, 25, dari Bukit Mertajam, yang menaiki kereta Toyota Vios dipercayai terbabas lalu merempuh sebuah lori Syarikat Propel Berhad (Propel) yang berada dibahu jalan bagi menjalankan kerja membaik pulih penghadang jalan.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta yang dipandu berpusing beberpa kali sebelum merempuh belakang lori tersebut sehingga menyebabkan kedua mereka tersepit.

Difahamkan, pekerja yang terlibat dalam kerja membaik pulih penghadang jalan akibat kemalangan malam kelmarin, lari bertempiaran apabila kereta yang dipandu mangsa menuju laju ke arah mereka.

Dengar bunyi seperti bom


Saksi kejadian, Kee Kim Ngaung, 60, berkata, ketika kejadian hujan agak lebat dan dia duduk di tepi tingkap sambil memandang kawasan lebuh raya itu seperti biasa.

Menurutnya, dia yang tinggal di Kampung Sungai Baru hanya 100 meter dari tempat kejadian, sempat melihat kereta mangsa berpusing-pusing sebelum merempuh lori yang berada dibahu jalan berkenaan.

“Kedengaran bunyi dentuman seakan-akan bom ketika rempuhan itu berlaku. Saya bergegas ke sana dan mendapati kedua mangsa sudah tidak bernyawa lagi.

“Saya segera melihat segala dokumen mangsa yang bertaburan untuk mengenal pasti identiti mereka, saya kemudian menghubungi ahli keluarga mangsa yang kebetulan saya mengenali ayahnya,” katanya.

Katanya, untuk bulan ini sahaja dia sudah menyaksikan tiga kemalangan berlaku  di tempat sama, yang melibatkan kematian dan cedera ringan.

“Setiap kali hujan lebat mesti berlaku kemalangan. Sejak saya menetap di sini sudah beberapa kali saya menyaksikan sendiri kejadian yang meragut nyawa,” katanya.

Jalan licin akibat hujan lebat



Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusuf, berkata, seorang petugas Propel yang kebetulan ditugaskan untuk menyelenggarakan di kawasan itu ternampak kereta yang dipandu mangsa menuju laju dan kemudiannya terbabas sehingga berpusing beberapa kali sebelum merempuh lori terbabit.

Menurutnya, kemungkinan keadaan jalan agak licin berikutan hujan lebat menyebabkan mangsa tidak dapat mengawal kenderaan sehingga berpusing dan merempuh bahagian belakang lori tersebut.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke Hatyai sempena menyambut kejayaan sebuah syarikat perbankan bersama rakan lain yang berjaya memberi keuntungan kepada syarikat berkenaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-sahabat-maut-rempuh-lori-1.89008
theborneopost.com/2012/09/27/two-friends-on-way-to-thailand-killed-in-car-lorry-crash/
thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/9/27/nation/12086656&sec=nation


Diserang sakit jantung ketika menunggang


27 September 2012

ALOR SETAR – "Tolong, tolong pakcik sesak nafas," teriak seorang warga emas dengan nada tersekat-sekat selepas mengalami serangan jantung ketika menunggang motosikal di Bulatan Telok Wanjah di sini, baru-baru ini.

Kejadian berlaku kira – kira jam 11.30 pagi ketika Hamid Saaid, 67, menunggang motosikal berseorangan dan setelah tiba di tempat kejadian mangsa dikatakan mengalami kesukaran bernafas serta sakit di bahagian dada sebelah kiri sebelum motosikal yang ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas.

Saksi yang enggan namanya disiarkan, berkata dia menunggang motosikal di belakang mangsa ketika kejadian.

“Saya melihat sebuah motosikal terbabas dan penunggangnya terjatuh. Saya segera mengangkat mangsa yang ketika itu mengadu sakit di dada sebelah kiri dan sukar bernafas," katanya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/diserang-sakit-jantung-ketika-menunggang-motosikal-1.88992


Iswara rempuh bank



27 September 2012
SEREMBAN – Seorang wanita gagal mengawal kenderaannya akibat dihimpit sebuah kereta lain, lalu terbabas sebelum merempuh sebuah bank di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Yeo Wei Neng, 18, yang memandu kereta Proton Iswara sendirian hanya mengalami kecederaan ringan di anggota badan.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan ke Temiang itu dihimpit sebuah kereta Mitsubishi ASX yang dipandu seorang lelaki, Lim Hock Lea, 41.

“Ketika mangsa yang berada di kawasan lampu isyarat mahu meneruskan perjalanan ke arah Temiang, tiba-tiba datang sebuah kereta yang mahu masuk simpang kanan jalan menghimpit keretanya.

“Ia menyebabkan kedua-dua kenderaan bergesel dan kereta yang dipandu wanita berkenaan  terbabas lalu merempuh pintu sebuah bank,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, rempuhan kuat berkenaan menyebabkan dinding bank pecah dan bahagian hadapan kereta remuk.

“Ketika rempuhan berlaku, bank tersebut masih belum memulakan operasi.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-rempuh-bank-1.88969


Padah Pandu Laju


Inalillahi wainailaihi rojiun

27 September 2012
SABAK BERNAM - Seorang pemandu yang dalam perjalanan menghala ke Sungai Besar maut setelah kereta dipandunya terbabas sebelum bertembung kenderaan dipandu pasangan suami isteri dari arah Sabak Bernam di Jalan Kampung Banting, BNO, jam 8 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa, Mohd Syahmy Amran, 22, memandu seorang diri maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya, kereta Proton Arena berwarna merah dipandu mangsa terbabas ketika melalui selekoh tajam di Jalan Kampung Banting sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Kenderaan mangsa kemudian berpusing sebelum bertembung  kereta  Perodua Kancil dipandu pasangan suami isteri berkenaan.

“Pasangan suami isteri yang sedang dalam perjalanan ke pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah hanya mengalami kecederaan ringan," katanya sambil memaklumkan kepada  Sinar  Harian  bahawa kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 atas kesalahan memandu kenderaan secara melulu.

Sementara itu,  pemandu Perodua Kancil berkenaan, Amirrudin Darusalam, 42, berkata,  ketika kejadian kereta mangsa dipandu dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan merempuh pembahagi jalan.

Menurut Amiruddin, dia cuba menggelakkan merempuh kenderaan mangsa, namun tidak berjaya kerana kereta mangsa dipandu laju.

“Saya dan isterinya mengalami luka kecil akibat pertembungan itu membuat laporan polis selepas kejadian itu.

“Isteri saya  kini masih berada dalam keadaan trauma akibat daripada kejadian itu," katanya.

Al-Fatihah

sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/padah-laju-pemandu-maut-kereta-terbabas-1.89076


Anggota tentera maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

27 September 2012
KUANTAN — Seorang anggota tentera antara dua yang dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Km95, Jalan Bentong-Raub malam tadi.

Anggota tentera itu dikenali sebagai Mohd. Ramdan Mohd. Idris, 25, yang bertugas di Kem Mempaga, Bentong, manakala seorang lagi mangsa ialah Noorazila Amira Radzuan, 23, dari Lebu Baru, Bentong.

Sementara suami Noorazila Amira, Jefari Kusairi, 27, parah dalam kemalangan pada pukul 9.50 malam itu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt. Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kemalangan, kereta Proton Wira yang dipandu Mohd Ramdan dipercayai dalam perjalanan dari arah Bentong menuju Raub.

"Dipercayai Mohd. Ramdan hilang kawalan lalu keretanya masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona yang dinaiki Noorazila dan suaminya," katanya.— BERNAMA

Al-Fatihah

sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm


Maut kereta pusingan U

Inalillahi wainailaihi rojiun

27 September 2012
KOTA BHARU - “Semasa keluar untuk ke kelas tambahan, anak saya nampak seperti tergesa-gesa, namun kegelisahan saya menunggu kepulangannya di rumah terjawab, apabila menerima berita dia terlibat dalam kemalangan,” kata ibu mangsa kemalangan, Siti Subanu Deraman, 36.

