loading...
Saturday, January 19, 2013
Kereta membawa 25 tong diesel kemalangan
PASIR PUTEH - Kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 45.5 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Rabu lalu menggemparkan penduduk apabila 25 tong berisi bahan bakar dipercayai diesel ditemui dalam salah satu kereta tersebut.
Kereta jenis Perodua Kenari itu diubahsuai termasuk membuang tempat duduk belakang bagi membolehkan banyak tong dapat dibawa.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, tong-tong itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut.
Katanya, dalam kejadian jam 11.30 malam di Kampung Gaal Hilir itu, kereta yang membawa diesel merempuh sisi kereta jenis sama yang membelok ke kanan jalan dari arah Jerteh.
“Daripada maklumat yang kita dapat, dua lelaki di dalam kereta berisi diesel menghilangkan diri, sementara pemandu kereta yang dirempuh mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tengku Anis bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Mohd Kamal berkata, pihak polis meminta orang ramai yang melihat kemalangan itu tampil membantu siasatan.
Penduduk, Zakaria Mansur, 53, berkata, dia bergegas ke tempat kejadian selepas mendengar dentuman kuat dari marah jalan.
Katanya, ketika dia sampai, tidak ada orang di dalam kereta yang terbalik, sebaliknya terdapat banyak tong minyak.
“Saya tidak berani mendekati kereta itu kerana bimbang berlaku letupan sehinggalah jentera bomba tiba dan menyembur air di atas jalan bagi membersihkan kesan minyak,” katanya.
Difahamkan kereta yang dirempuh membelok ke kanan kerana pemandunya berhajat untuk menziarahi aktivis Umno yang meninggal dunia pada hari tersebut.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kereta-penuh-diesel-terbalik-1.122996
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment