loading...
Showing posts sorted by relevance for query terbakar. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query terbakar. Sort by date Show all posts

Friday, March 18, 2011

RON95 Mudah Terbakar Dalam Kemalangan?

Dari arkib hmetro.com.my....

Nyaris rentung
SERDANG: Seorang lelaki nyaris rentung apabila terperangkap dalam keretanya yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua kereta lain di Kilometer 305.5 Lebuh raya Utara-Selatan (Plus) menghala Plaza Tol Sungai Besi, dekat sini, kelmarin.

Tiga kereta hangus akibat kerosakan bateri
GEORGETOWN: Kebakaran tiga kereta yang diletak di kawasan parkir berhampiran Kompleks Masyarakat Uplifting Moral di Jalan Macalister/Jalan Nunn, di sini, mengejutkan ratusan penganut Hindu yang berpusu-pusu menuju ke Kuil Chettiar Natukotai Arulmigu Balatandayuthabany ketika sambutan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga, di sini, malam kelmarin.

Empat rentung selepas kereta terbakar bertembung treler
KUANTAN: Empat rentung selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar di Kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat malam tadi.

OKU rentung kereta terbakar
KAJANG: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang berkaki palsu, maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terbakar akibat hilang kawalan di Kilometer 17.4, Lebuhraya Silk, di sini, awal pagi semalam.

40 kenderaan Perodua terbakar
KUALA LUMPUR: Empat puluh Perodua pelbagai model hangus dijilat api apabila gudang menyimpan kenderaan berkenaan di Jalan Layang-layang, di Puchong Jaya, di sini, terbakar, kira-kira 1 tengah hari, semalam.

2 beradik rentung dalam kemalangan
KUALA LUMPUR: Keakraban dua beradik bekerja di tempat sama sebagai pegawai pertanian berakhir dengan kematian tragis apabila kedua-duanya rentung selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 57.5, Jalan Klang-Teluk Intan-Tanjung Karang, kira-kira 11 pagi semalam.

Rentung nahas atas jambatan
GEORGETOWN: Seorang mekanik maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terbakar akibat hilang kawalan di Kilometer 5.1, Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam.

Arwah tidak makan
MASJID TANAH: “Sejak pagi semalam (kelmarin), dia tidak makan kerana katanya tidak berapa sihat selain hanya duduk di rumah sehingga rakan-rakannya menghubungi untuk mengajaknya keluar,” kata Dzalina Dzul, 22, kakak Dzarif Iskandar Dzul, 17.

Nyaris rentung
KOTA KINABALU: Tindakan pantas seorang anggota polis menarik keluar remaja yang terperangkap di dalam kereta terbakar menyelamatkannya daripada rentung dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 3, Jalan Lintas, di sini, kelmarin.

650 penumpang terkandas dua kereta api terbakar
PASIR MAS: Perjalanan kira-kira 500 penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ekspres Senandung Wau dari Tumpat ke KL Sentral di ibu negara, terkandas kira-kira dua jam selepas bahagian enjin utamanya terbakar dalam kejadian di Kilometer 505.5, Slow Machang dekat sini, kelmarin.

Rentung dalam kereta
BUTTERWORTH: Seorang jurujual sempat menikmati makan malam bersama beberapa rakannya sebelum dia rentung selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pembahagi jalan lalu terbakar di Kilometer 12.2 Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR), dekat Sungai Puyu, di sini, awal pagi semalam.

Sempat bual sebelum mati

GRIK: “Dia seperti tidak cedera biarpun kereta dipandu hangus, malah dia menghabiskan masa hampir setengah jam berbual dengan beberapa anggota polis trafik di tempat kejadian sejurus nahas itu,” kata saksi kejadian nahas yang meragut tiga nyawa di sini, kelmarin.

'Kereta terbakar, keluar cepat!'
MASJID TANAH: “Kereta terbakar, keluar cepat!” jerit seorang penumpang Proton Saga BLM yang terbakar akibat kemalangan di Jalan Masjid Tanah-Sungai Udang, dekat sini, awal pagi semalam, yang berakhir dengan seorang daripada mereka terbunuh manakala tiga lagi parah.

Daripada berita-berita di atas... timbul 1 persoalan, adakah petrol RON95 mudah terbakar?

Info dari beberapa blog .....

Sejak isu hangat kenaikan harga minyak petrol RON97, ada yang berpendapat kenaikan tersebut hanya untuk orang kaya sahaja sedangkan orang miskin tak menggunakan RON95. Kenyataan itu rasanya tak berapa tepat kerana dari pandangan saya dan pengalaman berbual dengan rakan-rakan saya tak berpendapatan sederhana, masih ramai yang menggunakan RON97 dengan alasan-alasan tersendiri seperti  dengan RON97 kereta mereka lebih pickup berbanding dengan menggunakan petrol RON95 yang dikatakan semput ketika naik bukit dan ketika memotong.

Malah yang makin hangat diperkatakan ialah minyak petrol RON95 menyebabkan kereta mudah terbakar apabila berlaku kemalangan kononnya kerana mengandungi kadar benzena yang tinggi dalam kandungan petrol RON 95.

