Saturday, November 3, 2012

Pelajar IPT maut rempuh Plaza Tol NKVE


4 November 2012
PETALING JAYA - Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan maut dalam kemalangan di Plaza Tol Damansara Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), awal pagi semalam.


Kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa, Chua Hsing On, 18, berasal dari Subang Jaya, memandu kereta jenis Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan, sebelum merempuh tembok penghadang di laluan Touch n Go di plaza tol berkenaan.

Jurucakap polis berkata, mangsa tersepit kira-kira setengah jam sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara Utama.

“Ekoran rempuhan itu, mangsa cedera parah di dada dan kaki. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.



Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/pelajar-ipt-maut-langgar-tembok-plaza-tol-1.100556
ntv7.com.my/7edition/local-en/TEENAGER_KILLED_AFTER_CAR_CRASHES_INTO_TOLL_BOOTH_S_SAFETY_WALL.html


Proton Gen 2 terbakar dalam kemalangan


4 November 2012
REMBAU - Sebuah kereta Proton Gen 2 terbakar selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan lain termasuk sebuah treler di kilometer 241.8, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 pagi itu, kesemua pemandu dan penumpang tidak mengalami kecederaan serius.

Menurut jurucakap polis, berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berpunca selepas pemandu kereta Proton Gen 2 hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kereta Proton Persona yang berada di lorong tengah.

“Perlanggaran itu menyebabkan kereta Proton Persona berpusing sebelum melanggar treler yang berada di lorong kiri kemudian bertembung pula dengan kereta Iswara, sementara Proton Gen 2 sudah mulai terbakar.

“Sementara itu, sebuah lagi kereta iaitu jenis Proton Waja yang melalui lokasi kejadian sekitar jam 1 pagi, tidak menyedari kemalangan awal berkenaan. Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta Waja gagal mengawal kenderaan sebaik pemandu kereta jenis Toyota Lotus memperlahankan kenderaannya dan berlaku perlanggaran,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/hilang-kawalan-sebelum-terbakar-1.100646

Tragedi percutian murid SK Petasih



4 November 2012
NILAI – Kegembiraan murid Sekolah Kebangsaan Petasih, Jelebu bercuti ke Perak sempena cuti persekolahan yang bermula semalam bertukar tragedi selepas bas dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Batang Benar, Nilai berhampiran stesen Komuter Batang Benar, semalam.



Kejadian jam 8.30 pagi itu menyebabkan dua murid berusia 11 tahun cedera parah manakala 23 lagi hanya mengalami cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, bas terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Mantin menuju ke Nilai dengan membawa 33 penumpang terdiri daripada murid berusia sembilan hingga 12 tahun termasuk tiga guru pengiring.

“Sejurus tiba di lokasi, sebuah lori membawa muatan batu yang keluar dari sebuah kuari di tempat kejadian tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh bahagian kiri tepi bas.

“Pelanggaran itu menyebabkan bas terbabit terbabas ke bahu jalan manakala lori yang dipandu lelaki berusia 25-an itu terbalik,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan  dua murid mengalami cedera parah kerana tercampak di dalam bas manakala 23 lagi murid hanya cedera ringan.

Kata jurucakap polis lagi, pemandu lori terbabit hanya mengalami cedera ringan dan kini telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan dan dua murid yang cedera parah pula kini dilaporkan stabil,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Nashriq Haikal Rahim, 12, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur namun dikejutkan oleh bunyi dentuman yang kuat.

“Saya tidak nampak apa yang berlaku tapi saya rasa macam ada kenderaan lain melanggar bas kami menyebabkan saya terhempap kawan yang duduk di sebelah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Yusof Awang mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.


Video

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/hajat-bercuti-bertukar-tragedi-1.100573
ntv7.com.my/7edition/local-en/NILAI_CRASHTWO_STUDENTS_SERIOUSLY_INJURED_WHEN_BUS_HIT_BY_LORRY.html

Pengunjung tokong maut


4 November 2012
KUANTAN- Seorang pengunjung sebuah tokong di Jalan Gambang, dekat sini, maut akibat dilanggar kenderaan pacuan empat roda ketika pemandunya mengundurkan kenderaan itu dalam satu kejadian dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Yap Yuen Fah, 47, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.

Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu kenderaan terbabit mengundurkan kenderaannya tanpa menyedari mangsa berada di belakang.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah lalu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gambang untuk rawatan awal.

“Mangsa  kemudiannya disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Pemandu terlibat ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/pengunjung-tokong-maut-dilanggar-1.100670



Pelajar Maut Memandu Kereta Bapa


Inalillahi wainailaihi rojiun

4 November 2012
JASIN - Tindakan pelajar tingkatan dua memandu kereta bapanya mengundang padah apabila kenderaan itu  merempuh sebuah kereta lain sekali gus menyebabkan dirinya dan tiga lain maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 38.5 Jalan Air Panas-Kesang, malam kelmarin.


Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhammad Nur Hishamuddin Hashim berkata, mereka yang maut dalam kejadian 11.15 malam itu ialah pelajar berkenaan, Muhammad Hafis Helmi, 14; pemandu kereta Perodua Myvi, Mohd Shahir Mat Sahat, 27, dan dua penumpangnya, Hairulnizam Alias, 34, serta Mohd Izuddin Usop, 21.

Menurutnya, kereta yang dipandu Muhammad Hafis dari arah Air Panas ke Kesang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta yang dipandu Mohd Shahir dari arah Kesang ke Air Panas.

“Mohd Shahir dari Felda Tun Ghaffar dan Muhammad Hafis yang masing-masing tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala Hairulnizam dan Mohd Izuddin meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Jasin,”  katanya.

