loading...

Saturday, October 15, 2011

Tak Sempat Solat Jumaat



KOTA BHARU - Hajat dua beradik untuk menunaikan solat Jumaat di masjid Kampung Baung, dekat sini, tidak kesampaian apabila keduanya parah dalam kemalangan petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.20 petang itu menyebabkan motosikal yang ditunggang Ridzuan Shamsudin, 29, gagal dikawal apabila tayar bahagian belakang motosikal lasak jenis Demak itu pecah dan menyebabkan adiknya, Hafiz Shamsudin, 23, turut parah dalam kejadian itu.

Dipercayai kedua-dua mangsa tercampak di bahagian pembahagi jalan yang menyebabkan Hafiz cedera parah di bahagian kepala manakala Ridzuan cedera di bahagian tangan dan kaki.

Menurut isteri Ridzuan, Azrin Adrina Mohd Zawawi, 18, dia menerima panggilan kira-kira jam 1.30 petang daripada suaminya mengatakan mereka berdua terlibat dalam kemalangan.

“Suaranya perlahan tetapi sempat berpesan kepada saya untuk menyuruh ayah Mohd Zawawi Daud, 57, meminta bantuan ambulans.

“Tidak sampai beberapa minit, dia terus matikan panggilan dan saya cuba telefon ayah tetapi tidak berjawab kerana dia sedang menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Sementara itu, menurut ibu mangsa, Fatimah Ismail, 58, dia hanya menerima berita anak ketiga dan keempat daripada lima beradik itu terlibat kemalangan melalui seorang ahli keluarganya.

“Terkejut menerima berita mengenai kemalangan itu, kerana sebelum kejadian mereka ada berborak di luar berbincang mengenai perlawanan bola sepak malam ini (semalam) antara Kelantan dan Terengganu.

“Semasa mereka berada di ruang tamu makcik sedang memasak di dapur tetapi selepas keluar makcik lihat keduanya tiada di ruang tamu dan anak bongsu makcik mengatakan mereka sudah pun keluar untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Fatimah berkata, motosikal yang ditunggang Ridzuan merupakan pemberian bapa mertuanya.

Pemberian itu digunakan sebagai kenderaan untuk memudahkan dia menjalankan urusan perniagaan katering yang diusahakan sejak sekian lama.

“Dia baru tiga bulan mendapat motosikal itu daripada bapa mertuanya dan pada hari kejadian (semalam) dia pulang ke rumah menziarahi saya dan adik beradiknya yang lain kerana dia kini menetap di Wakaf Baru, Tumpat bersama isterinya.

“Setakat ini (semalam) Hafiz belum sedarkan diri manakala Ridzuan masih boleh bercakap tetapi dalam keadaan lemah,” katanya ketika ditemui di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Sumber: Sinar Harian

Friday, October 14, 2011

Perodua Myvi Bertembung Treler Kelapa Sawit

 ANGGOTA bomba berhempas-pulas untuk mengeluarkan mayat Wan Mohd. Asyraf yang tersepit selepas kereta Perodua Myvi yang dipandu terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai semalam. -Adham Shadan;Kosmo

 Inalillahi wainailaihi rojiun

KUALA KRAI - Kegembiraan dua beradik pulang ke kampung untuk menghadiri majlis perkahwinan emak saudara mereka bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut dalam kemalangan jalan raya di sini, awal pagi semalam.

Nahas membabitkan kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dan sebuah treler muatan kelapa sawit itu berlaku di Kilometer 108, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat sini, kira-kira jam 5.45 pagi.

Mangsa, Wan Mohd Asyraf Wan Muhamed, 24, mati di tempat kejadian manakala abangnya, Wan Mohd Hafiz, 29, dan seorang sepupu mereka yang turut menaiki kereta itu cedera ringan.

Pemandu treler yang penuh muatan kelapa sawit terbabit bagaimanapun tidak alami sebarang kecederaan.

Bapa mangsa, Wan Muhamed Wan Ismail, 55, berkata, dua anaknya serta sepupu mereka bekerja di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke kampung di Wakaf Berangan, dekat Pasir Puteh.

“Mereka ambil cuti tiga hari sampai Ahad ini sebab nak hadir majlis perkahwinan emak saudara mereka, esok (hari ini).

