loading...

Saturday, May 5, 2012

Rempuh kedai motor



IPOH - Seorang warga emas terkejut dan panik seketika apabila kereta Proton Inspira yang dinaiki bersama empat ahli keluarga yang lain terbabas dan merempuh hadapan kedai motosikal di Jalan Pasir Puteh, di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandunya, Yen Yuen Meng, 47, berkata, ia berlaku ketika dia cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang memintas kenderaannya.

Katanya, dia cuba mengelak ke kiri jalan sehingga menyebabkan kenderaannya gagal dikawal lalu melanggar pembahagi jalan dan merempuh kedai motosikal.

“Ibu mertua saya ketika itu panik seketika namun berjaya ditenangkan oleh ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Peraih ikan itu dalam perjalanan ke bandar raya Ipoh bersama isteri, dua anak serta ibu mertua sempena cuti Hari Wesak.

Sementara itu, pemilik kedai motosikal, Ng Fong Yan, 38, berkata, kejadian tersebut adalah yang pertama kali berlaku sepanjang 10 tahun beroperasi di situ.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, dia sedang sibuk melayan pelanggan.

“Tiba-tiba satu dentuman kuat seolah-olah bunyi bom meletup berlaku di hadapan kedai.

"Saya dan pelanggan segera berlari menyelamatkan diri.

“Kami terkejut melihat sebuah kereta merempuh kedai ini dan terbalik. 10 motosikal yang dipamerkan di hadapan kedai rosak teruk dan kerugian dianggarkan berjumlah RM45,000.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/kereta-rempuh-kedai-motosikal-1.45707

Elak Lubang Rempuh Tiang



TOKAI, Kedah – Seorang lelaki terpaksa bertarung nyawa menunggu pihak bomba mengeluarkannya akibat tersepit setelah kereta dipandunya terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik di Pekan Tokai, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi, mangsa, Abu Bakar Abdullah dari Kampung Bahagia Guar Kepayang cedera parah di bahagian kepala manakala kakinya disyaki patah akibat tersepit di kereta bersama tiang elektrik yang dirempuh.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) daerah Pendang, Mohd Izuddin Inus Meah berkata, mangsa memandu kereta Proton Saga berwarna biru dari arah Tanah Merah menuju ke Simpang Empat Kota Setar.

Menurutnya, jabatan itu menerima panggilan, kira-kira jam lapan pagi dan tiba ke lokasi 15 minit kemudian, mendapati mangsa tersepit menyebabkan anggotanya terpaksa menunggu ketibaan pihak bomba untuk usaha mengeluarkan mangsa.

“Mangsa tersepit kerana kereta yang dipandunya merempuh tiang elektrik bahagian kiri jalan sehingga menyebabkan mangsa tersepit teruk dan kami terpaksa menunggu pihak bomba datang walaupun mangsa mengerang kesakitan.

“Kepala mangsa mengalami kecederaan teruk manakala kakinya disyaki patah sebelum dia terus dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mendapatkan rawatan dan saya difahamkan mangsa dirawat di zon merah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Izuddin berkata, mangsa berjaya dikeluarkan hampir sejam kemudian.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan oleh orang ramai bahawa kenderaan itu terbabas dan merempuh tiang elektrik kerana dikatakan mahu mengelak daripada lubang di laluan berkenaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/sejam-tersepit-dalam-kereta-1.45727

Treler Bertembung


RANTAU - Seorang warga India terbunuh, manakala seorang rakannya cedera parah apabila lori dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di pekan Rantau, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 10 pagi, apabila lori tanpa muatan dinaiki mangsa, K Senthaivel, 37, bersama dua rakannya hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal, lalu terbabas.

Lori berkenaan kemudia bertembung dengan sebuah treler di laluan bertentangan.

Akibat rempuhan itu, seorang daripada kelindan berusia 30-an dalam lori berkenaan cedera parah selepas dikatakan tersepit di dalam lori terbabit.

Mereka dalam perjalanan dari Rantau menuju ke Linggi.

Jurucakap polis berkata, mangsa (Senthaivel) yang mengalami kecederaan teruk di badan dan kepala seterusnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori dan treler berkenaan cedera.

“Seorang lelaki berusia 20-an yang menunggang motosikal itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di mata,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, di sini untuk bedah siasat dan akan diserahkan kepada pihak kedutaan India untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/bertembung-treler-di-tengah-pekan-1.45754

Warga Emas Maut Terbabas

Inalillahi wainailaihi rojiun 

MARANG – Tidurlah dulu awak tu baru sahaja balik ke rumah."

Demikian pesanan terakhir Gayah Mamat, 55, kepada suaminya Abdullah Ali, 59, sebelum terlibat dalam kemalangan maut di hadapan Surau Kampung Sungai Kerak di sini, semalam.

Abdullah yang dalam perjalanan dari arah Gong Nangka ke Bandar Marang, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke kanan jalan, lalu melanggar pengadang jalan sebelum kepalanya terkena longkang konkrit lalu terperosok ke dalam longkang.

Berikutan itu, mangsa yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu dan menetap bersama isteri serta lima anak mereka di Kampung Jerung Seberang, Wakaf Tapai di sini, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Lebih menyayat hati, apabila ahli keluarga mangsa dari Chendering bergegas ke tempat kejadian termasuk ibu dan kakak mangsa, selain isteri dan anak-anaknya untuk melihat sendiri keadaan mangsa selepas kejadian itu dimaklumkan kepada mereka.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Abdullah yang dalam perjalanan ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Bandar Marang dari Kampung Jerung Seberang untuk keluar menangkap ikan terbunuh selepas motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya terbabas.

Tidak sabar mahu keluar bekerja walaupun letih

Isterinya, Gayah berkata, dia sempat berpesan agar arwah berehat sahaja di rumah kerana keletihan selepas bekerja sepanjang malam masih belum hilang, dan tidak perlu turun semula ke laut kerana baru sahaja pulang ke rumah jam 9 pagi semalam.

Bagaimanapun katanya, arwah sempat memberitahu, dia tetap mahu ke laut kerana sudah menjadi kelaziman pada waktu itu, dia keluar bekerja.

Namun pada hari kejadian dia kelihatan tidak sabar untuk keluar bekerja walaupun keletihan. “Selepas makan tengah hari bersama kami dan menunaikan solat, arwah tidak mahu tidur walaupun saya berulang kali menyuruhnya melelapkan mata walaupun sekejap, tetapi dia memberikan alasan bimbang hari hujan kerana susah kendak keluar. “Saya tak sangka sikap arwah yang kelihatan tidak sabar untuk keluar dari rumah menandakan dia akan pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya,” katanya.

Dalam pada itu. Gayah turut memaklumkan arwah suaminya itu juga menghidap penyakit lelah dan bergantung kepada ubat-ubatan sejak lima tahun lalu sehingga kini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang mengesahkan menerima laporan kejadian itu berkata, mangsa menunggang sendirian dalam perjalanan dari arah Gong Nangka menuju ke Bandar Marang. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga. “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tidur-dulu-awak-baru-balik-1.45749

Tak sempat pulang ke kampung



Inalillahi wainailaihi rojiun 

DUNGUN - Hasrat seorang guru pulang ke kampung menziarahi ahli keluarga berakhir dengan tragedi apabila kenderaan dinaiki tiga sekeluarga itu terbabit dalam satu kemalangan dekat sini, lewat petang kelmarin.

Kejadian di Kilometer 87.2 Jalan Jerangau-Jabor dekat sini itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona dipandu Ahmad Bukhari Mohd Nordin, 30, dipercayai masuk ke laluan bertentangan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya, sebelum berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Ahmad Bukhari berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan dan mengajar di Sekolah Menengah (SM) Agama Hasanah, Rompin Pahang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan AMBS akibat cedera parah pada bahagian dalaman serta patah paha.

Isterinya, Wan Asmahani Wan Ismail, 31, jururawat di Hospital Muadzam Shah, Pahang yang patah tangan kanan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. Manakala anaknya, Marisa Maisara yang baru berumur tujuh bulan cedera ringan.

Pemandu pacuan empat roda, Zainal Ibrahim, 45, dari Seri Bandi, Kemaman hanya cedera ringan.

Isteri Zainal, Haslina Md Yahya, 42, cedera dipinggang manakala anaknya, Syazanajihah, 20, penuntut sebuah Politeknik dan Mohd Syariz, 11, hanya cedera ringan.

Mayat arwah Ahmad Bukhari kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Rompin, Pahang.

Dalam tragedi berasingan, seorang pelajar menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Tokkah-Jerangau.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Amirul Aiman Shamsuddin, 14, terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok.

Mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun oleh penduduk kampung dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kemalangan tersebut dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tragedi-hari-minggu-1.45791

Terbakar Rempuh Pembahagi Jalan



PUCHONG – Berpantang maut sebelum ajal! Itu yang boleh digambarkan kepada sepasang suami isteri apabila berjaya menyelamatkan diri selepas kenderaan dinaiki terbabas dan terbakar di jejambat Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Alza dikatakan gagal mengawal pemanduan di selekoh jejambat lalu terbabas melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu dari arah Sunway menghala ke Puchong itu tiba-tiba hilang kawalan sehingga merempuh konkrit pembahagi jalan.

Menurutnya, dalam keadaan panik mangsa bersama isterinya yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang sebelah depan bergegas keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.

“Tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan kedua-duanya kerana rempuhan kuat menyebabkan kereta itu terbakar beberapa minit selepas itu.

“Tiada sebarang kecederaan pada kedua-dua mangsa namun kereta milik mereka hangus terbakar dalam kejadian itu,”katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa memaklumkan cuba memotong sebuah motosikal yang berada di depannya.

“Bagaimanapun ketika berada di kilometer 20.4 betul-betul di atas jejambat berhampiran sebuah pusat beli-belah terkenal, kenderaan dipandu hilang kawalan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan teperinci akan dijalankan,”katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/kenderaan-terbakar-selepas-terlanggar-pembahagi-jalan-1.45660

Friday, May 4, 2012

Kemalangan 6 sekeluarga



IPOH - Perjalanan pulang sempena cuti Hari Pekerja, Selasa lalu menjadi memori duka buat enam sekeluarga apabila dua daripada mereka maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dengan lori.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dua maut manakala empat lagi cedera apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 7 Jalan Ayer Tawar - Pantai Remis dekat sini.

Mangsa maut dikenali sebagai Chew Kok Lee, 29, dan anak lelakinya, Chew Jun Xeng, 3, yang dipercayai berasal dari Kuala Lumpur.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Manjung, Asisten Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, mangsa yang juga pemandu kereta jenis Perodua Alza bersama ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur sempena cuti Hari Pekerja.

“Siasatan awal mendapati kereta tersebut dalam perjalanan dari arah Changkat Keruing ke Kuala Lumpur.

“Kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori yang menuju ke arah Ayer Tawar.

“Pemandu lori turut mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/kereta-dinaiki-enam-sekeluarga-terlibat-kemalangan-1.45294

Wednesday, May 2, 2012

Tregedi Hari Pekerja




KUCHING: Kegembiraan empat sahabat karib menikmati makan malam sempena cuti Hari Pekerja berakhir dengan tragedi memilukan apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta dinaiki bersama seorang lagi rakan terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Jalan Penrinssen, dekat Batu 3, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi, mangsa, Ng Wee Shian, 20, dari Taman Desa Moyan, Batu Kawa meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas mengalami pendarahan teruk di kepala dipercayai akibat terhantuk pada stereng.

