loading...

Friday, March 30, 2012

Ahli Majlis MPSP Maut Dirempuh Lori


 Inalillahi wainailaihi rojiun  

KEPALA BATAS - Seorang Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) maut selepas dirempuh sebuah lori membawa ais kiub di Pokok Sena di sini, kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Bakhtiar Appandi Yahya, 56, maut di tempat kejadian ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sena melalui jalan Sungai Dua-Kepala Batas.

Bakhtiar Appandi bapa kepada dua anak berusia 25 dan 29 tahun, yang merupakan bekas kakitangan Kastam Diraja Malaysia dikatakan baru selesai menghadiri mesyuarat peringkat Cawangan Pokok Sena berdekatan kawasan kemalangan sebelum itu.

Difahamkan, pemandu lori itu gagal mengelak mangsa lalu merempuhnya menyebabkan dia terjatuh dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pemandu lori terbabit yang berusia lingkungan 35 tahun kemudiannya turun untuk melihat keadaan mangsa, namun dibelasah orang ramai yang menyaksikan kejadian itu sebelum mereka bertindak membakar lori tersebut.

Pemandu berbangsa India itu cedera parah di beberapa bahagian badan, termasuk kepala dan diselamatkan anggota polis sebelum dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut.

Bakhtiar Appandi, yang juga ahli jawatankuasa PKR Bahagian Tasek Gelugor memegang portfolio trafik, perlesenan dan penguatkuasaan dilantik memegang jawatan itu sejak tahun lalu sebelum disambung semula Januari lalu.

Mayat mangsa dibawa ke HKB untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Banggol dekat sini malam kelmarin.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman, Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd Sharif, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Farizan Darus dan beberapa Exco Kerajaan Negeri turut melawat jenazah mangsa di HKB.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Asisten Superintendan Suhami Md Nor ketika dihubungi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut insiden pemandu lori yang parah dipukul orang awam itu kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/ahli-majlis-maut-dirempuh-lori-1.36374

Terhumban dari jambatan


KUCHING 29 Mac - Seorang pekerja sebuah syarikat pemaju di sini nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terhumban dari jambatan Tun Abang Muhammad Salahuddin di Kuching, semalam.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang, mangsa, Mohd. Wan Ali, 40, bernasib baik apabila hanya cedera ringan meskipun keadaan kenderaan yang dipandunya itu terbalik.

Difahamkan, mangsa sedang memandu kenderaan menghala ke Muara Tebas dan tiba-tiba sebuah motosikal yang berada di hadapannya kemalangan menyebabkan Mohd. Wan cuba mengelak daripada merempuh penunggang motosikal terbabit.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_05.htm

45 minit menahan kesakitan

ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan selama lebih 45 minit selepas kenderaan berat membawa muatan batu kerikil dipandunya terbalik di Jalan Masjid Tanah-Sungai Udang dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Abd Ghani Md Noh, 51, dalam perjalanan dari Masjid Tanah ke bandar Melaka dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kanan lori tiga tan dipandunya meletup.


Berikutan itu, kenderaan mangsa terseret kira-kira 10 meter dan terbalik dengan empat tayar ke atas menyebabkan mangsa tersepit.

Saksi kejadian dikenali Ramasamy, 45, berkata, dia yang dalam perjalanan dari Sungai Udang ke Masjid Tanah terdengar letupan kuat ketika melalui satu selekoh berbukit sebelum melihat lori dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan dan terbalik menyebabkan muatan batu kerikil bertaburan.


“Saya dan beberapa orang awam segera memberhentikan motosikal dan berlari ke arah mangsa yang sedang meraung kesakitan.


“Mangsa bagaimanapun gagal dikeluarkan kerana lorinya terbalik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan di kaki kiri.


Sementara itu, seorang saksi yang memandu di belakang lori terbabit, Ismail Khamis, 37, berkata, dia terkejut apabila tayar lori terbabit tiba-tiba meletup menyebabkan kenderaan itu terhoyong-hayang sebelum terbabas dan merempuh tebing lalu terbalik.


“Nasib baik saya sempat memperlahankan motosikal dan mengelak kerana muatan batu kerikil dibawa bertaburan atas jalan,” katanya.


Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Zainuddin Joned, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 3.15 petang.


“Sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi untuk melakukan kerja menyelamatkan pemandu lori itu,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Meraungbawahloriterbalik/Article/index_html

Sepasang Warga Emas Nyaris Maut


KAMPUNG LAMIR - Rutin sepasang suami isteri warga emas yang sering berulang alik dari rumah mereka di Indera Mahkota, Kuantan ke rumah saudara mara di sekitar kawasan Peramu setiap minggu bertukar mimpi ngeri apabila terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kampung Lamir, baru-baru ini.

Pasangan warga emas berusia 80-an itu dikatakan bertolak dari rumah pada awal pagi untuk ke rumah salah seorang saudara mereka di Peramu Jaya 3.

Anak saudara mangsa, Kairuman Abu Salim berkata, dia terkejut apabila kereta Proton Saga yang dinaiki bapa saudara dan ibu saudaranya terlibat dalam kemalangan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di rumah saudaranya yang terletak berhampiran sebelum menerima panggilan daripada seseorang yang memaklumkan mengenai nahas itu.

"Ketika tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat keadaan pakcik dan makcik saya yang cedera berlumuran darah serta tersepit, selain bekalan nasi lemak dan kuih muih yang dibawa bertaburan di dalam kereta.

“Saya dimaklumkan kereta yang dipandu pakcik saya dirempuh dari sebelah tepi oleh seorang pemandu wanita yang menaiki kereta jenis Toyota Vios ketika membelok ke arah Kampung Lamir di persimpangan lampu isyarat, di sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.

Sebuah jentera bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu tiba di tempat kejadian bagi mengeluarkan kedua-dua warga emas yang tersepit.

Kairuman berkata, bapa dan ibu saudaranya dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan, manakala pemandu wanita berkenaan turut dibawa ke hospital sama kerana mengalami kecederaan ringan.

“Walaupun masih terkejut, namun saya dan ahli keluarga lega serta bersyukur selepas melihat mereka masih sedar sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.

“Mereka suami isteri selalu guna jalan ini kerana berulang alik dari rumah setiap minggu ke rumah saudara mara di sekitar daerah ini,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/suami-isteri-nyaris-maut-1.36267

Thursday, March 29, 2012

2 lori 1kereta dan 3 Maut

 Inalillahi wainailaihi rojiun 

IPOH 28 Mac - Tiga maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah kereta di KM 114 Jalan Behrang-Slim River dekat Tanjung Malim, awal hari ini.

Mereka yang maut ialah pemandu lori, Abu Bakar Saleh, 51, dan Koy Kay Huang, 34, serta seorang kelindan lori yang identitinya belum dikenalpasti.

Yang parah ialah pemandu kereta Abdul Aziz Anthony, 57, dan seorang wanita dipercayai isterinya yang hanya dikenali sebagai Sulistiawati, 40.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supt. Othman Nayan berkata, dalam kejadian pada pukul 3.40 pagi itu, lori yang dipandu Abu Bakar yang dalam perjalanan dari Behrang ke Tanjung Malim dikatakan bertembung dengan lori yang dipandu Koy dari arah bertentangan.

Abdul Aziz yang memandu kereta Perodua Viva dan mengekori lori Abu Bakar gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang lori itu, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, Abu Bakar yang berasal dari Kampung Batu Pancing, Kuantan mati di tempat kejadian manakala Koy yang berasal dari Melaka dan kelindan lori itu mati dalam perjalanan ke Hospital Slim River.

Othman berkata, anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit. - BERNAMA

Al-Fatihah dan Salam Takziah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_09.htm

Dirempuh Ketika bantu polis

 Inalillahi wainailaihi rojiun 

KUALA LUMPUR 28 Mac - Niat murni seorang pemuda memberhentikan kenderaannya untuk membantu kemalangan melibatkan seorang anggota polis, bertukar menjadi nahas memilukan apabila pemuda itu maut akibat dirempuh sebuah kereta.