Menurutnya, sebelum ini anak sulungnya itu, Mohd Alif Zubair, 15, sering menaiki motosikal milik datuknya yang digunakan untuk berulang-alik ke sekolah, namun nasibnya tidak baik pada hari itu apabila motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, Mohd Alif yang dipercayai dalam perjalanan balik ke rumahnya gagal mengelak sebuah kereta yang membuat pusingan U di simpang jalan Kem Kijang di sini.

Akibat kejadian itu, motosikal mangsa terbabas, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan.

Menurut saksi kejadian. Ab Hadi Derahman, 59, motosikal yang dinaiki mangsa dari arah Badang ke Kem Kijang, manakala kereta dari arah yang sama melakukan pusingan U.

“Saya terkejut bila mendengar bunyi hon motosikal yang nyaring dan dentuman yang kuat.

“Apabila keluar dari kedai runcit, saya lihat seorang remaja terbaring di samping kereta yang dilanggarnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, mengesahkan menerima laporan kejadian dan menurutnya siasatan di jalankan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Al-Fatihah

sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/remaja-maut-rempuh-kereta-1.89026



Wednesday, September 26, 2012

Maut tidak memakai topi keledar

Inalillahi wainailaihi rojiun

26 September 2012
KUANTAN: Seorang lelaki yang tidak memakai topi keledar, maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Km510 Jalan Kuantan-Johor Baharu, dekat Rompin.

Kadir Yusof, 68, berasal dari Batu 5, Kampung Janglau, Rompin mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 8.40 malam tadi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda telah keluar dari sebuah simpang di sebelah kiri jalan.

"Pada masa yang sama sebuah kereta jenis Mazda yang datang dari arah Kuantan menghala ke Johor Baharu tidak sempat menekan brek dan melanggar mangsa menyebabkan mangsa yang tidak memakai topi keledar itu tercampak ke atas jalan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamed Fauzi berkata pemandu kereta yang berusia dalam lingkungan 30-an tidak cedera. - Bernama


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/LelakimautnahasmotosikaldankeretadiRompin/Article/index_html



Kemalangan maut 3 lori


Inalillahi wainailaihi rojiun

26 September 2012
KAMPAR: “Dia sempat memberi saya wang saku RM20, manakala anak saudaranya turut diberikan RM10 sebelum dia keluar rumah. Saya tidak menyangka ia pemberian terakhir Syahir sebelum maut dalam nahas jalan raya,” kata bapa mangsa, Mohd Said, 59.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi semalam, mangsa yang juga kelindan lori berkenaan, Mohd Syahir Mohd, 24, maut apabila lori yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga lori di di kilometer 306, Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Tapah, di sini, semalam.


Dalam kemalangan ngeri itu, Syahir tersepit lebih satu jam sebelum dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan teruk di kepala dan beberapa anggota tubuh.

Mohd Said ketika ditemui wartawan di Unit Forensik, Hospital Kampar, di sini, semalam, berkata anaknya itu yang tinggal bersamanya di Bukit Katil, Melaka, kerap bertugas menghantar barangan ke utara tanah air.



Menurutnya, Syahir sering memaklumkan kepadanya berhubung tugasan rutin menghantar barangan ke Pulau Pinang setiap hari Isnin dan pulang lewat malam Rabu.


“Sebelum kejadian, arwah memaklumkan dia menghantar barang ke Pulau Pinang. Dia tidak menunjukkan sebagai keganjilan selain sempat memberi wang kepada saya,” katanya.

 Menurutnya, Syahir turut mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS), kepada kakaknya beberapa jam sebelum kejadian memberitahu mahu meminjam kereta sebaik pulang dari tugas Rabu nanti (hari ini).


