loading...

Saturday, December 17, 2011

Prebet sapu nyaris maut


KUALA KRAI - Seorang pemandu prebet sapu nyaris maut selepas kenderaannya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di simpang masuk Ladang Pasir Gajah, dekat Kampung Keroh, di sini, petang kelmarin.

Pemandu terbabit, Mohammad Abdullah, 42, berkata, kejadian kira-kira 4.30 petang berlaku ketika dia dalam perjalanan menghantar dua penumpang dari bandar Kuala Krai ke Kampung Kuala Pertang.

Katanya, meskipun keretanya rosak teruk, dia bagaimanapun bernasib baik kerana hanya cedera ringan pada kaki manakala dua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya berada di simpang masuk ke Pasir Gajah, apabila tiba-tiba sebuah kenderaan dipandu laju memotong dua kenderaan di belakang kereta saya, walaupun kawasan itu ada garisan berkembar dan merempuh bahagian pintu belakang.

“Akibat rempuhan, kereta saya berpusing dan rosak teruk pada bahagian sebelah kanan manakala pemandu yang melanggar saya melarikan diri,” katanya, di sini, semalam.

Kejadian berlaku hanya beberapa meter dari lokasi kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lembu berkeliaran yang meragut nyawa seorang pemuda berusia 20 tahun, Ahad lalu.

Mohammad berkata, nombor pendaftaran Proton Wira yang melanggarnya bagaimana berjaya dikenal pasti selepas sebuah kenderaannya mengejar kereta terbabit sehingga Kampung Pek, dekat Machang.

“Siasatan awal polis mendapati kereta terbabit mempunyai hampir 10 saman yang tidak dibayar, dan saya harap orang bertanggungjawab melanggar kereta saya dapat dikesan secepat mungkin.

“Nasib baik ketika kejadian, saya masih belum membelok masuk, kalau tidak tak tahulah apa nasib kami bertiga,” katanya yang membuat laporan polis mengenai kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai kira-kira jam 5 petang.

Sementara itu, Mohammad berkata, kejadian itu disifatkan sebagai sudah jatuh ditimpa tangga selepas rumahnya di Kampung Batu Jong, dekat sini, musnah dalam kebakaran, Julai lalu.

“Rumah baru saya masih belum siap dan sekarang ini, kereta pula rosak dan perlukan banyak belanja untuk membaikinya kerana inilah satu-satunya (pemandu prebet sapu) sumber pendapatan saya untuk sara keluarga,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Penunggang Maut Rempuh Tembok Rumah



ALOR GAJAH - Seorang ­remaja maut selepas ­motosi­kal jenis Honda Wave yang ­ditunggang terbabas ke kiri ­jalan merempuh tembok ­rumah penduduk di Kam­pung Dalong, Gadek, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa P Vonooth, 21, dalam ­ perjalanan pulang dari tempat ­kerjanya di Jalan Kolam Air ke rumahnya di Taman Sebang Mutiara, dekat sini dipercayai hilang kawalan sebelum ­terbabas selepas melalui satu selekoh.

Mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori ayam itu pada mulanya merempuh sebuah papan tanda arah jalan diikuti ­ tembok jalan rumah penduduk sebelum melambung ke longkang sedalam satu meter.

Saksi kejadian, Noraini Sulaiman, 37, berkata, ketika kejadian dia sedang menyusukan anak bongsunya berusia 2 tahun dikejutkan bunyi ­dentuman kuat di hadapan rumahnya sebelum suaminya, Raja Hisham Raja Mohd Khamis, 40, menjenguk ke luar.

“Sebaik keluar, kami ­terkejut apabila mendapati mangsa sudah nazak dan ­dipenuhi darah.

“Topi keledar dan kasut dipakai mangsa tertanggal manakala papan tanda penunjuk arah patah dua selain ­tembok masuk ke rumah saya turut pecah,” katanya.

Noraini berkata, dia bertindak menghubungi talian kecemasan dan pihak polis tiba tidak berapa lama selepas itu.

“Sudah banyak kali ­kemalangan yang meragut nyawa berlaku di selekoh ­berdekatan rumah saya ini.