Kata diaorang lagi banyak kereta baru yang tidak diubahsuai pun banyak yang terbakar seperti berita-berita dalam akhbar spt MPV arwah Achik Spin, kereta peronda yang terbakar apabila bergesel dengan Rexton di Lebuhraya Kesas, dan yang terbaru pada sabtu lalu, empat bersaudara rentung apabila kenderaan dinaiki terbakar selepas bertembung sebuah treler di Kilometer 119, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang.

Gambar kereta Viva baru yang terbakar di Sg Buloh dalam blog Ohtidak.
Di dalam akhbar semalam, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa agensi kerajaan dan pihak berkaitan mengkaji penggunaan bahan bakar RON95.

Gesaan itu dibuat berikutan terdapat dakwaan penggunaan bahan bakar berkenaan menjadi salah satu faktor kenderaan mudah terbakar apabila terbabit kemalangan.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun dakwaan itu belum terbukti, satu kajian perlu dilakukan bagi memastikan bakar itu selamat digunakan pengguna kenderaan.

“Ada desas-desus mengenai penggunaan RON95 sebagai salah satu faktor kenderaan mudah terbakar. Bagaimanapun, dakwaan itu belum terbukti.

“Namun, perkara ini perlu dipandang serius dan pihak tertentu sewajarnya mengkaji kebarangkalian kebenaran dakwaan itu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai jumlah kemalangan membabitkan kenderaan yang terbakar sehingga meragut nyawa kian meningkat kebelakangan ini.

Mohd Yusof bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kecuaian pemilik kenderaan menjadi salah satu faktor kenderaan terbakar apabila terbabit dalam kemalangan.

Ini pula kenyataan yang saya ambil dari forumer CG.

Kenapa RON 95 Mudah Meletup?
Assalamualaikum,

Minyak kenderan yang kita gunakan seharian diklasifikasikan sebagai RON (Reaserch Octane Number) yang mempunyai urutan nombor RON 84, 87, 91, 92, 95, 97 dan banyak lagi. Minyak kenderaan ini dihasilkan daripada campuran iso-octane, toluene dan benzene (benzena).

Pernomboran RON menunjukkan semakin tinggi nilai RON semakin banyak jumlah iso-octane yang terdapat di dalam minyak RON berkenaan. Ini bermakna, RON 97 lebih baik daripada RON 95 kerana RON 97 mempunyai kandungan octane lebih banyak daripada RON 95.

RON 95

Saya akui, saya tidak mengetahui secara lengkap formula minyak RON 95 Malaysia. Namun, sebagai ahli Kimia, saya boleh la membuat sedikit hipotesis mengenai kandungan RON 95 Malaysia.

RON 95 Malaysia pada amatan saya berbeza dengan RON 95 yang digunakan di negara Australia dan Eropah. Sebagai seorang ahli kimia, saya sangat biasa dengan bahan-bahan kimia. Pada amatan saya (maaf jika saya silap) RON 95 di Malaysia mengandungi kandungan benzena yang banyak.

Ini kerana semasa saya mengisi minyak RON 95, bau minyak tersebut lebih banyak berbau benzena. (saya biasa dengan bau benzena)…. Jadi saya menjangkakan bahawa kandungan RON 95 Malaysia mempunyai benzena yang tinggi.

Benzena mudah terbakar

Benzena adalah sebatian kimia organik dengan formula molekul C6H6. Benzena tergolong dalam kumpulan hidrokarbon aromatik, tidak berwarna dan sangat mudah terbakar. Kadar flash point benzena ialah -11 darjah celcius.

Sedangkan unsur lain dalam minyak RON 95 iaitu octane, walaupun mudah terbakar namun tidaklah semudah benzena iaitu kadar flash point octane adalah 4.5 darjah celcius, manakala flash point toluene adalah 4 darjah celcius.

Ini bermakna, RON 97 kurang mudah terbakar daripada RON 95 kerana kadar benzena RON 97 adalah lebih rendah daripada RON 95 sebab mempunyai kandungan octane yang tinggi. Sedangkan RON 95, sangat mudah terbakar kerana mempunyai kandungan benzena yang tinggi.

Itulah hipotesis yang dapat saya lakukan…(jika tersilap saya mohon maaf kerana saya juga manusia biasa yang tidak lari daripada kesilapan)

Harap pihak yang bertanggungjawab membuat kajian yang dalam kerana nyawa bukan benda yang boleh dibuat main walaupun ajal maut itu Allah SWT yang menentukannya.










Saturday, October 6, 2018

5 Sekeluarga Rentung Dalam Kemalangan Selepas Terowong Menora


HANYA jeritan lemah meminta tolong didengari saksi kemalangan ngeri membabitkan treler dan sebuah yang terbakar hingga mengakibatkan lima orang dipercayai satu keluarga rentung di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, Kuala Kangsar, hari ini.

Nurul Amelia Amran yang sedang memandu dari arah bertentangan berkata, ketika berselisih dengan kereta mangsa beberapa minit selepas kemalangan itu, dia mendengar jeritan seorang wanita yang tersepit di dalam kereta meminta tolong.

Menurutnya, ketika kejadian keretanya hanya beberapa meter dari kereta mangsa dan dia berasa sangat terkilan kerana tidak mampu menolong mangsa.