“Arwah cukup rapat dan suka melayan anak saudaranya. Kehilangannya amat saya rasai,” katanya sugul.

Sementara itu, jenazah mangsa yang selesai dibedah siasat kemudian dihantar pulang ke Bukit Katil, Melaka, untuk dikebumikan jam 1 tengah hari semalam.




Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Matitersepitlebihsejam/Article/index_html
ntv7.com.my


Pasangan suami isteri nyari maut


26 September 2012
BATU TUJUH – Kegembiraan pasangan suami isteri yang dalam perjalanan pulang ke rumah, selepas menziarahi ahli keluarga di kampung bertukar cemas, apabila kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan, dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian lebih kurang jam 2.30 petang itu dipercayai berlaku ketika, Ahmad Shahrizad Amran, 39, bersama isteri, Roziana Hasliza Sulaiman, 30, dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuantan, selepas pulang bercuti di kampung halaman Roziana dekat Bachok, Kelantan.

Sebaik sampai di lokasi kemalangan di hadapan Sekolah Menengah Teknik Dungun itu, kenderaan Perodua Viva dipandu Shahrizad dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan, lalu merempuh pokok pinang di kaki lima dan terhumban ke dalam longkang.

Akibat kemalangan itu, kenderaan milik mangsa rosak teruk di bahagian depan serta pintu.

Pasangan suami isteri yang terperangkap di dalam kereta itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Dungun dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ahmad Shahrizad yang berasal dari Ipoh, Perak dan isterinya hanya cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar sebelum membuat laporan di Balai Polis Dungun berhubung kemalangan tersebut.

Sementara itu, polis masih menjalankan siasatan berkaitan kemalangan itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/suami-isteri-nyaris-maut-1.88621


Tuesday, September 25, 2012

Rempuh pam minyak


 25/9/2012
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pam minyak hingga menyebabkan pam berkenaan tumbang serta menghempap sebuah motosikal dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Alam Damai, Cheras, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, penunggang motosikal yang dihempap bagaimanapun terselamat kerana ketika kejadian dia berada di kaunter untuk membuat pembayaran.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Johari Mohd Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 9.02 pagi dan dua jentera dengan 12 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di stesen minyak terbabit, anggota kami mendapati sebuah kereta Proton Iswara sudah merempuh pam minyak hingga menyebabkan ia tumbang dan berlaku tumpahan petrol selain menghempap sebuah motosikal.


“Tindakan pantas mencabut wayar sambungan pada bateri kereta diambil untuk mengelak percikan api hingga boleh mengakibatkan kebakaran atau lebih teruk letupan berlaku.


“Pemandu kereta cedera ringan di mulut, manakala penunggang motosikal tidak cedera kerana tidak berada berhampiran motosikalnya ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Pamminyakdirempuhhempapmotor/Article


Kemalangan Maut 3 Lori


Inalillahi wainailaihi rojiun 
2012/09/25
IPOH: Seorang pemandu lori terbunuh manakala kelindannya cedera ringan apabila lori mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua buah lagi lori di Km301 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kampar, pagi tadi.

Mangsa Shahir Mohd, 44, dari Taman Saujana, Bukit Katil, Melaka yang mengalami cedera parah di kepala meninggal di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Pegawai Turus Trafik Negeri, DSP Mohamad Roy Suhaimi berkata kejadian berlaku pada pukul 3.40 pagi ketika mangsa membawa muatan barangan runcit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth.

"Siasatan awal mendapati lori yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh belakang lori di hadapannya dan pada masa yang sama sebuah lagi lori yang mengekori lori mangsa turut merempuhnya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat manakala kelindan dan dua lagi pemandu lori cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar.


