loading...
Thursday, January 17, 2013
Maut bersama
Inalillahi wainailaihi rojiun.
18 Januari 2013
KUBANG PALAS - “Beberapa kali sebelum ini, dia (mangsa) sering menjawab buah masih muda apabila disuruh panjat pokok duku. Namun tengah hari tadi (kelmarin) dia terus berbuat demikian dan berjaya dapatkan kira-kira lima kilogram (kg) duku. Rupanya ia petanda.”
Demikian luahan Faridah Omar,48, ibu kepada Wan Firdaus Wan Alias, 23, yang maut bersama rakan wanitanya, Sinawati Sanusi, 21, apabila motosikal jenis EX5 dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Vios, di sini, kira-kira jam 8.45 malam kelmarin.
Menurut Faridah, kali terakhir dia bertemu anak ketiga daripada enam beradik itu kira-kira jam 2 petang kelmarin sewaktu pulang ke rumah di Kampung Alur Lik daripada tempat kerja dan sempat bergurau berebut menggunakan bilik air untuk mandi.
“Saya pulang ke rumah seketika untuk berehat dan mandi sebelum kembali ke tempat kerja. Secara kebetulan ketika itu, dia juga ingin mandi kerana mahu keluar berjumpa rakannya. Dia sempat seloroh bergurau sambil memberitahu biar dia mandi dahulu.
“Bagaimanapun, ketika sedang berehat di rumah saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada abangnya memaklumkan kejadian menimpa Wan Firdaus. Saya serta suami, Wan Alias Wan Muda, 53, bergegas ke lokasi dan melihat dia hanya terbujur kaku. Saya tidak sangka dia pergi secepat ini apatah lagi siang tadi (kelmarin), dia kelihatan seperti biasa. Malah, dia juga begitu gembira memanjat pokok duku apabila disuruh ibu saudaranya tanpa sebarang alasan bukan sebagaimana kebiasaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di lokasi kejadian, di sini, malam kelmarin.
Kata Faridah, anaknya yang mesra dipanggil Piji itu berkemungkinan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka yang terletak kira-kira 25 kilometer dari lokasi kejadian.
Masuk laluan bertentangan
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa bertembung sebuah Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 25 tahun berasal dari Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu.
“Mangsa menunggang motosikal bersama Sinawati dari arah Kuala Terengganu-Telemong, manakala pemandu kereta dari arah bertentangan.
“Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi, salah seorang daripada mereka memasuki laluan bertentangan hingga bertembung dan kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke Setiu dan kemalangan berlaku di satu selekoh di Kampung Kubang Palas ini. Pemandu kereta yang dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu tidak cedera.
“Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kita juga meminta orang ramai yang melihat kejadian itu agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.
Motosikal hempap badan
Penduduk, Wan Makri Wan Mohd ,35, berkata, sebaik terdengar bunyi dentuman kuat, dia bergegas keluar dan mendapati seorang wanita sedang berusaha keluar dari kereta sambil menjerit.
“Saya sedang berehat di rumah sebelum dikejutkan bunyi dentuman kerana kejadian berlaku berhampiran rumah saya. Mulanya saya sangka hanya seorang mangsa terlibat kerana terlihat mayat perempuan terbaring kaku atas bahu jalan.
“Apabila diteliti, saya terkejut mendapati seorang lelaki bersama motosikal berada dalam longkang. Saya serta beberapa yang lain membantu keluarkan motosikal yang menghempap badannya sebelum berjaya keluarkannya. Ketika itu dia sudah tidak bergerak.
“Kawasan ini sering berlaku kemalangan, terbaru melibatkan sebuah kereta merempuh tiang elektrik kira-kira dua minggu lalu. Bagaimanapun, kejadian malam ini merupakan kes maut yang pertama terjadi di sini,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/maut-bersama-rakan-wanita-1.122770
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment