Friday, May 18, 2012

Angota JPJ Maut Kemalangan



Inalillahi wainailaihi rojiun   

ALOR SETAR – Niat seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah untuk melihat sepupunya yang terbabit dalam kemalangan tidak kesampaian­ apabila maut setelah kereta yang dinaikinya terbabas ke dalam longkang di Alor Pudak, Pendang di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Zahidatul Akmam Che Lah, 28, yang menaiki kereta Proton Wira bersama sepupunya, Mohd Haris Mohd Sobri, 17, dalam perjalanan menuju ke Alor Ponti untuk meninjau keadaan adik Mohd Haris, Mohd Hanif, 15, yang terlibat dalam kemalangan di situ.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala Mohd Haris pula mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ibu mangsa, Som Abd Ghani, 57, berkata, pada jam 7.30 pagi, mereka menerima berita mengenai kemalangan yang menimpa Mohd Hanif sewaktu dia sedang dalam perjalanan menaiki motosikal untuk ke tempat tuisyen di Tanah Merah, Pendang.

“Saya, suami Zahidatul Akmam, Ahmad Nazri Ismail, 29, serta ahli keluarga Mohd Hanif menaiki kereta berlainan untuk melihat keadaan Mohd Hanif.

“Anak saya serta Mohd Haris pula berada dalam kereta berasingan mengikut kereta kami dari belakang namun bila tiba di lokasi kemalangan di Alor Ponti, kereta yang dinaiki anak saya masih belum tiba,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di bilik mayat HSB.

Menurutnya, dia mula risau apabila Zahidatul Akmam yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu tidak menjawab panggilan telefon.

“Saya dan suaminya telefon mereka banyak kali namun tidak dijawab dan saya mula terasa ada sesuatu yang tidak elok berlaku.

“Telahan saya betul kerana tidak lama kemudian saya menerima berita mengenai kemalangan yang menimpa anak saya di Alor Pudak yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kemalangan yang menimpa Mohd Hanif,” katanya.

Katanya, dia masih terkejut dengan kejadian yang menimpa anaknya kerana tidak menyangka anaknya pula yang akan maut dalam kemalangan namun dia reda dengan apa yang berlaku.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/kakitangan-jpj-maut-kereta-terbabas-1.49299

Tiga Beranak Nyaris Maut


PEKAN - Sepasang suami isteri bersama seorang anak lelaki mereka berusia empat tahun nyaris maut apabila kereta yang dipandu terbabas ke bahagian kiri jalan dan terjunam ke tebing jalan kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Ahli keluarga mangsa, Sam Pas Long, 35, berkata, dia menerima panggilan daripada salah seorang ­kawannya memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Mohd Rizuan Abdullah, 23, bersama isteri dan anak mereka di Jalan Pekan-Chini, dekat sini.

Menurutnya, Rizuan bersama isteri yang hanya dikenali dengan nama Ema, 20, dan anak mereka, Mohd Iqbal sedang menuju ke Kuantan dari rumah mereka di Felda Chini Timur 3.

“Rizuan sekeluarga kini dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk mendapat rawatan lanjut akibat kecederaan yang dialami mereka.

“Isterinya mengalami ­kecederaan patah kaki manakala dia dan anak ­lelakinya mengalami ­kecederaan di ­bahagian kepala dan beberapa ­bahagian badan,” katanya.

Sam berkata, kereta jenis Honda Civic yang dinaiki Rizuan ­sekeluarga terbabas dan melanggar satu tiang elektrik konkrit sebelum menjunam ke tebing jalan berhampiran ladang kelapa sawit di sini.

“Saya dan ahli keluarga lain bersyukur kerana dia sekeluarga ­selamat dan hanya mengalami kecederaan ­ringan walaupun keadaan kereta ­mereka ­remuk teruk,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/tiga-beranak-selamat-daripada-maut-1.49248

Maut Tercampak 70 meter


Inalillahi wainailaihi rojiun   

JABI- Seorang penoreh getah maut setelah tercampak sejauh 79 meter sebelum terhempas di atas jalan akibat motosikal yang ditunggangnya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori dalam kejadian di pekan Jabi pagi semalam.

