loading...

Wednesday, May 29, 2013

Betis terbelah dua dirempuh kereta



Inalillahi wainailaihi rojiun

29 Mei 2013
KUANTAN – “Makcik hampir pengsan melihat kepala cucu berlumuran darah dengan betisnya terbelah dua.”

Demikian kata Umasharah Hashim, 62, nenek kepada Mohd Zarif Mohd Zamri, 16, yang cedera parah selepas motosikal dinaiki bersama rakan dirempuh Proton Iswara ketika hendak masuk simpang di Felda Panching Utara, kira-kira jam 11.45 tengah hari semalam.



Dalam kejadian itu, rakan Mohd Zarif yang dikenal sebagai Mohd Akmal Aizuddin, 15, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Mengimbas sebelum kejadian itu, Umasharah berkata, dia sempat berbual dengan cucunya ketika sedang membasuh kain sebelum mangsa memberitahu hasratnya mahu pergi memancing bersama rakan.

Mohd Zarif kemudian terus keluar bersama rakannya itu namun tidak sampai 10 minit dia menerima panggilan daripada seorang penduduk mengatakan cucunya itu kemalangan.

Warga emas itu bagaimanapun tidak percaya dengan kejadian yang menimpa cucunya sebelum meminta anaknya pergi ke tempat kejadian yang hanya lima meter dari rumah.

Bagaimanapun, tidak menunggu berita daripada anaknya itu, Umasharah gagahkan diri berjalan menuju ke tempat kejadian.

“Luluh hati makcik melihat cucu yang dibesarkan sejak kecil meraung kesakitan. Sejak kecil, makciklah ibu dan ayah kepada Mohd Zarif berserta dua lagi adiknya kerana ibu mereka telah meninggal dunia," katanya.

Selepas kejadian Mohd Zarif dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dilaporkan stabil.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Aziz Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dirempuh kereta yang menghala ke Sungai Lembing dari Felda Panching Timur, ketika mahu masuk ke simpang untuk menghantar rakan pulang.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, kereta berkenaan kemudian terbabas di tepi kanan jalan dan tersangkut pada tunggul pokok kelapa sebelum pemandunya berusia 26 tahun membuat laporan di Balai Polis Panching selepas kejadian.

Katanya, jenazah Mohd Akmal sudah dituntut oleh ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di HTAA, petang semalam.

Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:

http://www.hmetro.com.my/articles/Syukurdalamsebak//Article

http://www.sinarharian.com.my/edisi/betis-cucu-terbelah-dua-1.165012




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my