“Malah, kemalangan ini juga turut mengingatkan kembali kemalangan yang meragut nyawa arwah bapa saya di tempat sama enam ­tahun lalu,” katanya.

Bapa mangsa, V Ponusamy, 54, ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka berkata, ­anaknya itu sempat menghubunginya kira-kira jam 8 ­malam untuk bertanyakan keadaan ibunya yang tidak ­sihat kebelakangan ini.

Menurutnya, selepas ­bercakap dalam telefon, dia ada pulang mengambil topi keledar di rumah sebelum ­keluar bekerja semula.

“Itu adalah kali terakhir saya berjumpa dengannya dan anaknya itu bersikap ­seperti biasa.

“Anak saya ini seorang yang pendiam dan bertanggungjawab terhadap keluarganya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan kemalangan maut itu yang membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk ­ bedah siasat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, December 15, 2011

4 Remaja Nyaris Maut



HULU BERNAM – Hasrat empat remaja bermain futsal terbantut apabila terbabit dalam kemalangan berdekatan Plaza Tol Behrang, Perak dekat sini malam kelmarin.

Kereta Perodua Viva yang mereka naiki dikatakan gagal dikawal selepas melalui lopak air di laluan tersebut lalu terbabas ke bahu jalan laluan bertentangan dan nyaris merempuh tiang lampu.

Pemandu yang hanya dikenali sebagai Baim, 20, berkata, ketika kejadian hujan renyai dan laluan berkenaan gelap.

“Kereta kami secara tiba-tiba melencong selepas melalui lopak air dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Keadan ketika itu amat mencemaskan kerana kereta meluncur di atas rumput dan terseret lebih kurang 30 meter sebelum berhenti berdekatan tiang lampu.

“Nyaris juga kereta tidak merempuh tiang lampu, kalau tidak hanya ALLAH SWT yang tahu kesannya pada kami semua,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Baim bersama rakannya tidak mengalami sebarang kecereraan bagaimanapun kereta tersebut mengalami kerosakan pada kedua-dua pintu sebelah kiri serta bumper hadapan.

“Syukur, tiada apa-apa berlaku pada kami,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Padah Memandu Keadaan Mengantuk



GUA MUSANG - Memandu dalam keadaan mengantuk membawa padah bagi seorang lelaki, apabila lori dipandunya terbabas lalu terbalik selepas merempuh pembahagi jalan di Kilometer 70 Jalan Gua Musang-Lojing, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 pagi ketika pemandu tersebut, Mohd Shafie Mat Ali, 55, bersama kelindannya, Che Sabri Mamat, 23, dalam perjalanan dari Kampung Gajah, Perak ke Kota Bharu.

Bagaimanapun, Mohd Shafie hanya mengalami kecederaan ringan di betis kiri, manakala kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan selepas merangkak keluar menerusi pintu atas.

Mohd Shafie ketika ditemui di tempat kejadian, mengakui dia mengantuk sambil suasana ketika itu dipenuhi kabus tebal membuatkan dia sukar mengawal kenderaannya.

Katanya, dia dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas membeli durian di kampung berkenaan untuk dijual, dan tidak sangka berdepan dengan kejadian tidak diingini.

“Ketika itu juga kelindan saya tidur dan sebaik lori terbalik, saya bersama dia bertindihan di dalam, tetapi dapat keluar untuk menyelamatkan diri menerusi pintu atas sebelah kelindan.

“Pintu tempat saya memandu tertutup selepas terbalik, tetapi durian yang penuh di bahagian belakang tidak tercampak keluar, walaupun dalam keadaan berselerak,” katanya.

Mohd Shafie berkata, dia bersama kelindan terpaksa tunggu di tempat kejadian sehingga jam 8 pagi sebelum mengarahkan Che Sabri keluar ke bandar ini bagi mendapatkan bantuan kenderaan penunda.

Menurutnya, dia sebelum kurang biasa melalui jalan berkenaan, tetapi terpaksa melaluinya untuk menjalankan perniagaan buah-buahan selepas membelinya di Kampung Gajah.

“Kecederaan yang saya alami tidaklah teruk hanya luka kecil sahaja dan bersyukur kami bersama kelindan masih selamat walaupun dalam keadaan lori terbalik,” katanya.

