loading...

Tuesday, April 3, 2012

Aksesori punca kereta mudah terbakar


KUALA LUMPUR 2 April - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan sikap pemilik kereta yang gemar menambah aksesori seperti meletakkan lampu di bawah kenderaan serta mengubah suai sistem audio sebagai punca peningkatan kes kebakaran kenderaan kebelakangan ini.

Ia berlaku apabila mereka menggunakan aksesori yang tidak berkualiti dan sistem pendawaian pula dilakukan oleh mereka yang tidak mahir hingga boleh menyebabkan berlaku kebakaran apabila barangan itu terdedah kepada haba.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pada tahun lalu, kebakaran kenderaan mencatatkan 276 kes berbanding 235 kes pada 2010.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pertandingan Larian Bersama Bomba 2012 di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Kuala Lumpur, Mohd. Tilmizi Mustapa dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan JBPM Kuala Lumpur, Azizan Ismail.

Khirudin menafikan dakwaan bahawa bahan api RON95 menjadi punca kenderaan mudah terbakar kerana belum ada bukti sahih mengenainya.

Sementara itu, pihaknya turut mengesan peningkatan kes kebakaran restoran akibat kecuaian pemiliknya melakukan penyelenggaraan corong asap di dapur.

Katanya, sebanyak 21 kes kebakaran melibatkan restoran di ibu negara dicatatkan pada 2011 berbanding 18 kes pada tahun sebelumnya.

"Selain gagal menyelenggara corong asap hingga menyebabkan sisa minyak membeku serta mudah terbakar apabila terdedah kepada percikan api, mereka juga sering membiarkan api dapur menyala bagi tujuan pemanasan makanan iaitu selepas restoran tidak beroperasi pada waktu malam," katanya.

Mengenai pertandingan Larian Bersama Bomba 2012 yang bakal berlangsung pada 6 Mei di Dataran Merdeka, beliau berharap JBPM dapat mencapai sasaran 5,000 peserta pada tahun ini.

Sesiapa yang berminat menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 bagi tempat pertama, mereka boleh mendapatkan borang di balai bomba berhampiran atau melayari laman web www.bomba.gov.my.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my