Yasin Husin, 28, maut dalam nahas yang berlaku di Kilometer 42.9, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dekat sini kira-kira pukul 1.15 pagi ini.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai penghantar surat dalam perjalanan ke rumahnya di Puchong selepas menghantar teman wanitanya di Taman Kinrara dan ternampak seorang anggota polis cedera selepas terlibat dalam kemalangan.

Bagaimanapun, menurut jurucakap polis, mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah kenderaan dari arah sama sebaik sahaja keluar dari keretanya untuk membantu anggota polis tersebut.

"Kedua-dua mangsa kemudian dibawa oleh orang ramai ke Pusat Perubatan Universiti Malaya namun Yasin disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari ini selepas mengalami kecederaan parah.

"Sehingga petang ini, pemandu kenderaan yang merempuh pemuda itu belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurut beliau, mangsa dikatakan cuba membantu seorang anggota polis, Hamizan Musnin yang bertugas di Balai Polis Dang Wangi selepas anggota itu dilanggar seorang pemandu kereta.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya segera memaklumkan kepada mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_08.htm

Kemalangan Ngeri Persiaran Selatan Putrajaya


 Inalillahi wainailaihi rojiun 

PUTRAJAYA: “Saya mendapat tahu kejadian ini daripada seorang rakan dan pada mulanya saya ingatkan dia main-main. Namun, saya ke tempat kejadian dengan seorang rakan untuk mengetahui perkara sebenar,” kata isteri Khairul Hisham Janarudin, 37, yang terbunuh dalam kemalangan di Persiaran Selatan dekat Desa Pinggiran Putra di sini, semalam.


Suaminya ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Hulu Langat maut selepas kenderaan pelbagai guna Toyota Estima dinaiki bersama empat rakannya terbabas dan merempuh tiang lampu dari arah Dengkil-Putrajaya.

Kemalangan pada jam 5 petang itu turut meragut nyawa Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda Umno bahagian itu, Saifuddin Kandar, 39, selepas masing-masing dipercayai tercampak dari kenderaan berkenaan.


Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan.


Tiga lagi rakan mereka cedera termasuk seorang dilaporkan parah.


Mereka ialah Ahmad Zarani Md Zam, Yazid Ghazali dan Razip Rashid, masing-masing berusia 30-an, kini dirawat di Hospital Putrajaya.

Difahamkan kejadian itu berlaku selepas mereka berlima dalam perjalanan pulang selepas menghantar seorang rakan yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno bahagian itu, Al Dita Aladin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menunaikan umrah.


Isteri Khairul Hisham yang enggan dikenali ketika ditemui di pekarangan Hospital Serdang, dekat sini, berkata, dia tidak mengetahui suaminya keluar rumah untuk menemui rakannya.

“Kali terakhir saya bertemu arwah petang semalam (kelmarin) ketika berada di rumah. Walaupun masih terkejut, saya reda dengan pemergiannya,” katanya yang bakal menimang cahaya mata kelima dua bulan lagi.


Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman yang mengesahkan kemalangan berkenaan berkata, polis masih menyiasat punca kejadian itu.


“Polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Al-Fatihah

VIDEO

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/2012032902092820120329020928/Article/index_html

Bomoh Patah Maut Dirempuh Pelajar

 Inalillahi wainailaihi rojiun  

KOTA BHARU - Seorang bomoh patah tersohor di negara ini maut apabila motosikal yang ditunggangi bersama anak bongsunya dirempuh motosikal lain di hadapan rumahnya di Kampung Durian Hijau, Kok Lanas di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang, Alias Salleh, 65, yang juga terkenal di Singapura sebagai Pok Yah tukang urut, mati dalam perjalanan ke klinik berhampiran akibat cedera parah di kepala manakala anak bongsunya, Amirah Fauzan berumur lima tahun cedera ringan.

Isteri mangsa, Malkalsom Mohd Razif, 44, berkata, kejadian berlaku hanya 10 meter di hadapan rumahnya sebaik mangsa keluar dari kediaman sebelum dirempuh motosikal yang ditunggangi dua pelajar dari arah Kok Lanas.