Mohamad Roy berkata berikutan kejadian itu laluan di lebuh raya berkenaan mengalami kesesakan menghala ke utara selama lima jam dan keadaan pulih seperti biasa pada jam 9 pagi tadi.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, tiga orang terbunuh dalam kemalangan semalam, masing-masing satu di Lumut, Ipoh dan Gerik.

Beliau berkata dalam kejadian di Km82.4 Jalan Kuala Kangsar-Gerik, seorang penunggang terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas pada jam 7 petang.

Mangsa Mohd Khir Johari Mohd Salleh, 50, dari Kampung Tawai, Gerik yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat, manakal pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan, katanya.

Dalam kejadian di Jalan Lumut-Teluk Batik, seorang pemandu terbunuh selepas keretanya terbabas dan merempuh tembok konkrit di tepi jalan.

Mangsa Abdullah Aziz Mohd Shariff, 70, berasal dari Kamung Sungai Wangi, Ayer Tawar yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat, katanya.

Sementara itu seorang wanita, Wan Norliani Wan Ali, 30, berasal dari Kampung Belukar, Kota Bharu, Kelantan terbunuh selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di tepi jalan.

Kejadian berlaku di Km263 lebuhraya Utara-Selatan dekat sini ketika mangsa dalam perjalanan dari Taiping ke Kuala Lumpur pada pukul 6.25 petang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, kata Mohamad Roy. - Bernama

Sumber:
hmetro.com.my/articles/PemandulorimautdalamkemalangandiLebuhrayaUtara-Selatan/Article


Kemalangan Maut 10 Kenderaan


24 September 2012 
AYER KEROH - Seorang pemandu lori maut selepas hampir empat jam tersepit di tempat duduk hadapan apabila lori dipandunya yang merempuh empat motosikal, tiga kereta dan dua lori di persimpangan Seri Negeri-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, R R Chandran, 47, maut di tempat kejadian bersama seorang lagi penunggang motosikal, R Mukeudan @ Mukundan, 62.

Nahas yang berlaku berhampiran Pasar Raya Mydin itu membabitkan 10 kenderaan itu turut mengakibatkan tiga cedera, termasuk seorang lelaki parah.

Difahamkan, lori terbabit melanggar kereta Perodua Kancil dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menuju pusat bandar raya sebelum merempuh lapan kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat merah di laluan bandar raya menghala Plaza Tol Ayer Keroh.



Lori hadapi masalah brek


Kelindan lori yang terselamat dalam kejadian itu, N Balan, 30, berkata, sebelum lori yang dipandu Chandran melanggar kenderaan lain, dia menyedari lori yang dinaiki mempunyai masalah brek apabila lori tersebut meluncur laju ketika menuruni bukit menghala lampu isyarat.

“Saya yang terkejut kemudian terus menundukkan kepala dan beberapa saat selepas itu saya berasa hentakan kuat di bahagian hadapan.

“Apabila saya mendongak kepala, lori yang saya naiki kemalangan dan melihat Chandran sudah tidak bergerak. Ketika itulah saya segera menendang cermin hadapan lori untuk keluar,” katanya yang cedera kaki kanan.

Seorang lagi mangsa, S Yogananthini, 20, berkata, ketika kejadian dia bersama lima ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kesang Damai, Jasin, berhenti di lampu merah persimpangan tersebut selepas keluar dari Pasar Raya Mydin.

“Kami yang menaiki kereta Iswara mahu balik ke rumah melalui Jalan Bemban berada di laluan kanan, sedang menunggu lampu merah di belakang kereta Honda City. Tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah Seri Negeri melanggar bahagian tengah antara kereta saya dan Honda City yang dipandu seorang wanita.

“Lori itu kemudian melanggar sebuah motosikal, namun penunggangnya sempat melompat meninggalkan motosikalnya sebelum merempuh dua lori dan beberapa motosikal yang lain,” katanya yang tidak mengalami kecederaan.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Zul, 38, berkata, dia yang sedang memakir motosikal di bangunan Kota Cemerlang di sini, terdengar bunyi dentuman sebelum berlari ke tempat kejadian.

“Ketika sampai, saya lihat seorang lelaki sudah ditimbus tanah, seorang penunggang motosikal cedera parah, seorang wanita di dalam kereta Honda City, sebuah keluarga menaiki kereta Iswara dan seorang lelaki dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' berada  antara dua lori dan Honda City,” katanya.

Empat jam keluarkan mangsa


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim berkata, pihaknya mengambil masa hampir empat jam bagi mengeluarkan mangsa iaitu pemandu lori dedak yang maut akibat tersepit di bahagian pemandu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 3.30 petang, sebelum mengerahkan seramai 24 anggota dari Balai Bomba Ayer Keroh dan Balai Bomba Bukit Katil ke lokasi terbabit.

“Bomba mengalami kesukaran iaitu kira-kira tiga jam setengah untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit antara lori. Mangsa hanya dapat dikeluarkan jam 6.40 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati Chandran yang memandu lori dari arah bulatan Seri Negeri dipercayai terbabas sebelum melanggar sembilan kenderaan lain.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/nahas-10-kenderaan-2-maut-1.88149
hmetro.com.my/articles/Lambaitangansebelumterkulai/Article


Ibu maut bergesel dengan anak

Inalillahi wainailaihi rojiun

25 September 2012

MELAKA - Seorang wanita maut apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan motosikal tiga roda yang ditunggang anak lelakinya di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam di sini.

Sapiah Md Said, 41, yang merupakan peniaga barangan runcit di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jalan Hang Tuah di sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata dalam kejadian pada 5 petang semalam, wanita itu bersama anak lelakinya, Mohd Ikram Laksamana, 18, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Pulau Gadong di sini selepas mengambil motosikal di bawah Program Motosikal Tiga Roda Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Ayer Keroh.

Motosikal tiga roda yang ditunggang Mohd Ikram dipercayai terbabas dan hilang kawalan sebelum bergesel dengan motosikal dinaiki ibunya menyebabkan ibunya terjatuh daripada motosikal, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata anak lelaki mangsa hanya cedera ringan.- Bernama

Al-Fatihah



Monday, September 24, 2012

Honda City terbabas di Gajah Berang



BANDARAYA MELAKA - Sepasang suami isteri warga emas nyaris maut apabila kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbabas di Jalan Gajah Berang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa yang berusia lingkungan 60-an dipercayai terbabas dan melanggar tebing longkang sebelum merempuh pokok di kiri jalan.

Difahamkan, mangsa yang memandu datang dari arah Jalan Hang Tuah, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di selekoh Jalan Gajah Berang.

Bagaimanapun, kedua-duanya yang tidak mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan susulan.

Pegawai Operasi Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.08 daripada seorang anggotanya yang mahu pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

“Anggota terbabit kebetulan melalui kawasan tersebut dan segera mengeluarkan mangsa terlebih dahulu selepas menghubungi balai.

“Enam anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan membantu menebang pokok serta membersihkan lelehan petrol dan cecair lain akibat kemalangan berkenaan,” katanya, semalam.

Sementara itu, seorang saksi, Song Hai Min, 47, yang sedang makan di sebuah kedai berhampiran melihat asap keluar dari kereta sejurus terdengar bunyi dentuman.

“Selepas terdengar bunyi seperti sesuatu melanggar pokok, saya meninjau-ninjau ke arah luar kedai dan melihat asap, cuma ketika itu saya tidak pasti apa yang berlaku.

“Saya kemudian berlari ke tempat kejadian dan melihat seorang nenek bersama suaminya berdiri berhampiran sebuah kereta dalam keadaan mengiring di atas longkang,” katanya.

Katanya, orang ramai yang membantu turut mencabutkan kabel bateri bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku selepas melihat petrol mengalir keluar.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/hilang-kawalan-warga-emas-nyaris-maut-1.87946


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my