“Kami sekeluarga tahu mereka ambil cuti dan bertolak balik dari Kuala Lumpur malam tadi kerana perkara ini sudah lama dirancang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Wan Muhamed berkata, kali terakhir dia bertemu Wan Mohd Asyraf, anak keduanya daripada empat beradik itu ialah sebelum Aidilfitri lalu.

“Dia tak balik kampung pada hari raya kerana bekerja,” katanya yang dimaklumkan mengenai kejadian oleh abangnyadi rumahnya di Kampung Wakaf Berangan.

Wan Muhamed yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Puteh berkata, jenazah anaknya itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Kubur, dekat Pasir Puteh.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, nahas berlaku ketika kereta dipandu mangsa dari Gua Musang menuju ke Kuala Krai manakala treler terbabit dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler terbabit,” katanya.

Al-fatihah

Sumber: Sinar Harian
             kosmo

Warga Emas Dirempuh Ketika Melintas

 Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA BHARU - “Saya hanya mengetahui mengenai ayah terlibat dalam kemalangan selepas dimaklumkan adik.

“Terkejut apabila menerima berita ayah dilanggar motosikal ketika menyeberang jalan bersama basikal yang ditunggangnya,” kata anak mangsa kemalangan, Rahimah Omar, 46.

Warga emas terbabit, meninggal dunia selepas dirempuh sebuah motosikal ketika pulang dari sebuah kedai makan sambil menyeberang jalan bersama basikalnya di Bunut Payung, jam 9 malam Selasa lalu.

Mangsa, Omar Adam, 82, cedera di kepala disahkan meninggal dunia pada jam 11 malam kelmarin, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Rahimah berkata selepas menerima berita terbabit, dia bersama keluarga bergegas ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk melihat keadaannya yang ketika itu sudah tidak sedarkan diri.

”Ayah disahkan meninggal dunia pada jam 11 malam di hospital berkenaan kerana mengalami kecederaan teruk di kepala.

“Pada kebiasaannya ayah akan keluar ke kedai sama ada makan nasi di situ sebaik selesai menunaikan solat Isyak sambil mengayuh basikal di kawasan berkenaan,” katanya.

Rahimah yang merupakan anak ketiga daripada lapan beradik, berkata jenazah ayahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan selepas solat Zuhur.

Katanya, kali terakhir dua berjumpa ayahnya pada Aidilfitri lalu di kampung berkenaan, sebelum dimaklumkan kemalangan terbabit.

”Cuma pada 28 September lalu ayah ada berkunjung ke rumah empat anaknya di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dengan menaiki kapal terbang bersama anak bongsunya, Norzuliati, 25.

“Ketika berada di sana selama tiga hari ayah sempat bermesra dengan anak dan cucunya sambil menyatakan ini mungkin kali terakhir datang ke sana,” katanya ketika ditemui di rumah ayahnya di Kampung Bunut Payung.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan terbabit.

Beliau berkata, kemalangan menyebabkan mangsa yang menyeberang jalan dirempuh sebuah motosikal yang datang dari Kota Bharu menghala ke Bunut Payung.

Al-Fatihah

Sumber: SH

Pertembungan Dua Motosikal

 Inalillahi wainailaihi rojiun

KUANTAN - Dua penunggang terbunuh apabila motosikal mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan di Kilometer 47, Jalan Kuantan-Kemaman dekat Chendor di sini, awal pagi semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai, Tuan Mohamad Izzat Tuan Othman, 21 dan Rahmatnor Rashid, 23, masing-masing berasal dari Kijal dan Pasir Panjang, Kuala Terengganu mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, Tuan Mohamad Izzat dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas bertemu rakan di Sungai Ular manakala Rahmatnor pula dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kuala Lumpur.

“Ketika tiba di lokasi, Tuan Mohamad Izzat yang menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal Modenas yang ditunggang Rahmatnor yang datang dari arah hadapan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pertembungan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“‘Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat dua mangsa itu mendapati punca kematian adalah kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada,” katanya.

Jasmani berkata, mayat mangsa dituntut ahli keluarga mereka dan dibawa pulang ke kampung masing-masing untuk urusan pengebumian.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Penunggang Maut Di Jambatan Pelabuhan Utara

 Inalillahi wainailaihi rojiun

PELABUHAN UTARA - Hasrat seorang pemuda untuk ke tempat kerja tidak kesampaian apabila motosikal yang ditunggang bergesel dengan sebuah treler di atas jambatan Pelabuhan Utara menghala bandar Pelabuhan Klang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa Sahnizan Mohamad Soad, 33, maut di tempat kejadian setelah terjatuh daripada motosikalnya.

Lebih mengerikan, tubuh mangsa turut terseret sejauh 47 meter menyebabkan tempurung kepala pecah.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, daripada siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang mangsa bergesel bahagian tepi treler yang datang dari arah sama menyebabkan mangsa hilang kawalan.

“Pergeseran itu menyebabkan motosikal terbalik mengakibatkan mangsa terseret hampir 47 meter menyebabkan tubuh mangsa terperosok di bawah treler, mangsa maut serta-merta di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Mayat mangsa yang masih bujang kemudiannya dihantar ke bilik mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Polis meminta sesiapa yang menyaksikan kejadian itu tampil ke IPD Klang Utara atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zaini Abdullah di talian 03-329 02222 bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Thursday, October 13, 2011

Maut Dilanggar Penyamun


 KAPAR: Tindakan seorang wanita cuba menghalang penyamun melarikan kereta Toyota Altis miliknya bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar dan diseret sejauh 60 meter di depan rumahnya di Jalan Kapar, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.18 malam itu, Teoh Moy Lay, 51, eksekutif kewangan sebuah syarikat swasta baru pulang ke rumahnya dan ketika membuka pagar, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang terus meluru masuk ke dalam keretanya.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, mangsa yang menyedari suspek berusia 20-an itu cuba melarikan kereta miliknya cuba menghalang. “Mangsa menjerit meminta tolong daripada suaminya yang ketika itu berada dalam rumah.

“Apabila suaminya keluar, dia cuba menghalang suspek daripada melarikan kenderaan milik mereka, tetapi gagal.


“Malah suspek melanggar mereka menyebabkan suami mangsa cedera ringan, manakala mangsa cedera parah setelah diseret sejauh 60 meter dari lokasi kejadian,” katanya.


Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia jam 8.20 malam ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.

“Gerakan mencari suspek dan seorang lelaki lain dipercayai rakan suspek masih giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, suami mangsa, Koh Siew Ming, 57, yang ditemui masih bersedih dengan kejadian itu hanya menyatakan dia terpaksa menerima takdir isterinya sudah tiada.


Jiran mangsa pula yang enggan dikenali berkata, pada mulanya dia menyangka kekecohan didengarnya kerana suami isteri itu bertelagah.


“Saya dengar jeritan, tapi saya ingatkan mereka bergaduh. Sebaik keluar rumah saya nampak kereta yang melanggar mangsa sudah melarikan diri.


“Saya bergegas ke rumah mereka bagi memberi bantuan,” katanya.

Sumber: myMetro

Warga Emas Maut


 Inalillahi wainailaihi rojiun

 BENTONG: Seorang warga emas terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 345.5, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bukit Tinggi, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 petang, Saodah Ahmad, 73, dari Felda Bukit bading, Ajil, Terengganu, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansur Mohd Nor berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Wira yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, melanggar belakang kanan sebuah Land Rover milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pelanggaran itu menyebabkan Proton Wira itu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tembok batu dan memasuki laluan bertentangan.

“Proton Wira itu kemudian bertembung sebuah Perodua MyVi dinaiki mangsa bersama tiga lagi penumpang dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

“Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang belakang parah di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala yang lain hanya cedera ringan” katanya.


 Al-Fatihah

Sumber: myMetro

Tuesday, October 11, 2011

Sempat Mohon Maaf


 Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA BHARU - Seolah-olah dia dapat merasakan ajalnya sudah tiba apabila beberapa hari sebelum maut dalam kemalangan jalan raya mangsa sempat meminta maaf dengan kenalan-kenalannya.

Itulah luahan Asiah Ismail, 43, ibu kepada Mohamad Afandi Hussain, 16, setelah anak lelakinya maut dalam kemalangan jalan raya di Lebuh raya Salor, dekat sini awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, mangsa, Mohamad Afandi yang juga pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah dekat Ketereh maut di tempat kejadian setelah motosikal yang ditunggangnya dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas bertembung dengan sebuah kenderaan lain selepas memotong dua lagi motosikal rakannya.

Asiah memberitahu, sebelum kemalangan, mangsa bersama abangnya, Izani, 17, ke rumah neneknya, Bidah Yahya, 60, di Kampung Pendek kira-kira jam 6.30 petang dan difahamkan dia yang menunggang motosikal sendirian itu nekad mahu mengisi petrol biarpun dilarang abangnya kerana hari sudah lewat.

Asiah berkata, menerusi cerita yang dimaklumkan oleh rakan-rakannya, beberapa hari sebelum terlibat dalam kejadian itu, arwah sentiasa meminta maaf dengan sahabat serta guru-gurunya.

“Mungkin dia sudah tahu masanya telah sampai dan mengambil kesempatan memohon ampun dengan mereka yang rapat dengannya.

“Saya juga menyedari, dia juga berubah menjadi seorang yang semakin periang dan banyak bercakap dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Pangkal Kuang, Ketereh semalam.

Asiah berkata, anak ketiga daripada enam beradik tersebut juga menunjukkan tabiat peliknya beberapa hari sebelum kejadian, iaitu kerap makan nasi.

“Sebelum ini dia tidak pernah makan nasi dua kali dalam tempoh tidak sampai setengah jam tetapi pada suatu hari itu dia meminta saya menggoreng ikan dan memakannya sebanyak dua kali dalam masa yang singkat.

“Saya tidak mengesyaki perkara yang buruk berlaku walaupun ia tidak pernah dilakukannya sebelum ini,” katanya.

Asiah berkata, dia mengetahui kejadian yang meragut nyawa anaknya itu setelah menerima panggilan daripada saudara maranya kira-kira jam 1.30 pagi yang ketika itu dia tidur di rumahnya.

Sementara itu, Timbalan Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Kemalangan Kereta Curi


TELOK EMAS - Sebuah kereta dipercayai dinaiki sepasang kekasih yang terbabas sehingga merempuh meter air beberapa buah rumah di Kilometer 12 Kampung Pernu di sini malam kelmarin, rupa-rupanya membongkar satu kes jenayah.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota polis mendapati pemandu kereta jenis Proton Gen2 itu tiada di situ.

Menurutnya, pemandu lelaki terbabit lari meninggalkan rakannya, seorang wanita berusia lingkungan 20-an.

“Semakan nombor plat pendaftaran kenderaan terbabit mendapati ia adalah kereta curi kerana kenderaan sama dilaporkan hilang di Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor.

“Justeru, kami menahan wanita terbabit dan menyerahkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut. Pemandu kereta terbabit turut dicari bagi membantu :siasatan,” katanya, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kereta jenis Proton Gen2, dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar secara tiba-tiba melakukan pusingan U di bahu jalan lalu melanggar longgokan meter paip air milik beberapa penduduk.

Menurut saksi yang enggan dikenali, sejurus kemudian keluar seorang lelaki bersama seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an.

Katanya, dia melihat berlaku pertengkaran sehingga lelaki itu bertindak menampar beberapa kali wanita terbabit.

Tidak lama selepas itu, datang beberapa lelaki lain yang cuba meleraikan pergaduhan itu sehingga hampir-hampir mencetuskan ketegangan antara mereka.

Bagaimanapun, lelaki yang memandu kenderaan terbabit menghilangkan diri sebelum kehadiran anggota polis di tempat kejadian.

Kejadian berkenaan juga turut mengakibatkan lebih empat rumah terputus bekalan air selama hampir empat jam.

Sumber: Sinar Harian

Van Anti-Narkotik Bertembung Lori


 Inalillahi wainailaihi rojiun

ENDAU - Seorang anggota polis dan seorang suspek dadah, maut apabila van unit polis anti-narkotik yang mereka naiki bertembung dengan lori muatan tiang konkrit di Batu 197, Jalan Mersing-Endau petang semalam.



Mangsa, Koperal Razeli Stapa, 48, dan suspek dadah itu maut di tempat kejadian, manakala seorang anggota polis, Lans Koperal Nik Li Nik Hassan, seorang suspek dadah dan pemandu lori mengalami kecederaan.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Mersing, manakala tiga yang cedera turut dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Mohd Nor Rasid mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, sewaktu kejadian jam 3.10 petang itu, dua anggota polis narkotik dalam perjalanan dari Endau menghala ke Mersing dengan membawa dua suspek yang terlibat dalam kes dadah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, van yang dipandu oleh salah seorang anggota itu dipercayai bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

“Berikutan rempuhan yang kuat itu, van berkenaan remuk teruk. Seorang anggota polis dan suspek meninggal dunia di tempat kejadian, manakala, seorang anggota polis dan suspek yang cedera dibawa ke Hospital Mersing," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pemandu lori mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Mersing manakala kelindannya tidak cedera.

Katanya, anggota polis narkotik itu baru balik dalam operasi yang dibuat dengan melakukan dua tangkapan sebelum kemalangan yang berlaku ketika waktu hujan.

Kedua-dua anggota polis yang terlibat bertugas di Bahagian Narkotik IPD Mersing.

Sumber: SH

Tak Sempat Bertunang dan Tak Sempat Konvokesyen


 Inalillahi wainailaihi rojiun

MARAN - Bakal graduan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kampus Cawangan Kuantan maut, manakala rakannya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di KM186.2 Lebuh Raya Pantai Timur dekat Sri Jaya menghala ke Kuantan jam 3.50 petang, semalam.

Mangsa, Nurul Hana Jalaluddin, 22, meninggal dunia di tempat kejadian, sementara Siti Fatimah Rani, 23, juga bakal graduan KPTM cedera parah di bahagian muka dan patah tangan.

Lebih menyedihkan, kedua-duanya sudah mengesahkan untuk hadir pada majlis konvokesyen Sabtu ini sementara Nurul Hana bakal menjadi tunangan orang pada 22 Oktober depan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, mangsa memandu kenderaan jenis Proton Pesona bersama Siti Fatimah menuju ke Kuantan selepas menziarahi keluarga di Perak.

Menurutnya, kenderaan mangsa dipercayai tercampak ketika kenderaan dipandu mangsa terbabas lalu melanggar bukit sebelum berpusing beberapa kali.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan dituntut keluarga bagi pengebumian di kampung halamannya di Tanjung Piandang, Perak. Siti Fatimah masih koma dan sedang dirawat di Hospital Kuantan,” katanya.

Ahmad Johari berkata, mangsa yang bekerja di Kuala Lumpur sementara menunggu hari konvokesyen pulang ke kampung menaiki kenderaan milik bakal tunang mangsa bagi menguruskan persiapan pertunangan.

Menurutnya, pada hari kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Kuantan untuk memulangkan kembali kenderaan yang digunakan itu kerana bakal tunang mangsa bekerja di Kuantan.

Sementara itu Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan ketika dihubungi melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, tragedi yang berlaku itu merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga mangsa tetapi juga kepada pihak kolej yang melahirkan seorang graduan berjaya.

“Saya akan berbincang dengan pihak kolej bagi membantu keluarga mangsa untuk urusan konvokesyen yang berlangsung minggu ini dan saya harapkan keluarga mangsa tabah dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Beliau berkata, wakil KPTM di Ipoh akan melawat keluarga Allahyarham Nurul Hana dan memberi sedikit sumbangan.


Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Monday, October 10, 2011

Motosikal Rempuh Lori Tangki


 Inalillahi wainailaihi rojiun

PASIR GUDANG - Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah lori tangki membawa minyak masak di Kilometer 33, Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Roslan Zainuddin berkata, mangsa yang dikenali sebagai Azizi Ismail, 20, dari Taman Cendana, dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar bahagian belakang lori berkenaan.

“Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu menyaksikan mangsa yang menunggang motosikal hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori terbabit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengesahkan kejadian, di sini, semalam.

Sementara itu, pemandu lori, Mohd Haikal Kamis, 28, tidak menyangka tindakannya memberhentikan lori di laluan kiri jalan mengundang padah kepada kepada mangsa walaupun langkah keselamatan sudah diambil untuk memberi peringatan kepada pengguna lalu lintas lain.

Katanya, rempuhan berkenaan pada mulannya disangkakan sebuah kereta, namun mendapati mangsa yang terbabit menunggang motosikal selepas ditinjau pada bahagian lori.

“Saya dalam perjalanan menuju ke Pasir Gudang dari Pengeli Timur. Mendapati kenderaan dipandu mengalami masalah pada brek, saya menghentikan lori di lorong kiri jalan.

“Selepas memberhentikan lori, saya segera menghidupkan lampu kecemasan meletakkan kon beberapa meter dari bahagian belakang lori sebagai peringatan kepada pengguna lalu lintas lain.

“Saya kemudiannya menuju ke bahagian depan lori untuk mencari barang-barang keperluan bagi menyelesaikan masalah brek, tiba-tiba kedengaran bunyi rempuhan kuat,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Askar Maut Bertembung Lori Tangki


BAHAU- Seorang askar maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan bertembung lori tangki dari arah bertentangan di kilometer 8 Jalan Bahau-Rompin, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa, Lim Linggan, 26, yang menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan pulang ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Sabri Muhamad berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 datang dari arah Bahau.

“Mangsa yang tiba-tiba hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori tangki terbabit.

“Ketika itu, lori tangki tanpa muatan yang dari arah Rompin gagal mengelak daripada bertembung dengan mangsa.

“Mangsa merempuh bahagian tengah tayar lori dan menyebabkannya digilis bersama motosikalnya sebelum tercampak ke laluan asal,” katanya ketika mengesahkan kejadian terbabit.

Menurutnya, motosikal mangsa terhumban ke dalam longkang manakala, mangsa terdampar dalam keadaan mengiring di bahu jalan.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian berikutan mengalami cedera parah di bahagian kepala, kaki kanan koyak, manakala otaknya berkecai dan bertaburan di atas jalan raya.

“Bagaimanapun, pemandu lori yang berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, mangsa berasal dari Tenom, Sabah meninggalkan seorang balu dan anak lelaki berusia 11 bulan.

Mangsa yang berpangkat Gunner itu telah berkhidmat hampir lapan tahun di Kem Syed Sirajuddin dalam Unit 21 Artelari.

Mayat mangsa akan diuruskan di kem berkenaan terlebih dahulu sebelum diterbangkan ke Sabah dalam masa terdekat.

Sumber: Sinar Harian

Dirempuh Ketika Belajar Memandu


KUALA BERANG - Seorang pelajar kelas memandu daripada sebuah institusi memandu di sini menghadapi detik mencemaskan apabila Perodua Kancil dipandunya berpusing akibat dirempuh sebuah Naza Citra berdeka-tan institusi berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9.10 pagi di Kilometer 3 Jalan Kuala Berang-Ajil itu, mangsa, Nur Farhana Md Yusoff, 22, dari Kampung Bukit Diman bengkak lutut kiri dan kanan serta sakit di bahagian bahu belakang, manakala tenaga pengajar cedera di bahagian tangan serta bahu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta menuruni bukit keluar daripada pekarangan institusi memandu berkenaan bersama tenaga pengajar.

“Mangsa memandu kenderaan milik institusi berkenaan yang datang dari arah Ajil menuju ke Kuala Berang.

“Namun, dipercayai sebuah Naza Citra merempuh kereta dipandu mangsa dari arah belakang secara tiba-tiba hingga menyebabkan kenderaan itu berpusing,” katanya.

Mohd Rosli berkata, pada masa sama, datang sebuah Perodua Kancil dari arah sama lalu melanggar bahagian depan sebelah kanan kereta dinaiki mangsa.

“Akibat kemalangan itu, mangsa dan tenaga pengajar mengalami kecederaan, manakala pemandu Perodua Kancil serta Naza Citra tidak me-ngalami kecederaan,” katanya semalam.

Mohd Rosli berkata, selain itu, dua lagi kemalangan turut dilaporkan berlaku kelmarin iaitu di Kilometer 402 Ajil-Bukit Besi (lebuh raya) kira-kira jam 1.30 pagi membabitkan sebuah kereta jenis Chevrolet Aveo dan satu lagi di Kampung Kuala Jeneris membabitkan sebuah treler dengan van kira-kira jam 1.40 petang.

“Dalam kejadian di lebuh raya Ajil-Bukit Besi, kenderaan dipandu Mohd Kamsol@Joy Alias, 38, dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Terengganu, terlanggar seekor babi hingga menyebabkan bumper bahagian hadapan kereta berkenaan rosak,” katanya.