Katanya, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar dentuman yang kuat dari luar rumah selepas beberapa minit suaminya keluar untuk mengambil anak sulungnya, Noratirah, 10, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Kalong, di sini.

“Ketika itu saya mencuci pinggan di dapur selepas makan tengah hari bersamanya dan saya bergegas keluar sebaik terdengar dentuman. Saya terkejut apabila melihat suami saya terbaring di jalan raya bersama anak bongsu kami.

“Saya sempat memangku suami yang ketika itu berlumuran darah dan mengajar dia mengucap memandangkan pernafasannya sangat lemah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Malkalsom berkata, jiran yang menyedari kejadian tersebut menghantar suaminya ke Klinik Kesihatan Kok Lanas dan disahkan meninggal dunia kemudiannya di rujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Malkalsom memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian suaminya yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai bomoh patah kurang selera makan dan menjadi pendiam.

Abang mangsa, Musta­pha, 71, terkejut dengan kematian adiknya itu kerana hampir empat bulan tidak berjumpa dengannya dan jenazah Alias yang me­ning­galkan 10 anak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Kemubu, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Deputi Superintenden Ahmad Zaki Ibrahim mengesahkan kejadian tersebut.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/bomoh-patah-maut-nahas-1.35860

Van Bertembung Treler



TANAH MERAH - Pemandu van terpaksa bertarung nyawa berikutan tersepit hampir 15 minit, apabila kenderaan yang dinaiki bersama dua anaknya bertembung dengan treler di kilometer 79.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Bukit Bunga, jam 4.30 petang kelmarin.

Mangsa, Rashid Hassan, 42, yang tersepit kemudiannya dikeluarkan orang awam, patah paha, betis kanan dan cedera di kepala manakala dua anaknya hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa yang berasal Jedok kemudian dihantar ke Hospital Jeli sebelum dirujuk ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan susulan, dan dua anaknya turut dihantar ke hospital­ sama hanya menerima rawatan pesakit luar.

Menurutnya, ketika kejadian van tersebut dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menuju ke Jeli merempuh treler yang tiba-tiba terbabas di lorong bertentangan.

“Akibat rempuhan itu, van mangsa remuk teruk di bahagian depan sebelah kanan yang menyebabkan pemandu itu tersepit di tempat duduknya.

“Semasa kemalangan, dipercayai treler terbabit cuba untuk mengelak sebuah kenderaan lain yang berhenti dibahu jalan menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan­ sebelum bertembung dengan van tersebut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pemandu treler dan dua kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan, dan kes tersebut disiasat bawah seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Abdul Aziz juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu.

“Jaga jarak kenderaan anda, pastikan jangan berhenti sesuka hati dan semua pengguna perlu peka keadaan lalu lintas semasa, bagi mengelak daripada berlakunya kemalangan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pemandu-van-tersepit-15-minit-1.35992

Tuesday, March 27, 2012

Cikgu Giat Mara Maut Dirempuh Bas



 Inalillahi wainailaihi rojiun 

BATU PAHAT – Niat seorang pen­gajar Pusat GiatMara Muar untuk menolong rakannya tidak kesampaian apabila dia maut kerana terbabit dalam kemalangan di Kilometer 137, Jalan Johor Bahru Melaka, berhampiran Kampung Parit Orang Kaya, Simpang Lima, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, kereta jenis Perodua Alza dipandu Norwahidah Suratman, 32, yang dinaiki dua yang lain berhenti di tepi jalan kerana ingin membuat pu­singan U sebelum dirempuh sebuah bas ekspres dari arah sama yang gagal mengelak dari melanggar kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, akibat rempuhan kuat itu bas perjalanan dari Kota Bahru, Kelantan menuju ke Batu Pahat itu terhumban ke parit berhampiran manakala kereta mangsa remuk teruk di bahagian depan.

“Norwahidah yang cedera parah maut di tempat kejadian. Manakala dua yang lain iaitu pengurus pusat terbabit, Janiza Johari, 42, patah kaki dan pelajar GiatMara, Siti Nadirah Ahmad, 19, cedera ringan.

“Mereka kini dirawat di Hospital Putra, Batu Pahat,” katanya kepada Sinar Harian.

Walaubagaimanapun katanya, pemandu bas dan lapan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Norwahidah yang berasal dari Felda Nitar, Mersing meninggalkan empat anak berusia lingkungan 10 bulan hingga enam tahun. Jenazahnya telah dibawa ke Hospital Batu Pahat dan akan dikebumikan di kampung asalnya,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa Mohd Dzairul Anuar Che Derus, 34, berkata, isterinya itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sebelum kemalangan berlaku.

Katanya, cuma satu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini iaitu tidur di ruang tamu malam sebelum kejadian, di mana biasanya mangsa akan tidur di bilik bersamanya.

“Cuma malam tadi (semalam), isteri saya tidak tidur di bilik dan tidur di luar. Katanya rasa tidak selesa dan terlalu panas tidur di dalam bilik.

“Saya yang menyangkakan tidak ada apa-apa yang berlaku membiarkannya dan tidak memikirkan langsung. Itulah kali terakhir saya akan berjumpa dengannya,” katanya.

Mohd Dzairul berkata, lebih menyedihkan, beberapa hari sebelum kejadian, mangsa menyuarakan hasrat kepadanya bagi mendaftarkan diri mereka berdua untuk menunaikan haji di Mekah tetapi belum berkesempatan melakukannya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/pengajar-giatmara-maut-nahas-1.35341

Murid Tercampak Keluar Dari bas



JITRA - “Saya tergamam melihat seorang rakan kami tercampak keluar dari bas sekolah yang kami naiki selepas terlibat dalam kemalangan ini,” kata seorang mangsa, Muhammad Aisar Hamzah 11.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, seramai 11 murid dan seorang guru dari Sekolah Rendah Al-Azhar, Gelong di sini cedera selepas bas sekolah yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 16.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala Alor Setar, petang semalam.

Seorang mangsa, yang juga murid tahun satu, Afif Shahmi Abdul Salam tercampak keluar dari bas menyebabkannya cedera di kepala dan mulut.

Murid tahun tiga, Zihni Ilman Zairi, 9, yang patah kaki kiri dipindahkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, untuk menjalani pembedahan, manakala semua mangsa lain dirawat di Hospital Jitra.

Difahamkan, guru yang cedera, Mohd Borhan Shariat, 40, juga merupakan pemandu bas sekolah turut patah kaki.

Muhammad Aisar ketika ditemui di tempat kejadian berkata, ketika kejadian dia yang duduk di tempat duduk paling belakang nampak sebuah bas persiaran dipandu laju menuju ke arah bas sekolah mereka.

“Ketika itu, saya hampir terlelap, namun belum sempat memejamkan mata, saya ternampak sebuah bas persiaran yang dipandu laju menuju ke arah bas kami. Bas itu sempat mengelak tetapi berlanggar dengan bas kami lalu menyebabkan seorang rakan kami tercampak keluar.

“Waktu itu semua rakan menjerit dan kebanyakannya cedera akibat tersembam di pemegang kerusi dan lantai bas.

“Kami segera berlari keluar dari bas melalui pintu kecemasan, manakala pemandu yang juga guru kami tersepit di tempat duduk pemandu sebelum diselamatkan bomba,” katanya yang masih fobia dengan kejadian itu.

Difahamkan, bas sekolah itu dalam perjalanan menghantar pulang 40 murid sekolah berkenaan ke rumah masing-masing yang rata-rata tinggal di kawasan Changlun dan Jitra.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.04 petang melibatkan kemalangan antara sebuah bas sekolah yang membawa 40 murid dengan sebuah bas persiaran.

“Seramai 12 mangsa tercedera termasuk pemandu yang tersepit di tempat duduk pemandu. Semua mereka dikejarkan ke Hospital Jitra.

“Manakala tiada kecederaan dilaporkan membabitkan penumpang bas persiaran,” katanya.

Difahamkan bas persiaran itu membawa 44 penumpang dari Shah Alam yang baru pulang bercuti di Langkawi.



Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/rakan-tercampak-keluar-dari-bas-sekolah-1.35423

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my