Katanya, kesemua mayat dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah seksen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tindakan boleh diambil terhadap pemilik kereta yang mengizinkan individu tidak mempunyai lesen menggunakan kenderaannya,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Adi Abd Rahim, 18, berkata, dia terdengar suara salah seorang penumpang kereta Perodua Myvi merintih kesakitan ketika pihak bomba dan penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam sedang mengeluarkan mangsa.

“Saya sempat dengar suara orang meminta tolong dan memberitahu dia sesak nafas dari arah kereta Myvi terbabit,” katanya.


Arwah tak pernah hidupkan enjin kereta



“Saya reda dengan pemergian anak saya, namun sehingga sekarang saya masih tertanya-tanya dan hairan siapa yang memandu kereta saya sedangkan anak saya tidak pernah hidupkan enjin kereta inikan pula memandu kereta,” kata Helmi Othman, 42, ayah kepada Allahyarham Muhammad Hafis.

Menurutnya, kali terakhir dia bertegur sapa dengan anak kedua dari tiga beradik itu lebih kurang jam 8.30 malam, beberapa jam sebelum kemalangan di rumah mereka di Awam Kesang.

“Ketika itu, anak saya memberitahu dia teringin hendak makan mi segera sebelum saya memberi dia wang.

“Selepas itu, saya tertidur dan tidak sedar bila anak saya keluar dari rumah,” katanya.

Helmi berkata, dia mengetahui kejadian itu apabila mendapat panggilan telefon kira-kira jam 11.30 malam yang memaklumkan keretanya terlibat dalam kemalangan.

“Pada mulanya saya memang tak percaya kerana tiada siapa yang menggunakan kereta saya, tetapi bila saya melihat di luar rumah dan tidak nampak kereta, saya bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, hatinya begitu kuat mengatakan keretanya dipandu seseorang dan bukan anaknya.

“Malah ketika sampai di tempat kejadian saya melihat jenazah anak saya terbaring di tempat duduk belakang dan bukan di tempat pemandu,”  katanya.


Sempat main badminton

Sementara itu, abang Muhammad Hafis, Mohd Arif, 15, berkata, sebelum kejadian, dia bersama adiknya itu pergi bermain badminton di Balairaya Kesang dengan menaiki motosikal sebelum dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah lebih awal.

“Saya perasan arwah balik ke rumah tidak lama selepas saya balik, namun saya tak tahu dia kemudian keluar semula,” katanya yang merupakan pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Seri Bemban.

Katanya, sebelum kejadian itu, adiknya yang belajar di Sekolah Menengah Iskandar Shah banyak berdiam diri.

Difahamkan jenazah Muhammad Hafis dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kesang Tua.


Hari Raya Aidiladha terakhir

Manakala, abang Allahyarham Muhamad Izuddin, Mohd Faiz berkata, dia tidak menyangka Hari Raya Aidiladha lalu, adalah hari raya terakhir yang disambut bersama adiknya.

Menurutnya, ketika kejadian, adiknya yang juga anak bongsu dari tujuh beradik keluar bersama rakannya minum di MITC.

“Saya mengetahui kejadian ini apabila diberitahu rakan adik yang turut sama keluar bersama mereka menuju ke MITC, namun menaiki kenderaan berasingan.

“Tak nampak sebarang perubahan pada arwah dan sememangnya pemergiannya dirasai kami sekeluarga lebih-lebih lagi dia juga seorang yang aktif dalam sukan,” katanya.


Tak salam sebelum keluar

Ibu kepada Allahyarham Hairulnizam, Noriah Md Dim, 62, pula berkata, kebiasaannya anaknya akan bersalaman dengannya sebelum keluar rumah, namun pada malam itu, anaknya tidak berbuat demikian.

Menurutnya, sebelum ini, dia perasan akan perubahan pada anak ketiga dari lima beradik itu sejak mengikut arwah ke Langkawi beberapa bulan lalu.

“Arwah seorang anak yang baik dan sanggup berhenti kerja sebagai pemandu di Kuala Lumpur untuk menjaga kami di kampung,” katanya yang reda dengan takdir Ilahi.

Manakala ayahnya arwah, Alias Wahab, 66, berkata, kali terakhir dia melihat anaknya ketika balik dari bekerja sebagai pemandu pelancong.

“Ketika itu, saya lihat Nizam keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya tak sempat nak tegur dia, lagipun kawannya menunggu di luar rumah dan kira-kira jam 12.30 pagi, saya dimaklumkan  Nizam kemalangan,” katanya.



Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/padah-pandu-kereta-ayah-1.100649
ntv7.com.my/7edition/local-en/FATAL_RIDE_TEENAGER_WHO_TOOK_HIS_FATHER_S_CAR_FOR_A_SPIN_KILLED_WITH_THREE_OTHERS.html

Anggota tentera terselamat dalam kemalangan


3 November 2012
ALOR GAJAH: Seorang anggota tentera terselamat apabila kenderaannya terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Tanjung Bidara, awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kereta Toyota Avanza mangsa dirempuh sebuah Proton Wira yang turut dipandu anggota tentera berusia awal 30-an dari arah sama.


Sumber berkata, kereta mangsa hilang kawalan selepas bergesel dengan Proton Wira berkenaan yang dipercayai mulanya cuba memotong dari sebelah kanan tetapi gagal.

“Akibat pergeseran itu, kereta mangsa berpusing dan terbabas ke kanan jalan lalu merempuh pondok menunggu bas dan sebatang pokok “Kereta Proton Wira yang datang dari arah Pengkalan Balak sebelum itu berada di belakang kenderaan mangsa dan cuba memotongnya tetapi gagal,” kata sumber itu, semalam.


Seorang penduduk, Bakar Rahmat, 51, berkata, dia yang berada di masjid berdekatan terdengar dentuman kuat dan bergegas memeriksa sebuah kereta yang berhenti atas jalan.


“Saya mendapati pemandu Proton Wira itu cedera pada dahinya sebelum melihat seorang lagi pemandu Toyota Avanza sedang merangkak keluar dari keretanya.

“Saya segera meminta bantuan jiran untuk menghubungi bantuan kecemasan dan pemandu Proton Wira itu kemudian dihantar ke Hospital Terendak untuk rawatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Saharuddin mengesahkan kejadian dan berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian membabitkan dua kenderaan berkenaan.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/2012110303564320121103035643/Article/index_html


Pemandu Proton Wira Maut bertembung lori


Inalillahi wainailaihi rojiun

3 November 2012
BATU PAHAT - Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 30, Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian berlaku jam 9 pagi ketika kereta jenis Proton Wira dipandu Ahmad Ibrahim, 49, dari Ayer Hitam itu dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang berada di laluan tersebut.

Menurutnya, akibat pertembungan itu, pemandu kereta tersebut cedera parah di dada dan maut di tempat kejadian.

“Pemandu lori yang hanya cedera ringan, dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dekat sini, untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal 43, berkata, ketika kejadian dia menaiki motosikal dari rumahnya di Parit Raja menghala ke pekan Ayer Hitam sebelum melihat kemalangan tersebut.

“Bunyi dentuman kuat menyebabkan saya terperanjat sebelum menyedari terdapat satu kemalangan berlaku berhampiran saya.

“Saya memberhentikan motosikal di bahagian tepi jalan sebelum bergegas ke dua kenderaan itu bagi melihat keadaan mangsa, namun ketika itu pemandu kereta sudah tidak bergerak manakala pemandu lori masih bernyawa.

“Kerana takut dan bimbang sesuatu berlaku, saya tidak menyentuh mangsa. Saya hanya menunggu ambulans serta polis tiba bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/lelaki-maut-kereta-dipandu-bertembung-lori-1.100315




Maut rempuh trak penunda Jambatan Pulau Pinang


3 November 2012
GEORGETOWN - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh trak penunda Jambatan Pulau Pinang di Jalan Tengku Kudin menghala ke jambatan di sini pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang berusia 25 tahun maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan beberapa anggota badannya selepas motosikalnya melanggar bahagian kanan belakang trak terbabit.

Difahamkan, mangsa baru sahaja keluar dari rumahnya untuk ke tempat kerja di Queensbay.

Menurut sumber, mangsa yang menunggang motosikal secara bersendirian itu dikatakan tidak sempat mengelak trak penunda yang berhenti di tepi jalan untuk membantu seorang pemandu yang mengalami kerosakan kereta. 

Beliau berkata, selepas selesai membaiki kerosakan, pekerja trak penunda mahu beredar ke belakang untuk mengambil kon yang diletakkan sebagai tanda amaran kecemasan namun dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

“Tidak sempat pekerja terbabit mengambil kon, dia terdengar satu dentuman kuat dan apabila meninjau ke belakang mendapati seorang penunggang motosikal sudah terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bergerak,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal pada mangsa menemui ‘earphone’ yang masih melekat pada telinganya.

“Mangsa mungkin sedang mendengar lagu atau bercakap melalui telefon dengan seseorang sehingga tidak dapat memberi perhatian kepada tunggangan dan tidak menyedari lori trak penunda berhenti di bahu jalan.

“Mangsa juga dipercayai menunggang motosikal dengan laju dan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian bucu kanan belakang trak terbabit namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan
Kong Meng berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/pemuda-maut-rempuh-trak-penunda-1.100368


Jururawat Kuala Besut Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

3 November 2012
BESUT – Seorang jururawat maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas di sebatang jalan raya di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.05 petang itu, mangsa, Wan Roslaili Wan Othman, 31, jururawat di Klinik Kesihatan Kuala Besut meninggal dunia di Hospital Besut jam 6.30 petang hari sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noorzainy Mohd Nor berkata, sebelum kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave sendirian dari Kuala Besut untuk pulang ke rumahnya di Kampung Beris Lampu.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas sendiri di atas jalan raya.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Besut dan meninggal dunia di bilik kecemasan wad berkenaan akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Noorzainy berkata, tidak ada saksi yang melihat kejadian tetapi mangsa memakai topi keledar dan memiliki lesen memandu.

Menurutnya, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/maut-motosikal-terbabas-1.100395


Lori dirempuh bas ketika menukar lorong



3 November 2012
TAPAH - Sebuah bas ekspres tanpa penumpang ‘melekat’ di belakang sebuah lori tangki muatan susu getah selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 307.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, pemandu lori tangki, S Subramaniam, 40, berkata dia sedang memandu di lorong kanan lebuh raya sebelum dirempuh bas terbabit.

Katanya, akibat rempuhan itu, dia tersentak sehingga melanggar pembahagi besi di tengah lebuh raya sebelum berhenti.

“Selepas dirempuh bas terbabit, saya cuba mengawal stereng bagi mengelakkan lori terbalik dan muatan susu getah tertumpah di atas jalan.

“Berikutan itu, saya secara tidak sengaja turut menyeret bas ekspres berkenaan sejauh 200 meter,” katanya yang memandu lori dari Kluang, Johor menuju ke Kulim, Kedah.

Menurutnya, selepas turun daripada kenderaannya dia mendapati pemandu kedua bas berkenaan yang berusia 40-an mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki akibat  kemalangan itu.

Turut telibat dalam kemalangan itu ialah sebuah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki warga Nigeria namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada lori tangki yang cuba menukar lorong dari kiri ke kanan lebuh raya tersebut.

Menurutnya, rempuhan berlaku akibat bas ekspres yang di belakang tidak sempat mengelak lori tangki tersebut.

“Pada masa sama, sebuah kereta yang dipandu warga Nigeria yang berada di belakang bas tersebut gagal mengelak lalu melanggar belakang kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kong Soon berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Tapah yang membantu mengeluarkan mangsa mengalami sedikit kesukaran kerana pintu bas ekspres remuk akibat pelanggaran itu.

“Akhirnya, mangsa yang cedera di kaki kanan itu, berjaya dikeluarkan melalui pintu kecemasan pada bahagian belakang bas dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu utama bas ekspres yang berusia awal 50-an itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang memberitahu sewaktu kejadian jalan sedikit licin akibat hujan.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/bas-melekat-belakang-lori-1.100350


Friday, November 2, 2012

Calon SPM SMK Ayer Lanas Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

2 November 2012
JELI: Dua sahabat yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain futsal, maut apabila motosikal ditunggang bergesel dengan kereta jenis Perodua Kancil di Kilometer 89 Jalan Ayer Lanas- Jeli dekat Kampung Gemang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.25 petang itu, mangsa, Mohamad Firdaus Abdul Razak, 15, dan Mohd Fakrul Rozi Ismail, 17, kedua-duanya berasal dari Kampung Rahmat, Ayer Lanas, di sini, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.


Mayat dua sahabat itu dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila Mohd Fakrul yang menunggang motosikal Honda Wave bersama Mohamad Firdaus cuba memotong sebuah Perodua Kancil, tetapi bergesel dengan kenderaan itu sebelum kedua-duanya tercampak ke laluan bertentangan dan digilis kenderaan lain.


Bapa Mohamad Firdaus, Abdul Razak Hasan, 65, berkata, ketika anaknya keluar bermain futsal pada jam 3.30 petang, dia tiada di rumah. Katanya, selepas pulang ke rumah pada jam 5.40 petang, dia terkejut mendapati rumahnya dipenuhi penduduk kampung dan saudara-mara sebelum dimaklumkan anak bongsunya maut dalam kemalangan.


“Walaupun sedih melihat kemalangan itu, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Menurut Abdul Razak, anaknya yang bersekolah dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas, Jeli aktif bersukan dan tidak menunjukkan perubahan sebelum kejadian.


Bagi bapa Mohd Fakrul Rozi, Ismail Kasim, 50, pula berkata, beberapa hari sebelum kejadian anaknya ada menyuruh ibunya Abidah Ibrahim, 49, membeli ketupat kerana teringin memakannya.

Bagaimanapun, katanya, hasrat anak keenamnya yang belajar di tingkatan lima di Sekolah Tahfiz Darul Riad, Gual Tinggi, Rantau Panjang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu hadapan tidak kesampaian.


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautpulangmainfutsal/Article/index_html


Terjunam dari Jambatan Pulau Pinang


2 November 2012
GEORGETOWN: Sebiji tayar di tengah jalan yang pada mulanya disangka sampah oleh seorang anggota peronda trafik membawa kepada penemuan tidak diduga apabila ia sebenarnya tayar kereta milik seorang lelaki yang terjunam ke laut di Kilometer 7.9, Jambatan Pulau Pinang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, anggota terbabit yang melakukan rondaan rutin mulanya menyangka ‘sampah’ itu kemungkinan dibuang pengguna jambatan.

Anggota berkenaan memberhentikan kenderaan untuk mengambil ‘sampah’ itu kerana mahu mengelak sebarang kemalangan yang mungkin berlaku jika dibiarkan di tengah jambatan.

Bagaimanapun, anggota terbabit terkejut apabila mendapati objek disangka sampah itu sebenarnya tayar kereta sebelum dia terlihat kesan serpihan kaca bertaburan atas jambatan.


Anggota polis berkenaan memaklumkan kepada beberapa rakan setugas sebelum mereka terkejut apabila mendapati tiang lampu turut patah dan terjatuh dengan keadaan tergantung dan menjunam ke dalam laut.


Saya dapat ‘rasa’ mayat

GEORGETOWN: “Dalam keadaan air yang keruh, saya meraba-raba dan dapat rasa mayat mangsa berada di tempat duduk pemandu dan masih memakai tali pinggang keledar,” kata seorang anggota Unit Selam Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1 yang terbabit dalam gerakan mencari Tan Lean Loon, 24, yang dipercayai terjunam bersama keretanya ke laut di Kilometer 7.9, Jambatan Pulau Pinang, di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan air yang keruh menyebabkan pasukannya tidak dapat mengeluarkan mayat hingga terpaksa menggunakan khidmat kren bagi mengangkat kereta bersama-sama mangsa.


Katanya, kadar penglihatan dalam air ketika itu kurang jelas dan dia hanya dapat melihat pada jarak 0.4 meter.

“Pasukan kami dapat mengesan kereta mangsa pada kedalaman 10 kaki (empat meter) selepas melakukan penyelaman kali kedua jam 8.30 pagi.


“Sebelum itu, kami menggunakan kaedah membaling sauh dan tarik bagi mengesan kenderaan mangsa.


“Selepas sauh tersangkut pada kereta, kumpulan penyelam menjadikan tali sauh sebagai penunjuk arah ke kereta mangsa,” katanya ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Tayarbongkartragedi/Article


4 sekeluarga maut dirempuh lori padi


Inalillahi wainailaihi rojiun

2 November 2012
POKOK SENA – Niat lima sekeluarga menziarah penduduk kampung di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar tidak kesampaian apabila kereta Perodua Viva dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori padi tanpa muatan, berdekatan Kampung Permatang Limau Jalan Tualang Pokok Sena, di sini semalam.

Kemalangan itu menyebabkan empat maut manakala seorang lagi parah dan sedang dirawat di HSB Alor Setar.

Mangsa yang maut ialah Shafie Abd Hamid, 57, isterinya, Faridah Ani, 60, dan dua anak mereka iaitu Mohd Istihar, 26, dan Nurul Faiz, 26.

Mohd Ikbal Zakuan, 15, mengalami kecederaan parah.

Keluarga itu berasal dari Kampung Kubang Pisang dekat Kubur Panjang Pendang.

Seorang saksi, Jamaluddin Ramli, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang ketika dia melalui jalan berkenaan dan menyaksikan kemalangan itu lalu menghubungi talian kecemasan 999.

“Waktu saya sampai dan menghampiri kereta yang dinaiki mangsa, saya dapati empat daripadanya telah meninggal dunia dan mayat berada dalam keadaan tersepit manakala seorang lagi terbaring di tempat duduk belakang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian itu semalam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila lori padi dari arah Tualang Pokok Sena itu mengalami kerosakan sebelum terbabas ke lorong kereta dinaiki mangsa dari arah Bukit Sekechong Kubur Panjang Pendang menuju ke Alor Setar.


Anak terkejut lihat kereta bapa



PENDANG – "Terkejut tengok nombor pendaftaran kereta bapa." Itulah luahan hati anak kedua mangsa, Mohd Anuar, 32, yang sebak selepas mengetahui empat mangsa itu adalah ahli keluarganya ketika melalui tempat kejadian selepas pulang dari kerja semalam.

Menurutnya, ketika berada di Jabi Pokok Sena, dia terlihat dua buah ambulans memasuki persimpangan Kebun 500 namun tidak menyangka ahli keluarganya yang terbabit kemalangan.

Katanya, dia ketika itu menunggang motosikal untuk pulang ke rumah keluarga di Kampung Kubang Pisang untuk berjumpa ibu bapanya.

“Ketika melalui tempat kejadian saya nampak orang ramai di tepi jalan dan apabila semakin hampir dapat melihat nombor pendaftaran kereta bapa.

"Hati saya berasa sebak dan hiba. Empat anggota keluarga saya 'pergi’ sekali gus. Saya reda," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya semalam.

Tambahnya, dia tidak menyangka kunjungan ibu bapanya malam semalam ke rumahnya di Guar Kepayang Tanah Merah, Pendang untuk melihat dua anaknya berusia lima dan setahun adalah kunjungan terakhir.

“Mereka datang rumah kira-kira pukul 10 malam untuk lihat cucu tetapi semua anak-anak saya sudah tidur. Mereka kurang bercakap sebelum pulang setengah jam kemudian," katanya yang bekerja di Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Anuar turut memberitahu bapanya, Shafie Abd Hamid, 57, merupakan seorang pesara Tentera Darat yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal. Dia kini mencari rezeki sebagai penoreh getah dan membuka kedai gunting rambut di depan rumah.

Kesemua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kubang Pisang Jalan Kubur Panjang Pendang.


Pemandu lori padi ditahan polis


ALOR SETAR - Pemandu lori padi yang terlibat dalam kemalangan berhampiran Kampung Permatang Limau, Tualang dekat sini petang semalam yang menyebabkan empat sekeluarga maut dan seorang lagi parah, kini ditahan polis sehingga 5 Nov ini.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Rohana Omar berkata pemandu yang berumur 19 tahun dari Kubur Panjang itu ditahan polis selepas dia membuat laporan polis tentang kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini malam tadi.

"Kami telah tahan pemandu itu bagi membantu siasatan dan kami masih menyiasat sama ada pemandu itu memiliki lesen memandu atau tidak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata lori itu akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan bagi mengetahui adakah lori itu bermasalah atau tidak.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, empat maut manakala seorang parah selepas kereta Viva yang dinaiki mereka bertembung dengan lori padi berhampiran Kampung Permatang Limau.

Mereka yang terbunuh ialah Shafie Abd Hamid, 57, isterinya Che Faridah Ani, 60, dan dua anak mereka iaitu Ibtihal, 26, dan Nurul Faiz, 24. Keempat-empat mangsa mati di tempat kejadian.

Seorang lagi anak pasangan itu, Muhd Iqbal Zakuan, 15, parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Sementara itu, bapa saudara Muhd Iqbal Zakuan, Sharon Awang Kechik, 50, berkata keadaan Muhd Iqbal Zakuan semakin stabil dan telah dimasukkan ke wad biasa.

"Dia (Iqbal) sudah sedar malam tadi dan boleh bercakap. Dia ada bertanyakan tentang ahli keluarganya yang lain kepada abangnya tetapi abangnya masih belum memberitahu hal yang  sebenar.

Abang dia kata semua ahli keluarganya selamat kerana abangnya tidak mahu dia terkejut memandangkan keadaannya masih lagi lemah," katanya ketika ditemui pemberita di HSB hari ini.

Katanya Muhd Iqbal Zakuan belum menceritakan tentang kejadian semalam dan anggota keluarganya juga belum tahu siapa yang memandu kereta itu dan ke mana mereka hendak pergi.

"Biarlah Iqbal sihat dulu dan biar dia sendiri yang ceritakan kejadian itu.

Kami tidak mahu mendesak dia kerana kami tahu dia masih lagi trauma dengan kejadian itu," katanya sambil memeberitahu bahawa anak saudaranya itu mengalami kecederaan pada muka dan patah paha kanan.

Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazali ketika dihubungi berkata keadaan Muhd Iqbal Zakuan semakin stabil.

"Sekarang ini Muhd Iqbal sedang menunggu giliran untuk membuat pembedahan pada paha kanannya yang patah," katanya.

Sumber Jabatan Pengangkutan Jalan Kedah berkata orang ramai boleh memperoleh lesen memandu ketika berumur 17 tahun ke atas tetapi bagi lesen memandu kenderaan barang-barang (GDL), ia hanya dikeluarkan kepada mereka yang telah mempunyai lesen memandu dan berumur 21 tahun ke atas.

"Bagi kes kemalangan semalam, pemandu terbabit baru berumur 19 tahun dan sudah tentu dia tidak mempunyai lesen GDL," katanya. - Bernama


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/pemandu-lori-padi-ditahan-polis-1.100180
ntv7.com.my/7edition/local-en/LORRY_DRIVER_HELD_UNTIL_NOV_5_FOR_INVESTIGATION.html
hmetro.com.my/articles/Menggigillihatkeretaayah/Article



Dilanggar lori ketika elak lori


2 November 2012

SUNGAI PETANI – Seorang penunggang motosikal maut dilanggar lori ketika cuba mengelak sebuah lori lain yang berhenti di tepi jalan.

Dalam kejadian di Kilometer 112.2 Lebuhraya Utara Selatan jam 8.30 malam kelmarin, Ramanathan Ramdas, 47, dari Taman Kempas, Sungai Petani mati di lokasi kejadian.

Jurucakap  polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang sedang dalam perjalanan dari arah Kepala Batas, Pulau Pinang menuju ke Sungai Petani.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa cuba mengelak daripada melanggar sebuah lori rosak diletakkan di tepi jalan.

“Dalam pada itu, sebuah lori lain (lori kedua) yang datang dari arah belakang mangsa sempat membrek apabila melihat mangsa, namun nasib tidak menyebelahi mangsa apabila datang lori ketiga, juga dari arah belakang, terus melanggar lori kedua menyebabkan berlakunya pelanggaran antara ketiga-tiga kenderaan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Seorang lagi pemandu lori ketiga yang tersepit dilaporkan mengalami patah kaki dan turut dirawat di HSAH.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-dirempuh-ketika-elak-lori-1.100002



Kemalangan maut di jalan Tanjung Bidara

Inalillahi wainailaihi rojiun

2 November 2012

ALOR GAJAH - Seorang remaja maut selepas motosikal Modenas Kriss yang ditunggang merempuh sebuah motosikal lain sebelum bertembung dengan sebuah kereta di jalan Tanjung Bidara, dekat sini pagi semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, motosikal ditunggang mangsa, Herman Rudin, 18, bersama dua lagi rakannya dari Tanjung Bidara ke Masjid Tanah hilang kawalan dan merempuh motosikal ditunggang warga emas, Baba Md Jasin, 74.

Rempuhan itu mengakibatkan mangsa melambung dan terseret ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Gen2 dipandu Rawi Yusof, 62, bersama rakan, Sidek Ahmad, 60, sebelum salah seorang lagi rakan mangsa, Mohd Firdaus Abdullah, 20, merempuh motosikal mangsa.

Rawi berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya itu dari pekan Masjid Tanah dalam perjalanan pulang ke rumah di Tanjung Bidara.

“Selepas berlaku pertembungan, saya segera memberhentikan kereta dan membantu penunggang motosikal warga emas yang cedera sebelum menghantarnya ke Hospital Terendak,” katanya.

Saksi kejadian, Mohd Khairul Aizad Abd Manan, 16, berkata, dia terdengar tiga dentuman sebelum melihat mangsa tercampak ke dalam longkang berdekatan.

“Bunyi dentuman kuat ketika mangsa merempuh motosikal warga emas terbabit yang kemudiannya terjatuh dan bertembung pula dengan kereta dari arah bertentangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan tiga motosikal dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/remaja-maut-motor-bertembung-kereta-1.100058


Thursday, November 1, 2012

Ayah dilanggar pemandu mabuk

Inalillahi wainailaihi rojiun

1 November 2012
IPOH: “Saya sedih apabila dimaklumkan ayah meninggal dunia akibat dirempuh kereta dipandu pemandu mabuk ketika dalam perjalanan pulang ke rumah,” kata Azman Abdul Aziz, 45, mengenai kejadian langgar lari menimpa bapanya, Abdul Aziz Korteh, 74, di persimpangan Jalan Silibin-Jelapang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, mangsa yang menunggang basikal dipercayai dirempuh sebuah kereta jenis Toyota sebelum melambung beberapa meter dan mengalami kecederaan parah di kepala.


Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah kilang disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, untuk menerima rawatan kecemasan.

Kereta yang dipandu pemandu berusia 40-an itu kemudian terbabas lalu melanggar tiang lampu isyarat ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian.


Azman berkata, bapanya yang bertugas di kawasan perindustrian berhampiran Jelapang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Meru, di sini, selepas tamat syif bekerja.


“Arwah sudah bekerja di kilang itu lebih 10 tahun dan sering menggunakan basikal bergerak ke mana-mana.

“Saya tidak sangka dia menjadi mangsa langgar lari. Arwah seorang bapa yang lemah-lembut dan jarang memarahi anak-anak,” katanya ketika ditemui di HRPB, semalam.


Menurutnya, dia sering melawat bapanya kerana tinggal berhampiran rumah didiami arwah.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika kali terakhir saya menemuinya kelmarin dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.


Menurutnya, pemandu kereta dipercayai cuba melarikan diri sejauh satu kilometer selepas melanggar mangsa, namun keretanya terbabas dan merempuh lampu isyarat berhampiran sebuah tokong di sini.


“Pemandu kereta itu hanya cedera ringan manakala penunggang basikal disahkan meninggal dunia di HRPB akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/2012110102021420121101020214/Article/index_html


3 buruh Indonesia maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

1 November 2012
KUANTAN - Tiga buruh ladang warga Indonesia maut, manakala tiga yang lain parah selepas lori hantu yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang dari tempat kerja mengalami masalah brek ketika menuruni laluan berbukit sebelum terjunam ke dalam longkang di jalan Ladang Timur Oil Palm, Maran, petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.40 petang itu, empat yang lain termasuk pemandu lori terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai, Mansor, 31, Badrun, 39, dan Nasrudin, 39.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah pula dikenali sebagai Zarwadi, 26, Ahyar Rosidi, 26, dan Suhandi, 28.

“Mangsa yang terlibat dipercayai berada di bahagian belakang lori ketika kejadian,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, kumpulan pekerja ladang itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari ladang selepas habis waktu bekerja.

“Ketika sampai di tempat kejadian, lori terbabit dipercayai mengalami masalah brek ketika menuruni bukit menyebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan itu lalu terbabas sebelum terjunam masuk ke dalam longkang dianggarkan seluas 10 kaki,” katanya.

Menurutnya, mangsa maut serta merta di tempat kejadian, manakala semua yang cedera termasuk tiga yang parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan.


Al-Fatihah


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/tiga-maut-lori-masuk-longkang-1.99736


Wednesday, October 31, 2012

Video Kemalangan Ogos 2012

6 maut kemalangan ngeri termasuk 4 sekeluarga



kemalangan di jambatan K Ibai



Kemalangan Maut Motosikal di Jalan Batu Arang dekat Saujana Utama



Kemalangan bukit raya



kemalangan ngeri d nenasi



kemalangan di antara lok heng ke sungai mas



Dua Rakan Lelaki Bersama Seorang Wanita Indonesia Maut Dalam Kemalangan Di Jambatan P Pinang  (Berita)



kemalangan jalanraya - Km 6, Jalan Gemas - Batu Anam, Segamat



Kemalangan di Jambatan Pekan Bentong Pahang




kemalangan di area brickfields


Pemandu langgar lari dibelasah


31 Oktober 2012

IPOH – Seorang pemandu kereta berusia 40-an dibelasah orang ramai selepas merempuh enam penunggang dan pembonceng motosikal ketika cuba melarikan diri di persimpangan Jalan Mustafa Al-Bakri di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, pemandu yang menaiki kereta jenis Toyota Camry itu dikatakan memecut kenderaan dari lokasi kejadian, namun dikejar lebih 10 penunggang motosikal yang melihat kejadian itu.

Mangsa kejadian, Norimi Mohamad, 30, berkata, kereta itu dipandu laju ketika keluar dari simpang berhampiran sebaik dia dan dua motosikal lain melepasi lampu isyarat.

“Saya melihat dua perempuan dan seorang lelaki di tepi saya terpelanting ketika dirempuh sebelum jatuh tertiarap di atas jalan. Motosikal mereka jenis Honda EX5 dan Yamaha dinaiki turut terseret lebih tujuh meter,” katanya.

Menurutnya, kereta itu terus memandu laju sambil buat aksi drift dan hampir menggilis mangsa yang terbaring di atas jalan.

“Saya cuba bangun, namun terpaksa merangkak ke bahu jalan akibat cedera di lutut dan pergelangan kaki kiri. Isteri, Wati dan anak, Norfan (5 tahun) cedera di siku dan tangan,” katanya.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 20, berkata, penunggang motosikal yang menyaksikan kejadian langgar lari itu bertindak mengejar kereta berkenaan.

Katanya, lelaki itu terpaksa berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah sebelum dikepung oleh kumpulan penunggang motosikal.

“Dia keluar dalam keadaan mabuk dan dibelasah oleh penunggang motosikal yang geram dengan tindakan lelaki itu. Lelaki itu kemudian diserahkan kepada anggota peronda polis sebelum dibawa ke Balai Polis Ipoh,” katanya.

Dua gadis dan seorang lelaki berusia awal 20-an yang cedera dirempuh itu segera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, siasatan mendapati kereta yang dipandu suspek tidak sempat berhenti ketika keluar simpang selepas makan malam.

“Dia yang berasal dari Puchong, Selangor dalam perjalanan menuju ke sebuah hotel dikatakan terlanggar seorang mangsa bernama Mohd Ismawi Ismail, 32.

“Manakala, sebuah lagi motosikal tidak sempat brek terlanggar kereta menyebabkan mangsa cedera di tangan dan kaki. Butiran sebuah lagi motosikal masih tidak diketahui,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini tiada tangkapan dibuat, namun polis sudah merakam percakapan individu itu sebelum tindakan lanjut diambil di bawah Seksyen 3 (2) (b) Akta Pengangkutan Jalan.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/langgar-lari-pemandu-dibelasah-1.99237


Kerana mengatuk rempuh kedai makan


31 Oktober 2012

SEREMBAN – Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah kedai makan di Jalan Rasah Jaya, di sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an yang memandu kereta jenis Toyata Camry itu hanya mengalami cedera ringan di bahagian muka.

Jurucakap polis berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Rasah Jaya ke Jalan Tok Ungku, di sini.

“Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan dan melanggar besi penghadang jalan sebelum merempuh kedai makan yang berada di persimpangan jalan berkenaan.

