loading...

Saturday, August 12, 2017

Tidak sempat memotong


TANAH MERAH - Dua maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 9.7, Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, dekat Kampung Paloh, di sini, malam kelmarin.

Nahas kira-kira jam 8.16 malam itu membabitkan kereta Toyota Corona dinaiki dua mangsa yang maut, Proton Persona dipandu seorang guru lelaki dan Toyota Vios dinaiki seorang pembantu farmasi wanita.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, mangsa yang maut ialah Mohamad Fikri Firdaus Mat Deris, 25, dan Shafiq Safwan Mohd Foza, 26.

Katanya, pembantu farmasi berusia 31 tahun pula patah tangan kanan dan luka di kaki, manakala guru berusia 53 tahun tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati kereta Toyota Corona dinaiki dua mangsa dipandu laju dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta mangsa kemudian merempuh kereta Proton Persona yang datang dari arah bertentangan lalu berpusing dan merempuh pula kereta Toyota Vios yang berada di belakang.

“Rempuhan itu menyebabkan kereta Toyota Vios terbabit terbabas ke dalam gaung di sebelah kiri jalan menghala ke Pasir Mas,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Suzaimi berkata, kedua-dua mangsa yang masing-masing beralamat di Jalan Mahsuri dan Kampung Bendang Baru, Bukit Panau, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sumber:  sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tidak-sempat-memotong

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my