“Saya dalam perjalanan menuju ke arah Ipoh dari Kuala Kangsar dan nampak semuanya dengan mata sendiri...dari jauh saya nampak treler itu menghampiri kereta mangsa sehingga ia dihimpit di antara treler dan pembahagi jalan.

“Ketika kereta saya berselisih dengan kenderaan yang kemalangan itu, saya terdengar suara seorang perempuan meminta tolong.

“Suara itu sangat lemah, tetapi saya boleh dengar kerana berada tidak jauh dari kejadian itu dan saya berhenti di bahu jalan untuk melihat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, hari ini.

Nurul Amelia berkata, ramai pengguna lebuh raya lain yang berhenti untuk menolong mangsa di dalam kereta itu, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak.

Dalam kemalangan pada 11.45 pagi itu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan daripada Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta berkenaan ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata buat masa ini identiti semua mangsa masih belum diperoleh susulan rentung dan usaha mengenalpasti mangsa sedang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan treler yang membawa muatan biji besi (amang) dengan kereta yang nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan kerana ia terbakar.

“Kenderaan berat dan kereta itu dipercayai dari arah selatan menghala ke utara dan sebaik tiba di lokasi kejadian, treler berkenaan hilang kawalan menyebabkan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan sebelum menghimpit dan menggesel beberapa kenderaan lain termasuk kereta yang terbakar itu.

“Kereta dinaiki mangsa diseret di lorong kanan menyebabkan terhimpit antara pembahagi jalan konkrit di tengah laluan dengan badan treler sebelum terbakar,” katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu pemandu dan semua penumpang kereta berkenaan tersepit di dalam kenderaan dan setakat ini, lima disahkan maut di tempat kejadian.

Menurutnya, pemandu treler berusia 41 tahun pula tidak cedera dan dan maklumat lanjut semua mangsa akan diberikan sebaik pegawai penyiasat memperolehinya.


5 Rentung



LIMA dipercayai sekeluarga disahkan rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora di Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, treler membawa muatan bijih besi dikatakan dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta berkenaan ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata buat masa ini identiti semua mangsa masih belum diperoleh susulan rentung dan usaha mengenalpasti mangsa sedang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler jenis Volvo bersama muatan biji besi (amang) dengan sebuah kereta yang nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan (terbakar).

“Kenderaan berat dan kereta itu dipercayai dari arah selatan menghala ke utara dan sebaik tiba di lokasi kejadian, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan sebelum menghimpit dan menggesel beberapa kenderaan lain termasuk kereta yang terbakar itu.

“Kereta dinaiki mangsa diseret di lorong kanan menyebabkan terhimpit antara pembahagi jalan konkrit di tengah laluan dengan badan treler sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu pemandu dan semua penumpang kereta berkenaan tersepit di dalam kenderaan dan setakat ini, disahkan lima maut terbakar di tempat kejadian.

Katanya, pemandu treler berusia 41 tahun tidak cedera dan maklumat lanjut mengenai semua mangsa akan diberikan kemudian.

“Usaha mengenalpasti jenis kereta terbakar itu sedang dijalankan dan siasatan lanjut kini dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar, berkata kerja mengalihkan treler berkenaan dilakukan dan pemeriksaan pihaknya mendapati seramai lima mangsa ditemui rentung dalam kereta berkenaan.

“Semua mangsa dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kami kemudian melakukan kerja mengalihkan sepenuhnya treler berkenaan,” katanya.


Video







Wednesday, December 7, 2011

Rentung Gagal Potong Treler


ALOR SETAR - Seorang lelaki rentung apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Kampung Perenggam sewaktu perjalanan dari Batas Paip ke Kuala Kedah, kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mangsa, Peh Tiong Boon, 30, yang memandu kereta Proton Wira cuba memotong treler, namun tidak berjaya.

Menurutnya, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan ke arah kanan dan melanggar sebatang pokok.

“Selepas melanggar pokok, kereta dipandu mangsa berpusing beberapa kali sebelum mengeluarkan percikan api,” katanya.

Mohd Sham berkata, sebelum kereta mangsa terbakar, dia masih dalam keadaan sedar dan cuba untuk menyelamatkan diri, namun kedua-dua kakinya tersepit.
Menurutnya, orang awam yang berada di tempat kejadian tidak sempat untuk menyelamatkan mangsa kerana api mula marak.

Sementara itu, saksi kejadian, Salleh Mohd Anuar, 26, berkata, ketika kejadian dia berada berhampiran tempat kemala­ngan dan terlihat api bernyala dari jarak jauh.



Meronta minta tolong

ALOR SETAR: “Separuh badannya sudah keluar, tetapi kakinya tersepit menyebabkan dia mati terbakar. Saya cuba bantu, tapi gagal kerana api semakin marak.”

Demikian kata Mohd Suhaimi Hamid, 24, menyaksikan kematian tragik Peh Tiong Boon, 30, yang sebahagian tubuhnya rentung apabila kereta Proton Wira Aeroback dipandunya meletup dan terbakar selepas merempuh sebatang pokok di Kampung Peragam, Jalan Teluk Bagan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Peh dikatakan cuba memotong sebuah lori, namun keretanya terbabas lalu merempuh sebatang pokok, seterusnya berpusing beberapa kali sebelum meletup dan terbakar. Mohd Suhaimi berkata, dia nampak mangsa meronta-ronta sambil menjerit meminta tolong serta cuba keluar, namun gagal disebabkan kakinya tersepit.

“Apakan daya, saya tidak mampu membantu kerana api marak dengan cepat. “Sebelum itu, saya dengar dentuman kuat. Sejurus keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku. Saya nampak kereta itu berpusing-pusing selepas merempuh sebatang pokok dan akhirnya terbakar,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Raja, Md Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 8.44 malam.


“Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati kereta itu terbakar dan terdapat seorang lelaki di dalamnya. Mangsa hampir rentung di bahagian badan.

“Kebakaran dapat dikawal dalam masa lima minit dan anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit,” katanya.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mangsa dalam perjalanan dari Batas Paip menghala ke Kuala Kedah, di sini.

“Mangsa cuba memotong sebuah lori, tetapi hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok. Kereta mangsa terbalik dan berpusing-pusing sehingga berlaku percikan api sebelum meletup dan terbakar.

“Sebelum keretanya terbakar, mangsa masih sedar dan cuba menyelamatkan diri serta cuba dibantu orang ramai. Bagaimanapun, usaha itu gagal kerana kedua-dua kaki mangsa tersepit dan api mula marak,” katanya.

Katanya, mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk dibedah siasat.


Sumber: kosmo
             nst
            Sinar Harian
           myMetro

Sunday, July 31, 2011

Proton Wira Terbakar Rempuh Bas UITM


ALOR GAJAH: Seorang pekerja sebuah stesen penapisan minyak maut selepas Proton Wira dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah bas Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Lendu, dekat sini, pagi semalam.

Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Alor Gajah, Cif Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Khairul Fazli Suli, 33, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah.


Menurutnya, Proton Wira dipandu mangsa dari arah Port Dickson hilang kawalan selepas dipercayai memotong sebuah kereta di satu selekoh lalu bertembung dengan bas membawa 24 pelajar UiTM itu.

“Pemandu bas dikatakan menekan brek kecemasan namun terlajak sebelum kenderaan itu dirempuh kereta mangsa. Akibat rempuhan, Proton Wira itu terperosok di bahagian depan bas.


“Sejurus kemalangan, berlaku beberapa letupan kecil lalu kenderaan itu terbakar dan menyebabkan pemandunya melecur,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, mayat mangsa dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Saharuddin mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Zainuddin Joned berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.

“Sebaik tiba, kami mendapati kedua-dua kenderaan itu terbakar dan api berjaya dipadam dalam masa satu minit.


“Mayat pemandu kereta yang terbakar dikeluarkan dalam masa 10 minit,” katanya.

Rentung Proton Wira

“Saya nampak pemandu Proton Wira itu bergerak lemah sebelum kenderaannya terbakar,” kata seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terbabit kemalangan di jalan Kampung Paya Rumput-Lubok China, di sini, pagi semalam.

Pelajar itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd Fadhli, 19, berkata dia tidak sempat membantu pemandu kereta itu kerana api marak dengan cepat.


“Saya dan beberapa pelajar lain segera berlari ke belakang bas kerana bimbang kereta dan bas meletup.

“Pemandu bas segera menghubungi talian kecemasan dan bomba tiba dalam masa beberapa minit untuk memadam kebakaran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 8.30 pagi, Khairul Fazli Suli, 33, maut dan badannya melecur hampir 40 peratus selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas UiTM kampus Lendu.


Bagaimanapun, 24 pelajar dan dua pensyarah serta pemandu dan pembantunya di dalam bas itu tidak cedera.

Metro Ahad difahamkan, Khairul Fazli dari Port Dickson, Negeri Sembilan yang bekerja di stesen penapisan minyak sebuah syarikat di Sungai Udang datang dari arah Lubok China menuju ke Masjid Tanah sebelum kereta dipandunya dikatakan hilang kawalan.


Menceritakan kejadian itu, Mohd Fadhli berkata, dia dan beberapa penumpang lain terkejut selepas pemandu bas menekan brek kecemasan.

Katanya, pemandu bas mengelak ke kanan namun bertembung dengan kereta berkenaan.


“Sebaik berlaku kemalangan, pemandu bas segera turun dan membuka pintu kecemasan lalu mengarahkan semua penumpang turun kerana bimbang bas terbakar.


“Kami sepatutnya menghadiri satu program di Eagle Ranch, Pasir Panjang namun terkandas di tengah jalan kerana kejadian ini,” katanya.


Sementara itu, pemandu bas, Mohamad Amin, 46, berkata ketika di tempat kejadian, sebuah kereta dilihat hilang kawalan lalu merempuh bahagian depan bas dipandunya.


“Saya cuba tekan brek sejauh 50 meter namun disebabkan jalan licin, bas terus bergerak dan pada masa sama saya cuba mengelak ke kiri jalan.


“Bagaimanapun, bas dipandu tetap terbabit kemalangan dengan kereta itu. Sebaik berlaku kemalangan, saya segera turun dan mengarahkan penumpang turun melalui pintu kecemasan,” katanya yang bertolak dari UiTM Lendu jam 8.10 pagi menuju ke Pasir Panjang, Negeri Sembilan.


