loading...
Friday, January 18, 2013
Pelajar Tengku Abdul Rahman Putra maut
19 Januari 2013
TEBUK PULAI, Sabak Bernam - Hasrat seorang pelajar tingkatan empat untuk ke sekolah tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer (KM) 41 Jalan Teluk Intan-Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, ketika kejadian jam 7.10 pagi itu, motosikal mangsa, Lin Sen Kai, 19, dipercayai bergesel dengan sebuah lori sebelum hilang kawalan.
Menurutnya, keadaan pagi berkenaan yang berkabus juga dipercayai menjadi punca berlakunya pergeseran antara dua kenderaan terbabit.
“Mangsa yang dalam perjalanan ke sekolah pagi tersebut tidak dapat mengawal motosikal jenis Yamaha Ego LC yang ditunggangnya.
"Mangsa kemudiannya terhantuk pada besi belakang lori berkenaan yang menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Noor Mushar berkata, akibat hentakan tersebut, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Tengku Abdul Rahman Putra cedera parah di bahagian kepalanya.
Katanya, mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan bahawa kematian mangsa berpunca daripada terhantuk pada besi yang terdapat di belakang lori tersebut.
Noor Mushar berkata, sehingga kini pihaknya masih tidak menerima sebarang laporan daripada pemandu lori dan keluarga mangsa berhubung kejadian tersebut.
“Bagaimanapun kita mempunyai nombor pendaftaran lori tersebut hasil bantuan orang awam dan usaha mengesannya akan dilakukan sekiranya dia masih tidak tampil ke balai polis,” katanya.
“Orang awam yang mempunyai maklumat juga diminta hadir ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kes langgar lari melibatkan seorang warga emas di KM 39 Jalan Klang-Teluk Intan, Selasa lalu.
Katanya, usaha mengesan suspek sedang dijalankan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil dan kerjasama dan maklumat orang awam diperlukan.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/maut-motosikal-bergesel-lori-1.122971
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment