loading...

Saturday, February 16, 2013

Trak terbalik bersama 12 OKT

12 OKT cedera selepas trak PDRM terbalik


17 Februari 2013
Ampang Jaya: Seramai 12 Orang Kena Tuduh (OKT) yang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah cedera ringan selepas trak membawa mereka terbabas sebelum terbalik di Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2) berhampiran Pandan Indah di sini, semalam.

Trak PDRM membawa Orang Kena Tuduh (OKT) terbalik


Ketika kejadian kira-kira jam 11 pagi, trak pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membawa 15 OKT yang dikawal tujuh anggota polis.


Difahamkan, ketika kejadian, trak berkenaan dalam perjalanan pulang dari Mahkamah Ampang ke Balai Polis Pandan Indah selepas mendapatkan perintah reman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Md Nazri Zawawi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu seramai 12 OKT cedera dalam kejadian itu.


“Bagaimanapun, mereka hanya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Ampang (HS) untuk mendapatkan rawatan.


“Selepas diberikan rawatan, mereka yang cedera dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan lanjut,” katanya.

 Ketika ditanya bagaimana kejadian itu berlaku, Md Nazri berkata, trak terbabit terbabas disebabkan jalan licin dan berminyak.


Katanya, tiada OKT melarikan diri dalam kejadian itu kerana pihaknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Trakterbalik_12tahanancedera/MA/Article


Pelajar SMK Taman Kota Jaya maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

17 Februari 2013
KOTA TINGGI – Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kota Jaya di sini maut dalam kemalangan di Kilometer 66.9 Lebuhraya Senai-Desaru di sini awal pagi semalam apabila pemandu kereta cuba mengelak seekor lembu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Mohd Nor Rasid berkata, ekoran kejadian itu mangsa, Nettie Ratna Sari Abdul Rahim, 16, dari Taman Kota Jaya dan Nur Syafiqah Syazwani Harun Nul Rashid, 16, dari Perumahan Desa Sejahtera meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakan mangsa yang juga pemandu kereta, Mohd Razy Md Yusof, 22, dari Felda Sungai Mas mengalami cedera ringan dan dirawat di Klinik Bandar Penawar.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.15 pagi apabila kenderaan jenis Honda City yang dinaiki mangsa dari arah Senai menghala Desaru telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam curam di laluan bertentangan.

“Siasatan awal mendapati apabila tiba di KM 66.9 Lebuhraya Senai-Desaru, kereta yang dipandu Mohd Razy cuba mengelak lembu yang berada di atas jalan.

"Keadaan jalan yang gelap dan licin berikutan hujan mengakibatkan kereta itu terbabas ke laluan bertentangan sebelum masuk ke dalam curam.

"Kedua-dua mangsa parah di bahagian kepala dan meninggal di tempat kejadian dan Mohd Razy, yang masih berada di tempat duduk pemandu, (ketika diselamatkan) cedera ringan," katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kedua-dua jenazah mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat dan telah dituntut oleh keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, semalam.


Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/2-pelajar-maut-kereta-dinaiki-cuba-elak-lembu-1.131771


Bakal jururawat maut dihempap lembu


Inalillahi wainailaihi rojiun

17 Februari 2013
JENGKA - Seorang pembonceng wanita maut dihempap lembu apabila motosikal dinaikinya melanggar haiwan itu dalam satu kemalangan yang berlaku kira-kira 400 meter dari simpang masuk tanah rancangan Jengka 18, kelmarin.

Mangsa, Nurul Nasirah Mat Nasir, 25, meninggal dunia akibat sesak nafas selepas dihimpit lembu terbabit yang mati dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kejadian itu berlaku di Kilometer 30.6 jalan Temerloh-Bandar Jengka.

“Berdasarkan siasatan, penunggang motosikal dikatakan tidak sempat mengelak apabila secara tiba-tiba, seekor lembu melintas di hadapan mereka.

“Mangsa yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dibawa pulang ke kampung halamannya semalam (kelmarin),” katanya.

Difahamkan, mangsa baru sahaja menamatkan kursus kejururawatan dan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama teman lelakinya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-dihempap-lembu-1.131901


Anggota Rela maut elak lembu

Inalillahi wainailaihi rojiun

17 Februari 2013

SETIU - Seorang anggota Rela terbunuh selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika cuba mengelak daripada melanggar lembu di Kilometer 37.2 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, petang kelmarin.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Mohd Al Hakid Amran, 22, dari Kampung Gong Berangan, Tempinis, Besut meninggal di Hospital Setiu akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Ab Rahman Raja Mohamed berkata, ketika tiba di tempat kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ seorang diri dari arah Kuala Terengganu cuba mengelak lembu yang berada di atas jalan raya.

Menurutnya, motosikal yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Besut.

“Mangsa yang dalam pulang ke rumahnya disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu pada jam 7.35 petang hari sama kerana mengalami kecederaan parah di bahagian organ dalaman dan patah tulang belakang,” katanya.

Ab Rahman berkata, kemalangan hanya membabitkan sebuah kenderaan dinaiki mangsa, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/anggota-rela-maut-terbabas-elak-lembu-1.131941


Friday, February 15, 2013

Ahli kelab Bikerz maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

16 Februari 2013
Subang Jaya: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berkonvoi bersama lima rakannya maut selepas terbabit dalam kemalangan di kota Bangkok, Thailand, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, motosikal Yamaha Virago ditunggang mangsa dikatakan bergesel dengan kenderaan berat dipercayai lori ketika keadaan jalan raya sesak teruk menuju ke kota berkenaan.


Muhammad Adzhar Abdul Ali, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurut ahli kelab Lanun Bikerz, Ridauddin Mohamad Shafir, 35, dia menerima berita itu daripada rakan baik mangsa jam 11 malam iaitu enam jam selepas kejadian berkenaan.


“Arwah bersama lima rakannya bertolak Selasa lalu dan dalam perjalanan ke Bangkok, Thailand bagi menghabiskan cuti di sana sebelum pulang ke tanah air, Ahad ini,” katanya.


“Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila dia terbabit dalam kemalangan beberapa kilometer sebelum memasuki kota berkenaan,” katanya.

Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu menyertai kelab motosikal Lanun Bikerz pada 2005 dan aktif menyertai kerja amal yang dianjurkan kelab terbabit.


Difahamkan, jenazah Muhammad Adzhar dijangka tiba di rumah ibu bapanya di SS 15 Subang Jaya jam 2.30 petang ini dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam SS 21 bersebelahan pusara bapanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautdilanggarketikakonvoi/Article/index_html


Pelajar berisiko kemalangan



16 Februari 2013
 PARIT BUNTAR - Lebih 150 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat, dekat sini terpaksa bergadai nyawa ke sekolah berikutan kewujudan sebuah pasar pakaian di Jalan Sempadan, di sini menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas hingga ke pintu pagar sekolah.

Lebih membimbangkan, kesemua murid yang berjalan kaki dan menaiki basikal ke sekolah terpaksa menyusup di sebalik puluhan kenderaan melalui Jalan Sempadan, di sini pada setiap pagi Isnin dan Jumaat disebabkan kewujudan Pasar Kemboja sejak tahun 2009.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Profesor Dr Badorul Hisham Abu Bakar berkata, tindakan pengunjung dan peniaga meletakkan kenderaan mereka di sepanjang bahu jalan pada setiap hari Isnin dan Jumaat untuk berbelanja di Pasar Kemboja mengakibatkan jalan sesak sehingga menyukarkan waris menghantar anak mereka.

“Lebih merisaukan, tindakan peniaga memulakan operasi perniagaan seawal waktu subuh mengundang kehadiran pengunjung ke pasar itu pada awal pagi dan seterusnya menyebabkan kenderaan mereka dan peniaga diletakkan secara sesuka hati sehingga di hadapan pintu sekolah.

“Keadaan ini mengancam keselamatan keseluruhan 794 murid sekolah terutama pada waktu tengah hari setiap hari Jumaat di mana keadaan kesesakan kenderaan kadangkala berpanjangan sehingga lebih sekilometer apabila kawasan jalan itu menjadi kegunaan utama waris, pelajar dan pengunjung pada waktu puncak,” katanya sewaktu mengadakan sidang media di sini semalam.

Turut hadir Guru Besar SK Permatang Tok Mahat, Md Rijani Md Ibrahim dan Timbalan YDP PIBG sekolah, Zulkifli Mohd Yusoff.

Badorul Hisham menggesa pihak berkuasa tempatan mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, pihaknya telah mengemukakan beberapa surat aduan kepada Majlis Daerah Kerian (MDK), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), polis Kerian dan Seberang Perai Selatan serta pegawai kedua-dua daerah itu bagi membolehkan masalah itu diberi perhatian segera.

“Berdasarkan maklum balas diterima, pihak polis telah mengambil tindakan dengan mengadakan operasi menyaman kenderaan yang diletakkan di bahu jalan, bagaimanapun langkah itu dilihat tidak berkesan.

“Malah, MDK dan MPSP turut menyatakan perkara ini sudah dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah masing-masing dan MDK bersetuju untuk memindahkan kesemua peniaga di Pasar Kemboja terbabit ke lokasi lain di Dataran Kerian Permai, di sini, selepas Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

“Namun, sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil dan kami menggesa pihak terlibat mengambil inisiatif segera bagi mengelakkan kemalangan jiwa berlaku melibatkan nyawa anak-anak kami,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dun Titi Serong, Abu Bakar Md Ali ketika dihubungi menegaskan pihaknya bersama MDK akan mengkaji semula penyelesaian terbaik.

Menurutnya, pihaknya mengakui sememangnya wujud cadangan asal untuk memindahkan pasar itu ke lokasi alternatif di Dataran Kerian Permai, di sini, tetapi idea itu dibantah peniaga-peniaga terlibat selain dikenal pasti tidak sesuai.

“Kami mungkin akan merangka perancangan terbaik untuk memastikan keadaan lalu lintas sewaktu waktu persekolahan dikawal rapi buat sementara waktu.

“Pada masa sama, kami sedang memastikan lokasi sesuai untuk memindahkan peniaga dari Pasar Kemboja yang dipersetujui mereka sendiri berikutan setiap keputusan yang dibuat perlu menjaga kepentingan semua pihak,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/pelajar-berisiko-kemalangan-1.131711


Bas rombongan orang asli terbalik

bas persiaran yang membawa 36 Orang Asli dari Gua Musang, Kelantan ke Seri Iskandar terbabas 
dalam kemalangan di Kilometer 15 Cameron Highlands-Simpang Pulai


16 Februari 2013
 SIMPANG PULAI - “Saya sempat bergayut di palang berhampiran kerusi sebelum melihat penumpang lain terhumban dan terhimpit ke sebelah kiri bas,” ujar Urusetia Persatuan Orang Asli Kelantan, Jabbar Salleh, 53.

