loading...

Saturday, August 13, 2011

Sebulan tiga kemalangan

KUALA KANGSAR - Dalam tempoh satu bulan, tiga kemalangan termasuk melibatkan kecederaan parah berlaku di simpang tiga, Kampung Stesyen, di sini dan keadaan itu kini semakin membimbangkan penduduk.

Penduduk mendakwa kejadian kemalangan kerap berlaku sejak jalan utama di kawasan itu dikecilkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan landasan kereta api berkembar.

Wakil penduduk, Teng Kok Weng berkata, kebanyakan kemalangan melibatkan kereta dan motosikal kerana pengguna tidak berhati-hati ketika melalui satu simpang lencongan di situ.

Menurutnya, jika tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berwajib ia dikhuatiri boleh menyebabkan kejadian lebih teruk.

“Kelmarin, seorang remaja patah tangan apabila bertembung dengan sebuah kereta ketika melalui kawasan itu.

“Kawasan ini memang bahaya, pemandu kereta dari arah Kuala Kangsar tidak dapat melihat kehadiran motosikal atau kenderaan dari arah hadapan ketika memasuki simpang kerana ia terlindung oleh sebuah pondok pencawang telefon yang berada di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan wakil UMNO Padang Rengas, di sini, kelmarin.

Katanya, sebelum ini, jalan utama lebih lebar namun kerana pembinaan projek landasan kereta api ia terpaksa dipindahkan ke bahagian tepi.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan kami berharap tindakan selanjutnya akan diambil dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Padang Rengas, Hamdan Mat Siat berkata, tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, kebanyakan kenderaan yang melalui kawasan itu tidak berhati-hati dan memandu laju, maka tindakan akan diambil bagi mengelakkan keadaan bahaya berterusan.

“Tindakan membina bonggol sebelum memasuki simpang lencongan boleh diambil supaya pemandu akan memperlahankan kenderaan dan lebih peka jika ada pengguna lain dari arah hadapan.

“Jalan juga akan dilebarkan supaya risiko kemalangan lebih rendah, sekali gus memberi lebih jaminan keselamatan kepada penduduk,” katanya.

Sumber: SH

Maut Pulang Membeli Juadah Puasa

 Oleh AZELI ALI

 Al-Fatihah...

KEPALA BATAS 12 Ogos – Hasrat dua beradik untuk berbuka puasa bersama adik bongsu yang pulang bercuti dari Johor tidak kesampaian apabila mereka terbunuh dalam nahas di Kampung Permatang Binjai dekat sini selepas membeli juadah berbuka puasa, petang semalam.

Norhashimah Hashim, 44, bersama adiknya, Normadiah, 38, dan menantu Norhashimah, Shamsul Kamal Razali, 38, maut selepas kereta Proton Wira yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner di persimpangan lampu isyarat kira-kira pukul 6.45 petang.

Anak tunggal Norhashimah, Siti Suraya Mansor, 23, yang juga isteri Shamsul Kamal dan sepupunya, Mohd. Firdaus Azlan, 10, cedera parah dan masing-masing dirawat di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketika kejadian, kereta yang dinaiki mereka berlima dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bakar Kapor dekat Penaga selepas membeli juadah di Bazar Ramadan Maklom sebelum dirempuh Fortuner itu yang datang dari arah Butterworth menghala ke Tasek Gelugor.
 
Menurut adik bongsu mangsa, Ismail Hashim, 26, dia sebelum itu turut bersama-sama Norhashimah ke bazar Ramadan tersebut tetapi pulang awal menaiki kereta lain bersama isteri dan seorang lagi kakaknya, Norlia yang juga ibu Mohd. Firdaus.

“Selepas beli beberapa juadah, saya balik dulu dan menunggu mereka di rumah tetapi sehingga waktu berbuka, kelibat mereka tidak kelihatan sebelum mendapat panggilan kira-kira pukul 8 malam yang mereka terbabit kemalangan.

“Memang terkejut sangat sebab tak sangka boleh jadi macam ini ketika mereka berdua beria-ia nak berbuka puasa dengan saya sekeluarga,” katanya ketika ditemui di HSJ di sini, malam tadi.

Tambah Ismail, dia yang bekerja di Mersing, Johor pulang bercuti selama seminggu di kampung manakala Suraya yang tinggal di Baling, Kedah bersama suaminya turut pulang untuk berbuka puasa bersama-sama.
Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.


 Jenazah Norhashimah dan Normadiah dikebumikan pukul 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Bakar Kapor manakala jenazah Shamsul dibawa pulang ke kampung halamannya di Kupang, Baling.
Pemandu Fortuner terbabit yang berusia 49 tahun turut mengalami cedera parah dan kini dirawat di HSJ manakala isteri dan dua anaknya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Suhami Md. Nor berkata, SUV itu dipercayai dipandu laju dan memotong beberapa kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat selain melanggar lampu merah.

“Ketika itu kereta Proton Wira yang dipandu Suraya melepasi persimpangan itu dan terus dirempuh Fortuner lalu SUV itu terbalik,” katanya.

Beliau meminta pihak yang menyaksikan kemalangan itu supaya membuat laporan atau hubungi 04-5741427.

Sumber: Utusan
              nst

Bas Ekspres Terbabas ke Parit


LIPIS - 29 penumpang bas ekspres yang kebanyakan sedang lena selepas selesai bersahur di sebuah hentian rehat dikejutkan dengan nahas yang hampir meragut nyawa mereka.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, sebuah bas ekspres yang membawa 29 penumpang itu terbabas sebelum memasuki longkang di Kilometer 5, Jalan Kuala Lipis- Benta di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Abdul Razak Hassan berkata, bas ekspres berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur sebelum terbalik di laluan itu pagi semalam.

“Siasatan awal dijalankan mendapati, kejadian kemalangan berkenaan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaan.

“Akibatnya, bas ekspres yang membawa 29 penumpang termasuk lima orang pelajar berkenaan terbabas sebelum terbalik dan memasuki parit,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Abdul Razak berkata, tiga daripada 29 penumpang bas itu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Lipis.

“Saksi kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, Inspektor Johnny Anak James Bujang , di talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Abdul Razak berkata, pemandu bas diminta mematuhi peraturan pemanduan dan tidak mengejar masa untuk sampai ke sesuatu destinasi.

“Sikap pemandu bas yang suka tentukan masa untuk sampai ke destinasi yang dituju menjadi salah satu punca kemalangan berlaku.

“Mereka perlu memahami jumlah kenderaan yang semakin bertambah menjadi salah satu sebab berlaku kesesakan di atas jalan raya terutama ketika menjelang musim perayaan,” katanya.

Abdul Razak berkata, para pemandu bas juga perlu membuat persiapan dari segi fizikal dan mental sebelum memulakan perjalanan yang jauh.

Sumber: SH

Friday, August 12, 2011

Rentung Akibat Curi Petrol


KANGAR – Taktik seorang penyeludup mengambil kesempatan waktu orang ramai sibuk bersembahyang tarawih untuk mengisi lebih petrol dalam kereta yang diubahsuai untuk menyeludup terbongkar apabila dia terlanggar kereta salah seorang jemaah di Kilometer 2, Jalan Kangar-Padang Besar malam kelmarin.

Kejadian berlaku pada pukul 9.40 malam apabila kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipandu penyeludup berkenaan dipercayai baru keluar dari stesen minyak berhampiran telah terlanggar sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan di tepi jalan.

Ketua Polis daerah, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, perlanggaran tersebut mencetuskan kebakaran sehingga kereta penyeludup terbabit rentung manakala kenderaan jemaah tarawih itu hanya mengalami kerosakan kecil.

“Kereta milik jemaah terbabit tidak terbakar kecuali mengalami kecairan cat di belakang kereta akibat terkena haba api selain kemek di bonet dan lampu belakang pecah.

“Tindakan penyeludup terbabit membuat tangki tambahan di bahagian bonet hingga sarat dengan petrol memudahkan kenderaan tersebut terbakar,” katanya di sini semalam.

Katanya, kemalangan berlaku di jalan besar berhampiran masjid dan tiga buah stesen minyak.-kosmo

Sumber: Kosmo

Thursday, August 11, 2011

Dibelasah Mat Motor

ALOR GAJAH - Niat seorang lelaki turun dari kereta untuk membantu mangsa kemalangan selepas dia merempuh sebuah motosikal dinaiki empat sekeluarga terbantut apabila dia dipukul sekumpulan remaja di Jalan Lubok Redan - Paya Mengkuang, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, Muhammad Irfan Abdullah, 29, memandu kereta jenis Perodua Viva berseorangan dari arah Kuala Sungai Baru menuju ke Paya Mengkuang merempuh sebuah motosikal yang membelok masuk ke simpang sebelah kanan.

Difahamkan motosikal jenis Honda EX5 dinaiki, Anuar Mohd Yusof, 45, bersama isteri, Masni Abd Ghani, 35, dan dua anak, Hakimi Adib, 7, dan Siti Humairah, 19 bulan, dari arah Paya Mengkuah dalam perjalanan ke rumah mereka.

Ketika kejadian, Anuar yang menunggang motosikal dikatakan sudah memberi lampu isyarat ke sebelah kanan untuk membelok.

Muhammad Irfan berkata, dia dalam perjalanan pulang ke tempatnya di Kem Terendak, Tanjung Bidara selepas mengisi minyak di pekan berkenaan dan gagal mengawal kenderaan sebaik melihat motosikal terbabit membelok ke simpang sebelah kanan.

Menurutnya, dia terpaksa merempuh motosikal itu sehingga terseret kira-kira 10 meter.

“Saya terus memberhentikan kereta dan turun membantu mereka. Namun, tiba-tiba saya ditumbuk seorang lelaki sebelum datang lagi beberapa lelaki lain yang turut memukul saya sehingga mengalami kecederaan di badan dan muka.

“Mujur ada sebuah kereta berhenti dan membantu saya dari terus dipukul sementara ada penduduk di situ membantu menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan laporan kemalangan membabitkan empat sekeluarga yang patah kaki dan tangan serta mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Manakala kes membabitkan anggota tentera yang dipukul ketika cuba membantu mangsa terbabit kemalangan memang agak keterlaluan dan pihak polis akan menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan kes jenayah,” katanya.

Sumber: SH

Kancil Rempuh Iswara dan Van Hingga Rentung


JERANTUT – Seorang wanita cedera parah apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan dua lagi kenderaan lain di Kilometer 4 Jalan Jerantut-Temerloh kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kancil memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta Proton Iswara seterusnya melanggar sebuah van muatan mi basah.

Mangsa, Nik Salmi Firdaus Nik Mohd Suhaimi, 29, kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Bagaimanapun, pemandu van, Eng Kuan Tong, 60, tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Proton Iswara, Mohd Azmi Abu Bakar, 34, cedera di bahagian dahi dan menerima satu jahitan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, DSP Zakaria Kassim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, dalam kejadian itu, kereta dipandu mangsa terbakar sejurus selepas bertembung.

“Laluan Jerantut-Temerloh antara yang kerap mencatatkan kemalangan walaupun keadaan jalan lurus, justeru pengguna jalan utama ini diharap supaya tingkatkan tahap keselamatan ketika memandu.

“Selain itu, penjagaan sistem keselamatan kenderaan seperti brek, pemakaian tali pinggang keledar dan menjaga jarak pemanduan dengan kenderaan lain antara yang perlu dilakukan untuk mengelakkan insiden malang terjadi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
              Utusan 




Lori Rempuh Tiang Elektirk Elak Motosikal


KAMPUNG BUKIT DIMAN - Gara-gara mengelak sebuah motosikal yang secara tiba-tiba melintasi jalan dari arah kaki lima kanan jalan, seorang pemandu dan kelindan lori menghadapi detik mencemaskan apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik, di Kilometer (KM) 35 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, kelindan lori terbabit, Nor Hamizan Husin, 42, dari Kampung Batang Gergaji, Besut dan pemandu yang hanya dikenali sebagai Razali, 45, tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kenderaan dinaiki mereka remuk pada bahagian hadapan.

Difahamkan, sebelum itu, terdapat seorang penunggang motosikal di kaki lima jalan sebelah kanan berhampiran sebuah kedai runcit dan sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba dia dikatakan melintas menyebabkan lori dari arah Ajil-Bukit Besi yang membawa muatan berisi sayur-sayuran itu terpaksa mengelak, menyebabkan ia terbabas.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Nor Hamizan berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan tanpa sedar, lori dinaikinya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan itu sudah pun merempuh tiang elektrik sehingga patah dua serta terbalik.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya sewaktu kejadian itu selain turut terfikir lori akan terbalik, namun syukur tiada sebarang kecederaan yang kami alami. Kami juga bersyukur kerana tidak kena serpihan kaca.

“Jika kami tidak mengelak, mungkin kemalangan akan menjadi lebih serius termasuklah turut merempuh penunggang motosikal tersebut ataupun lori terbalik, apatah lagi sering berlaku lori biasanya akan terbalik kalau terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Menurutnya, sejak melalui laluan itu kira-kira enam tahun lalu sebagai pemborong untuk menghantar sayur-sayuran kepada pelanggan di Kuantan, ini kejadian pertama dialaminya dan biarpun tidak serius, tetapi ia benar-benar mencemaskannya.

“Saya bertolak dari Kota Bharu selepas selesai mengambil sayur-sayuran di pasar borong di sana selepas solat Subuh dan sepatutnya akan sampai di Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari, tetapi hari ini pastinya kami akan sampai lewat petang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di lokasi kejadian petang kelmarin.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu, sebanyak dua kali dia akan berulang-alik dari Kuantan ke Kota Bharu untuk mengambil bekalan sayur-sayuran untuk pasaran sekitar bandar Kuantan dan dia juga kini menetap di Kuantan, Pahang.

Sumber: SH

Lori Perabot Terbabas


MARANG - Beratus-ratus bungkusan perabot pasang siap bertaburan di atas jalan apabila sebuah treler yang sarat membawa muatan barangan itu terbabas, lalu terbalik di satu selekoh di Kampung Bukit Jetit, dekat Gong Beris di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu dipercayai berlaku apabila pemandu treler berumur awal 30-an yang dalam perjalanan dari arah Wakaf Tapai ke Marang, terbabas ke kanan jalan selepas mengambil selekoh dalam keadaan jalan licin akibat hujan lebat.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang, PBK 2 Nik Mat Ali berkata, berikutan itu, lori terbabit terbabas ke kanan jalan lalu terbalik dan mengakibatkan ratusan bungkusan perabot pasang siap yang dibawa kenderaan itu bertaburan di atas jalan.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.15 dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

“Dengan bantuan penduduk, kami berjaya menyekat orang ramai daripada mengambil bungkusan perabot pasang siap itu,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Nik Mat berkata, wakil majikan pemandu terbabit dari Gong Badak, Kuala Terengganu kemudiannya datang dan mengambil masa lebih sejam untuk memindahkan bungkusan perabot ke kenderaan lain.

“Bagaimanapun, kemalangan itu tidak mengakibatkan kesesakan kerana bukan di laluan utama.

“Manakala, pemandu treler terbabit dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas dikeluarkan dari treler,” katanya mengetuai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang.

Difahamkan, pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Merchang untuk berbuka puasa sebelum kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Sumber:SH

Wednesday, August 10, 2011

Van Rempuh Surau



MUAR – Seorang lelaki berusia 40-an nyaris maut apabila van yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah surau di Parit Besar, Jalan Abdul Rahman di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, surau tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian tembok hadapan.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila van berkenaan hilang kawalan selepas melanggar belakang sebuah kereta daripada arah yang sama dari Muar menghala ke Parit Jawa.

Bagaimanapun pemandu van berkenaan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, mangsa, Hayani Halim, 41, yang merupakan seorang guru berkata, semasa kejadian dia berhenti seketika di persimpangan jalan tersebut untuk membelok ke rumah di Lorong Maisarah, Parit Besar, Jalan Abdul Rahman.

Menurutnya, belum sempat dia membelok di persimpangan berkenaan secara tiba-tiba belakang keretanya dirempuh kuat oleh sebuah van dari arah belakang.

“Akibat rempuhan ini kereta saya terbabas dan memasuki laluan arah bertentangan.

“Saya dalam perjalanan pulang dari sekolah bersama anak, Adam Nazhan Mohd Ali, 7,” katanya yang bersyukur terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, Hayani yang masih trauma dengan insiden yang berlaku berkata, dia sangat bersyukur kerana semasa kejadian seorang lagi anaknya yang masih bayi tiada bersama dengannya kerana belum diambil pulang dari rumah pengasuh.

Sumber: SH

Hancur Kepala Pegawai Keselamatan


GOMBAK – Hasrat seorang pegawai keselamatan ke tempat kerja untuk menunaikan rutin hariannya tidak kesampaian dan berakhir tragedi apabila sebahagian kepalanya hancur digilis sebuah lori pagi, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa, Ahmadi Hamid, 49, dikatakan menunggang motosikal bersendirian dari arah Batu 9, Jalan Gombak Lama menghala ke tempat kerjanya di Petaling Jaya.

Sumber polis berkata, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lori tanah yang datang dari arah bertentangan menyebabkannya hilang kawalan dan terjatuh.

“Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa yang tercampak beberapa meter dari motosikalnya gagal mengelak dan digilis kenderaan berat itu menyebabkan isi kepalanya terburai.

“Mangsa yang mengalami kecederaan serius di bahagian muka dan kepala meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih terus dijalankan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta memberi maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03-61262257 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sumber: SH

Tuesday, August 9, 2011

Kereta Rempuh Tadika Smart Stars


GOMBAK : “Syukur kerana kemalangan ini tidak membabitkan kehilangan nyawa. Selalunya, kami akan mengadakan perhimpunan di kawasan berkenaan,” kata guru besar Tadika Smart Stars , VR Ranee, 56, menceritakan kejadian sebuah kereta melanggar dinding tadika miliknya di Jalan 18, Taman Selayang, di sini, pagi semalam.

Sebelum itu, Perodua MyVi terbabit melanggar dua pelajar sekolah menengah yang melalui lorong di hadapan tadika berkenaan.

Katanya, selepas itu, kenderaan itu melanggar dinding tadikanya dan berlaku limpahan petrol sehingga mencetus kebimbangan berlakunya kebakaran. “Ketika itu, saya berada di dalam kawasan tadika dan beberapa pembantu saya membawa masuk murid yang dihantar ibu bapa kira-kira jam 7.20 pagi.

“Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat di depan tadika disusuli teriakan seorang wanita. Saya tergamam selepas melihat kereta itu melanggar dinding,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Beliau berkata, dia seperti hilang arah akibat takut dan ketika itu, dia hanya terfikir untuk mencari mangsa yang menjerit kesakitan di luar kawasan tadikanya.

Katanya, dia nampak seorang pelajar perempuan menangis kesakitan dan orang ramai menolong pelajar itu dan rakannya yang cedera ringan untuk dihantar ke Hospital Selayang.

“Saya bersyukur kerana tiada pelajar tadika atau orang lain parah dalam kemalangan itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata akibat kejadian itu, dua pelajar berusia 15 dan 17 tahun cedera ringan di kepala manakala pemandu berkenaan yang berusia 22 tahun cedera dan dirawat sebagai pesakit luar.

Sumber: Metro


Maut Pulang dari Makan Malam


ALOR GAJAH - Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Machap Umbo-Bukit Bulat, di sini, kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta Proton Iswara, S Selvalingam, 39, maut di tempat kejadian sementara dua rakannya, R Rajendra, 43, cedera di kepala manakala A Murugis, 44, turut cedera di kepala serta patah kaki kanan.

Difahamkan, ketika mangsa melalui satu selekoh, kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta Perodua Viva yang dipandu krew :penyiaran, Nor Jamilah Abdullah, 21, dalam perjalanan dari arah Hutan Perca menuju ke Alor Gajah.

Menurut Ketua Polis daerah Alor Gajah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata, mangsa bersama dua lagi rakannya dikatakan baru selesai menghadiri majlis makan malam di salah sebuah restoran berdekatan.

Katanya, mangsa maut merupakan duda yang baru kematian isteri sebulan lalu dan tinggal di Taman Merak Emas, Durian Tunggal bersama dua lagi mangsa, R Rajendra dan A Murugis.

“Siasatan awal polis mendapati, kereta Proton Iswara yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Viva.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5563222 untuk membantu siasatan.

“Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah manakala mangsa maut dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Daerah Alor Gajah berkata, sepuluh anggota dikejarkan ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kira-kira jam 9.55 malam. Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kurang dari lima minit.

Sumber: SH

Monday, August 8, 2011

Maut bersama kereta baru

 Al-Fatihah

KUALA TERENGGANU 8 Ogos - Impian seorang pemandu jentera berat untuk menyambut hari raya bersama keluarga dalam suasana lebih meriah dengan kereta yang baru dibelinya musnah apabila dia maut dalam nahas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang hari ini di Gemuruh dekat sini, kereta yang dipandu Abdullah Tahir, 55, terbabas ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori.

Mangsa yang dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk tersepit dalam kereta jenis Honda Civic yang remuk teruk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Abdullah dari Kampung Basung, Hulu Terengganu bersendirian ketika kejadian dan dipercayai dalam perjalanan dari Setiu menuju ke Kuala Terengganu.

Menurut seorang rakannya, mangsa mengeluarkan wang simpanannya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini untuk membeli kereta Honda Civic terpakai itu.

"Bagaimanapun, saya tidak menyangka dia akan meninggal dunia bersama kereta yang baru dibelinya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Dalam pada itu, pemandu lori, Azhan Mat Yusof, 36, yang terbabas ke bahagian kiri jalan akibat kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Azhan ketika ditemui berkata, dia menyalakan lampu tinggi dan membunyikan hon sebaik sahaja melihat Abdullah terbabas dan memasuki laluannya.

"Saya rasa dia mungkin tertidur kerana kereta yang dipandunya terus menuju ke arah lori saya dan saya hanya sempat elak sikit saja sebelum terbabas," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Sumber: Utusan


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my