Friday, November 9, 2012

Dua lelaki warga Afrika cedera rempuh lori

10 November 2012
 IPOH - Dua lelaki warga Afrika cedera selepas kereta yang mereka naiki melanggar sebuah lori yang berada di lorong kecemasan dalam kejadian kemalangan di Kilometer 300.8 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) pagi semalam.

Kemalangan itu menyebabkan kenderaan yang menghala ke utara sesak sepanjang dua  kilometer dan terpaksa menunggu lebih tiga jam sebelum kenderaan yang terlibat dialihkan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, dalam kejadian yang berlaku pada jam 10.45 pagi itu, mangsa yang berusia sekitar 20-an dalam perjalanan ke Ipoh dari Kuala Lumpur sebelum terbabas dan terlanggar bahagian belakang lori berkenaan.

Menurutnya, lori kepunyaan sebuah syarikat penyelenggaraan itu dipercayai rosak dan diletakkan di lorong kecemasan sementara menunggu untuk mendapatkan bantuan.

“Sewaktu kejadian, cuaca dalam keadaan baik namun kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu lelaki warga Afrika itu dipercayai dipandu laju lalu terbabas serta merempuh lori tersebut.

“Pemandu dan penumpang kereta tersebut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Katanya, pemandu lori tersebut sudah membuat laporan di Balai Polis Kampar.

Kong Soon berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan tersebut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/dua-lelaki-afrika-cedera-kemalangan-1.102568


Maut 2 motosikal bertembung



Inalillahi wainailaihi rojiun

10 November 2012
 SUNGAI MANIK - Seorang pekerja sebuah bengkel maut dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Sungai Manik selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah motosikal lain dari arah bertentangan, di Kilometer 7.5 Jalan Teluk Intan - Kampung Gajah, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.50 petang dan mangsa, Mohammad Asrie Mat Radi, 18 maut semasa dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan.

Menurutnya, motosikal mangsa didapati telah masuk ke laluan bertentangan ketika tiba di tempat kejadian dan merempuh motosikal tunggangan Shamsul Izwan Ramli, 17, yang datang dari arah Kampung Gajah ke Teluk Intan.

Katanya, rempuhan berkenaan telah menyebabkan mangsa luka parah pada leher, manakala Shamsul mengalami patah tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Teluk Intan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambah beliau, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-selepas-dua-motosikal-bertembung-1.102573


Pesakit hospital maut di lebuh raya


Inalillahi wainailaihi rojiun

10 November 2012
ALOR GAJAH - Kehilangan seorang pesakit dari salah sebuah hospital di negeri ini terjawab apabila mayatnya ditemui separuh hancur di Kilometer 220.4, Lebuhraya Plus arah selatan, di sini, tengah malam kelmarin.

Mangsa, Razali Thomas Muhammad Rasul Packianathan, 42, ditemui orang awam di tebing laluan paling kanan berdekatan pembahagi lebuh raya itu dalam keadaan mengiring.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat tubuh manusia bergelimpangan di tengah lebuh raya dalam keadaan cedera parah.

“Setiba di lokasi kejadian, polis mendapati tubuh mangsa berada dalam kedudukan mengiring dengan kedua-dua belah kaki dan tangan kanan mangsa hancur dipercayai dirempuh beberapa kenderaan,” katanya.

Menurutnya, tiada penemuan sebarang kenderaan di tempat kejadian termasuk pengenalan diri mangsa.

“Kesan cap jari mangsa dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan. Hasil pemeriksaan pendaftar penjenayah Bukit Aman mendapati, mangsa seorang India Muslim yang dilaporkan hilang ketika menerima rawatan di salah sebuah hospital di negeri ini sebelum mayatnya ditemui.

“Difahamkan, petang sebelum kejadian, mangsa dilihat berjalan dengan masih berpakaian pesakit di penghadang besi tengah lebuh raya tidak jauh dari tempat mayat mangsa ditemui kakitangan Plus yang bertugas,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Cawangan Trafik Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222 untuk bantu siasatan,” katanya.


Pelik arwah hilang ingatan

Adik mangsa, Muhammad Nur Amin Mohd Rasul, 22, berkata, kali terakhir mereka sekeluarga berjumpa abangnya Sabtu lalu namun keadaan arwah begitu mengejutkan apabila tidak mengingati ahli keluarganya.

“Arwah didaftarkan ke wad pada 28 Oktober lalu selepas diserang sakit perut serta komplikasi pada hati dan pihak hospital memaklumkan arwah perlu dimasukkan ke wad bagi mengenal pasti puncanya.

“Setiap hari keluarga kami akan ke hospital untuk melihat keadaan arwah.

Kali terakhir kami datang 2 November lalu dan mendapati arwah seperti hilang ingatan,” katanya.

Menurut Muhammad Nur Amin, pada 4 November lalu dia sekeluarga ke hospital kira-kira jam 12 tengah hari untuk menziarahi abangnya, namun terkejut apabila jururawat memaklumkan arwah disedari hilang seawal jam 7 pagi.

“Pengawal keselamatan di situ juga memberitahu tiada pesakit keluar merayau dari kawasan hospital,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Felda Bukit Senggeh.