Jabbar adalah seorang daripada 36 Orang Asli yang menaiki bas persiaran dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dekat sini.

Bas tersebut adalah salah satu daripada 25 bas yang membawa kira-kira 1,000 Orang Asli dari Kelantan bagi menghadiri Program Himpunan Perdana Warga Orang Asli Bersama Perdana Menteri dan Pelancaran Program Mengubah Destini Orang Asli di Padang A, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, bas yang dinaiki kumpulan Orang Asli terbabit dipercayai terbabas lalu melanggar bahagian kanan sebuah lagi bas yang turut mengikuti konvoi tersebut sebelum masuk ke dalam parit berhampiran.

Kejadian yang berlaku di Kilometer 15, Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Pos Slim itu turut mengakibatkan seorang maut manakala lima lagi cedera parah manakala 10 yang lain hanya mendapat rawatan pesakit luar dan mereka semua dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Jabbar berkata, bas tersebut dalam keadaan tidak stabil ketika melalui selekoh dan dipercayai mengalami kerosakan gear ketika menuruni bukit sebelum melanggar bas di hadapan sehingga mengakibatkan bas terbabas masuk ke dalam longkang.

“Selepas bas terhumban masuk ke dalam parit, kesemua penumpang yang duduk di sebelah kanan terjatuh ke sebelah kiri sehingga mengakibatkan ramai daripada penumpang cedera akibat kejadian itu.

“Saya dan beberapa penumpang keluar mengikut pintu pemandu bas manakala selebihnya mengikut pintu belakang,” katanya.

Seorang lagi penumpang bas yang terselamat, Kemboh Dollah, 22, berkata, dia yang duduk bersama kakaknya di barisan ketiga belakang tempat duduk pemandu hanya mendengar jeritan penumpang lain sebelum bas terbabas memasuki longkang di sebelah kiri jalan.

“Kami berdua terkejut dan tidak mampu berbuat apa-apa hanya berharap sesuatu yang buruk tidak berlaku,” katanya yang serik untuk menaiki bas selepas terbabit dalam kemalangan itu.



Bergesel dengan bas lain

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila bas tersebut bergesel dengan bas persiaran yang lain sebelum dihimpit ke tepi sehingga mengakibatkan ia masuk ke dalam longkang berhampiran.

Menurutnya, bas yang bertolak dari Pos Hendrop, Gua Musang itu dalam perjalanan ke UiTM Seri Iskandar untuk menghadiri program bersama perdana menteri.

“Bagaimanapun, setibanya mereka di Kilometer 15 Cameron Highlands-Simpang Pulai bas tersebut mengalami kemalangan mengakibatkan 36 penumpang bas terhimpit ke sebelah kiri bas.

“Polis, bomba dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) bekerjasama membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Akibat kemalangan itu, seorang maut setengah jam selepas mendapat rawatan di hospital, lima daripadanya separuh kritikal manakala 18 lagi mendapat rawatan pesakit luar, “ katanya.

Katanya, mangsa maut dikenali sebagai Mali Along, 21, pelajar Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP), Kuantan.

“Mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan dalaman dan kes tersebut disiasat di bawah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Shalimin Ahmad Shaffie berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan membantu menguruskan jenazah mangsa serta membantu mangsa lain yang cedera dalam kemalangan itu.


PM lawat mangsa nahas


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut meluangkan masa selama 15 minit melawat mangsa di Wad Kecemasan HRPB.

Najib turut meluahkan rasa simpati dan menghulurkan sumbangan kepada mangsa yang terbabit dalam kemalangan tersebut.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/gear-rosak-bas-rombongan-program-pm-humban-ke-parit-1.131635


Bayi perempuan selamat dalam dakapan ibu



16 Februari 2013
ALOR GAJAH - "Sambil memeluk bayi, saya merangkak keluar perlahan- lahan dari kereta," kata Yap Mui Yin, 38, mangsa kemalangan membabitkan enam sekeluarga di Kilometer 203.5 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini, petang kelmarin.

Ibu kepada empat anak itu terperangkap selepas kereta Toyota Unser dinaiki enam sekeluarga terbabas dan melanggar pengadang lebuh raya, sebelum terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas.

Menurut Mui Yan, ketika kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, dia dan suami, Ngoo Kin Hua, 39, serta empat anak, Ngoo Yen Ni, 11, Ngoo Yen Chi, 8, Ngoo Yen Chin, 5, dan Ngoo Yen Ping, 3 bulan, dalam perjalanan pulang ke Skudai, Johor Bahru, selepas menyambut Tahun
Baru Cina di Seremban.

Katanya, sebaik sahaja mula merasakan keadaan kereta terhuyung-hayang, dia terus memeluk erat bayi perempuannya, sementara tiga lagi anaknya saling berpegangan tangan dalam keadaan ketakutan.

“Kereta kami secara tiba-tiba seperti ditolak angin, lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh sedikit besi pembahagi lebuh raya. Kereta kami pada mulanya terbalik dalam keadaan mengiring sebelum terseret di lorong kanan dan terbalik," katanya.