“Kereta mangsa terperosok ke bahagian belakang kedai dengan melanggar tembok dan dinding kedai makan yang masih belum memulakan operasi perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut jurucakap, rempuhan kuat itu menyebabkan dinding kedai pecah dan bahagian hadapan kereta remuk teruk.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan polis dan tidak menolak kemungkinan mangsa mengantuk ketika kejadian.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kemalangan ini dan polis masih menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kerugian yang dialami pemilik kedai juga masih dalam siasatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/akibat-mengantuk-pemandu-rempuh-kedai-1.99335



Tiga remaja parah tersepit dalam van


31 Oktober 2012

ALOR GAJAH - Tiga remaja parah apabila van mereka naiki merempuh belakang sebuah kereta di Persimpangan Lampu Isyarat Jelatang - Alor Gajah, Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 2.35 petang itu turut menyebabkan kereta terbabit merempuh sebuah lori lima tan di hadapannya.

Mangsa yang parah adalah pemandu van, Tang Cheong Hong, 20, Chin Tek Hua, 14 dan Lim Fer Hong, 14, masing-masing parah di bahagian kaki dan badan.

Sebuah jentera membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Alor Gajah bergegas ke tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Operasi balai Bomba dan Penyelamat Daerah Alor Gajah, Pemangku Pegawai Bomba (PBK2), Shahrin Saad berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati tiga mangsa masih tersepit dalam kenderaan yang remuk.

“Bomba mengambil masa kira-kira lima minit sebelum ketiga-tiga mangsa yang tersepit di dalam van berkenaan dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Dua buah ambulan dari Hospital Alor Gajah serta sebuah dari Jabatan Pertahanan Awam malaysia (JPAM) Alor Gajah digunakan untuk menghantar ketiga-tiga mangsa yang parah selepas terbabit kemalangan,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tiga-remaja-parah-tersepit-dalam-van-1.99339



Penoreh getah maut dilanggar Mitsubishi Triton

Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Oktober 2012

BESUT - Seorang penoreh getah maut apabila motosikal yang dinaikinya dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda, dalam kemalangan di jalan Jertih – Pasir Putih, dekat Kampung Padang Landak, kelmarin.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa Yusof Zakaria, 65, meninggal di Hospital Besut jam 12.10 tengah hari akibat kecederaan parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noorzainy Mohd Nor berkata, kejadian berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal berada di lorong kiri dari arah Jertih ke Pasir Putih secara tiba-tiba memasuki lorong kanan jalan.

Menurutnya, pada masa sama sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton datang dari arah sama dan berada di laluan kanan gagal mengelak, lalu merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.

“Akibat pelanggaran itu menyebabkan mangsa jatuh dan mengalami kecederaan parah lalu dikejarkan ke Hospital Besut sebelum meninggal dunia. Bagaimanapun pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa beralamat di Kampung Cherang Meliling, Jertih manakala pemandu jip beralamat di Kampung Pakda Malik dekat Alor Lintah.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/penoreh-getah-maut-dirempuh-pacuan-empat-roda-1.99297



Penumpang Toyota Inova maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Oktober 2012

KUANTAN - Seorang penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Inova terbunuh selepas kenderaan dinaikinya terbabas sebelum melanggar besi pengadang jalan di Kilometer 235.1 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan-Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 5.25 petang itu, mangsa, Maznah Mustapha, 47, beralamat di Kampung Badak, Ketereh, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, pemandu MPV dikenali sebagai Nazar Tushima Azanan, 41, mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk menerima rawatan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

“Ketika sampai di tempat kejadian, kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi pengadang di situ.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/seorang-maut-mpv-terbabas-1.99305


Tuesday, October 30, 2012

Warga emas maut dirempuh pelajar

 Inalillahi wainailaihi rojiun

29 Oktober 2012 
KOTA TINGGI - Seorang warga emas maut setelah dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pelajar perempuan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Bangi dalam nahas di Kilometer 10 Jalan Mawai–Kuala Sedeli di depan balai raya Kampung Sayang di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Low Hong Seng berkata kejadian berlaku kira-kira 8.20 malam ketika mangsa Ja’afar Yusof, 78, berjalan kaki ke rumah rakannya selepas menunaikan solat Isyak di masjid  berdekatan.

"Kereta yang dipandu oleh pelajar perempuan berkenaan dipercayai terbabas, lalu melanggar mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki.   

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang baru berpisah dengan isterinya dan tidak mempunyai anak, meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik kesihatan di Tanjung Sedeli disebabkan kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat sebelum dituntut kariah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sayang.

Katanya, pelajar perempuan berkenaan yang berumur 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/warga-emas-maut-dirempuh-kereta-dipandu-pelajar-ipta-1.98753


Monday, October 29, 2012

Ibu Dan Anak 7 Tahun Maut Kemalangan



Inalillahi wainailaihi rojiun

29 Oktober 2012
TAPAH - Dua beranak maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, awal pagi tadi.




Mangsa dikenali sebagai Nurni Ahmad, 27, bersama anaknya, Daniel Abdullah, 7, maut selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.


Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Tapah ke Kampar.

Bas yang dalam perjalanan dari Kampar ke Tapah masuk laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa.


Akibat perlanggaran itu, kereta dipandu mangsa berpusing beberapa kali sebelum merempuh sebuah motosikal yang datang dari arah sama.


Penunggang motosikal masih dirawat di Hospital Tapah.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/ibu-anak-maut-kemalangan-jalan-raya-1.98652
tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Ibu_Dan_Anak_7_Tahun_Maut_Kemalangan.html


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount