loading...

Friday, February 22, 2013

Diziarahi dengan mayat anak


Inalillahi wainailaihi rojiun

22 Februari 2013
TAPAH - Mohd Amin Abdul Rahman, 32, anak kepada mangsa maut dalam tragedi kemalangan bas pagi tadi, tidak menyangka kepulangan ayahnya ke Pulau Pinang untuk menziarahi jenazah datuknya turut menyebabkan beliau kehilangan ayah tercinta.


Mohd Amin yang merupakan anak kedua daripada enam beradik berkata beliau turut kehilangan datuknya yang meninggal dunia akibat sakit tua di Bagan Ajam, Seberang Perai pada 11 malam tadi.

"Bila dapat tahu Tok Wan meninggal saya terus menziarahinya kerana kebetulan saya ada kerja di Pulau Pinang. Saya hubungi mak dan ayah bagi tahu perkara ini dan menyatakan kepadanya yang saya tunggu di sini (Pulau Pinang).

"Saya minta mak dan ayah naik bas pagi ini, bila telefon mak kira-kira 12 malam tadi, mereka sudah berada dalam bas menuju ke Pulau Pinang, " katanya kepada pemberita di Hospital Tapah di sini hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi tadi, mangsa yang maut ialah pemandu bas ekspres, Mohd Anuar Jantan, 42, dan penumpang bas, Abdul Rahman Noh, 59.

Insiden berkenaan menyebabkan bahagian hadapan bas remuk teruk.

Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah termasuk di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang mangsa yang merupakan pemandu lori, M.V. Saravanan, 24, berkata, bas terbabit cuba memotong lorinya namun disebabkan ada sebuah kereta di bahagian kanan, bas itu tidak sempat mengelak.

"Tiba-tiba bas muncul dari arah belakang dan langgar sisi kanan belakang lori saya dan terbabas ke bahu kiri lebuh raya.

"Ketika pelanggaran berlaku pemandu bas itu terjun daripada bas dan saya lihat dia berada di tengah-tengah bahu jalan. Kepalanya terkena besi penghadang tengah lebuh raya," katanya dipetik Bernama.

Bas ekspres itu dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Pulau Pinang manakala lori itu dari Shah Alam menuju Pulau Pinang.

Pasukan bomba membantu mengeluarkan penumpang yang tersepit dan tercedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata bas itu dinaiki 10 penumpang dan seorang pemandu.

Katanya, pemandu dan seorang penumpang meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima cedera parah dan empat yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Manakala pemandu lori dan kelindannya, K.Subramaniam, 21, serta pemandu kereta juga tidak mengalami kecederaan.

"Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan yang cedera menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh," katanya.


Mohd Amin yang bekerja sebagai pengedar minuman berkata dia terkejut mendengar berita menyedihkan itu selepas menerima panggilan daripada ibunya pagi tadi.

"Bila dapat tahu mereka terlibat dalam kemalangan dan ayah meninggal dunia, saya bergegas ke Hospital Tapah kerana mayat dihantar ke hospital ini," katanya yang berasal dari Kempas Jaya, Johor Bahru.

Sementara itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, seorang penumpang yang terselamat Mohd Khaizul Safiee, 29, berkata dia tidak menyangka bas yang dia naiki terbabit dalam kemalangan.

"Ada beberapa penumpang meminta pemandu memandu lebih laju kerana bas dipandu terlalu perlahan. Tetapi pemandu bas ada bagi tahu dia sangat penat," katanya.

Katanya bas terbabit bertolak dari Johor Baharu kira-kira 11.30 malam sebelum berhenti di Hentian Pudu Sentral 5 pagi tadi untuk menukar bas.

Beliau berkata dalam kejadian itu kebanyakan penumpang cedera di kepala akibat terhantuk pada tempat duduk penumpang di hadapan manakala sebahagiannya terperosok di bawah tempat duduk. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Duamaut_limacedera//Article
www.sinarharian.com.my/semasa/anak-naik-bas-ziarah-ayah-meninggal-dunia-maut-kemalangan-1.133668




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my