Katanya, dalam keadaan keempat- empat tayar kereta ke atas, dia dan suaminya menyuruh tiga anak mereka yang duduk di belakang keluar dari kereta kerana bimbang kemungkinan dirempuh kenderaan lain.

“Saya panik dan terperangkap kerana sukar membuka tali pinggang keledar, sementara suami bantu tiga anak di tempat duduk belakang.

“Sambil mengendong Yen Ping yang menangis, saya merangkak keluar," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Mui Yan berkata, dalam keadaan sakit disebabkan hentakan kuat, dia dapat melihat lebuh raya yang begitu sibuk dengan kenderaan dan berlari selamatkan diri ke tebing sebelah kiri lebuh raya, sebelum pekerja lebuh raya berkenaan tiba dan menutup lorong sebelah kanan.

Menurutnya, dia sebak melihat barangan keperluan diri dan anak-anaknya bertaburan atas jalan, termasuk barangan keperluan dapur, sebelum ia dikumpulkan suaminya.

“Habis semua barang dalam bonet kereta bertaburan atas jalan. Tapi kami bernasib baik kerana tidak cedera," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mereka dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk pemeriksaan

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/bayi-selamat-dalam-dakapan-1.131751


Di ulang tahun perkahwinan



16 Februari 2013
 BUKIT KATIL - Hasrat seorang lelaki untuk memberi hadiah kepada isteri sempena ulang tahun perkahwinan, Mac depan, berkecai apabila isterinya maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 pagi itu, mangsa, S. Ponmani, 36, dari Pondok Batang, Nyalas, bersama tiga wanita warga emas lain dalam perjalanan menuju ke kilang tempat mereka bekerja sebagai tukang cuci di Batu Berendam, dekat sini.

Van kilang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Persimpangan Tun Kudu - Tehel, di sini, semalam.

Suami mangsa, B. Saravanan, 37, berkata kali terakhir dia menemui mangsa ketika mereka tidur bersama di rumah ibunya di Kampung Air Merbak, Jasin, kira-kira 11 malam kelmarin.

“Sebelum kami melelapkan mata, dia ada bertanyakan tentang hadiah untuknya sempena Hari Valentine, tetapi saya hanya mendiamkan diri dan terus tidur.

“Saya bercadang memberikannya hadiah pada sambutan ulangtahun perkahwinan kami yang kelapan pada 25 Mac depan,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka, dekat sini semalam.

Dia bagaimanapun sedih apabila hasrat tersebut tidak kesampaian apabila isterinya itu meninggalkan dirinya serta anak lelaki mereka, S. Nareshan, 6, buat selama-lamanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, van dipandu lelaki berusia 50 tahun yang datang dari arah Tehel berlanggar dengan sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang datang dari arah Paya Dalam menghala ke Bukit Katil.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang tengah meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

“Pemandu van yang turut tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba tidak lama kemudian dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan selanjutnya,” katanya di sini, semalam.

Adnan berkata, tiga penumpang lain berusia lingkungan 60-an, bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu Nissan Sentra yang berusia 30 tahun turut terselamat,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-beli-hadiah-1.131628



4 maut nahas berasingan



16 Februari 2013
KUANTAN- Mendukacitakan apabila empat termasuk seorang wanita warga emas dilaporkan terkorban dalam nahas berasingan yang dilaporkan berlaku di negeri ini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang di Kilometer 26 Jalan Jerantut-Temerloh dekat Temerloh, seorang warga emas, S Meenachi, 76, dari Taman Bukit Sireh, Kelantan mati di tempat kejadian apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan kereta  membabitkan empat kenderaan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri,  Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Caldina yang datang dari arah Temerloh menuju ke Jerantut terbabas masuk ke  laluan bertentangan lalu merempuh sebuah Proton Wira

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, MPV terbabit bertembung pula dengan Perodua Myvi  dinaiki mangsa yang mengekori belakang Proton Wira tersebut.

“Kereta dinaiki mangsa berpusing beberapa kali sebelum merempuh Toyota Vios yang berada di belakang,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian berasingan, seorang peniaga pasar malam, Fazwan Hazrane Mohd Faizul, 31,  maut selepas van yang dipandunya melanggar bahagian belakang treler  di Batu 6 Jalan Kuantan-Gambang kira-kira jam 4.55 petang, kelmarin.

“Mangsa yang tersepit di tempat pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila  mangsa yang datang dari arah bandar Kuantan menuju ke Gambang gagal mengelak treler yang keluar dari simpang di situ lalu merempuhnya.

Sementara itu, seorang penunggang, P Thangarajoo, 37, terbunuh selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 8.5 Jalan Bentong-Raub, dekat Bentong.

Menurutnya, dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu, bas terbabit dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur manakala mangsa menunggang dari arah bertentangan.

“Bas terbabit dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa,

“Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya.

Nasib malang itu turut menimpa seorang  remaja, Al-Anas Zulkepli, 18, dari Felda Chini, Pekan apabila turut maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira di Kilometer 3 Jalan Chini-Kuantan, dekat Pekan, malam kelmarin.

“Dalam nahas kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa yang  tercampak ke atas jalan cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia   dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pekan Chini,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, punca kemalangan yang meragut nyawa empat pengguna jalan itu masih dalam siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/4-maut-nahas-berasingan-1.131624


Suri rumah maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

15 Februari 2013
KEPALA BATAS -  Seorang suri rumah maut selepas kereta dipandunya terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebatang pokok di Jalan Lahar Kepar menghala ke Penaga, di sini kira-kira 8.30 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata Zailan Samad, 48, yang memandu seorang diri mengalami kecederaan parah akibat rempuhan kuat itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya ketika kejadian wanita itu dalam perjalanan balik dari pasar di sini  dan kemalangan berlaku kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke rumahnya di Taman Penaga.

Sementara itu suami wanita itu, Zulkhahar Hanafiah, 50, yang ditemui di bilik mayat Hospital Kepala Batas (HKB) berkata isterinya pergi ke pasar setiap hari bagi membeli barangan runcit untuk dijual.

"Kami berniaga kecil-kecilan pelbagai makanan ringan," katanya dan menurutnya dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh kenalannya. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/suri-rumah-maut-kereta-rempuh-pokok-1.131534


Polis terpelanting dirempuh mat rempit

15 Februari 2013
Ipoh: Seorang anggota polis terpelanting sejauh lebih tiga meter selepas dirempuh seorang mat rempit yang memecut motosikal melepasi sekatan jalan raya di Jalan Dato’ Seri Ahmad Said di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa Lans Koperal Luqman Hakim Abu Bakar, 26, yang berkhidmat di Balai Polis Sungai Senam, di sini, patah tulang betis akibat rempuhan kuat itu.


Kemalangan berlaku ketika mangsa bertugas melakukan pemeriksaan rutin terhadap kereta dan motosikal melalui jalan berkenaan.

Mangsa yang ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, berkata, kejadian itu berlaku apabila seorang penunggang motosikal enggan memperlahankan kenderaannya walaupun sudah diarahkan berhenti.


Menurutnya, penunggang motosikal itu memecut dan cuba melepasi sekatan sebelum melanggar kaki kanannya.


“Rempuhan itu menyebabkan saya terpelanting sejauh lebih tiga meter. Saya tidak sempat mengelak berikutan insiden itu berlaku pantas selain tidak dijangka.

“Saya terbaring kesakitan di atas jalan akibat kecederaan pada betis dan kaki selain luka pada tangan. Susulan itu saya segera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.


Dia yang menjalani pemeriksaan x-ray diberitahu doktor patah dua tulang betis selain perlu menjalani pembedahan bagi memasukkan besi.

“Ketika ini keadaan saya semakin stabil cuma doktor memaklumkan perlu melakukan pembedahan memasukkan besi dalam tempoh terdekat.


“Saya mungkin berehat dua bulan sebelum boleh memulakan tugas kembali,” katanya yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka.


Luqman Hakim berkata, dia percaya penunggang motosikal yang merempuhnya cuba melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen menunggang motosikal sah.


Bagaimanapun, katanya, penunggang berusia 20-an itu diberkas sejurus selepas kemalangan berlaku. “Ini kejadian paling teruk pernah dialami selepas kerap dirempuh mat rempit.


“Saya tidak dapat bayangkan jika rempuhan itu mengenai tepat perut atau badan saya mungkin kecederaan lebih parah,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong yang dihubungi mengesahkan kejadian itu membabitkan seorang anggotanya dan siasatan masih dijalankan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013021504570920130215045709/Article/index_html


Percutian terbantut


15 Februari 2013
ALOR GAJAH - Hasrat empat sahabat untuk bercuti ke sebuah pusat peranginan di Simpang Ampat terbantut apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer 221 Lebuhraya Plus Pedas Linggi - Simpang Ampat, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, kereta Proton Saga BLM dipandu Tai Kean Hoon, 20, yang dinaiki bersama tiga rakannya, Lee Tui Min, 22; Yat Than Lin, 21 dan Lee Tui Tui, 19, dari Kuala Selangor menuju Simpang Ampat.

Menurut sumber, ketika kejadian, kenderaan dinaiki mangsa berada di lorong kiri dilihat hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh bahagian hujung pengadang besi lalu terjunam ke tebing gaung dan merempuh sebatang pokok.

“Petugas lebuh raya membantu kesemua mangsa keluar daripada kereta yang remuk di bahagian hadapan itu.

“Keempat-empat mangsa ditemui dalam keadaan tergamam sebelum dibantu naik ke bahu jalan sementara menunggu bantuan kecemasan. Mereka dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ekoran kejadian itu, kesemua mangsa dijemput rakan mereka yang lain pulang semula ke Kuala Selangor selepas menerima rawatan untuk berehat berikutan kecederaan dan insiden dialami.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata, semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Semua mangsa yang cedera ringan pada badan telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/empat-sahabat-mahu-bercuti-hampir-masuk-gaung-1.131427


Ibu mengandung nyaris maut



15 Februari 2013
BALING - Seorang ibu sarat mengandung nyaris maut dalam kemalangan di Kilometer 38.9 jalan Sungai Petani- Baling di sini, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

Mangsa berusia 22 tahun yang juga penumpang kereta selamat walaupun kenderaannya remuk akibat dirempuh oleh sebuah kereta lain dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa bersama suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Ketemba.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika suami mangsa yang juga pemandu kereta ingin membelok ke persimpangan jalan sebelum dirempuh dari arah belakang.

“Sebuah kereta dari arah yang sama dipercayai tidak dapat mengawal kenderaannya sebelum merempuh kenderaan mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pemandu yang merempuh kenderaan mangsa dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal dari arah tepi mengakibatkannya hilang kawalan.

“Pemandu dan penumpang bagi dua kenderaan yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan manakala mangsa yang hamil sembilan bulan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, pemandu dan penumpang bagi dua kenderaan terbabit merupakan pasangan suami isteri.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/ibu-mengandung-nyaris-maut-1.131449


Thursday, February 14, 2013

Terperosok bawah bas



15 Februari 2013
BENTONG – Lena 40 penumpang bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur terganggu selepas bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 5 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian kemalangan melibatkan bas ekspres dan sebuah motosikal berlaku di Kilometer 8.5 Jalan Bentong-Raub di laluan menuruni bukit bergarisan kembar dekat sini.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, bas dua tingkat dinaiki 40 penumpang terbabit dipercayai bertembung dengan motosikal yang ditunggang oleh P Thangarajoo, 39.

“Motosikal yang dalam perjalanan dari arah Bentong ke Raub itu dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bas dari arah bertentangan dan kemudian diseret ke laluan bersebelahan.

“Mangsa bersama motosikalnya terperosok di bahagian hadapan bawah bas serta terpaksa dikeluarkan dengan bantuan orang awam termasuk penumpang bas,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

Menurutnya, bagaimanapun pada kira-kira jam 6.30 pagi hari sama, mangsa yang beralamat di Taman Raub Jaya itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Manakala pemandu bas dan 40 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, cuaca berkabus dan jalan dipercayai licin,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/40-penumpang-bas-cemas-1.131415


Guru Sekolah Kebangsaan Durian Mas maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

15 Februari 2013
DUNGUN– Hasrat seorang guru untuk sampai awal di tempat kerja tidak kesampaian apabila dia menemui ajal selepas terbabit dalam satu kemalangan di satu selekoh, dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 7.20 pagi itu berlaku ketika mangsa, Kamsaini Ismail, 58, dalam perjalanan dari rumahnya di Ketengah Jaya ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan Durian Mas 1, Al Muktafi Billah Shah.

Sebaik tiba di satu selekoh, kereta Mercedes Benz dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan lalu merempuh tebing sebelum terbalik.

Mangsa difahamkan tercampak keluar dari kenderaan sebelum terjatuh atas batu-batan di kaki bukit itu.

Ketika kejadian, difahamkan keadaan jalan agak licin ekoran hujan renyai.

Menurut suami mangsa, Kamarudin Hamad, 57, pagi sebelum kejadian, arwah menyediakan juadah sahur untuk mereka berpuasa.

Bagaimanapun, dia tidak sempat menjamah hidangan disediakan arwah kerana terlewat untuk ke tempat kerja.

Kamarudin berkata, mereka berdua masing-masing meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja dan arwah dikatakan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Saya keluar dahulu, dia mengekori di belakang, namun sebaik sampai di tempat kerja, saya menerima panggilan telefon isteri terbabit kemalangan. Sampai di tempat kejadian dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil bedah siasat, kematian mangsa disebabkan kecederaan parah pada kepala.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ketengah Jaya petang semalam.

Hadir menziarahi keluarga mangsa termasuk Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor  yang mengesahkan kejadian  berkata, polis masih menyiasat kejadian itu.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/arwah-tercampak-keluar-kereta-1.131394



Pertembungan Viva dan Myvi


15 Februari 2013
MARANG - Dua lelaki nyaris maut selepas kenderaan yang dipandu, masing-masing bertembung dalam kemalangan di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Merchang di sini, lewat petang kelmarin.


Seorang pelajar dari sebuah pusat pengajian tinggi di Dungun berusia 20-an yang memandu Perodua Viva pengsan di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Myvi, patah tangan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu pelajar terbabit yang datang dari arah Dungun menuju ke Kuala Terengganu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Myvi ketika cuba memotong.

Akibat pertembungan itu, kereta yang dipandu pelajar terbabit berpusing manakala sebuah lagi kenderaan terbabas ke tepi jalan. Pertembungan kuat juga menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing.

Pegawai Balai Bomba Daerah Marang, Zamri Awang Long yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.32 petang dan tiba di tempat kejadian tidak lama kemudiannya untuk mengeluarkan mangsa.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kedua-dua mangsa yang dikatakan tersepit telah dikeluarkan orang ramai di tempat kejadian sebelum kedua-duanya dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Sepasukan penyelamat diketuai ketua operasinya, Osman Ali bersama lima anggota bertugas mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membersihkan kawasan kemalangan bagi memastikan kelancaran trafik di lokasi kemalangan tidak terganggu.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/myvi-bertembung-viva-1.131405


Pengawal keselamatan maut




Inalillahi wainailaihi rojiun

14 Februari 2013
SUNGAI PETANI – Seorang pengawal keselamatan yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke arah pusat bandar, maut apabila kenderaannya terbabas dalam kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Mangsa, Syed Irfan Rendra Syed Saleh, 37, yang menunggang dari arah Bakar Arang menuju ke pusat bandar Sungai Petani itu dikatakan terbabas sebelum terjatuh daripada motosikal menyebabkan dia tergolek di atas jalan raya beberapa kali.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, kemalangan itu berlaku apabila mangsa dikatakan gagal mengawal motosikal sebelum terbabas berdekatan sebuah masjid.

“Apabila sampai ke tempat kejadian, saya nampak mangsa sudah berada di tengah jalan raya dengan kecederaan parah di kepala.

“Difahamkan, mangsa terbabas sendiri kerana saya dapati tiada kenderaan lain berada di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, orang ramai turut memperlahankan kenderaan ketika sampai di lokasi kejadian untuk melihat dengan lebih jelas keadaan yang menyebabkan kesesakan.

“Mangsa dikatakan terpelanting dan tergolek beberapa kali di atas jalan raya menyebabkan dia mengalami pendarahan di kepala berdasarkan kesan darah boleh dilihat,” katanya.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Deputi Superintendan Ahmad Kamil Ahmad mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
www.sinarharian.com.my/edisi/utara/pengawal-keselamatan-maut-kemalangan-1.130999


Rempuh lori simen



14 Februari 2013
BERTAM ULU - Perjalanan pulang selepas melawat ibu mertua sempena Tahun Baru Cina bertukar tragedi bagi seorang pemandu lori apabila kereta dipandunya merempuh sebuah lori simen di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumpai-Ayer Keroh  (SPA) di sini, malam kelmarin.

Tee Hiap Kiong, 47, dari Masjid Tanah maut di tempat kejadian manakala isteri, Kee Lay Chern, 46, dan anak perempuannya, Tee Woan Ying, 17, kini koma.

Seorang lagi anak perempuannya, Tee Xiin Ru, 16, patah kaki dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9 malam berhampiran Bertam Ulu turut dikejarkan ke Hospital Melaka.

Difahamkan, empat beranak itu dalam perjalanan balik ke rumah mereka di Masjid Tanah, Alor Gajah dari Sungai Mati, Muar, Johor sebelum berlanggar lori simen berkenaan.

Pemandu lori tersebut, Mohd Aris Isnin, 47, dia dalam perjalanan menuju ke kilang simen dan konkrit di sekitar lokasi kejadian selepas menghantar bahan berkenaan di Simpang Ampat.

“Saya yang sedang memperlahankan pemanduan dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah belakang hingga menyebabkan lori bergegar sebelum segera turun untuk melihat apa sebenarnya berlaku.

“Sejurus keluar, saya tergamam melihat sebuah kereta berada di belakang lori dalam keadaan remuk teruk,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Menurut Mohd Aris, dia telah memberikan isyarat membelok ke kanan sejauh  150 meter dan segera memberhentikan lori selepas menyedari hentaman kuat itu.

Ketua Operasi Balai Bomba Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Thambi Hitam berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 9.08 malam, kelmarin.  

“Seramai 10 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah serta Tangga Batu dikerah ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 11 minit kemudian. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu dan penumpang depan tersepit manakala penumpang lain dipercayai sudah tiada dibawa keluar dari kereta itu,” katanya.

Menurut beliau, wanita tersepit di bahagian kaki itu berjaya dikeluarkan dalam tempoh kira-kira 10 minit manakala 15 minit untuk mengeluarkan lelaki berkenaan yang disahkan sudah meninggal dunia.   

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-lori-maut-nahas-1.131173



Ibu maut rempuh lembu

Inalillahi wainailaihi rojiun

14 Februari 2013
KUANTAN - Seorang wanita warga emas maut manakala anaknya cedera apabila motosikal yang dinaiki mereka melanggar sekumpulan lembu yang melintas jalan di Jalan Sungai Lembing dekat Kuala Kenau di sini, semalam.

Ramlah Sa'at, 79, dari Sungai Lembing mati ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada pukul 5.19 petang manakala anaknya, Abdul Rahman Adam, 62, cedera di badan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, dua beranak berkenaan dalam perjalanan dari Batu 4 Jalan Sungai Lembing menuju ke Pekan Sungai Lembing.

"Motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai melanggar sekumpulan lembu yang sedang melintas dari kiri ke kanan jalan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar.

Dalam kejadian lain, seorang lelaki maut apabila kenderaan pelbagai guna Naza Citra yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh kenderaan lain di Km 173.9 Lebuhraya Pantai Timur dekat Maran semalam.

Kejadian pada pukul 11.15 pagi itu menyebabkan Shamsol Kamar Shafie, 43, dari Cheras, Selangor, mati di tempat kejadian.

"Kejadian di jalan yang licin akibat hujan lebat itu membabitkan empat kenderaan.

Mangsa merempuh belakang sebuah jip jenis Trooper menyebabkan jip itu merempuh pula Proton Perdana dan sebuah van," kata Mohamed Fauzi.- Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/warga-emas-maut-langgar-lembu-1.131271

Wednesday, February 13, 2013

Ibu Catriona Ross maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

13 Februari 2013
IPOH 12 Feb. - Ibu kepada pelakon Catriona Ross, Siti Zawiyah Ab. Rahman antara orang tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di Kilometer 61.8 Lebuh Raya Timur-Barat, Gerik dekat sini awal pagi ini.

Dalam nahas kira-kira pukul 12.40 pagi berhampiran Perhentian Titiwangsa itu, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta terbabit cedera parah.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manab Bahrum berkata, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Gerik manakala pemandu pula dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Catriona merayu umat Islam khususnya para peminatnya menghadiahkan bacaan al-Fatihah untuk Allahyarham ibunya.

Catriona dalam laman sosial Facebook berkata, dia masih berduka dengan kejadian mengejut itu dan akan sentiasa merindui Allahyarham.

“Pemergian seorang ibu tidak akan ada galang gantinya. Walaupun pemergian Allahyarham kerana nahas jalan raya tetapi arwah kelihatan seperti insan yang lena dibuai mimpi. Saya akan sentiasa merinduinya," kata Catriona dalam status Facebook beliau.

Dalam pada itu, Catriona memberitahu, jenazah ibunya akan dikebumikan di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/IbuCatrionaRossmautdalamkemalangan/Article
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130213/je_04/Ibu-pelakon-Catriona-Ross-maut-dalam-nahas


12 motosikal dirempuh lori



13 Februari 2013
KUALA LUMPUR - Malang tidak berbau apabila 12 motosikal bersama penunggangnya yang berteduh di bawah jejambat di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), dirempuh sebuah lori dan sebuah kereta, semalam.


Kejadian berlaku berhampiran Taman Metropolitan Kepong menghala ke Kuantan itu, menyebabkan lima penunggang motosikal terbabit cedera.

Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, dalam kejadian jam 2.50 petang itu, lori sampah berkenaan dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah kereta Kia Sephia.



Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan 12 buah motosikal bersama penunggangnya yang berteduh bawah jejambat kerana hujan turut dirempuh.

“Bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang tiba di lokasi kejadian sekitar jam 3.11 petang bersama satu jentera dengan tujuh anggota.

“Dalam operasi itu, mendapati lima penunggang motosikal  cedera dan dibawa ke hospital menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/12-motosikal-dirempuh-lori-1.130595


3 maut jip terjunam dalam sungai


Inalillahi wainailaihi rojiun

13 Februari 2013
JERANTUT - Tiga rakan maut akibat lemas setelah terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda dinaiki terhumban dalam sungai ketika melalui jambatan kayu dekat Matau Balak Kota Gelanggi 5/6 menuju ke arah Jalan Mat Daling, malam kelmarin.

Jip Cherokee terjunam sungai

Jip Cherokee terhumban sungai


Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, ketiga-tiga mangsa iaitu pemandu, Hamzah Muhammad, 52, dan dua penumpang, Abd Zahran Asran, 28, dan Roshaizad Abd Rashid, 29, dalam perjalanan pulang ke rumah di Maran setelah balik dari memancing di Hutan Lepar-Kota Gelanggi 5/6.

Bapa Roshaizad, Abdul Rashid Awang Ngah, 61, berkata, kali terakhir dia jumpa mangsa, Sabtu lalu dan dapat tahu anak kemalangan sekitar jam 8 pagi semalam.

“Saya ketika itu berada di kebun dan dimaklumkan rakannya yang turut sama pergi memancing,” katanya.

Nenek Roshaizad, Kamaliah Ismail, 75, berkata, Roshaizad tidak menunjukkan  petanda pelik sebelum kejadian.

“Arwah memang gemar memancing kerana itu memang hobinya. Dia teruja mengikut rakannya ke sana walaupun saya menasihatinya supaya jangan pergi.

“Tiada perubahan ditunjukkan arwah kecuali dua atau tiga hari sebelum kejadian, dia ada bercakap dengan kerbau peliharaannya dan kerbau itu seolah-olah faham apa dikatakan. Itulah kejadian pelik saya lihat sebelum dia pergi,” katanya.

Sementara itu, isteri Abd Zahran, Badariah Daud, 31, berkata, suaminya ada memaklumkan akan pulang semalam (kelmarin) selepas masuk hutan, Sabtu lalu.

“Mereka pergi beramai-ramai. Kali terakhir arwah menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada saya ialah pada Sabtu lalu ketika dia berada di Jengka.

“Selepas itu, saya ada hubunginya, namun mungkin tiada talian di sana. Hari ini (semalam), jiranberitahu, arwah terlibat dalam kemalangan,” katanya memberitahu arwah turut meninggalkan seorang anak lelaki, Amar Bilal Abd Zahran, 4.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim berkata, ketiga-tiga mangsa datang dari jalan tanah merah kawasan pembalakan dan kenderaan dipandu Hamzah hilang kawalan semasa melalui jambatan kayu dan terjatuh ke dalam sungai.

“Ketiga-tiga mangsa tidak dapat keluar dari kenderaan dan dipercayai mati lemas di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dikeluarkan oleh pihak bomba pada dari kenderaan tersebut sekitar jam 4 pagi. Bagaimanapun, kenderaan dinaiki mereka masih belum dapat dibawa keluar,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Besar Jerantut dan berdasarkan bedah siasat, semua disah meninggal akibat lemas.

Turut hadir, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Jenazah Hamzah dan Abd Zahran dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Chedung, Maran manakala jenazah Roshaizad di Tanah Perkuburan Islam Mentenang, Maran.


Al_Fatihah


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/terhumban-dalam-sungai-3-maut-1.130465
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/3rakanbalikberburulemaskeretaterjunam/Article/
http://www.hmetro.com.my/articles/3lemasdalamjip/Article


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my