loading...

Saturday, August 13, 2011

Sebulan tiga kemalangan

KUALA KANGSAR - Dalam tempoh satu bulan, tiga kemalangan termasuk melibatkan kecederaan parah berlaku di simpang tiga, Kampung Stesyen, di sini dan keadaan itu kini semakin membimbangkan penduduk.

Penduduk mendakwa kejadian kemalangan kerap berlaku sejak jalan utama di kawasan itu dikecilkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan landasan kereta api berkembar.

Wakil penduduk, Teng Kok Weng berkata, kebanyakan kemalangan melibatkan kereta dan motosikal kerana pengguna tidak berhati-hati ketika melalui satu simpang lencongan di situ.

Menurutnya, jika tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berwajib ia dikhuatiri boleh menyebabkan kejadian lebih teruk.

“Kelmarin, seorang remaja patah tangan apabila bertembung dengan sebuah kereta ketika melalui kawasan itu.

“Kawasan ini memang bahaya, pemandu kereta dari arah Kuala Kangsar tidak dapat melihat kehadiran motosikal atau kenderaan dari arah hadapan ketika memasuki simpang kerana ia terlindung oleh sebuah pondok pencawang telefon yang berada di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan wakil UMNO Padang Rengas, di sini, kelmarin.

Katanya, sebelum ini, jalan utama lebih lebar namun kerana pembinaan projek landasan kereta api ia terpaksa dipindahkan ke bahagian tepi.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan kami berharap tindakan selanjutnya akan diambil dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Padang Rengas, Hamdan Mat Siat berkata, tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, kebanyakan kenderaan yang melalui kawasan itu tidak berhati-hati dan memandu laju, maka tindakan akan diambil bagi mengelakkan keadaan bahaya berterusan.

“Tindakan membina bonggol sebelum memasuki simpang lencongan boleh diambil supaya pemandu akan memperlahankan kenderaan dan lebih peka jika ada pengguna lain dari arah hadapan.

“Jalan juga akan dilebarkan supaya risiko kemalangan lebih rendah, sekali gus memberi lebih jaminan keselamatan kepada penduduk,” katanya.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my