RANTAU PANJANG – Pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dekat sini, cedera parah dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di hadapan Maahad Muhammadi Rantau Panjang, tengah hari semalam.
Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang setelah membeli ais terjatuh di tengah laluan ke Pasir Mas bernasib baik apabila orang ramai yang melihat kejadian terus mengawal lalu lintas agak sibuk ketika itu seterusnya mengelaknya menjadi mangsa langgar kenderaan lain.
Berikutan kejadian, Nik Noorakirudin Ismail,32, dari Taman Bakti Gual Tinggi patah pergelangan kaki serta luka di beberapa bahagian anggota badan dan dikejarkan ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan sementara pemandu Honda City dipercayai tidak cedera.
Kenderaan terlibat ialah sebuah motosikal, Perodua Viva, Kia Sutera, Honda City dan pacuan empat roda jenis Mazda.
Ketika kejadian, tiga kenderaan iaitu Perodua Viva, Kia Sutera serta pacuan empat roda diparkir di hadapan kedai membaiki kenderaan yang merupakan ahli keluarga pemilik bengkel berkenaan.
Saksi enggan dikenali berkata, dia hanya sempat melihat kereta Honda City dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang dipandu laju meluru ke arah kenderaan diparkir di hadapan kedai membaiki kenderaan di Banggol Kulim dan kemudian melanggar motosikal ditunggang seorang lelaki dan merempuh Kia Sutera serta pacuan empat roda jenis Mazda.
Menurutnya, rempuhan kuat Mazda diparkir di tengah-tengah antara Kia Sutera dan Perodua Viva terhimpit seterusnya mengenai pintu Perodua Viva di sebelahnya serta menyebabkan bahagian pintu pemandu rosak teruk.
“Saya tidak pasti sama ada pemandu cuba memotong kenderaan lain atau sebaliknya kerana sempat melihat kenderaan itu telah hampir dengan kereta di parkir dan kemudian terus melanggarnya.
“Kejadian berlaku begitu pantas, saya lihat kereta itu seolah-olah terbang,” katanya kepada Sinar Harian.
Pemilik kereta Perodua Viva, Tengku Roslinda Tengku Rosdi, 27, berkata, dia meletakkan kenderaannya di hadapan kedai membaiki kereta kira-kira jam 11 pagi dan kemudiannya keluar makan tidak jauh dari tempat kejadian.
Menurutnya, ketika sedang makan dia dikejutkan dengan panggilan daripada suaminya memaklumkan keretanya dirempuh dan bergegas pulang untuk melihat keadaan di tempat kejadian.
“Saya terkejut menerima panggilan dari suami memandangkan kereta diparkir di hadapan kedai dan bukannya di tepi jalan tambahan kerosakannya juga agak teruk.
“Kereta ini saya gunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja dan buntu memikirkan kenderaan untuk digunakan ke tempat kerja selepas ini,” katanya.
Tengku Roslinda berkata, dia bercadang menuntut ganti rugi bagi membaik pulih kenderaannya daripada pemandu Honda City terbabit bagi membolehkan kenderaan itu dibaiki segera dan boleh digunakan untuk ke tempat kerjanya.
Sementara itu, pemilik Mazda yang juga mertua Tengku Roslinda, Ismail Yusof, 50-an berkata, kos membaik pulih ketiga-tiga kenderaan miliknya, anak serta menantu melebihi RM10,000.
Menurutnya, mereka sekeluarga bercadang menuntut ganti rugi untuk membaiki kerosakan ketiga-tiga kederaan terlibat.
“Kami bercadang menuntut ganti rugi bagi membolehkan ketiga-tiga kenderaan terlibat dibaiki memandangkan kesemuanya kami gunakan pada setiap hari untuk urusan seharian.
“Tiga kenderaan terlibat kemalangan, sebuah lagi sedang dibaiki menyebabkan tidak ada kenderaan boleh kami gunakan sekarang,” katanya.
Berikutan kejadian, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Rantau Panjang.
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Unit Rantau Panjang memaklumkan kepada Sinar Harian pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan kejadian kira-kira jam 1 petang.
Lans Koperal Zulilawati Abdullah berkata, beliau bersama dua anggota bergegas ke tempat kejadian seterus membawa mangsa, penunggang motosikal ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pengawal-nyaris-maut-1.120639
No comments:
Post a Comment