Akibatnya, kepala mangsa Che Abd Ghani Che Wel, 53, mengalamai kecederaan parah menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

Mangsa beralamat di Kampung Kerandang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Jertih untuk ke kebun getahnya di Kampung Pondok Nyamuk tidak jauh dari situ.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, motosikal mangsa diseret sejauh 256 meter oleh lori tersebut mengakibatkan motosikal itu terlekat pada tayar depan sebelah kiri lori sebelum pemandunya memberhentikan kenderaannya.

Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di muka, kepala dan meninggal dunia.

Arwah makan banyak: Isteri

“SEHARI sebelum kejadian arwah suami saya menunjukkan sedikit perubahan yang ketara apabila dia makan nasi lebih banyak daripada biasa,” kata isteri kedua Che Abd Ghani, Roslija Yusoff, 44, ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Besut, semalam.

Katanya, pada petang kelmarin suaminya makan nasi dalam jumlah banyak dan dia tidak pernah melihat arwah suaminya itu makan sebanyak itu sebelum ini.

“Saya masak tiga tin nasi dan dia hampir menghabiskan nasi itu selepas saya beritahu tidak mahu makan.

“Kemudian, arwah simpan segenggam nasi dan minta saya berikan nasi itu untuk diberikan kepada ayam peliharaan,” katanya yang tinggal di pekan Jabi.

Roslija berkata, arwah suaminya juga berkali-kali meminta maaf dengannya selain berubah sikap menjadi lebih ceria.


Biasa minum milo tetapi minta nescafe

“SIKAP arwah juga pelik apabila dia meminta untuk minum nescafe sedangkan sebelum ini dia minum milo sejurus arwah pulang ke rumah isteri pertamanya di Kampung Kerandang.

“Saya tidak menyangka perubahan tersebut petunjuk suami akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Roslija mengakui pemergian suaminya satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti kerana arwah seorang yang baik dan ringan tulang,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian, suaminya datang dari rumah madunya di Kampung Kerandang dan mahu menoreh getah dekat Pondok Nyamuk, Jabi.

“Kalau ikutkan simpang masuk ke Pondok Nyamuk hanya terletak beberapa meter sahaja lagi dari tempat dia dilanggar.

“Namun, arwah suami saya tidak sempat membelok kerana dia terlebih dahulu dilanggar lori itu,” katanya.


Tidak tolak kemungkinan pemandu lori mengantuk

SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa menunggang motosikal seorang diri dilanggar sebuah lori tanpa muatan dari arah sama.

“Pemandu lori berumur 27 tahun dan kelindannya berusia 22 tahun tidak me­ngalami kecederaan membuat lapo­ran di Balai Polis Trafik Daerah Besut,” katanya.

Kamaruddin berkata, polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk menjalankan saringan air kencing pemandu lori dan tidak menolak kemungkinan pemandu lori mengantuk.

Kata beliau, akibat rempu­han kuat itu pelana motosikal mangsa terlekat pada palang depan lori.

Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tercampak-79-meter-motosikal-dirempuh-lori-1.49217

Thursday, May 17, 2012

Kancil Diseret Treler 10 meter


SABAK BERNAM– Seorang pemuda maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya bertembung sebuah treler di Kilometer 62 Jalan Teluk Intan-Klang, dekat Parit Tujuh di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian itu sebuah treler muatan 400 unit TV LCD dari arah Sekinchan, masuk ke laluan bertentangan dan merempuh hadapan kereta mangsa.

Menurutnya, mangsa, Ng Chee Chang, 26, memandu berseorangan dari arah Sungai Besar menuju ke Sekinchan dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi berkenaan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, dipercayai, sebuah treler dari arah bertentangan yang dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Utara tiba-tiba masuk ke laluan mangsa menyebabkan berlaku pertembungan.

"Kereta yang dipandu mangsa kemudiannya terseret sejauh 10 meter sebelum terjunam ke dalam parit berhampiran yang dipenuhi air dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Difahamkan, mangsa yang tersepit berjaya di keluarkan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan kira-kira jam 7 pagi.

Mayat mangsa yang berasal dari Jalan Empat, Bagan Sungai Besar itu, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk bedah siasat dan sudah dituntut keluarganya untuk disemadikan.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah mati lemas dan dipercayai mangsa turut mengalami kecederaan organ dalaman.

Manakala pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 03-32242222.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/kancil-diseret-10-meter-1.48732

Wednesday, May 16, 2012

Mekanik Maut Uji Motor

KOTA KINABALU: Seorang mekanik yang ‘menguji’ motosikal pelanggan sebaik selesai dibaikinya, maut apabila merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan dalam kemalangan berhampiran stesen minyak di Jalan Kepayan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Markus Mail, 21, dari Kuala Penyu, dekat sini, terhumban beberapa meter sejurus merempuh sisi kanan belakang kereta Proton Persona dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan kaki.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang dari arah Putatan ke pusat bandar, manakala Proton Persona dipandu pemuda berusia 21 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah sama menuju Kepayan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa yang ditunggang laju gagal mengelak lalu merempuh belakang kereta terbabit,” katanya.


Katanya, akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting daripada motosikal dan mati di tempat kejadian,” katanya.


“Siasatan awal juga mendapati, motosikal berkenaan bukan milik mangsa, sebaliknya dipercayai dihantar ke bengkelnya untuk diperbaiki,” katanya.

Ahmad Sofi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Ujimotorbawamaut/Article/index_html

3 Maut Terhumban ke Cerun



Inalillahi wainailaihi rojiun 

TANAH MERAH: “Saya tidak sedap hati apabila tiga khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar dari jam 2 hingga 5 pagi tidak dibalas. Akhirnya, saya dikejutkan dengan kehadiran rakan sekerja suami pada jam 8 pagi yang datang ke rumah memaklumkan anak saya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya,” kata Zuraidah Abdul Ghani, 42, ibu kepada Wan Mohd Alfzam Wan Hussien, 24, yang maut dalam kemalangan di Kampung Lawang, Batu Gajah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, rakan Wan Mohd Alfzam, Mohd Sanusi Che Hamzah, 31, turut meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Proton Wira dinaiki mereka dipercayai terbabas dan terhumban ke dalam cerun.


Mayat kedua-dua rakan itu hanya ditemui kira-kira jam 7.30 pagi semalam oleh penduduk kampung yang segera menghubungi bomba.

Selepas berjaya dikeluarkan daripada kereta yang remuk, mayat mereka dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.


Menurut Zuraidah, anaknya yang bekerja sebagai mekanik keluar rumah dari Felda Kemahang, di sini, pada jam 10.30 malam selepas dijemput Mohd Sanusi.


Katanya, dia hanya dimaklumkan anaknya, mahu mengutip hutang daripada seorang rakan di Kampung Air Chanal, di sini.

“Ketika sedang tidur saya menerima SMS daripada bakal tunang arwah di Kuala Krai pada kira-kira jam 1.50 pagi. Bakal tunang arwah memaklumkan, arwah tidak membalas SMS yang dihantar kepadanya.


“Saya terus menghantar SMS kepada arwah sehingga jam 5 pagi, tetapi tidak berbalas. Terbukti perasaan tidak sedap hati saya menjadi kenyataan apabila anak saya maut dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tanah Merah, semalam.

Zuraidah berkata, selepas dimaklumkan rakan suaminya, dia segera ke tempat kejadian dan hanya mampu melihat sekujur tubuh anaknya kaku di dalam kereta yang remuk.

Al-Fatihah...

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/SMStidakberbalasrupanyaanakmautnahas/Article/index_html

Maut rempuh tiang lampu isyarat



IPOH - Kegembiraan seorang ahli perniagaan yang dipercayai baru pulang dari jamuan makan malam bersama rakan niaga bertukar tragedi apabila maut dalam satu kemalangan di Jalan Tambun berdekatan susur keluar Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran sebuah stesen minyak di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, La Choon San, 27, dari Garden Villa, Sunway City, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum maut dalam kemalangan itu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superitendan Wan Sharudddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa sedang memandu kereta jenis Mercedez Benz hitam bersendirian.

Tambahnya, pada ketika itu, tiada kenderaan lain berada berhampiran dengan kereta mangsa.

“Siasatan awal, mangsa dipercayai memandu laju sehingga menyebabkan dia hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan yang terletak berhampiran.

“Selepas itu, kereta yang dipandu mangsa turut melanggar tiang lampu isyarat yang berada berdekatan menyebabkan ia tercabut dan jatuh ke jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Shahruddin berkata, kenderaan yang dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk impak daripada rempuhan kuat itu.

