loading...

Saturday, September 7, 2013

Dua nahas selang lapan jam



7 September 2013
JEMPOL - Tidak sampai 24 jam kemalangan maut membabitkan seorang warganegara China di Kilometer (KM) 16 Jalan Bahau-Kemayan di sini, dua remaja lelaki pula menemui ajalnya di lokasi berhampiran, pada hari sama, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Jempol, Deputi Superintendan Tukiman Seriman berkata, kejadian pertama melibatkan empat warganegara China, masing-masing merupakan sepupu berumur antara 44 hingga 52 tahun, baru tiba di negara ini kelmarin.

Menurutnya, mereka dipercayai sedang bercuti dan melawat saudaranya di Air Hitam, Jempol dan dibawa sepupu mereka menaiki pacuan empat roda Toyata Hilux, namun hilang kawalan setelah mengelak kenderaan yang memotong.

"Kejadian berlaku apabila sebuah kereta yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya, datang dari arah bertentangan kerana memotong.

"Kenderaan tersebut masuk ke laluan mangsa menyebabkan pemandu kereta pacuan empat roda itu mengelak ke bahu jalan sebelah kiri," katanya.

Beliau berkata, pemandu Hilux cuba naik semula ke atas jalan raya namun kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke laluan sebelah kanan jalan sebelum masuk ke dalam longkang.

“Kenderaan itu terlanggar tebing lalu terbalik beberapa kali. Pemandu bersama tiga warganegara China itu mengalami cedera ringan, namun salah seorang daripada mereka, Shen Bing Lian, 44, disahkan maut di Hospital Jempol kira-kira jam 10.30 pagi,” katanya.

Dalam kejadian kedua, dua remaja maut apabila motosikal yang dinaiki terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Kenari.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 5.35 petang, mangsa, M S Selvam, 19, menunggang motosikal Yamaha 125 dan membonceng bersama P Rajkamal, 17, di KM 19 Jalan Bahau-Kemayan.

“Penunggang maut di tempat kejadian, manakala rakannya meninggal dunia di Hospital Jempol kira-kira jam 8.10 malam kelmarin. Kedua-dua mangsa ini dipercayai digilis dalam insiden tersebut.

“Bagaimanapun, kedua-dua kes ini masih dalam siasatan polis dan ia disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, mangsa, Rajkamal adalah anak kepada Ketua Pemuda MIC Jelebu, N Parthiban, 40.

Parthiban baru sahaja tiba di Tamil Nadu, India kelmarin untuk bercuti selama seminggu bergegas pulang ke tanah air sebaik menerima berita kematian ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-nahas-selang-lapan-jam-1.199646



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my