loading...

Friday, August 8, 2014

Kereta rempuh belakang bas

8 Ogos 2014
REMBAU – Seorang wanita parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya merempuh belakang sebuah bas dua tingkat di Kilometer 225.5 Lebuhraya Utara - Selatan, arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, mangsa, Shaheen Begum, 45, tersepit di tempat duduk penumpang hadapan kereta dipandu suaminya dan berjaya dikeluarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu MPV jenis Audi Q7 dan bas dua tingkat jenis Scania.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua buah kenderaan adalah dari arah selatan menuju ke utara. Bagaimanapun, punca kemalangan masih lagi dalam siasatan. Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban bagi rawatan lanjut.

“Seorang lagi mangsa yang memandu kenderaan dikenali sebagai Ahmad Nakibullah, 55, tidak mengalami kecederaan serius,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Ibrahim berkata, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Susulan insiden berkenaan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Mohd Yusof Samad bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja menyelamat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-rempuh-belakang-bas-1.305833



Posmen putus kaki




8 Ogos 2014
JASIN - Niat murni seorang posmen untuk melaksanakan tanggungjawabnya menghantar surat di sekitar Jasin bertukar tragedi apabila kaki kirinya putus selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 31 Jalan Jasin-Rim, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, mangsa, Mohd Khairul Zamry Zulkifli, 29, yang menunggang motosikal dikatakan gagal mengawal motosikalnya sebelum bergesel dengan bahagian hadapan kiri sebuah kereta dari arah sama.

Jurucakap polis berkata, akibat pergeselan itu, mangsa yang berasal dari Sungai Rambai terjatuh berdekatan pengadang jalan, manakala  kaki kirinya terputus tidak jauh dari tempat dia terjatuh.

“Sebelum kejadian, sebuah kereta dari arah Jasin menghala ke Rim membelok ke simpang di sebelah kanan.

“Dalam masa sama, datang motosikal mangsa dari arah belakang kereta terbabit dan dipercayai tidak sempat mengelak," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Jasin sebelum dirujuk ke Hospital Melaka. Manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan kejadian berkenaan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/posmen-putus-kaki-terbabit-kemalangan-1.305834



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my