Menurutnya, mangsa cuba mengelak sekumpulan haiwan berkenaan yang secara tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan namun dia terlanggar salah seekor daripadanya.

“Manakala, kejadian di Kampung Kuala Jeneris dipercayai berlaku apabila pemandu van jenis Nissan keluar secara tiba-tiba dari kawasan parkir Medan Selera Kuala Jeneris menuju ke arah Kuala Berang sebelum dilanggar sebuah treler yang datang dari arah Sungai Tong-Kuala Berang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Jangan Menunggang Motosikal Melawan Arus



SHAH ALAM – Gara-gara menunggang motosikal melawan arus, tiga lelaki termasuk dua beradik maut selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 2.7, Labuh Raya Damansara-Puchong, Petaling Jaya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, semua mangsa adalah orang asli dan mereka yang menunggang dua motosikal itu dipercayai dalam perjalanan dari Bukit Lanjan menghala Damansara Perdana.

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansur berkata, mereka yang maut adalah Ngah Relup, 30 dan Mazlan Relup, 34, berasal dari Pahang serta Bah Juli Bah Muning, 29, berasal dari Perak.

“Kita percaya motosikal dinaiki mangsa berada di lorong paling kanan di laluan bertentangan lebuh raya itu untuk pulang ke rumah mereka di Damansara Perdana.

“Kedua-dua motosikal itu bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City, dipandu seorang remaja lelaki. Akibatnya, semua mangsa tercampak di atas lebuh raya dan maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta itu tidak cedera,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.








Sumber: Utusan Malaysia
              ntv7
              kosmo

Sunday, October 9, 2011

Tidak Sempat Merasa Gaji Pertama


Inalillahi wainailaihi rojiun

ULU TIRAM: Tiga sahabat yang baru sehari memulakan kerja baru di sebuah kilang tidak sempat merasa gaji pertama apabila meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori pasir di Jalan Batu 16 1/2, Sungai Tiram, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi, pemandu Proton Wira, Mohamad Faiz Ahmad Tahir, 18, bersama rakan Mohd Khairuddin Karimi, 21, Mohamad Nazri Zulkifly, 20, disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.


Abang saudara Nazri, Muhzir Abu Bakar, 28, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran.

“Saya ada di rumah yang terletak 100 meter dari lokasi kemalangan dan sepanjang perjalanan, saya hanya mampu berdoa supaya semuanya selamat.


“Bagaimanapun, selepas melihat kereta Wira itu remuk, saya nampak Nazri dalam keadaan tidak sedarkan terbaring di kerusi belakang manakala dua lagi rakannya tersepit,” katanya, semalam.


Menurut Muhzir, kali terakhir dia berjumpa Nazri pada Aidilfitri lalu. Seperti biasa Nazri tidak banyak bercakap kerana sikapnya yang pendiam dan mereka hanya berbual biasa.

Muhzir juga terkilan kerana hasratnya untuk membawa Nazri ke Kuala Lumpur dan bekerja dengannya juga tidak kesampaian.


Sementara itu, adik Nazri, Mohamad Faiz Zulkifly, 17, berkata kali terakhir dia berjumpa abangnya pada malam Khamis lalu.

“Abang memaklumkan dia mendapat kerja baru di sebuah kilang di Taman Desa Cemerlang bersama dua lagi rakannya.


“Kami sekeluarga tumpang gembira kerana sebelum ini abang bekerja di bengkel membaiki kenderaan,” katanya.


Bagaimanapun, kata Faiz, bapa mereka berasakan ada sesuatu yang tidak kena dan menasihatkan Nazri supaya memulakan tugas pada hari berikutnya.


Bagaimanapun, Faiz berkata, abangnya yang teruja dengan kerja barunya tetap mahu memulakan tugas semalam.


“Kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini, abang anak yang taat serta patuh pada ibu bapa,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, Wira dinaiki mangsa datang dari arah Pekan Ulu Tiram, dan setibanya di lokasi kejadian, pemandunya cuba memotong sebuah kenderaan tetapi gagal.


“Ia menyebabkan kereta itu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan. Mohamad Faiz dan dua rakannya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Jenazah ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan jenazah mangsa dituntut keluarga untuk urusan pengebumian petang semalam.

Al-Fatihah

Sumber: myMetro
             Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my