loading...

Sunday, October 5, 2014

6 Sekeluarga Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

MUADZAM SHAH - Enam sekeluarga maut ketika dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu membabitkan tiga buah kenderaan iaitu kereta Perodua Alza dinaiki keluarga berkenaan, bas ekspres dan kereta Perodua Myvi.

Katanya, enam sekeluarga yang dalam perjalanan dari Segamat, Johor ke Kuantan itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Kejadian berlaku apabila kereta Perodua Alza dinaiki tiga lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Kereta itu kemudiannya merempuh bas ekspres dari arah bertentangan sebelum dilanggar kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata mereka terdiri daripada tiga beradik iaitu Mohd Wazin Azhar, 20, Ain Nadiah, 13, dan Ain Najihah, 2.

Identiti tiga mangsa yang dikenal pasti semalam ialah bapa mereka, Azhar Mat Ali, 43, dan dua isterinya, Zaliha Johar, 42, (isteri pertama) dan Siti Habibah Kasbon, 43, (isteri kedua).

Mayat Azhar, Ain Nadiah dan Ain Najihah (kedua-duanya anak isteri kedua) dihantar ke Hospital Muadzam Shah manakala mayat Mohd Wazin (anak isteri pertama), Zaliha dan Siti Habibah dihantar ke Hospital Rompin, katanya.

"Kesemua mangsa akan dibedah siasat pada pagi ini di hospital berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Johari berkata, kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke rumah ibu Azhar di Keratong 2, Bandar Tun Razak di sini, apabila hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah bas.

Katanya, seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dalam bas itu mengalami kecederaan ringan di kepala namun dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Segamat manakala pemandu bas yang cedera di mata akibat terkena serpihan cermin bas kini dirawat di hospital sama.

Seramai 25 lagi penumpang bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.





Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/sadis-enam-sekeluarga-maut-1.322739
http://www.bharian.com.my/node/9812



Maut sehari selepas peluk Islam


Inalillahi wainailaihi rojiun

JOHOR BAHRU 4 Okt. - Seorang wanita berusia 20 tahun yang dipercayai baru memeluk Islam, maut selepas kenderaan yang dinaikinya bersama tiga rakan lain terlibat dalam satu kemalangan awal pagi ini di Kilometer 15, Jalan Labis-Yong Peng, Batu Pahat.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.40 pagi itu, mangsa, Lii Sii Ping atau nama Islamnya, Nur Hidayah Insyirah maut apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad menerusi satu kenyataan memberitahu, mangsa yang merupakan penuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) maut di tempat kejadian.

"Kenderaan jenis Toyota Vios itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dan mengorbankan mangsa akibat kecederaan parah.

"Polis masih menyiasat punca kejadian," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sii Ping atau Nur Hidayah merupakan mahasiswa jurusan kejuruteraan di UPNM dan dipercayai baharu memeluk Islam semalam.

Turut terlibat dalam kemalangan itu termasuklah tiga penuntut UPNM yang lain iaitu Mohd. Azrin Mohd. Idris, Muhammad Faridz Izzat Hamidnudin dan Mohamad Faridzuan Abdul Hamid.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141005/je_04/Gadis-mualaf-maut-sehari-selepas-peluk-Islam-sebelum-Aidiladha




Dua beranak maut berhampiran Terowong Menora


IPOH - Dua maut dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan di KM256.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan ke utara selepas Terowong Menora dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh ketika dihubungi Bernama berkata kejadian yang berlaku lebih kurang 11 pagi ini membabitkan beberapa buah kenderaan.

"Setakat ini maklumat yang kita terima dua orang maut dan seorang lagi cedera parah," katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, kemalangan itu membabitkan lima kenderaan iaitu masing-masing sebuah lori treler, lori, kereta jenis Perodua Myvi, kenderaan pelbagai guna jenis Alza serta kereta jenis Honda City.

"Operasi menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar. Keseluruhan mangsa yang terlibat adalah 15 orang," katanya.

Jurucakap Plusline ketika dihubungi berkata lalu lintas di lebuh raya dari arah Ipoh masih mengalami kesesakan sepanjang 13 kilometer.

Bagaimanapun lalu lintas kembali lancar selepas kawasan kejadian, katanya. - Bernama


Kemalangan di Terowong Menora








VIDEO



Saya minta maaf mama - Yusriman

IPOH 4 Okt. - "Saya minta maaf mama, saya minta maaf."

Luahan pilu sambil diiringi tangisan itu berulang kali diucapkan Yusriman Ros­lan, 22, anak kepada Noor Hayati Wook, 50, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 256, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.

Yusriman yang memandu kereta Proton Saga BLM untuk pulang berhari raya di Kampung Chain, Lenggong berkata, sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir, wanita tersebut yang dalam keadaan nazak sempat bercakap dengannya dan dua lagi adik-beradik lain.

Kemalangan yang melibatkan enam buah kereta dan dua buah treler itu bukan sahaja menyebabkan dia dan dua lagi adik beradiknya kehilangan ibu tersayang, malah turut mengorbankan seorang adik perempuannya, Siti Yuslianis, 20.

"Mama tersepit, saya cuma mampu pegang kepalanya sahaja. Dia sempat meminta maaf dan memaafkan kami sebelum menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu, Yuslianis sudah tidak berge­rak," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Dua lagi anak mangsa, Yusrizal, 25, dan Siti Yusliana, 12, bagaimanapun hanya cedera ringan.

Menceritakan mengenai kejadian malang itu, Yusriman berkata, dia yang ketika itu memandu di lorong kanan jalan melihat sebuah treler yang dipandu laju melanggar sebuah treler lain sehingga terbalik di sisi kiri jalan.

Katanya, dia yang melihat melalui cermin pandang belakang bagaimanapun terkejut apabila treler tersebut menuju ke arah keretanya pula sebelum mengheret kenderaan tersebut.

"Kejadian berlaku sangat pantas dan saya tidak sempat buat apa-apa. Saya hanya mendengar bunyi dentuman yang sangat kuat dan cermin kereta pula pecah. Kami hanya mampu menjerit," katanya sambil mengesat air mata.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan Noor Hayati, Siti Yuslianis dan Yusrizal yang tersepit di tempat duduk masing-masing.

Katanya, Noor Hayati dan Siti Yuslianis yang masing-masing duduk di bahagian belakang pemandu dan penumpang hadapan maut di tempat kejadian manakala Yusrizal yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan ringan.

"Sebanyak 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Meru serta Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS), Ipoh dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerim panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.37 pagi.

"Kesemua mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kenderaan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Dua lagi anak mangsa dikeluarkan dari kereta itu dengan bantuan orang awam," katanya yang memberitahu kereta mangsa diheret sejauh 200 meter.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuz­lan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu pemandu treler berusia 40-an itu kini ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kejadian berlaku ketika wa­nita itu yang merupakan isteri kepada anggota polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, bersama empat anaknya dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Lenggong.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika menuruni bukit selepas Terowong Menora apabila treler yang dipandu lelaki terbabit gagal dikawal sebelum merempuh kereta yang dinaiki lima beranak itu," ujarnya.


Sumber:
http://www.bharian.com.my/node/9667
http://www.sinarharian.com.my/semasa/dua-maut-seorang-parah-dekat-terowong-menora-1.322725
http://utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141005/je_01/Saya-minta-maaf-mama---Yusriman
http://www.astroawani.com/




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my