Bimbang perkara buruk menimpa abangnya, dia sekeluarga membuat laporan polis dan mencari arwah di serata tempat serta mengedar gambarnya kepada orang awam.

“Puas kami cari di semua tempat sehinggalah pada 7 November lalu kira-kira jam 7.30 pagi seorang jiran datang dan meminta kami menghubungi Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Daerah Alor Gajah.

“Setelah dihubungi, pegawai penyiasat berkenaan meminta saya datang ke bilik mayat Hospital Melaka untuk melakukan pengecaman ke atas satu mayat,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga terkejut mendapati mayat separuh hancur berkenaan milik arwah abangnya yang sepatutnya sedang menerima rawatan di hospital.


Berselera makan tengahari sebelum masuk wad

Sementara itu, ibu mangsa, Aishah Rajeswari Abdullah, 59, berkata, dia terkejut ketika menziarahi arwah Sabtu lalu apabila arwah seperti tidak mengenalinya.

“Ketika itu saya menyatakan hasrat kepada kakitangan hospital untuk membawa arwah pulang.

Bagaimanapun mereka menghalang dan mendakwa boleh memantau keadaan arwah,” katanya.

Aishah berkata, sehari sebelum dimasukkan ke dalam wad, arwah sempat datang ke rumahnya dan menikmati makan tengah hari dengan begitu berselera sebelum mengambil manak tunggalnya pulang sekolah.

“Arwah seorang yang pemurah dan rajin membantu saya dan adikberadiknya yang lain," katanya.

Tambah Aishah, walaupun redha dengan pemergian Razali, namun dia dan keluarganya akan berusaha membawa perkara ini ke muka pengadilan kerana pengabaian pihak hospital terhadap anaknya.

“Arwah meninggal dunia bukan kerana sakit dalam rawatan tetapi kerana kemalangan di luar kawasan. “Jika perkara ini dipandang ringan pasti kejadian sama akan berlaku kepada keluarga pesakit lain,” katanya.

Al-Fatihah


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/melaka-ns/pesakit-maut-atas-lebuh-raya-1.102536





Maut Rempuh Lori Ayam


Inalillahi wainailaihi rojiun

10 November 2012
AYER HITAM - Seorang anak yatim piatu maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori di Kilometer 18 Jalan Bahau- Kemayan, kira-kira 11 malam kelmarin.

Muhamad Fadzil Arshad, 20, menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z secara bersendirian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Lui Selatan Satu, dekat sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, kejadian dikatakan bermula apabila sebuah lori muatan ayam ingin masuk ke simpang jalan Felda Pasoh.

Menurutnya, pemandu lori bersama dua lagi individu lain berumur antara 20 hingga 25 tahun dalam perjalanan ke Subang, Selangor bagi menghantar ayam berkenaan.

"Setibanya di simpang masuk Felda Pasoh, pemandu lori menyangka jarak motosikal ditunggang mangsa masih jauh sebelum tiba-tiba lorinya dirempuh motosikal terbabit dan menggilis mangsa.

"Mangsa kemudiannya tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta maut di tempat kejadian," katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Hamzah berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya tengah hari semalam.

"Bagaimanapun, siasatan berhubung punca sebenar kejadian masih dijalankan dan pihak polis sudah mengambil keterangan pemandu lori selepas dia membuat laporan mengenai insiden ini," katanya.

Difahamkan, mangsa adalah anak yatim piatu selepas ibu dan ayahnya meninggal dunia sekitar tujuh tahun lalu serta anak bongsu daripada lapan beradik.

Sementara itu, nasib menimpa mangsa turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang turut melawat mangsa di Hospital Jempol, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/cedera-parah-selepas-motosikal-ditunggangnya-rempuh-lori-ayam-1.102549

Pengsan dirempuh kereta Proton Satria


9 November 2012
ALOR GAJAH: Seorang wanita pengsan apabila kereta dipandunya dirempuh kenderaan lain ketika membuat pusingan U di Jalan Rantau Panjang-Masjid Tanah di Kampung Rantau Panjang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa, Norliana Suparman, 29, yang memandu Perodua Kancil keluar dari satu lorong lalu membelok ke kanan menuju Ayer Paabas, di sini.


Kereta mangsa tiba-tiba membuat pusingan U mengakibatkan Proton Satria dipandu Shahrizan Alias, 24, dari arah Masjid Tanah gagal mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa.

Rempuhan menyebabkan suri rumah itu tersepit dan tidak sedarkan diri, namun tidak mengalami kecederaan serius.


Menurut Shahrizan, dia yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Masjid Tanah menyedari kereta dipandu mangsa keluar dari lorong kanan jalan berkenaan.


“Sebaik menyedari keadaan itu, saya cuba memperlahankan pemanduan dan berada di belakang kereta berkenaan tanpa memotong.

“Dalam jarak beberapa meter, kereta itu tiba-tiba membuat pusingan U menyebabkan saya gagal mengawal kenderaan lalu merempuhnya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Katanya, sebelum itu dia sempat menekan brek, namun jarak terlalu dekat menyebabkannya terpaksa merempuh bahagian tepi kereta yang melintang itu.

“Saya tidak boleh berbuat apa-apa dan cuba memaut stereng ke kiri, tetapi tidak boleh kerana melihat tebing di kawasan itu yang curam. Rempuhan itu menyebabkan dada terhantuk pada stereng. “Sejurus melompat keluar dari kereta dan menghampiri kereta mangsa, saya mendapati wanita itu yang dalam keadaan terperanjat meraung meminta tolong,” katanya.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Anuar Thambi Hitam berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 5.38 petang.


“Setibanya di lokasi bersama lima anggota dan sebuah jentera, mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan dapat dikeluarkan dalam tempoh kurang lima minit.


“Mangsa yang tidak sedarkan diri diserahkan kepada anggota paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Pengsankeretadirempuh/Article/index_html



Bas ekspres rempuh lori


9 November 2012
TAPAH - Detik cemas menyelubungi 37 penumpang bas ekspres apabila kenderaan yang mereka naiki merempuh serta melekat pada bahagian belakang sebuah lori membawa muatan amang dalam kemalangan di kilometer 312.2 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), kira-kira jam 4.30 pagi, semalam.

Rempuhan berkenaan turut menyebabkan tiga penumpang bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang itu mengalami cedera ringan pada beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw memaklumkan lori terbabit dalam perjalanan menghala arah utara dirempuh dari belakang oleh bas ekspres berkenaan sebaik tiba di tempat kejadian.

"Bas yang dipandi lelaki berusia 37 tahun itu mengalami kerosakan pada bahagian hadapan. Seorang penumpang wanita dan dua lelaki berusia antara 18 hingga 39 tahun cedera pada bibir dan kaki.

"Mereka telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan pesakit luar, manakala pemandu bas dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Som Sak tidak menolak kemungkinan pemandu bas ekspres itu mengantuk ketika memandu dan memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati pemandu bas berkenaan mempunyai rekod lampau memabitkan tujuh saman kesalahan kerana melanggar had laju.

"Kita sedang menyiasat pemandu bas dan lori terbabit dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/tiga-cedera-bas-rempuh-lori-1.102308


Kanak-kanak enam tahun maut dirempuh van



Inalillahi wainailaihi rojiun 

9 November 2012
BALING - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut dalam kemalangan di Kilometer 37.7 Jalan Sungai Petani Baling kira-kira 6.20 petang, kelmarin.

Mangsa, Mohd Zul Ikmal dari Kampung Keda Kledang maut di tempat kejadian setelah basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah van.

Anak ketiga dari lima beradik itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar mencari ikan bersama abangnya di kawasan berdekatan rumahnya itu.

Menurut saksi kejadian, mangsa cuba melintas jalan, namun gagal sebelum dirempuh oleh sebuah van yang datang dari arah Baling-Sungai Petani.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sehingga mengakibatkan kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Mat Daud berkata, pihaknya amat berharap ibu bapa menjaga keselamatan anak-anak mereka terutama mereka yang di bawah 12 tahun.

“Menjaga keselamatan tidak bermaksud kita mengongkong, tetapi perlu bertegas demi keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/kanak-kanak-enam-tahun-maut-dirempuh-van-1.102296


Penyamun mabuk terbabas



9 November 2012
ALOR GAJAH - Cubaan dua lelaki melarikan diri selepas cuba menyamun seorang pengusaha kafe siber di Taman Mewah, Kelemak gagal apabila ditangkap sepasukan polis setelah kereta dinaiki terbabas berdekatan lampu isyarat Kelemak, di sini, tengah malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 19 dan 25 tahun cuba menyamun seorang pengusaha kafe siber menggunakan parang panjang sebelum memecut kereta.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, ketika cubaan samun berlaku, pengusaha kafe berkenaan hendak menutup kedai didatangi dua lelaki berkulit gelap menaiki sebuah kereta Proton Saga Aeroback.

Menurutnya, lelaki berkenaan membawa sebilah parang panjang sebelum sekumpulan lima lelaki yang sedang melepak berdekatan tempat kejadian membantu pengusaha kedai terbabit dari diserang penyamun terbabit.

"Akibat berang dihalang, lelaki terbabit menghayun parang mengakibatkan sekumpulan lelaki berkenaan lari dan seorang daripada lima lelaki tadi dikejar hingga terjatuh.

"Turut sama tercicir ketika dikejar, sebuah telefon bimbit milik mangsa yang kemudiannya diambil oleh penyamun itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam.

Umar berkata, pihaknya menerima laporan sejurus kejadian dan melancarkan gerakan mengesan kedua-dua lelaki terbabit sebelum menerima maklumat kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan.

"Hasil maklumat yang diterima, kedua-dua mereka sudah berada di tebing jalan dibantu orang awam dan penduduk yang tidak mengetahui mereka adalah penjenayah.

"Pemeriksaan awal mendapati bahagian hadapan kereta yang dipercayai milik bapa kepada salah seorang daripadanya remuk teruk dan kedua mereka juga didapati berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Katanya, kedua-dua penjenayah terbabit walau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan mendapati mereka turut terlibat dalam beberapa kes samun membabitkan tiga daerah di negeri ini.

“Kedua-dua suspek yang beralamat di Rembia, dekat sini dan Johor ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam). Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun mengguna senjata,” katanya, semalam.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/penyamun-mabuk-kecundang-1.102269


Melambung persimpangan lampu isyarat



Inalillahi wainailaihi rojiun 

9 November 2012
ALOR GAJAH - “Saya nampak objek melambung berdekatan persimpangan lampu isyarat sebelum menyedari rakan terbabit dalam kemalangan,” kata Islami Hisham, 18, menceritakan insiden kemalangan maut melibatkan rakannya, seorang pekerja restoran makanan segera di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, Lebuh Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa, Mohd Izuan Johari, 24, dari bandar Melaka ke Melaka Pindah sebelum motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang hilang kawalan melanggar pembahagi jalan.

Akibat pelanggaran itu, mangsa dan motosikalnya melambung sebelum kepala Mohd Izuan terhentak pada lampu isyarat dan tercampak ke laluan bertentangan.

Islami yang merupakan saksi terawal kejadian berkata, dia bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Paya Datuk sebelum menyedari terdapat objek melambung di hadapan.

"Saya duduk di sebelah pemandu meminta rakan memperlahankan kereta untuk mengamati objek berkenaan sebelum terkejut melihat seorang lelaki berada dalam keadaan tertangkup atas jalan.

"Sebaik keluar kereta saya terkejut lihat mangsa adalah rakan saya sendiri," katanya.

Menurutnya, dia yang panik melihat mangsa tidak sedarkan diri mengalihkan motosikal yang tercampak beberapa meteri.

"Saya kemudiannya cuba menghubungi keluarga mangsa namun gagal sebelum segera ke rumahnya di Melaka Pindah bagi memaklumkan kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Zaiton Mohamad, 51, berkata, mangsa keluar dari rumah untuk ke bandar Melaka kira-kira 12 tengah malam semalam sebelum terbabit kemalangan dalam perjalanan pulang.

“Ketika rakannya datang ke rumah memaklumkan kejadian, saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja dan menyangka rakan datang untuk menjemput saya ke tempat kerja seperti biasa setiap pagi,” katanya.

Zaiton berkata, dia yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah terkejut apabila dimaklumkan anak keduanya dari tiga beradik itu terbabit dalam kemalangan tanpa menyangka anaknya itu terkorban.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk dibedah siasat.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/rakan-melambung-di-simpang-1.102266



Maut terjunam dalam air



9 November 2012
SUNGAI BESAR - Seorang pekerja bengkel memperbaiki bot ditemui mati selepas terjunam ke dalam air bersama motor ditungganginya berhampiran jeti nelayan Lorong 1 Bagan Sekinchan di sini, kelmarin.

Mayat mangsa warga Myanmar itu, Win Nang Oo, 28, ditemui oleh seorang penduduk tempatan di kawasan tersebut sekitar jam 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, pihaknya dimaklumkan saksi terbabit bahawa motosikal tersangkut di kipas botnya ketika mahu keluar menangkap ikan.

“Saksi terkejut apabila kipas botnya tersangkut pada sebuah motosikal dan terus menghubungi polis,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, mangsa dipercayai terbabas ke dalam air ketika melalui jalan licin berhampiran jeti tersebut ketika hujan lebat.

Katanya, persekitaran gelap juga dipercayai menjadi punca mangsa terbabas ke dalam air.

Beliau berkata, motosikal mangsa didapati rosak teruk, berkemungkinan akibat bot nelayan yang ada di jeti itu.

Menurutnya, pihaknya menolak bahawa terdapat unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

Noor Mushar berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut

Sementara itu, majikan mangsa, Chia Chin Peng, 42, berkata, mangsa yang tinggal di Lorong 12 Bagan Sekinchan adalah pekerja yang rajin.

“Saya mempunyai lima pekerja berbangsa Myanmar dan mangsa adalah seorang daripadanya mereka,” katanya.

Chin Peng berkata, mangsa bekerja dan tinggal serumah bersama abangnya Kyaw Tiut, 32, dan dia terkejut dengan kejadian tersebut.

Kyaw Tiut, adiknya itu keluar pada jam 8 malam kelmarin untuk membeli air minuman di kedai berhampiran namun tidak pulang sehingga pagi.

“Saya sangat risau apabila adik saya tidak pulang malam tadi sedangkan hujan lebat di kawasan ini sepanjang malam dan akhirnya saya terima berita mayat adik saya ditemui di dasar air jeti ini,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/maut-terjunam-dalam-air-1.102257



Wednesday, November 7, 2012

Gara-gara elak lubang



8 November 2012 
 KUALA MUDA – Seorang kariah masjid di sini patah dua jari selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Semeling-Bedong dekat Pekan Bedong, kelmarin.

Mangsa, Latif Abdullah, 76, dilanggar lori apabila mengelak lubang ketika menunggang motosikal ke Masjid Bedong untuk membuat persiapan sembahyang Subuh.