Katanya, polis turut mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan tersebut.

“Mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan tersebut,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/ahli-perniagaan-maut-rempuh-tiang-lampu-isyarat-1.48705

Nenek Maut Pulang Sarapan


Inalillahi wainailaihi rojiun 

KUALA MUDA – “Selalunya tok (nenek) akan menolak sekiranya mahu dibawa makan di kedai atau restoran. Tapi pagi tadi dia mahu sahaja apabila diajak untuk bersarapan di luar,” kata Siti Sarah Ahmad Yusuf, 23.

Siti Sarah yang turut mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala tidak menyangka kesudian neneknya, Jamaliah Wahab, 79, untuk dibawa makan roti canai di kedai membawa padah apabila warga emas itu maut dalam kemalangan.

Menurutnya, ketika itu jalan licin kerana hujan lebat dan dia bersama adik, ibu serta mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari arah Taman Jubli Perak menuju ke simpang Jalan Lencongan Barat kira-kira jam 9.40 pagi.

Katanya, bagi mengelakkan kesesakan jalan raya, mereka mahu menggunakan Jalan Lencongan Barat untuk pulang ke rumah di Taman Lembah Permai, Sungai Lalang.

Difahamkan apabila sampai di simpang untuk membelok ke kanan bagi memasuki laluan ke arah utara, kenderaan yang dinaiki empat beranak itu bertembung dengan sebuah kenderaan lain yang datang dari arah Bandar Laguna Merbok ke Sungai Pasir.

Menurut Siti Sarah, ibu dan adiknya yang memandu kenderaan itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.

Manakala, Jamaliah yang berada di tempat duduk belakang, maut di lokasi kejadian.

Siti Sarah berkata, neneknya tidak menghidap sebarang penyakit cuma sesekali pernah merungut sakit lutut.

"Saya tidak sangka bahawa hasrat untuk membawa nenek menghabiskan masa di luar berakhir dengan tragedi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengakutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk dibedah siasat.

Al-Fatihah...

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/nenek-maut-ketika-pulang-sarapan-1.48689

Maut Kepala Tersepit


JEMPOL - Gagal memotong sebuah kenderaan, seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas, lalu bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 28 Jalan Bahau - Kemayan, di sini kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengahari itu, mangsa, Chan Shin Kiat, 30, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala akibat tersepit di bahagian tempat pemandu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Muhd Sabri Muhamad berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Avanza datang dari arah Bahau menuju Kemayan.

“Kereta mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah bas dari arah berkenaan.

“Mangsa maut kerana tersepit di dalam kenderaan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala, terdapat sepuluh penumpang dalam bas dari arah Mentakab dan dalam perjalanan ke ke Johor Baharu,” katanya ketika mengesahkan kejadian berkenaan kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Sabri berkata, pemandu dan penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kenderaan berkenaan rosak teruk.

“Kesemua penumpang kemudian dipindahkan ke bas yang lain sebelum meneruskan semula perjalanan­ ke Johor Baharu,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jempol, di sini untuk bedah siasat sebelum di tuntut oleh keluarganya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-kereta-maut-tersepit-dalam-kenderaan-1.48649

Tuesday, May 15, 2012

Maut dirempuh remaja

TELUK INTAN - Seorang lelaki maut di tempat kejadian apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh dua remaja menaiki motosikal ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sungai Nibong, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, dalam kejadian itu, mangsa, Chong Ting Huat, 56, menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan ke Sungai Nibong.

Menurutnya, apabila tiba di persimpangan berkenaan, mangsa berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah.

“Ketika sedang berhenti, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang dua remaja berumur 16 dan 17 tahun merempuh lelaki itu.

“Rempuhan berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian serta maut ke tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Kata beliau, manakala dua remaja turut mengalami kecederaan yang agak serius dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.

Jelasnya, siasatan lanjut terhadap kedua-dua remaja itu mendapati mereka tidak mempunyai lesen memandu selain menggunakan motosikal milik saudara.

“Menjadi satu kesalahan kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen membawa motosikal dan akan memberi kesan kepada pemilik kenderaan itu sendiri.

“Oleh itu, saya menasihatkan kepada Ibu bapa dan masyarakat supaya tidak terlalu membenarkan anak mereka yang tiada lesen untuk membawa kenderaan kerana akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Kecuaian mereka boleh memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan juga orang lain seperti mana yang berlaku pada lelaki yang maut dilanggar dua remaja berkenaan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-dirempuh-dua-remaja-1.48332

Warga Emas Maut Rempuh Lori



Inalillahi wainailaihi rojiun   

CHEMPEDAK - Hasrat seorang warga emas mengelolakan majlis kenduri kahwin pada 2 Jun depan tidak kesampaian setelah dia maut dalam kemalangan jalan raya di Batu 18, di sini, kelmarin.

Mangsa, Non Morad, 75, yang tinggal di Batu 20, Jalan Yan-Guar Chempedak, maut setelah kereta Proton Iswara dipandunya terlanggar belakang sebuah lori muatan pasir yang sedang bergerak di Batu 18, Jalan Sungai Petani-Alor Setar, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Mangsa difahamkan dari arah Guar Chempedak-Alor Setar, ketika kejadian memandu seorang diri mengekori sebuah lori muatan pasir sebelum melanggar belakang lori tersebut hingga menyebabkan kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Saudara mangsa, Mohd Nasir Taib, 43, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, kali terakhir dia bertemu mangsa pada 7 Mei lalu ketika menghadiri mesyuarat di Titi Batu, dekat sini, untuk mengelolakan sebuah majlis kenduri kahwin yang dijadualkan berlangsung 2 Jun nanti.

“Saya mendapat panggilan daripada rakan mengatakan dia kemalangan. Sejurus tiba di lokasi kejadian, saya lihat mayatnya sudah terbaring di tepi jalan setelah diangkat pihak berkuasa dari keretanya.

“Saya tidak tahu punca kemalangan, namun difahamkan dia terlanggar belakang lori muatan pasir. Walaupun sedih dan terasa kehilangannya namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Mohd Nasir berkata, mangsa seorang peramah dan suka berjenaka malah sikap bertanggungjawabnya menyebabkannya dilantik sebagai individu penting dalam pengelolaan majlis kenduri, di sini.

Katanya lagi, mangsa begitu mengambil berat sekiranya ada majlis kenduri kendara mahupun kematian di kam-pung itu hingga menyebabkannya disenangi ramai.

Sementara itu, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Yan untuk bedah siasat sebelum dibawa ke rumahnya di Batu 20, Jalan Yan-Guar Chempedak, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/tak-sempat-kelola-kenduri-warga-emas-maut-kemalangan-1.48315

Imam Maut Selepas Solat Jenazah


Inalillahi wainailaihi rojiun    

TO’ UBAN - Imam Kampung Serendah maut selepas menghadiri solat jenazah penduduk di Kampung Perol, jam 3 petang semalam.

Mangsa, Said Abdullah, 79, yang juga dikenali sebagai Tok Awang, menaiki motosikal EX5 sendirian bertembung sebuah motosikal ditunggang seorang peniaga, Awiyah Majid, 59. Awiyah yang menunggang motosikal Yamaha LC bersama jirannya, Aisyah Mamat, 61, tercampak di tepi belukar, bagaimanapun keudanya mengalami kecederaan ringan.

Anak saudara arwah, Musafar Mohamad, 40, berkata, bapa saudaranya baru sahaja selesai menunaikan solat jenazah penduduk di Kampung Kelar Besar.

“Arwah kata, dia mahu ke Masjid Kampung Perol untuk menunaikan solat jenazah penduduk lain.

“Beberapa meter dari masjid, arwah terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya,” katanya semalam.

Sementara itu, menantunya, Che Som Abd Wahab, 45, berkata, Jumaat lalu, arwah berpesan agar bersabar jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Tok Awang sempat menanam tiga pokok kelapa untuk kegunaan anak cucunya kelak.

“Arwah Tok Awang juga sepatutnya bertolak ke Kuala Lumpur bersama menantu lelakinya namun menolaknya di saat akhir,” katanya.

Jenazah Tok Awang akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Serendah, malam semalam.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/imam-maut-lepas-solat-jenazah-1.48290

Monday, May 14, 2012

5 maut 4WD bertembung



BINTULU 12 Mei - Lima maut manakala dua lagi parah selepas dua buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) bertembung di Kilometer 10, Jalan Tatau-Bintulu di sini petang semalam.

Kejadian berlaku pukul 3.50 petang apabila 4WD Toyota Hilux yang dinaiki tiga lelaki dan dua wanita dari arah Tatau ke Bintulu dipandu laju sehingga gagal dikawal lalu merempuh sebuah lagi kenderaan jenis sama dari arah bertentangan.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki tersebut mati di tempat kejadian manakala dua wanita berkenaan yang parah dan dikejarkan ke Hospital Tatau disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Mangsa yang maut ialah Bunsi Nyeng, 52; Gelau Demang, 60, Embuag Adang, 64, dan seorang lagi penumpang yang hanya dikenali sebagai Aziz, 60.

Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital sama ialah pemandu sebuah lagi 4WD iaitu, Ling Tuong Kong, 38, selepas mengalami kecederaan parah.

Seorang wanita yang menaiki kenderaan dipandu Tuong Kong pula cedera dan masih dirawat.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Zaizodin Wan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm

Tak sempat daftar perkahwinan



JAWI, Bandar Baharu – Hasrat bakal suami isteri untuk mendaftarkan perkahwinan mereka tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan dua wanita di Kilometer 168.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara, berhampiran sempadan Bandar Baharu, dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki lima sekeluarga dan dipandu Alvinder Singh Mokhtiar Singh, 32, dikatakan cuba mengelak sebuah lori yang hendak memasuki semula lorong kiri selepas memintas kenderaannya.

Bagaimanapun malangnya, dia dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam longkang dan terlanggar tebing berbatu menyebabkan bakal isterinya, Sabjit Kaur Soba Singh, 20-an yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dari kenderaan.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut serta-merta di tempat kejadian.

Sementara, ibunya, Rupinder Kaur Rejinder Singh, 56, yang turut berada di tempat duduk belakang juga meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Manakala, Alvinder dan bapanya hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sungai Bakap.

Adik perempuan mangsa yang masih belum diketahui identitinya pula dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan lanjut kerana cedera parah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lima sekeluarga itu dikatakan bertolak dari Tronoh, Batu Gajah, Perak kira-kira jam 6 pagi dan menuju ke Bukit Mertajam untuk mendaftarkan perkahwinan Alvinder dan isterinya yang difahamkan bukan warganegara Malaysia.

“Bagaimanapun, ketika tiba di kilometer 168.2, mangsa dikatakan tidak perasan akan kehadiran sebuah lori di hadapannya lalu terbabas ke dalam longkang dan terlanggar tebing batu.

“Siasatan masih dijalankan dan mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Shafien berkata, saksi yang melihat kejadian tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS di talian 04-5858222.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/dua-maut-tiga-cedera-dalam-kemalangan-maut-1.47685

Maut cubaan memotong



Inalillahi wainailaihi rojiun   

JENGKA 17 - Seorang pemuda maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 41.9 Jalan Bandar Jengka-Temerloh, apabila kereta yang dipandu terbabas dalam cubaan memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

Mangsa, Othman Abdullah, 34, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Jengka 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badannya.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah malam, kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang memandu Proton Wira dikatakan cuba memotong Proton Gen2 di hadapannya, tetapi gagal lalu terlanggar bahagian belakang kereta Gen2 berkenaan.

“Selepas pelanggaran tersebut, kereta mangsa terbabas ke sebelah kanan jalan dan memasuki sebuah ladang,” katanya.

Difahamkan pemandu Gen2 berkenaan dilaporkan selamat.

Adik mangsa, Mohd Sabri Abdullah, 27, berkata, dia mendapat tahu mengenai kemalangan yang menimpa abangnya menerusi seorang rakan.

“Ketika itu, saya baru pulang dari berniaga di pasar malam. Tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon daripada rakan saya.

“Memang terkejut mendengar apa yang menimpa abang saya, lalu bergegas ke tempat kejadian dan ketika itu saya diberitahu arwah sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, arwah sebelum kejadian telah belanja rakan-rakannya, malah dia tidak pernah bertanya apa-apa berkenaan durian runtuh yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Mangsa anak sulung daripada tiga beradik selamat dikebumikan pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 17.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/pemuda-maut-cubaan-memotong-gagal-1.47754

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount