loading...

Sunday, January 13, 2013

Terpelanting 50 meter



13 Januari 2013
 GEORGETOWN – Akibat tidak mengikut undang-undang jalan raya dengan berhenti di lampu isyarat berwarna merah, seorang remaja lelaki terpelanting 50 meter apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi berhampiran dengan lampu isyarat Sungai Pinang di Bandar Sungai Pinang.

Saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, dipercayai lelaki yang cedera parah itu dari Lebuh Sungai Pinang 1 menghala ke Jalan Sungai, dan dia melanggar lampu isyarat yang ketika itu berwarna merah.

“Orang ramai nampak dia tunggang motosikal pada masa itu agak laju dan melanggar lampu isyarat sementara ada sebuah motosikal lain dari Georgetown menghala ke Bayan Lepas juga sedang melalui jalan yang sama.

“Tetapi motosikal lagi satu itu mengikut lampu isyarat yang betul, mungkin disebabkan laju, mangsa yang melanggar lampu isyarat tadi terpelanting dari tempat asal ke jarak 10 kaki dari tempat dia membawa motosikal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ketika di tempat kejadian, kepala mangsa dipenuhi darah dan pasukan penyelamat cuba menenangkan mangsa yang pada ketika itu kelihatan agak lemah.

Sementara itu penunggang motosikal dari arah Georgetown yang juga menunggang secara bersendirian hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu.

Didapati kedua-dua motosikal penunggang rosak teruk apabila hampir 50 peratus bahagian motor rosak dan pecah akibat pertembungan kuat berkenaan.

Orang ramai di tempat kejadian, Shahliza Hussain berkata, sememangnya kawasan tempat kejadian seringkali menjadi tempat kemalangan berikutan ramai penunggang mahupun pemandu kenderaan yang gagal mematuhi lampu isyarat di situ.

Menurutnya, sedangkan ia adalah jalan yang agak berbahaya berikutan lampu isyarat tersebut menjadi laluan kepada motosikal yang melalui Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

“Lampu isyarat di sini agak sekejap kalau berwarna hijau, tetapi motosikal ataupun kereta dan tidak ketinggalan lori memang selalu langgar saja lampu isyarat kalau sudah berwarna merah.

 “Jadi saya harap supaya pihak polis pantau mereka yang tidak patuh undang-undang ini kerana tindakan mereka hanya mendatangkan risiko kemalangan nyawa kepada penunggang motosikal yang tidak bersalah pada pendapat saya,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/padah-tidak-patuh-lampu-isyarat-1.120779



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my