Menurutnya, dia bersyukur semua penumpang bas tidak cedera, namun terkilan kerana tidak dapat membantu Khairul Fazli yang melecur.

Sumber: myMetro

Tuesday, December 17, 2013

Empat terbakar bersama Skyline


18 Disember 2013
Kuala Lumpur: Empat maut apabila kereta jenis Nissan Skyline terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di bulatan Kampung Pandan di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.42 tengah malam itu, kenderaan dinaiki empat mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 20-an itu terbabas sebelum melanggar bahu jalan dan terbakar.

Harian Metro difahamkan, empat mangsa yang mengalami kecederaan gagal keluar daripada kenderaan itu menyebabkan mereka terbakar bersama kereta berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan kira-kira jam 12.42 tengah malam.


"Beberapa jentera dengan 13 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan tiba di kira-kira 10 minit kemudian sebelum usaha memadamkan kebakaran dilakukan.


"Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati empat mangsa terbakar dalam kebakaran berkenaan.

"Seorang wanita dan tiga lelaki dipercayai maut dalam kejadian berkenaan," katanya memberitahu, identiti mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan.










KUALA LUMPUR- Seramai enam individu maut dalam insiden kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta jenis Nissan Skyline yang berlaku di Bulatan Kampung Pandan berhampiran Kompleks Sukan Kampung Pandan di sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 12.30 malam itu, kereta yang dinaiki oleh seorang lelaki dan lima wanita itu dalam perjalanan menuju ke Kampung Pandan, sebelum terbabas lalu merempuh tiang jejambat kemudian memasuki laluan bertentangan.

Pemandu kereta itu dipercayai seorang lelaki warga Britain dikenali sebagai Simon John Hall berusia 40 tahun, manakala tiga penumpang warga Filpina dan dua warga Myanmar juga gagal menyelamatkan diri selepas kenderaan tersebut terbakar.

Mangsa, dua wanita Myanmar dikenali sebagai Pi Pi dan Ester Sui masing-masing berusia 20 tahun dan 26 tahun yang berkhidmat sebagai pekerja sambilan di pusat hiburan ibu kota.

Selain itu, tiga mangsa lain iaitu wanita Filipina dikenali sebagai Siso Aileen, 30, bekerja sebagai pembantu rumah. Seterusnya, Maileen Tentative Montejo, 26, dan Mary Grace Macaraig, 24, dan bekerja sebagai pekerja sambilan di pusat hiburan.

Siasatan awal polis mendapati, kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa dari arah Bukit Bintang ke susur Kampung Pandan.

Komanden Operasi Kanan, Hamid Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.42 malam.

“Seramai 13 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Dan Penyelamat Pudu dan Hang Tuah tiba ke lokasi kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Beliau berkata, ketika pihaknya tiba ke lokasi, api marak dan kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu rentung.

"Kita berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit itu kira-kira 20 minit. Kita terpaksa memotong bumbung kereta tersebut untuk mengeluarkan kesemua mangsa, mangsa yang terakhir dikeluarkan adalah pemandu kereta itu,” katanya.

Kesemua mayat di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Turut difahamkan, pemandu merupakan kawan kepada majikan lima wanita ini dan dalam perjalanan menghantar mereka pulang setelah selesai makan malam.






VIDEO


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Empatmautkeretaterbakar//Article?HarianMetro
http://www.facebook.com
http://www.sinarharian.com.my/semasa/enam-rentung-dalam-kemalangan-ngeri-1.231982




Thursday, April 7, 2011

Sepasang Kekasih Rentung


Al-Fatihah,,,

JOHOR BAHRU: Impian sepasang kekasih yang gigih bekerja demi mengumpul wang untuk melangsungkan perkahwinan dijadualkan akhir tahun ini, tidak kesampaian apabila rentung bersama dalam kereta dinaiki yang terbakar sejurus dirempuh lori dalam kemalangan di Lebuhraya Kempas dekat sini, malam kelmarin.

Ketika kejadian jam 10.15 malam di Kilometer 2.7 lebuh raya itu dekat Kampung Kempas Baru, Norhisham Wahab, 34, dan Rafidah Hairodin, 27, yang sudah bertunang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sewa masing-masing, selepas keluar makan malam bersama.
Nasib malang menimpa pasangan yang berasal dari FELDA Air Tawar 4 dan 5 dekat Kota Tinggi itu, apabila bahagian belakang kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kargo kosong yang melalui laluan sama.

Akibat perlanggaran itu, kereta pasangan berkenaan diseret sejauh kira-kira 50 meter sebelum terbakar dengan kedua-dua mangsa terperangkap dalam remukan kenderaan terbabit.

Pekerja pejabat guaman, Mohd Amir Rashid, 38, berkata beliau dan dua rakannya yang sedang bermain badminton dalam dewan bersebelahan tempat kejadian, bergegas meninjau kemalangan terbabit sejurus terdengar bunyi dentuman.

“Ketika itu, kebakaran baru bermula di bahagian kepala lori dan belakang kereta Kancil terbabit. Ketika menghampiri kenderaan itu, saya dapati pasangan terbabit sudah terkulai di dalamnya tetapi usaha membuka pintu kereta bagi mengeluarkan mereka tidak berhasil kerana remukan kereta itu serta bahang panas akibat kebakaran.
“Ketika itu juga, seorang pemandu teksi berhenti menghulurkan bantuan alat pemadam kebakaran yang kecil tetapi tidak berupaya memadam api. Dalam kekalutan itu, secara tiba-tiba api menyambar keseluruhan kereta bersama pasangan berkenaan yang masih berada di dalamnya.

“Saya dan rakan terpaksa berundur menyelamatkan diri bimbang disambar api. Ketika itu, saya dan rakan hanya mampu melihat terkejut serta menahan sebak melihat pasangan terbabit dimamah api yang menjulang dan rasa terkilan kami tidak mampu berbuat apa-apa bagi membantu mereka,” katanya dengan rasa sedih.

Mohd Amir berkata, selepas kira-kira 10 minit kenderaan itu terbakar, secara tiba-tiba lori yang pada asalnya melekat dengan kereta terbabit, mengundur ke belakang menuruni kawasan berbukit di situ.

Difahamkan, pemandu lori berkenaan sudah menghilangkan diri daripada tempat kejadian.

Ibu Norhisham, Fatimah Kamil, 59, berkata beliau menerima panggilan polis berhubung kejadian malang yang menimpa anak ketiganya daripada empat beradik itu jam 2 pagi semalam.

“Kali terakhir, saya bertemunya pada Ahad lalu apabila dia pulang ke kampung seperti kebiasaannya pada setiap hujung minggu. Saya tidak sangka itulah kali terakhir bertemu dengannya.

“Saya tahu dia sibuk melakukan pelbagai pekerjaan di sekitar Pasir Gudang kerana mengumpul wang untuk mengahwini tunangnya dikenali sebagai Fidah, akhir tahun ini, selepas menangguhnya sebelum ini kerana tidak cukup wang,” katanya yang mengesahkan kereta terbabit adalah milik Rafidah.

Ketua Zon Johor Bahru Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Penguasa Bomba Raja Saiful Iswandy Raja Hassan, berkata 12 anggota dengan tiga kenderaan dihantar ke lokasi itu dalam masa enam minit, tetapi api sudah marak dan memusnahkan seluruh kereta berkenaan.

Sementara itu, pemandu lori terbabit dikatakan menyerah diri di Balai Polis Taman Unku Tun Aminah sejurus selepas kemalangan, selepas meninggalkan lokasi kejadian dan menghubungi majikannya.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana membabitkan kematian dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah di talian 07-5571952, bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Sumber: bharian.com



JOHOR BAHRU: “Kami lihat pasangan berkenaan terkulai dan tiba-tiba api menyambar keseluruhan kereta. Tiada apa kami dapat lakukan, hanya menahan sebak melihat mereka rentung tanpa dapat membantu,” kata Mohd Amir Rashid, 38, yang tidak dapat membantu Norhisham Wahab, 34, dan tunangnya, Rafidah Hairodin, 27, daripada rentung selepas Perodua Kancil dinaiki mereka terbakar akibat dirempuh lori di Kilometer 2.7, Lebuh raya Kempas, semalam.

Amir bertugas sebagai kerani di sebuah firma guaman di bandar raya ini yang ditemui di tempat lokasi kejadian berkata, dia dan dua rakan sedang bermain badminton di dewan berhampiran apabila terdengar bunyi dentuman kira-kira jam 10.15 malam.


“Kami bergegas ke tempat kemalangan dan mendapati kebakaran baru saja bermula di kepala lori dan belakang Kancil. Kami cuba membuka pintu kereta tetapi gagal kerana remuk selain api yang semakin marak.

“Ketika itu, seorang pemandu teksi muncul dan cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api bersaiz kecil tetapi gagal,” katanya.


Ketika masing-masing berusaha menyelamatkan pasangan berkenaan, api tiba-tiba menyambar keseluruhan Kancil menyebabkan mereka semua terpaksa berundur kerana bimbangkan keselamatan diri.


“Ia cukup memilukan kerana kami nampak dengan jelas pasangan berkenaan terbakar. Semua yang ada pilu kerana gagal menyelamatkan mereka,” katanya berlinangan air mata.

Selepas kira-kira 10 minit Kancil itu terbakar, secara tiba-tiba lori yang pada asalnya melekat pada kenderaan itu, mengundur.


“Saya dan rakan menghampiri lori itu tetapi pemandunya didapati sudah tiada. Kami cuba mencarinya namun gagal,” katanya.

Dalam kejadian itu, Kancil berkenaan dirempuh dari belakang oleh sebuah lori sebelum sekali lagi dirempuh lori kargo tanpa muatan yang berada di belakang lori pertama dan mengheret kereta berkenaan sejauh kira-kira 50 meter menyebabkan mangsa terperangkap dan gagal keluar apabila kebakaran berlaku. Sementara itu, ibu Norhisham, Fatimah Kamil, 59, yang ditemui di bilik mayat Hospital Kulaijaya, semalam berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu Ahad lalu.


“Saya tahu dia sibuk bekerja siang dan malam kerana tidak mahu majlis perkahwinannya yang dirancang akhir tahun ini tertangguh sekali lagi akibat masalah kewangan seperti yang berlaku sebelum ini.


“Tiada sebarang perubahan sikap ditunjukkan Norhisham ketika saya bertemunya Ahad lalu dan tidak sangka itu pertemuan terakhir kami,” katanya sebak.


Menurut Fatimah, anaknya bekerja sebagai pemandu lori di Pasir Gudang dan bertunang dengan Rafidah hujung tahun lalu.


Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kulai sebelum dituntut keluarga masing-masing petang semalam untuk dikebumikan.

Sumber: myMetro

Friday, August 2, 2013

Lima sekawan nyaris rentung dalam van

Lima sekawan nyaris maut apabila van yang dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Jalan Tanjung Ipoh


2 Ogos 2013
TANJUNG IPOH – Lima sekawan nyaris maut apabila van yang dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Jalan Tanjung Ipoh menghala ke Kuala Pilah, pagi semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mazalan Jantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.08 pagi dari Balai Polis Tanjung Ipoh sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, van yang dinaiki lima sekawan itu sudah terbakar.

“Bila kami tiba di tempat kejadian jam 9.11 pagi, van tersebut sudah hampir 60 peratus terbakar. Bagaimanapun, kelima-lima mangsa sempat menyelamatkan diri dan tidak cedera.

“Jika lewat sedikit, berkemungkinan mangsa terperangkap ekoran sukar membuka pintu apabila api sedang marak. Bagaimanapun, Alhamdulillah, mereka semua selamat,” katanya.

Mazalan berkata, berdasarkan maklumat awal sebelum kejadian, pemandu van berkenaan terlanggar objek dipercayai besi di selekoh jalan berkenaan.

“Kemudian, salah seorang penumpang daripada mereka ternampak percikan api dari bawah van berkenaan lalu memberitahu pemandu van.

“Sejurus itu, pemandu van memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum kesemua mereka bertindak keluar bagi mengelakkan terperangkap. Selepas itu, api semakin marak dan membakar van berkenaan hampir 93 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan dalam masa lima minit dengan kekuatan enam anggota dan sebuah jentera.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Bagaimanapun mangsa memberitahu terdapat dua komputer riba dan peralatan Telekom Malaysia hangus terbakar,” katanya.

Sementara itu, difahamkan kelima-lima mangsa hendak pergi ke Kuala Pilah bagi menghadiri mesyuarat.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lima-sekawan-nyaris-maut-1.189263




Saturday, September 17, 2011

Hampir Rentung Terjunam Ke Tali Air


Inalillahi wainailaihi rojiun

TUMPAT – Dua lelaki seorang daripadanya hampir rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabas dan menjunam ke tali air di Kilometer 2.5 Jalan Berangan–Meranti dekat Kampung Kok Seraya, di sini, malam kelmarin.

:Pemandu kereta terbabit, Mohammad Rasid Sabudin, 23, dari Kampung Telaga Bata dan penumpangnya, merupakan rakan mangsa, Mohamad Sidik, 32, dari Kampung Geting di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa terperangkap dalam kereta Proton Wira itu bersama timbunan tong yang berisi minyak petrol diisi padat bagaikan ikan sardin dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, kereta tersebut seolah-olah berada dalam kolam berapi, dalam keadaan separuh tenggelam manakala keempat tayarnya berada di atas dikelilingi dengan api yang marak menjulang setinggi hampir empat meter kerana berlaku tumpahan minyak.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu dan penumpang dipercayai penyeludup membawa minyak petrol yang diisi di dalam kira-kira 20 tong dalam perjalanan dari arah Berangan menghala ke Chabang Empat.

“Sampai di tempat kejadian, kereta terbabit yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan merempuh benteng simen tong sampah.

“Kereta tersebut terbakar dan terus masuk ke dalam tali air tersebut,” katanya.

Khalid berkata, pemandu maut di tempat kejadian apabila terbakar teruk di bahagian muka dan hampir seluruh badan dan punca kematian disebabkan mati lemas.

“Manakala mangsa kedua (penumpang) mengalami kecederaan terbakar di bahagian badan dan kedua kakinya turut cedera,” katanya.

Menurutnya, kereta mangsa remuk di bahagian depan, kiri pecah, kedua–dua tayar belakang pecah.

“Keseluruhan badan sebelah kiri dan belakang kereta terbabit terbakar,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Anuarrulhakim Mohny mengesahkan terima panggilan kejadian kebakaran tersebut pada jam 10.29 malam dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian bersama 13 anggota dari balai Tumpat dan Pengkalan Kubur membabitkan tiga jentera.

Katanya, pihak bomba mengambil masa selama setengah jam bagi memadamkan api sepenuhnya daripada merebak sebelum operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.

Operasi menyelamat katanya, mengalami kesulitan kerana ia berlaku dalam air yang bercampur dengan tumpahan minyak.

“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 12.20 malam manakala mangsa kedua pula pada jam 12.28 kira-kira lapan minit kemudian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.

Sumber: SH

Saturday, June 15, 2013

Tiga sekeluarga nyaris maut



15 Jun 2013
KUALA KANGSAR - “Saya tak sempat nak selamatkan barang lain, hanya komputer riba saja yang sempat saya bawa keluar.” Kata Mat Daud Ahmad, 45, pemilik kereta jenis Honda Civic yang terbakar di KM 253.1 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara.

Kereta yang dinaiki Mat Daud bersama isteri dan ibu mentuanya dalam perjalanan ke Kedah dari Kuala Lumpur.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan dia cuba untuk memadamkan kebakaran namun gagal.

“Polis Peronda juga ada bantu untuk padamkan api tapi tidak berjaya juga.

“Lebih kurang 10 minit saja, kereta saya hangus terbakar. Saya hanya mampu lihat, tak mampu nak padamkan api yang semakin marak itu,” katanya.

Tambahnya, dia menyedari asap keluar dari saluran penghawa dingin keretanya lalu dia memberhentikan kereta di tepi jalan.

“Saya turun kereta dan periksa enjin, di enjin pun ada asap juga masa itu. Tak lama lepas itu, ada sedikit percikan api di bahagian hadapan kereta.

“Masa itu semua orang dalam kereta dah keluar. Kejap saja, terus habis terbakar kereta saya,” katanya.

Dalam pada itu, kebakaran yang berlaku pada 9.15 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM35,000.

Sementara itu, pasukan bomba dan penyelamat Kuala Kangsar menerima laporan kebakaran pada jam 9.23 pagi lalu bergegas ke tempat kejadian.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Kuala Kangsar, Abdul Halim Mat Sigar berkata, seramai lapan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan tersebut.
“Semasa kami sampai, kereta tersebut sudah hangus terbakar.

"Tidak ada mangsa yang maut ataupun cedera.  Kesemua mangsa sempat keluar dari kereta tersebut sebelum kereta itu terbakar keseluruhan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/tiga-sekeluarga-nyaris-maut-1.171590




Tuesday, June 4, 2013

3 beranak maut motor bertembung kereta



Inalillahi wainailaihi rojiun

4 Jun 2013
BUKIT MERTAJAM: Tiga mangsa kemalangan yang maut, termasuk seorang yang rentung dalam kejadian di Jalan Hutan Petai Bukit Teh, malam tadi dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri dan seorang anak perempuan berusia tiga tahun.



Mangsa yang maut dikenali sebagai Hasmizam Yahya, 36, isterinya Yusniza Abdul Rahman, 31, dan anak perempuan mereka, Nurul Huda, 3.
Hasmizam ditemui rentung di dalam kereta, dipercayai terpelanting dari motosikal yang dinaiki.

Nurul Huda ditemui terbaring di tepi jalan bersebalahan bahagian pemandu kereta dan sedikit terbakar di badan, sementara Yusniza terpelanting beberapa meter di belakang kereta yang terbakar itu.


Seorang lagi anak mangsa yang turut terbabit dalam kemalangan ngeri itu, Hawa, 4, patah tulang belakang, bahu dan tulang pinggul dan masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).


Dalam kejadian kira-kira 9.20 malam tadi, empat sekeluarga yang menaiki sebuah motosikal dipercayai dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan, menyebabkan kesemua mereka tercampak dari kenderaan terbabit dan tiga daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Saga, seorang lelaki Cina hanya cedera ringan dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.
Kemalangan turut menyebabkan kereta dan motosikal terbabit terbakar berikutan geseran yang berlaku ketika kemalangan.

Kedua-dua kenderaan tersebut terbakar selepas bertembung menyebabkan Yusnizam turut terbakar selepas tersepit manakala isteri dan anaknya maut akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.


Kesemua jenazah akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Janggus Cheruk Tokkun di sini


Teringin pakaian putih

Yusniza, 31, yang maut bersama suami, Hasmizam Yahya, 36, serta Nurul Huda manakala seorang lagi anak pasangan itu, Nurul Hawa, 4, parah dalam kemalangan di Jalan Hutan Petai, Bukit Teh


 “Ketika kenduri kahwin saudara Sabtu lalu, kakak ada beritahu dia teringin hendak memakai pakaian warna putih dan mahu menyerahkan anaknya Nurul Huda, 3, kepada orang lain untuk dijaga.

“Saya tak sangka itu petanda kakak akan pergi buat selama-lamanya semalam (kelmarin),” kata Yusrizal Abdul Rahman, 27, adik kepada Yusniza, 31, yang maut bersama suami, Hasmizam Yahya, 36, serta Nurul Huda manakala seorang lagi anak pasangan itu, Nurul Hawa, 4, parah dalam kemalangan di Jalan Hutan Petai, Bukit Teh, di sini, malam kelmarin.

Yusrizal berkata, hasrat itu dinyatakan kakaknya kepada salah seorang saudara ketika menghadiri kenduri perkahwinan saudara mereka Sabtu lalu.

Katanya, kali terakhir berjumpa kakaknya itu pada Ahad lalu ketika mereka sama-sama menghadiri satu lagi kenduri perkahwinan di rumah saudara mereka, dekat sini, namun kakaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau kelainan.

“Namun, selepas kemalangan, seorang saudara memberitahu kami mengenai hasrat arwah itu yang mahu memakai pakaian putih dan menyerahkan Nurul Huda kepada orang lain untuk dijaga ketika berjumpa dengannya Sabtu lalu,” katanya ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Bukit Mertajam, di sini, semalam.


Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Teringinpakaianputih//Article
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm
http://www.hmetro.com.my/articles/3mautmotosikaldirempuhkereta//Article
http://www.thesundaily.my/news/733186


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my