loading...

Tuesday, January 7, 2014

Tak sempat ambil cucu di sekolah



Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Januari 2014
RANTAU PANJANG – Seorang warga emas maut dalam kejadian langgar lari dekat Bukit Tandak, di sini, ketika dalam perjalanan untuk mengambil cucunya di sekolah pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati mangsa, Abd Rahman Che Ngah, 68, ketika itu dalam perjalanan dari Rantau Panjang menuju Bukit Tandak dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

“Akibat kejadian itu, mangsa terpelanting beberapa meter dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala. Mangsa maut di tempat kejadian.

“Usaha mengesan pemandu terlibat dalam kejadian ini sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Kalsom Hamad, 70, berkata, dia menyedari perlakuan suaminya agak ganjil selepas menunaikan solat subuh pada hari kejadian.

Katanya, mangsa tidak sabar-sabar untuk ke kedai membaiki motosikal sedangkan tiada bengkel dibuka seawal jam 7 pagi dan mangsa berdegil apabila dia melarangnya keluar terlalu awal.

“Arwah juga enggan membawa saya ke bandar, sebaliknya menyuruh saya menjaga beruk peliharaannya di rumah.

“Kata arwah, kalau dia tak keluar awal, mungkin tak sempat nak buat kerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Kuau, di sini, semalam.

Jenazah Allahyarham  Abd Rahman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang pada jam 10 malam, kelmarin.

Dalam pada itu, Kalsom turut berharap pihak polis berjaya menangkap pemandu terbabit dalam kejadian itu dan membawanya ke muka pengadilan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tak-sempat-ambil-cucu-di-sekolah-1.237837



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my