Rakannya, Joseph Bau Quey Chyu, 16, terselamat dan hanya cedera ringan selepas merangkak keluar sebelum menghubungi rakan bagi mendapatkan bantuan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, keempat-empat rakan yang menaiki dua kereta mengadakan pertemuan di sebuah restoran di Padungan.


“Ketika dalam perjalanan pulang, Ng yang memandu Perodua MyVi mengekori kereta dipandu rakannya sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Matikepalakenastereng/Article/index_html
sarawakupdate.com.my/2012/05/young-girl-killed-at-flyover.html

Kemalangan Hari Pekerja



HULU SELANGOR 1 Mei - Hasrat sekumpulan penduduk kampung dari Chenderiang, Tapah, Perak untuk bercuti di Melaka sempena sambutan Hari Pekerja hari ini tidak kesampaian apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan awal pagi ini.

Kemalangan kira-kira pukul 1.50 pagi itu telah mengakibatkan tiga termasuk pemandu bas maut setelah kenderaan itu merempuh tembok simen di kawasan pembinaan jalan di Kilometer 434.2, berhampiran susur keluar Bukit Beruntung sewaktu bas itu menghala ke ibu negara.

Difahamkan, kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu bas melihat tembok simen yang digunakan untuk kerja-kerja pembinaan plaza tol baru Sungai Buaya, Rawang akibat keadaan sekitar yang begitu gelap.

Setelah merempuh tembok simen itu, bas yang membawa seramai 48 ahli rombongan pelbagai bangsa itu dikatakan terseret sejauh 50 meter sebelum merintangi lebuh raya berkenaan.

Ia mengakibatkan pemandu bas terbabit iaitu S. Velmuruvu, 44; penumpang wanita, K. Vimala, 58, serta seorang Orang Asli dari Kampung Sungai Balik, Setapa Mat, 46, maut selepas tercampak keluar dari bas itu.

Seramai 26 penumpang lain turut mengalami kecederaan namun kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Rombongan berkenaan difahamkan dalam perjalanan untuk melawat beberapa tempat menarik di sekitar Melaka sempena cuti umum dan dijadualkan pulang pada hari yang sama.

Sementara itu, anak kedua kepada Vimala, K. Ragunathan, 37, kecewa kerana kemalangan itu berlaku di kawasan gelap yang sepatutnya mempunyai kemudahan lampu kerana kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan.

“Saya diberitahu, ibu seronok sekali dapat berjalan-jalan ke Melaka bersama penduduk kampung dan ini kali pertama dia menaiki bas untuk bercuti.

“Bagaimanapun malang menimpa dan saya amat berdukacita sekali dengan punca terjadinya kejadian. Nasib baiklah dua anak saudara saya yang berusia 10 dan 13 tahun terselamat dalam kejadian ini," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kuala Kubu Bahru hari ini.

Seorang lagi anak mangsa, Syamin Setapa, 18, pula terkilan kerana bapanya, Setapa tidak sempat ditemuinya buat kali terakhir.

“Saya hanya bertemunya awal bulan lalu setelah berhijrah ke ibu negara dan rasa sedih kerana tidak sempat menyerahkan sebahagian gaji pertama saya kepadanya untuk membantu menyara empat lagi adik," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Dalam pada itu, wartawan televisyen NTV7, Sarinah Salleh, 46, cedera setelah terlibat dalam kemalangan berhampiran Bandar Country Homes, Rawang ketika menuju ke lokasi kemalangan itu.

Sumber:
utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Tak sempat timang anak kedua

 
Inalillahi wainailaihi rojiun  

KLANG SELATAN - Seorang pekerja pelabuhan yang bakal menimang anak kedua tidak sempat menatap wajah cahayamatanya itu selepas maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan di Kilometer (km) 18.3, Lebuhraya Kuala Lumpur-Shah Alam (Kesas), di sini semalam.

Kemalangan kira-kira jam 6.20 pagi itu menyebabkan mangsa, Mustakim Kamarul Zaman, 29, yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut di lokasi kejadian.

