loading...

Monday, January 14, 2013

Padah lori lawan arus


14 Januari 2013
BAGAN SERAI - Tindakan seorang pemandu lori barangan lusuh yang cuba melawan arus memandu menyeberangi jalan membawa padah apabila lori yang dipandu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan kiub ais di Batu 10, Jalan Taiping di sini petang kelmarin.

Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Rahim berkata, kemalangan berlaku pada jam 4 petang menyebabkan lori muatan kiub ais itu terbabas sebelum merempuh sebatang tiang seterusnya masuk ke dalam longkang.

Menurutnya, keadaan lori barangan lusuh lebih mengerikan kerana terbalik dan menyebabkan muatan yang dibawa bertaburan di atas jalan.

“Dalam kejadian itu, pemandu lori kiub ais tidak sedarkan diri akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala pemandu lori barangan lusuh bersama dua kelindannya tercampak beberapa meter dari kawasan kemalangan.

"Seorang daripada kelindan lori barangan lusuh maut di tempat kejadian kerana pendarahan teruk pada kepalanya. Dua mangsa lagi cedera parah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Seorang lagi saksi yang enggan dikenali memaklumkan, lori barangan lusuh dikatakan cuba menyeberang jalan, namun tindakan nekad pemandu lori bertukar tragedi apabila dirempuh lori kiub ais dari arah Taiping menuju Parit Buntar.



Setengah jam selamat mangsa

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai memaklumkan, bomba menerima maklumat awam berhubung kejadian pada jam 3.50 petang dan telah bergegas ke lokasi kejadian.

Seramai sembilan anggota bomba diketuai Penolong Bomba Kanan 2, Mohd Rodzi Che Pa mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan pemandu lori kiub ais yang tersepit dalam kenderaan.

"Sebaik sahaja dikeluarkan, ketiga-tiga mangsa yang cedera parah termasuk pemandu lori kiub ais dikejarkan Hospital Taiping untuk rawatan.

"Seorang lagi mangsa, A Denesh, 16 maut di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.


Tayar musnahkan rumah

Kemalangan berkenaan turut menyebabkan sebuah keluarga kerugian hampir RM10,000 apabila sepasang tayar lori yang melayang merosakkan sebahagian besar dinding serta bumbung rumah.

Muhammad Syukri Hafiz Ibrahim, 28 menceritakan, kejadian itu menyebabkan bahagian atas ruang rumah dan tempat letak kereta rosak teruk.

“Pada mulanya saya terdengar bunyi dahan pokok patah dan tidak menyangka sesuatu yang buruk berlaku.

“Saya terkejut mendengar bahagian atas rumah seperti dihentam sesuatu dan saya berlari keluar untuk memastikan apa yang berlaku,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini semalam.

Syukri berkata, sewaktu berlari keluar rumah, dia sekali lagi dikejutkan dengan bunyi yang kuat dan mendapati bumbung tempat parkir kereta runtuh.

“Saya terkejut mendapati sepasang tayar lori turut berada bersama runtuhan bumbung. Bahagian atas rumah musnah teruk akibat hentaman tayar itu,” katanya.

Syukri berkata, ketika dia bersama ibu bapanya meninjau keadaan rumah, pemandu lori yang tidak sedar tayar belakangnya di bahagian kiri tercabut, tiba di rumahnya dan berjanji untuk membayar ganti rugi.

Menurutnya, pemandu lori itu memaklumkan hanya mengetahui tayar belakang lorinya tercabut setelah dikejar dan ditahan seorang penunggang motosikal sejauh tiga KM dari lekasi kejadian.

"Pemandu lori itu juga terkejut melihat kerosakan teruk pada rumah kami, memandangkan jarak rumah dengan lokasi kejadian kira-kira 20 meter. Kami telah melaporkan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad ketika melawat lokasi kejadian menyuarakan simpati kepada keluarga pemilik rumah terbabit di atas kerosakan dialami akibat kejadian itu.

“Saya harap sumbangan diberikan pihak kami dapat meringankan beban kerugian mangsa sekeluarga. Kami akan bantu mangsa menguruskan soal ganti rugi dan bersedia menyediakan khidmat guaman sekiranya tiada penyelesaian terbaik dicapai kedua-dua pihak,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/padah-lawan-arus-jalan-dua-lori-bertembung-seorang-maut-tiga-cedera-1.121031

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my