loading...

Tuesday, January 8, 2013

Remaja maut rempuh kerbau


Inalillahi wainailaihi rojiun

8 Januari 2013
ALOR GAJAH - Seorang remaja maut, manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang mereka secara berasingan melanggar seekor kerbau jantan  di Jalan Pantai Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, rakan mangsa, Muhammad Amirul Idrus, 18, yang berada di hadapan cuba mengelak daripada melanggar kerbau terbabit, namun gagal menyebabkannya tercampak di tengah jalan.

Manakala, Mohammad Fiqri Ramli, 21, yang berada di belakang rakannya itu juga gagal mengelak sebelum terseret kira-kira 45 meter dan terhumban ke dalam anak sungai.

Difahamkan ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dari arah Kampung Permatang ke pekan Kuala Sungai Baru.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang Mohammad Amirul cuba mengelak daripada merempuh kerbau berkenaan, namun gagal sebelum disusuli motosikal Mohammad Fiqri.

“Mohammad Amirul tercampak ke tengah jalan sementara motosikalnya terbabas ke kiri jalan diikuti motosikal Mohammad Fiqri yang turut merempuh kerbau itu.

“Rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa terseret sebelum terhumban  ke dalam anak sungai manakala motosikalnya terhenti di satu lorong tanah merah,” katanya  kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika itu, ada beberapa rakan lain berada di belakang, namun menyedari kejadian berkenaan beberapa minit kemudian apabila melihat Mohammad Amirul terbaring di tengah jalan, tetapi tidak menemui Mohammad Fiqri.

“Beberapa rakan lain cuba mencari Mohammad Fiqri sebelum menemuinya dalam  sungai.

“Situasi cemas apabila kami cuba mengejutkan Mohammad Fiqri dengan memanggil namanya berulang kali, namun tiada tindak balas sebelum mendekati Mohammad Amirul yang terbaring dalam keadaan tangan kirinya terkulai,” katanya.

Katanya, panik melihat Mohammad Fiqri tidak bergerak, seorang daripada mereka menghubungi ayah Mohammad Fiqri dan memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan namun tidak berani memberitahu keadaan Mohammad Fiqri.

"Selepas itu, kami bertambah panik apabila motosikal Muhammad Amirul terbakar secara tiba-tiba,” katanya.

Bapa mangsa, Ramli Md Din, 53, berkata, sebelum kejadian, arwah ada mengadu lapar dan terus keluar sebelum dia menghubungi anaknya itu yang memaklumkan berada di sebuah kedai makan di pekan Kuala Sungai Baru.

“Saya ada mengajak arwah makan bersama di kedai makan tetapi arwah sudah keluar lebih awal dan saya menawarkan untuk membungkus makanan untuknya, namun arwah menolak.

“Kira-kira jam 2.40 pagi, saya menerima panggilan daripada rakannya memberitahu arwah terbabit dalam kemalangan tanpa mengetahui bahawa arwah sudah meninggal dunia sebelum bergegas ke tempat kejadian," katanya.

Katanya, beberapa minggu lalu, arwah yang bekerja sebagai juruelektrik di Kuala Lumpur ada memberitahu hendak berhenti kerja atas sebab yang tidak pasti dan lebih banyak membantunya mengurus kedai makan di pekan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mangsa mengalami kecederaan dalaman manakala rakannya dilaporkan parah dan patah tangan kiri.

“Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala rakannya dirawat di hospital sama," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/remaja-maut-langgar-kerbau-1.119107



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my