Anak saudaranya, Abd Wahab Ismail, 42, berkata, ketika kejadian bapa saudaranya itu dalam perjalanan dari arah Semeling ke Bedong dan ingin membelok ke kanan di hadapan Bangunan GiatMara.

“Disebabkan terdapat lubang di kanan jalan, kenderaan dari arah bertentangan terpaksa mengelak dan laluan dari kedua-dua arah menjadi semakin sempit. Tambahan pula di sebelah kiri jalan terdapat treler di parkir menyebabkan jalan lebih sempit.

“Bapa saudara saya dilanggar dari arah belakang ketika mengelak lubang tersebut. Mujur dia tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba Sukarela Bedong, Loh Poh Hean, 51, berkata, pihaknya terpaksa meletakkan pengadang dan lampu kecemasan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Sebelum ini, saya telah memaklumkan isu lubang ini kepada pihak berkaitan, namun masih tiada tindakan walaupun hampir sebulan.

“Kon dan lampu diletakkan turut pecah dan terjatuh ke lubang apabila dilanggar pengguna jalan raya yang tidak sedar keadaan itu,” katanya.

Seorang peniaga, Redza Adzmi, 21, berkata, keadaan jalan yang gelap, tiada garis jalan dan kewujudan lubang sejak sebulan lalu membahayakan pengguna laluan terbabit.

“Saya harap pihak yang berkenaan dapat melakukan pantauan di sini dan mempertingkatkan kemudahan demi keselamatan semua pihak.

“Selain itu, nasihat perlu diberikan kepada pemilik treler yang sering meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana menyusahkan pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Unit Gerak Cepat Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Zubaidah Hanoom Mohd Yusof berkata, MPSPK menerima aduan terbabit dan telah merujuk kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk
tindakan selanjutnya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/warga-emas-dilanggar-lori-elak-lubang-1.101988



Kru Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) nyaris maut


7 November 2012
PETALING JAYA: Tujuh kakitangan Media Prima Berhad hampir maut apabila van dinaiki mereka terbalik akibat dirempuh sebuah kenderaan serba guna (MPV) di simpang tiga Persiaran Bandar Utama, di sini pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 8.30 pagi itu, tiga daripada tujuh kru program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) berkenaan masing-masing patah kaki, patah pinggang dan hidung.


Ketika kejadian, semua krew terbabit baru saja keluar dari Sri Pentas menuju Lapangan Terbang Subang untuk ke Langkawi bagi menjalankan penggambaran.

Bagaimanapun, ketika melalui persimpangan lampu isyarat, kenderaan yang mereka naiki dirempuh dari arah bertentangan lalu terbalik.

Pemandu MPV itu melanggar tiang lampu isyarat sebelum merempuh van berkenaan.

Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba lima minit kemudian membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Kesemua mereka dibawa ke hospital berdekatan.


Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/2012110701533720121107015337/Article/index_html
tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/7_Kakitangan_MPB_Cedera_Kemalangan_Van.html



Maut dirempuh Toyota Camry


7 November 2012
KUALA SELANGOR - Tidak sampai tempoh 24 jam seorang pekerja kilang dilaporkan maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika cuba melintas pada 4 November lalu, seorang lagi wanita meninggal dunia dalam kejadian kemalangan berasingan, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Muhd Taib Ahmad berkata, dalam kejadian pertama membabitkan seorang pekerja kilang di Sungai Sembilang, dekat sini yang sedang melintas jalan dengan memimpin basikalnya sebelum dilanggar sebuah kereta.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, R Rajamanickam, 51, yang keluar dari deretan kedai berhampiran kedai kopi di KM27 Jalan Klang-Teluk Intan dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Camry yang datang dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri jalan dan dilaporkan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian manakala pemandu kereta, seorang lelaki berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan dan difahamkan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Klang Utara sejurus kejadian.

“Merujuk laporan pemandu kereta terdapat, dia dikatakan gagal mengelak mangsa yang juga warganegara India sedang melintas gara-gara keadaan jalan yang gelap. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat dan mayat sudah dituntut rakan sekerjanya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Sementara itu katanya, kejadian kemalangan kedua pula membabitkan pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya di Jalan Persiaran Enam, Puncak Alam kira-kira jam 9 malam dan masuk ke laluan bertentangan.

“Pemandu Perodua Myvi itu dikatakan gagal mengelak dan dipercayai berlanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga individu yang ketika itu berada di laluan bertentangan dari arah Puncak Alam menuju ke arah Shah Alam.

“Akibat pelanggaran secara berdepan itu, pemandu dan dua penumpang Perodua Viva tersepit hampir 15 minit sebelum dikeluarkan anggota bomba, bagaimanapun penumpang sebelah pemandu, Hafizah Said, 36 dilaporkan mengalami kecederaan di kepala maut di tempat kejadian.

“Dua lagi dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut manakala pemandu Perodua Myvi yang dipercayai penuntut institusi pengajian tinggi awam turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/dua-maut-dalam-tempoh-24-jam-1.101648


Dua rakan sekerja maut dirempuh Kancil



Inalillahi wainailaihi rojiun

7 November 2012
SERI KEMBANGAN – Rutin dua rakan sekerja memulakan tugas mereka awal pagi kelmarin berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dalam satu kemalangan di Jalan Besar Bandar Putra Permai, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan selesai membeli barang di Serdang dan dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Bandar Putra Permai.

Ketika berada di sebuah selekoh berdekatan Taman Universiti Indah, kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kereta dinaiki mangsa itu merempuh sebuah lori yang datang dari arah Puchong menyebabkan salah seorang daripadanya tercampak keluar dari kenderaan.

Menurutnya, seorang lagi mangsa tersepit di dalam kereta dan meninggal serta-merta di tempat kejadian.

“Mangsa Nik Faezudin Ali (18) yang memandu kenderaan dan rakan sekerjanya Mohamad Noor Hafizul Hakimim Mohd Roni (19), yang duduk di bahagian penumpang maut akibat pendarahan yang serius.

“Mayat kedua-duanya di bawah ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, sebelum dituntut keluarga masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Inspektor Mohd Alfian Mohd Zainal di talian 03-80742222 untuk membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/dua-rakan-sekerja-maut-1.101653


Lori tembikar terjunam


7 November 2012
LEMBAH BERINGIN - Seorang pemandu bersama kelindannya cedera setelah lori muatan tembikar dinaiki terjunam ke  gaung sedalam kira-kira 50 meter dipercayai akibat dilanggar sebuah lori muatan penyaman udara yang datang dari arah belakang.

Kejadian kira-kira jam 11.50 pagi semalam itu berlaku di Kilometer 409.3 Lebuh Raya Utara Selatan di susur keluar Plaza Tol Lembah Beringin.

Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, kedua-dua mangsa terbabit terselamat dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Kemalangan melibatkan dua buah lori (yang masing-masing datang dari arah Ipoh menghala Kuala Lumpur).

“Lori dinaiki mangsa terjatuh ke dalam gaung namun terselamat dan hanya cedera ringan tapi dibawa oleh ambulan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, pemandu lori muatan pendingin hawa itu telah membuat laporan polis dan siasatan mengenai punca sebenar kejadian masih diteruskan.

Sementara itu, pemandu lori terbabit yang dikenali sebagai Fadil, 29, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan daripada Juru menuju Shah Alam.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian keadaan seperti tidak disedari dan terus berlaku.

“Saya tak tahu sama ada lori di depan tiba-tiba perlahan atau saya laju.

“Saya terlanggar lori tersebut menyebabkan mereka terbabas dan terjatuh manakala lori saya turut terlanggar besi pengadang jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Fadil yang tidak mengalami sebarang kecederaan berkata, dia membawa muatan alat pendingin hawa kenderaan dan menuju ke kilang di Shah Alam.

Sementara, lori mangsa yang terjunam dipercayai membawa muatan pasu tembikar.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-kelindan-cedera-lori-jatuh-gaung-1.101540


2 kemalangan maut di Kemaman


Inalillahi wainailaihi rojiun

7 November 2012
KEMAMAN – Dua lelaki maut, sementara seorang lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan melibatkan kereta, van dan motosikal di Geliga, Chukai dan Perasing Jaya, Air
Putih, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam di Kilometer 157.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berdekatan Taman Intan Geliga Besar, Mohd Nordin Mustaffa, 62, maut serta-merta di tempat kejadian setelah kepalanya pecah menyebabkan sedikit cebisan otak bertaburan atas jalan.

Sementara seorang penunggang motosikal, Suhaimi Ibrahim, 22, mengalami kecederaan.

Lebih memilukan, kemalangan itu berlaku hanya beberapa meter di hadapan rumah mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori ketika mangsa berjalan kaki mahu menyeberang jalan sebelum dirempuh sebuah Proton Wira.

Mangsa tercampak ke kiri jalan dan diseret sejauh 11 meter oleh sebuah van yang tidak sempat mengelak.

Suhaimi yang ditemui di tempat kejadian berkata, ketika nahas, dia yang dalam perjalanan dari arah Chukai ke Gebeng, Kuantan dan berada di belakang Proton Wira cuba mengelak selepas kereta terbabit membrek mengejut namun tetap terkena mangsa.

“Apabila saya cuba elak kereta, motosikal saya pula bergesel dengan sebuah van di belakang menyebabkan saya terjatuh atas jalan dan mengalami luka di tangan dan kaki,” katanya yang menetap di Bandar Seri Bandi, Kijal dan bekerja sebagai buruh.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga kira-kira jam 10 malam.

“Setakat ini pemandu van tampil membuat laporan namun pemandu kereta masih lagi belum berbuat demikian.

"Kita minta pemandu berkenaan membuat laporan. Saksi kejadian juga diharap dapat menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik menerusi talian 0199517344 untuk membantu siasatan kes,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan, seorang buruh binaan di projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) warga Bangladesh, Masum, 35, meninggal dunia di tempat kejadian di Kilometer 175.3 Jalan Jerangau-Jabor, dekat simpang tiga Perasing Jaya.

Difahamkan mangsa menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar untuk ke kedai membeli makanan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda Accord ketika mahu menyeberang jalan selepas keluar dari simpang Kuari Bukit Ketam.

Che Suza berkata, kereta terbabit dinaiki tiga beranak yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dan ketika tiba di lokasi kejadian, tidak sempat mengelak kerana motosikal keluar dari simpang secara tiba-tiba.

Menurutnya, mangsa bersama motosikal tercampak atas jalan, manakala kereta terbabit nyaris masuk ke laluan bertentangan dan tiga beranak berkenaan tidak cedera.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/cebisan-otak-bertaburan-1.101611


Monday, November 5, 2012

Penunggang Yamaha LC Maut Kemalangan



6 November 2012
BUKIT BERUNTUNG - Seorang penunggang motosikal maut akibat tercampak daripada motosikalnya setelah dipercayai bergesel dengan kenderaan lain di Kilometer 429 Lebuh Raya Utara Selatan arah Kuala Lumpur selepas susur masuk Plaza Tol Bukit Beruntung di sini awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mangsa dikenali sebagai M Velayutham, 46, menunggang motosikal jenis Yamaha LC seorang diri dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila motosikal mangsa yang datang dari arah Ipoh dipercayai bergesel dengan kenderaan lain menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu tercampak ke lorong laju.

“Manakala motosikal mangsa terseret ke lorong kecemasan. Mangsa maut serta merta,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) dan bedah sisasat mendapati mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, menurut beberapa pengguna yang melalui kawasan berkenaan, kemungkinan mangsa digilis kerana kebanyakan kenderaan yang mengekori mangsa di belakang tidak sempat mengelak.

Malangnya, kenderaan terbabit tidak berhenti sebaliknya meninggalkan tempat kejadian.

Kemalangan turut menyebabkan laluan paling kanan ditutup kira-kira sejam bagaimanapun keadaan trafik terkawal.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/maut-tercampak-1.101186
tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Maut_Digilis_Pelbagai_Kenderaan.html


Bas ekspres rempuh lori tanah

5 November 2012
Kampar: Enam penumpang bas ekspres cedera selepas kenderaan itu merempuh sebuah lori di Kilometer 305 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, awal pagi semalam.

Kejadian jam 5.30 pagi itu kemalangan ketiga di kawasan berkenaan dalam tempoh empat hari dan selang sehari selepas pacuan empat roda dipandu seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian remuk teruk merempuh treler di kawasan berbukit berhampiran tempat sama.

Bas bawa 15 penumpang

Kemalangan semalam membabitkan bas ekspres membawa 15 penumpang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Ipoh yang gagal mengelak sebuah treler membawa muatan tanah ketika mendaki bukit lalu merempuh belakang lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata pemandu lori berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala semua penumpang yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

“Siasatan awal mendapati laluan berkenaan gelap kerana tiada lampu jalan selain jalan yang menaiki bukit,” katanya, di sini semalam.

Khamis lalu, sebuah bas ekspres merempuh belakang lori tangki penuh muatan susu getah sebelum menyeret kenderaan itu sejauh 200 meter di Kilometer 307, berhampiran laluan sama.

Kejadian jam 11 malam itu menyebabkan pemandu kedua bas ekspres cedera di kaki dan terpaksa dikeluarkan melalui pintu kecemasan belakang.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin pula, jurutera JPS Kerian, Hidzrami Shamsul Anwar, 48, menerima 11 jahitan selepas Toyota Fortuner dipandunya merempuh treler.

*Gambar
*Gambar

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/6cederabasrempuhlori/Article

Sunday, November 4, 2012

Padah langgar lampu isyarat

5 November 2012
ALOR GAJAH - Dua lelaki cedera selepas kenderaan dinaiki masing-masing berlanggar di Lebuh Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) persimpangan lampu isyarat Taman Mutiara, dekat sini awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, P Elangkeswaran, 26, dari arah Kelemak ke Pengkalan melanggar lampu isyarat merah sebelum bergesel dengan sebuah Perodua Myvi dari arah Simpang Ampat.

Sumber berkata, kira-kira jam 3 pagi mangsa diekori dua kereta peronda polis di sekitar persimpangan lampu isyarat Kelemak selepas dilihat menunggang dalam keadaan mencurigakan.

“Polis menahan mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.

“Motosikal mangsa juga dipercayai berlanggar dengan Perodua Myvi dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an,” katanya.

Sumber berkata, akibat perlanggaran itu mangsa bersama motosikalnya tercampak ke tengah jalan.

“Terdapat juga sebuah kereta Honda dari bandar Melaka ke Simpang Ampat terbabas selepas mengelak dari merempuh mangsa,” katanya.

“Orang awam membantu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang tiba tidak lama kemudian dan memberi rawatan awal kepada mangsa yang separuh sedar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Saiful Nazmi Said berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama tiga anggota.

“Setiba di lokasi kejadian mendapati mangsa terduduk di pembahagi persimpangan dalam keadaan separuh sedar dan mengalami kecederaan ringan pada anggota badan,” katanya.

Menurutnya, anggota JPAM memberikan rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Alor Gajah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-cedera-motor-bertembung-kereta-1.100989


Budak lima tahun maut kemalangan



5 November 2012
ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama bapa saudaranya terbabas merempuh sebatang pokok di jalan baru Solok Duku-Tanjung Bidara, dekat sini lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, Jacqzent Cena Alexius, 5, menaiki kereta Proton Wira dipandu bapa saudaranya, Suliano Gagarin, 28, dari arah pekan Masjid Tanah ke Kem Terendak.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Rumah Awam Tanjung Bidara dari sebuah klinik sebelum kereta dinaiki hilang kawalan dan terbabas ke kiri merempuh sebatang pokok sena.

Saksi, Mohd Nizam Man, 16, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di sebuah kedai makan berdekatan sebelum terdengar bunyi seretan brek disusuli dentuman kuat.

Menurutnya, dia lihat bahagian enjin kereta berkenaan mengeluarkan asap dan kedua-dua mangsa masih berada di dalam kereta.

“Saya bersama beberapa pengguna jalan raya membantu mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit.

“Orang awam segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah yang tiba tidak lama kemudian bagi menyelamatkan mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Bapa mangsa, Alexius Julianos, 29, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sepupunya sementara anak sulungnya daripada dua beradik itu mengikut bapa saudaranya ke klinik di Masjid Tanah.

“Saya mengizinkan anak mengikut sepupu saya ke klinik pada petang itu sebelum menerima panggilan memaklumkan kedua mereka terbabit kemalangan tanpa mengetahui keadaan anak saya yang tidak sedarkan diri,” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, PBK 2 Zainuddin Joned berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.41 petang dan seramai lima anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, kaki pemandu kereta tersepit di bahagian pedal minyak dan bomba terpaksa merenggangkan bahagian berkenaan untuk mengeluarkan mangsa yang mengambil masa kurang 20 minit.

“Kanak-kanak terbabit tidak tersepit namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa keluar untuk menjalani pemeriksaan awal di tempat kejadian,” katanya di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan membabitkan kematian seorang kanak-kanak lelaki di jalan baru Tanjung Bidara-Solok Duku.

“Mangsa maut di tempat kejadian dan dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/budak-lima-tahun-maut-1.100901



Isteri Parah Suami dan Anak Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

5 November 2012
TELOK PANGLIMA GARANG - Seorang lelaki dan anaknya maut manakala isterinya cedera parah pada bahagian kepala selepas kereta jenis Wira Aeroback dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang terbabas dari arah bertentangan berhampiran Balai Polis Telok Panglima Garang di Kilometer 16, Jalan Klang-Banting, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa, Azhar Mohamad Jafar, 40, dan anaknya meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika hujan lebat apabila pemandu yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari arah Klang menuju ke Banting tidak dapat mengawal kenderaan di selekoh akibat hujan lebat.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu terbabit terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan sebuah  kenderaan Wira Aeroback yang cuba mengelak terbabit dalam kemalangan.

“Pada masa sama, sebuah kereta lain dipandu oleh pasangan suami isteri turut merempuh bahagian belakang kereta mangsa,” katanya.

Isteri Azhar dan pasangan suami isteri terbabit masih lagi dirawat di HTAR akibat cedera parah.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan kejadian itu dan memberitahu bahawa punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/dua-beranak-maut-isteri-parah-kemalangan-1.100892



Proton Satria bertembung Proton Persona



5 November 2012 
MARANG – Bapa tiga anak cemas, sementara pasangan suami isteri dipercayai parah selepas terlibat dalam kemalangan di selekoh berhampiran Telekom Malaysia (TM) dekat Sungai Kerak di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Proton Persona dipandu bapa tiga anak terbabit, Aziz Awang, 49, dalam perjalanan menuju ke Bandar Marang, manakala Proton Satria dipandu Mohd Sharizan Mat Zain, 26 bersama isterinya, Norhalisa Kartini Wahid, 24, dalam perjalanan ke Gong Nangka dari Bandar Marang.

Aziz berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Mohd Sharizan tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas di laluan bertentangan menyebabkan dia juga gagal untuk mengawal kenderaannya lalu terlanggar bahagian kiri kereta terbabit.

Proton Satria berkenaan dipandu laju dan tiba-tiba ia berada di laluan bertentangan menyebabkan saya gagal mengawal kenderaan lalu terlanggar sebelum ia terbabas ke tepi jalan,” katanya.

Akibat pelanggaran tersebut, Mohd Sharizan dan pasangannya cedera parah.

Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Marang yang tiba di tempat kejadian juga terpaksa mengeluarkan Norhalisa yang tersepit.

Kedua-duanya dibawa ke Klinik Kesihatan Marang sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Sementara itu, Aziz yang turut dikejarkan ke HSNZ ketika dihubungi berkata, dia masih trauma tetapi hanya mengalami kecederaan ringan, manakala isterinya, Norizam Muhamad, 44, ketika ditemui bersyukur kerana suaminya itu terselamat.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/kereta-hilang-kawalan-1.100964



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount