loading...

Sunday, November 4, 2012

Budak lima tahun maut kemalangan



5 November 2012
ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama bapa saudaranya terbabas merempuh sebatang pokok di jalan baru Solok Duku-Tanjung Bidara, dekat sini lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, Jacqzent Cena Alexius, 5, menaiki kereta Proton Wira dipandu bapa saudaranya, Suliano Gagarin, 28, dari arah pekan Masjid Tanah ke Kem Terendak.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Rumah Awam Tanjung Bidara dari sebuah klinik sebelum kereta dinaiki hilang kawalan dan terbabas ke kiri merempuh sebatang pokok sena.

Saksi, Mohd Nizam Man, 16, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di sebuah kedai makan berdekatan sebelum terdengar bunyi seretan brek disusuli dentuman kuat.

Menurutnya, dia lihat bahagian enjin kereta berkenaan mengeluarkan asap dan kedua-dua mangsa masih berada di dalam kereta.

“Saya bersama beberapa pengguna jalan raya membantu mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit.

“Orang awam segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah yang tiba tidak lama kemudian bagi menyelamatkan mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Bapa mangsa, Alexius Julianos, 29, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sepupunya sementara anak sulungnya daripada dua beradik itu mengikut bapa saudaranya ke klinik di Masjid Tanah.

“Saya mengizinkan anak mengikut sepupu saya ke klinik pada petang itu sebelum menerima panggilan memaklumkan kedua mereka terbabit kemalangan tanpa mengetahui keadaan anak saya yang tidak sedarkan diri,” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, PBK 2 Zainuddin Joned berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.41 petang dan seramai lima anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, kaki pemandu kereta tersepit di bahagian pedal minyak dan bomba terpaksa merenggangkan bahagian berkenaan untuk mengeluarkan mangsa yang mengambil masa kurang 20 minit.

“Kanak-kanak terbabit tidak tersepit namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa keluar untuk menjalani pemeriksaan awal di tempat kejadian,” katanya di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan membabitkan kematian seorang kanak-kanak lelaki di jalan baru Tanjung Bidara-Solok Duku.

“Mangsa maut di tempat kejadian dan dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/budak-lima-tahun-maut-1.100901



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my