Mangsa yang beralamat di Kampung Johan Setia merupakan bapa kepada seorang anak dan kini sedang menunggu kelahiran anak keduanya apabila isterinya dikatakan sedang hamil.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, kejadian berlaku apabila motosikal mangsa dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang kakitangan pejabat Pos berusia 43 tahun.

Menurutnya, ketika itu, mangsa keluar ke susur Johan Setia menghala Lebuhraya Kesas untuk menuju ke Pelabuhan Barat.

“Siasatan polis mendapati pemandu kenderaan terbabit gagal mengawal kenderaannya, dipercayai mengantuk lalu melanggar pengadang jalan sebelum merempuh motosikal mangsa yang kebetulan melalui jalan sama.

“Pemandu kenderaan itu dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Pendamar selepas selesai bertugas di sebuah pejabat Pos di Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, akibat kesan rempuhan kuat, mangsa dan motosikalnya tercampak ke jalan raya, menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pekerja-pelabuhan-maut-dirempuh-dalam-perjalanan-ke-tempat-kerja-1.44696

Monday, April 30, 2012

Kemalangan Maut Rombongan Kg Sg Lah


BUKIT BERUNTUNG - Tiga termasuk pemandu bas maut apabila kenderaan itu, yang dinaiki satu rombongan penduduk kampung untuk melawat tempat bersejarah di Melaka, berakhir tragedi dekat sini, awal pagi tadi.

Bas persiaran itu merempuh penghadang di KM 434.2 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bukit Beruntung, Hulu Selangor kira-kira jam 1.50 pagi.
Seramai 24 lagi penumpang cedera ringan.

Ketika kemalangan, bas itu membawa 48 penumpang terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Lah, Chenderiang, Perak.

Difahamkan, penumpang bas berkenaan sepatutnya melawat tempat bersejarah di Melaka pagi ini sebelum pulang semula ke Perak malam ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/3-maut-bas-persiaran-rempuh-penghadang-lebuh-raya-1.44511

Terperosok bawah lori



LEDANG – Gara-gara mengantuk, seorang warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila terlibat dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 6.5 Jalan Parit Bunga-Sungai Mati di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi, Tan Ho Heng @ Soh Ho Heng, 74, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan yang lain.

Pemandu lori, Mohd Yasin Ali, 44, berkata, dia bertolak dari Batu Pahat pada jam 4 pagi untuk menghantar barang ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebelum kejadian dia berasa pelik apabila melihat kereta yang dipandu mangsa berada di laluan bertentangan, sedangkan keadaan jalan raya lengang dan tiada kenderaan lain.

“Kereta itu dipandu laju dan saya tidak sempat mengelaknya .

“Saya turun daripada lori dan terkejut melihat kereta itu sudah terperosok di bawah lori dan kemudiannya menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

“Mangsa memandu kereta bersendirian, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Beruang Melaka.

“Mangsa yang memandu kereta jenis Honda Civic telah memasuki lorong kanan sebelum merempuh sebuah lori yang sarat membawa muatan barangan runcit di laluan bertentangan,” katanya.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa termasuk di bawah lori dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

“Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ledang dan Muar terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya,”katanya.

Tambahnya, pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/terperosok-bawah-lori-warga-emas-maut-setelah-kereta-terbabas-1.44453

Bayi 3 Bulan Parah Dipangkuan Mayat Ibu



IPOH - Seorang wanita maut selepas kereta yang dinaiki bersama suami dan anaknya merempuh pengadang besi jalan di Kilometer 306.2 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), pagi semalam.
Lebih menyayat hati, bayi berusia tiga bulan yang dipangku mangsa dan suaminya yang memandu cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kereta Toyota Camry yang dipandu dari arah Ipoh menghala ke Kuala Lumpur terbabas ke kiri lebuh raya sebelum merempuh pengadang besi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa, Keng Siew Mei, 35, maut di tempat kejadian manakala anaknya, Tang Lee Yen dan suaminya berusia 30 tahun parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, mangsa yang berasal dari Petaling Jaya itu terhantuk pada bahagian hadapan kenderaan dan parah di kepala.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pengadang besi jalan.

“Polis masih menyiasat punca kemalangan dan ketika kejadian cuaca dikatakan baik manakala lalu lintas juga lancar,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di talian 05-465 2222 atau 05-465 0020 bagi membantu siasatan.

Salam Takziah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/wanita-maut-suami-dan-bayi-dipangkuan-parah-1.44186

Tak Sempat Beli Rumah Untuk Isteri

Inalillahi wainailaihi rojiun 

SEREMBAN – Hasrat seorang suami untuk membeli rumah buat isterinya tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Tun Dr Ismail, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 pagi itu, mangsa, Ramdan Ishak, 32, yang bekerja sebagai pemandu lori, menunggang motosikal jenis Honda EX5 sedang menuju ke tempat kerjanya di sekitar Mantin.

Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi keja­dian, motosikal mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta dari arah belakang, menyebabkan mangsa terbabas ke bahu jalan lalu melanggar tembok batu.

Mangsa yang parah di kepala dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia di wad kecemasan.

Isteri mangsa, Foziah Abd Aziz, 32, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi, kelmarin.

“Arwah memang bersungguh-sungguh mahu membeli sebuah rumah kos rendah di sekitar daerah ini.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang pe­rubahan sebelum kejadian, cuma malam kelmarin, saya sempat memasakkan mi segera selepas diminta oleh arwah,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Nur Idayu, 24, pula berkata, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya ketika makan bersama di rumah keluarga di Taman Rashibah Utama untuk berbincang mengenai persiapan kenduri kahwin abang kedua, Ahad depan.

“Abang lebih banyak ketawa dan mesra berbanding biasa, namun saya tidak sangka pula itu adalah pertemuan terakhir kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan pemeriksaan mendapati tiada rakaman kamera litar tutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian berkenaan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-beli-rumah-untuk-isteri-1.44156

Pelajar Maut Rempuh Myvi


Inalillahi wainailaihi rojiun 

SEREMBAN - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta di lorong kecemasan di Kilometer 266 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan berdekatan Plaza Tol Seremban-Labu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa, Raja Muhamad Fariz Raja Md Yusoff, 20, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mangsa yang juga penuntut sebuah kolej swasta di ibu kota dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui lorong kecemasan lalu terbabas, sebelum merempuh bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan di lorong kecemasan akibat rosak.

Jurucakap polis berkata, mangsa menunggang berseorangan motosikal jenis Modenas Kris dan menggunakan lorong kecemasan, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke kampungnya di Mersing, Johor.

“Kereta terbabit pula dinaiki seorang pemandu dan tiga penumpang, berusia 20-an, dalam perjalanan ke Melaka mengadakan persembahan ular tetapi terpaksa memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan kerana rosak.

“Selepas 30 minit, secara tiba-tiba kenderaan mereka dirempuh oleh mangsa yang datang dari arah belakang ketika melalui lorong kecemasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa maut serta-merta tetapi pemandu dan penumpang kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-rempuh-belakang-kereta-1.44159

Pelajar Terburai Dirempuh Lori



Inalillahi wainailaihi rojiun 

PELABUHAN BARAT - Seorang pelajar tingkatan 4 maut dalam keadaan mengerikan apabila perutnya terburai selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pelabuhan Barat menghala Pandamaran, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dikenali Muhammad Norfahmi Mohamad Ali, 16, dari Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah maut selepas motosikal yang ditunggang bersama seorang rakan dirempuh sebuah lori.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa terseret beberapa meter bersama motosikal selepas digilis lori terbabit.

“Berikutan itu, organ dalaman di bahagian perut mangsa pecah menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Motosikal yang ditunggang dua sekawan itu juga rosak teruk akibat dirempuh dan terseret,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berdasarkan makluman kakitangan pihak hospital.

“Sehingga kini kita masih mengesan rakan mangsa untuk membantu siasatan yang gagal dikesan sejurus kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, katanya, polis sudah mengambil keterangan pemandu lori bagi membantu siasatan.

Sesiapa yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil ke Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Nur Baidura Datuk Zulyadaen di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pelajar-maut-perut-terburai-1.44216

Sunday, April 29, 2012

Pertembungan kereta lori dan motosikal



GERIK: Empat maut dan lima cedera parah dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta Toyota Camry, lori dan sebuah motosikal di Kilometer 84.6 berhampiran persimpangan Tanjung Rambai di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari, kereta dari arah Lenggong ke Gerik dipercayai terbabas ke laluan sebelah kanan jalan sebelum bertembung lori dan motosikal yang dipandu dua remaja wanita. Difahamkan, lori berkenaan dari arah Gerik ke Lenggong.


Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrum berkata, akibat insiden itu empat penumpang iaitu Chiam Cheng Lye, 49, termasuk warga Thailand, Armoei Sae Lee, 36, dan anak perempuannya berusia 18 bulan serta seorang lagi, kanak-kanak berusia 5 tahun dikenali sebagai Chiam Yong Dee meninggal di tempat kejadian.

Sementara pemandu Camry dikenali Chiam Guat Wah, 46, (isteri Wilai Wan Chinda) dan dan dua lagi penumpang lain dirawat di Hospital Gerik (HG). Pemandu lori, G Kumarisan, 28, patah kaki kiri dan kanan manakala kelindannya, I Rawikumar, 26, cedera di muka dan dirawat di HG.


Penunggang motosikal, Nur Afini Yusof, 17, turut dikejarkan ke HRPB Ipoh kerana patah kaki kiri dan kanan serta cedera di badan manakala pemboncengnya, Nur Aliani Jaslani, 17, hanya luka di tangan.


Beliau berkata, siasatan mendapati ketika tiba di tempat kejadian kereta dipandu Chiam Guat Wah dari arah Lenggong ke Gerik terbabas masuk ke laluan kanan jalan sebelum bertembung lori dari arah Gerik ke Lenggong.

“Pada masa sama, sebuah motosikal yang dinaiki dua remaja perempuan keluar dari arah Kampung Tanjung Rambai ke jalan besar dan bertembung kedua-dua kenderaan berkenaan,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Empatmautkeretaterbabas/Article/artikelMA


Mengantuk petanda ajal



Inalillahi wainailaihi rojiun 

BUKIT LAT - “Petang itu, makcik rasa tak sedap hati, jantung berdebar-debar, mata pula asyik mengantuk, tak sangka ia petanda anak mak cik terbabit dalam kemalangan sehingga menemui ajal.”

Demikian kata Ramlah Hamzah, 60, ibu kepada Halimaton Saa’diah Mohamad@Ariffin, 29, kerani syarikat swasta yang menemui ajal selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya, dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5.40 petang di Kilometer 8 Jalan Dungun-Bukit Besi dekat Bukit Lat itu dipercayai berlaku ketika Halimaton Saa’diah yang bekerja di sebuah syarikat di Dungun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Besi.

Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala selepas motosikal yang dinaikinya dipercayai merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dikatakan berhenti di bahu jalan.

Menurut Ramlah, sebelum kejadian, anak gadisnya yang masih bujang itu keluar dari rumahnya di Bukit Besi kira-kira jam 8 pagi lalu menuju ke tempat kerjanya di bandar Dungun.

Ramlah berkata, sebelum pergi kerja, anak ketujuh daripada lapan beradik itu keliha-tan gembira kerana dapat memakai baju kurung baru yang siap ditempah sebelumnya.

“Ketika hendak keluar rumah, dia sempat beritahu makcik, sebaik pulang dari kerja, dia akan ambil dua pasang lagi baju kurung yang sudah siap ditempah di kedai jahit, manakala sepasang sudah dipakainya.

“Tak sangka dia tidak sempat memakai dua lagi baju baru, rupanya dia lebih dahulu menemui ajal,” kata Ramlah yang masih hiba dengan pemergian anak perempuannya itu.

Ramlah berkata, pemergian anaknya itu amat dirasainya kerana arwah sebelum ini banyak membantu meringankan beban hariannya.

Katanya, setiap kali mendapat gaji, arwah yang berulang-alik ke tempat kerja dengan motosikal sejauh lebih 60 kilometer setiap hari akan menghulurkannya wang untuk belanja harian selain turut membeli keperluan lain.

“Mak cik tak sangka dia pergi terlalu cepat. Kini, dia sudah tiada, makcik hilang tempat bergantung,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Jenazah mangsa kemudiannya dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke rumahnya di Bukit Besi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/mengantuk-petanda-ajal-anak-1.43982

Bertembung dua kereta


Inalillahi wainailaihi rojiun

GUA MUSANG - "Arwah tidak sabar untuk ke tempat kenduri hingga sanggup menumpang kereta saudara untuk cepat sampai tanpa menunggu saya pergi dan pulang bersama," kata Ramelah Hassan, 53, isteri kepada Ariffin Hamid, 58, yang maut kemalangan jalan raya petang kelmarin.

Kemalangan jalan raya itu berlaku kira-kira jam 3.20 petang ketika kereta dinaiki mangsa bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kota Bharu sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan.

Dalam kejadian itu, enam cedera parah termasuk empat yang berada dalam kereta dinaiki bersama mangsa termasuk pemandu kereta, Safuan Ab Aziz, 22, kakaknya, Hanis, 24, ibu mereka, Che Gayah Mohd Yusoff, 58 dan datuk saudara mereka, Abd Ghani Awang, 82.

Dua lagi yang menaiki sebuah kereta lain dikenali sebagai Mohd Sabiren Mohd Kalien, 24 pemandu kereta dan seorang penumpang Mohd Saolfaiz Yusoff, 18, berasal dari Bachok, Kelantan

Menurut Ramelah, arwah suaminya seolah-olah tidak mahu lagi bersamanya apabila sanggup naik kereta saudara terdekat ketika turun dari rumah di Kampung Lubuk Bunuk, Kadok sebelum bertolak ke Gua Musang menghadiri kenduri kahwin.

"Dia turun rumah sejak jam 8 pagi lagi dan sebelum itu menziarah beberapa keluarga dekat situ hingga dia tidak layan percakapan saya supaya tunggu untuk pergi sekali ke tempat kenduri itu.

"Tidak sangka perangai peliknya itu untuk kami berdua berpisah buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui yang hampir pengsan melihat kemalangan jalan raya itu yang membabitkan suaminya.

Beliau berkata, arwah bertolak pulang jam 3 petang dari rumah kenduri kahwin itu dan ketika itu juga suaminya enggan pulang bersama walaupun telah berjumpa di tempat tersebut.

"Saya terkejut apabila menerima telefon daripada saudaranya yang menaiki kereta itu menyatakan suami saya meninggal dalam kemalangan jalan raya sebelum saya bergegas ke tempat kejadian.

Saudara mangsa, Hanis pula berkata, dia lihat dengan jelas sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki itu cuba memotong sebuah lori dan tidak melepasi menyebabkan bertembung dengan kuat.

"Saya menjerit berulang kali di tempat duduk belakang dalam kereta berkenaan dan hanya terdengar dentuman kuat sekali gus sebelum lenyap suara masing-masing kerana dalam kesakitan. Semasa itu juga saya melihat arwah berlumuran darah dan orang ramai cuba membantunya keluar sebelum dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan jalan raya membabitkan dua kereta bertembung.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan sebelum mayatnya di hantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

Al-Fatihah...

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kelakuan-pelik-sebelum-nahas-1.43961

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my