Mohd Shafie juga menyifatkan, jalan itu banyak terdedah kepada bahaya kerana berlaku kerosakan dan cerun runtuh yang perlu pengguna lebih berhati-hati sepanjang perjalanan.

“Tempat saya kemalangan itu, terdapat banyak pembahagi jalan yang diletakan kontraktor kerana kerja pembaikan cerun runtuh hingga turut mengelirukan pengguna,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Bas sekolah bertembung ambulans


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera parah apabila bas sekolah dipandunya bertembung sebuah ambulans sebelum merempuh tujuh kenderaan lain ketika cuba memotong sebuah kereta dalam kemalangan di Dutamas Raya, Segambut di sini, hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, bas tanpa penumpang yang dipandu lelaki berumur 30-an itu dalam perjalanan menghala ibu negara.

"Bas dikatakan cuba memotong sebuah kereta, namun pada masa sama sebuah ambulans datang dari arah bertentangan.

"Ekoran itu, bas terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh tujuh kenderaan lain termasuk dua buah teksi yang kebanyakannya diletakkan di sebelah kiri bahu jalan," katanya ketika dihubungi Bernama.


Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu bas tersebut cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan, manakala pemandu ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan.


Ketika kejadian tiada orang lain dalam ambulans tersebut kecuali pemandu.

Menurutnya, susulan kejadian itu, lapan buah kenderaan rosak termasuk sebuah kereta Perodua Kembara yang remuk teruk akibat dihempap bas berkenaan.

"Siasatan mendapati, kejadian itu berpunca daripada bas sekolah yang gagal dikawal ketika memotong yang pada masa sama sebuah ambulans dipandu laju dari arah bertentangan menyebabkan bas tersebut hilang kawalan sehingga merempuh kenderaan lain.

"Siasatan terperinci sedang dilakukan dan polis akan mengambil keterangan daripada beberapa mangsa termasuk pemandu bas," katanya. - BERNAMA

Sumber: myMetro

Maut Rempuh Motosikal Rakan

SEREMBAN: “Saya tak sangka hajat arwah mahu pergi membeli-belah di Berjaya Times Square tidak kesampaian,” kata Mohd Haziq Amir, 19, yang terkejut selepas kehilangan rakan karib yang maut selepas motosikal ditunggang merempuh motosikal rakan mereka dari belakang di Kilometer 277.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, Razak Abdul Halim, 24, maut selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya merempuh belakang motosikal ditunggang seorang rakan sekerjanya, Saiful Azhari Tukimin, 23. Difahamkan, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke tempat kerja di Nilai bersama Saiful Azhari yang menunggang motosikal secara berasingan dari rumah sewanya di Mambau, dekat sini. “Arwah beria-ria mengingatkan saya berulang kali apabila dapat gaji nanti, dia teringin ke pusat beli-belah di Kuala Lumpur itu. “Saya turut hairan sejak kebelakangan ini, arwah leka bermain SMS dengan teman wanitanya, seolah-olah mengetahui dia akan pergi selama-lamanya,” katanya di sini, semalam. Dalam pada itu, Saiful Azhari berkata, dia berjumpa Razak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, seperti kebiasaannya sebelum masuk kerja jam 3 petang.


“Tiba di R&R, Razak kelihatan leka bermain SMS dan saya menasihatkannya supaya menghentikan perbuatannya sehingga kami tiba di tempat kerja.

“Dia akur dan kami meneruskan perjalanan ke Nilai dengan menunggang motosikal berasingan,” katanya.


Menurut Saiful Azhari, tiba di lokasi kejadian dia membrek motosikal berikutan ada sebuah lagi motosikal di depan dan tiba-tiba terdengar dentuman kuat di belakang. “Menoleh ke belakang, saya terkejut melihat Razak tercampak ke penghadang jalan dengan kepalanya luka parah,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa melanggar belakang motosikal rakannya.

Akibat rempuhan kuat itu, mangsa tercampak ke kiri jalan dan terkena penghadang jalan dan Razak mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sumber: myMetro

Pemandu Lori Maut Dirempuh Kereta Serta Bas


SLIM RIVER - Seorang pemandu lori maut akibat kelemasan setelah lori yang dipandunya terbalik dalam satu kemalangan di Kilometer 367.3 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, pada petang semalam.


Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori membawa muatan rempah ratus, sebuah bas ekspres dan sebuah kereta jenis proton wira.

Menurut beliau, lori yang dipandu mangsa dari Petaling Jaya, Selangor menuju ke Ipoh, dipercayai hilang kawa­­lan­ ketika tiba di tempat kejadian dan telah melintangi jalan.

“Dalam masa sama, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun, dari Kuala Lumpur menuju Sitiawan, berada di belakang lori berkenaan dan sempat memberhentikan kenderaan sebelum merempuh lori berkenaan.

“Bagaimanapun, sebuah bas membawa 31 penumpang dari Kuala Lumpur ke Lumut tidak sempat memberhentikan kenderaan dan telah melanggar kereta terbabit sebelum merempuh lori yang dipandu mangsa,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, rempuhan itu telah menyebabkan lori terbabit terbalik, mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Vinayavarmurthy, 45, dan berasal dari Ipoh dihempap kenderaan sendiri, lalu lemas sebelum maut di tempat kejadian.

Menurut Othman, Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Slim River dan Tapah telah dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta, pemandu bas dan semua penumpang bas terselamat dalam kejadian berkenaan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa juga telah dituntut oleh anggota keluarganya di Unit Forensik Hospital Slim River pada kira-kira jam 11 malam kelmarin,” katanya.

Katanya, siasatan berhubung kejadian dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis masih menyiasat punca kejadian.

Sumber: Sinar Harian

SMS Terakhir Dari Suami

TAMPIN – “Salam ma, ayah dah sampai jam 6 pagi ni. Ni last kredit K. Jaga anak-anak kat umah tu K. Lebih-lebih lagi Arif K”. Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir diterima isteri mangsa kemalangan maut di kilometer 5.5, Jalan Air Kuning-Nyalas, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, mangsa yang juga anggota tentera, Kasim Md Nor, 32, dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kem Syed Sirajuddin Gemas ke kediamannya di Taman Mutiara Sungai Rambai, Melaka.

Isteri mangsa, Lina Abdullah, 37, berkata, dia sememangnya sudah berasa tidak sedap hati apabila panggilan telefon dan mesej yang diberikan melalui SMS tidak berbalas dari suaminya.

“Akak cuba menghubungi suami akak sehingga petang semalam, namun hampa apabila panggilan tidak berangkat dan mesej juga tidak berbalas. Bagaimanapun, akak sempat memasak sambal ayam kegemarannya untuk menanti kepulangannya seperti biasa.

“Namun, sehingga lewat petang, suami akak masih juga belum pulang dan selepas maghrib, sebuah van tentera berhenti di hadapan rumah akak dan memaklumkan mengenai berita memeranjatkan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), semalam.

Lina berkata, arwah sudah mula berulang-alik dari Kem Syed Sirajuddin sejak 22 Disember tahun lalu selepas mereka sekeluarga membuat keputusan untuk berpindah dan menetap di Melaka.

Menurutnya, sepanjang lebih 13 tahun berumah tangga, mereka dikurniakan tiga anak yang kini berusia tiga hingga 12 tahun dan dia berasa sangat sayu apabila mengenangkan mesej terakhir suaminya untuk menjaga anak-anak dengan baik terutamanya yang bongsu.

“Malah, malam beberapa hari sebelum kejadian juga, suami saya sempat berpesan kepada anak perempuan yang sulung untuk sentiasa menolong saya di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian berkenaan dan berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan lain.

Menurutnya, sebaik tiba di selekoh, mangsa dipercayai bergesel dengan lori dan maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah. Mayat dihantar ke HT untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan diharap orang ramai yang melihat kemalangan ini supaya tampil untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Mangsa Peragut Kejam



GEORGETOWN - Kejam perkataan paling sesuai diberikan kepada individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian seorang jururawat pelatih sebuah hospital swasta dekat sini, malam kelmarin.


Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, G Malathi, 24, maut dipercayai diragut sebelum terbabas berikutan gagal mengawal moto­sikalnya di Jalan Residensi, dekat sini.

“Mangsa dipercayai bergelut dengan peragut yang menyebabkan dia tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda berseorangan.

“Mangsa anak kedua daripada tiga beradik meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius,” katanya.

 Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terbabas, namun punca kemalangan masih disia­sat.

Menurutnya, dompet dan telefon bimbitnya juga gagal ditemui.

Difahamkan, mangsa yang baru setahun bekerja di sebuah hospital swasta di Jalan Macalister dekat sini mempunyai kelulusan Diploma Kejururawatan dari sebuah institut pengajian tinggi swasta di negeri ini dan berasal dari Gelugor.

 Ketika ditemui, mangsa berpakaian kemeja T dan dalam keadaan terbaring, manakala motosikalnya berada berhampiran pada jarak kurang lima meter dari lokasi kejadian.

 Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu dan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1989.

“Mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
             Kosmo

Tuesday, December 13, 2011

Pemandu maut melekat pada besi penghadang

ALOR GAJAH: Seorang pekerja kontrak terbunuh selepas kereta dipandunya terbalik beberapa kali sebelum melekat pada besi penghadang lebuh raya di Kilometer 211.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa, M Sathiaraj, 22, yang memandu Proton Saga mati di tempat kejadian kerana cedera parah pada anggota badan dan tersepit dalam kereta yang remuk teruk.


Seorang rakan mangsa, Fadli Ghani, 27, juga cedera parah di muka dan anggota badan dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ketika kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan ke Bandar Melaka. Jurucakap polis berkata, kereta dipandu Sathiaraj dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh penghadang besi di kiri lebuh raya.


“Kereta itu dipercayai terbalik beberapa kali sebelum terhenti di atas tiang penghadang besi dengan keempat-empat tayar ke atas manakala tiang menembusi bumbung kereta,” katanya di sini.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Mazlan Samah berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja menyelamat.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami dapati seorang lelaki yang juga penumpang kereta sudah berada di luar kenderaan dalam keadaan muka berdarah dan terduduk di tebing lebuh raya.


“Pemandu kereta pula tersepit di tempat duduk pemandu dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan pemandu dalam kereta yang remuk teruk itu.

“Kedudukan mangsa yang berbadan besar dengan kepala ke bawah menyukarkan operasi mengeluarkannya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, pihaknya ada menerima laporan kemalangan berkenaan.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan saksi kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5563222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: myMetro

Bas ekspres rempuh Kereta dan Lori

SLIM RIVER: Tragedi ngeri hampir meragut puluhan nyawa apabila sebuah bas ekspres dipandu laju dalam hujan lebat merempuh sebuah kereta sebelum melanggar pula sebuah lori.

Dalam kejadian di Kilometer 367.3, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, jam 6 petang semalam, seorang pemandu lori terbunuh selepas dihempap kenderaannya yang terbalik sejurus dirempuh bas berkenaan.

Bas yang membawa 31 penumpang itu terlebih dulu melanggar sebuah Proton Waja dinaiki dua lelaki sebelum merempuh lori dipandu mangsa yang dikenali sebagai Vinawegamoorthi, 45, menyebabkan kenderaan berat itu terbalik.

Kemalangan dipercayai berpunca selepas lori membawa muatan rempah-ratus dari Kuala Lumpur menuju Ipoh itu hilang kawalan selepas tayar depan kirinya pecah.


Kelindan lori berkenaan berusia 60-an yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, lori itu dipandu perlahan oleh rakannya berikutan hujan lebat.


“Tiba-tiba tayar depan kiri meletup mengakibatkan ia hilang kawalan dan terhuyung-hayang ke kiri dan kanan jalan

“Mangsa mengawal kenderaan sebaik mungkin untuk cuba memberhentikannya di laluan kecemasan sebelum terbalik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Perak, Wan Azmi Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 6.15 petang.

Katanya, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Tapah dan Slim River bergegas ke tempat kejadian.

Sumber: myMetro

Monday, December 12, 2011

Maut terjunam ke dalam kolam pancing


Inalillahi wainailaihi rojiun

TERACHI - Seorang wanita maut apabila kereta yang dinaikinya terbabas sebelum terjunam ke dalam kolam pancing di Kampung Gedang di Kilometer 24.5, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Suzimah Shuhaimi, 28, be­rasal dari Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor menaiki kereta jenis Honda berwarna putih dalam perjalanan ke Kuala Pilah menghala ke Seremban.

Mangsa ditemui maut selepas kereta yang dinaiki dikeluarkan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PDA) dari Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, kenderaan yang menghala ke Seremban dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya walau bagaimanapun tidak sempat kerana ada sebuah bas dari arah bertentangan.

Menurutnya, ketika tiba di jalan itu, kereta mangsa dipercayai cuba memasuki semula lorongnya, namun terlanggar bahagian belakang lori terbabit lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kereta itu hilang kawalan lalu terbabas hingga menjunam ke dalam kolam ikan pancing sedalam 3 meter,” katanya.

Dalam pada itu, Jaafar berkata, setakat ini, hanya seorang penumpang sahaja dikenal pasti.

“Pihak polis akan melakukan siasatan lanjut berdasarkan kepada alamat yang tertera di kad pengenalan mangsa.

“Pihak polis tetap berusaha menghubungi saudara mangsa, bagi melihat sama ada mangsa bersama orang lain ataupun seorang diri. Kerja-kerja menyelamatkan ditamatkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat daerah, Kamarudin Salleh berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.15 petang dan sampai ke tempat kejadian kira-kira 2.40 petang.

“Setibanya di tempat kejadian, kea­daan kereta itu terbalik dengan tayar keempat-empat ke atas. Kenderaan dua pintu itu ditarik keluar dibantu oleh jentera bomba dan dibantu oleh sebuah treler untuk menariknya ke atas.

“Buat masa ini, seorang mangsa dijumpai. Pihak bomba bersama tiga orang dari PDA bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, anggota dari Bomba dan Penyelamat dari Kuala Pilah seramai enam orang bagi membantu kerja-kerja menyelamat.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Sunday, December 11, 2011

Kempen keselamatan jalan raya

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi menjayakan kempen keselamatan jalan raya dalam meminimumkan kemalangan maut di negeri itu.

Penolong Pengarah JKJR Pahang, Wan Musa Wan Kadir berkata, kempen itu penting bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang etika ketika berada di jalan raya.

''Statistik kemalangan jalan raya di negeri ini pada 2010 membabitkan pelbagai jenis kenderaan iaitu sebanyak 17,315 kes yang jumlah kemalangan maut mencatatkan 492 kes dengan kematian seramai 574 orang.

''Statistik kematian dan kecederaan sehingga akhir Oktober lalu ialah 60 orang maut, 39 mengalami kecederaan serius dan 55 orang cedera ringan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas menjalankan kempen tukar ganti topi keledar serta majlis pelupusan topi keledar di pekarangan Pejabat Daerah Raub di sini yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahruddin Ab. Moin di sini baru-baru ini.

Wan Musa memberitahu, berdasarkan statistik tersebut, penunggang motosikal dan pembonceng mencatatkan jumlah tertinggi disebabkan faktor kecuaian penggunaan topi keledar.

Menurut beliau, punca meningkatnya kematian penunggang dan pembonceng motosikal adalah disebabkan menggunakan topi keledar yang tidak sesuai serta tidak selamat.

Sehubungan itu, katanya, JKJR sentiasa menjalankan kempen kesedaran kepada golongan sasaran yang mana aspek pemilihan topi keledar yang betul diterapkan kepada penunggang dan pembonceng.

Sumber: Utusan Malaysia

Penoreh Maut Dirempuh Kereta

TAMPIN: “Saya menghubungi adik dua hari lalu dan dia memaklumkan buah kundang di kawasan rumah masak tidak lama lagi,” kata Rusman Buchik, 57, abang sulung kepada Ainoal Azman Buchik, 45, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Kampung Air Gelugur, Gemencheh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.


Difahamkan, mangsa yang juga penoreh dalam perjalanan ke kebun getah menunggang motosikal Yamaha Sport sebelum dirempuh sebuah kereta.

Rusman berkata, adik bongsunya masih bujang itu tinggal bersama ibu yang uzur di Kampung Tengah, Gemencheh, menghubunginya dua hari lalu selepas lebih sebulan mereka tidak bersua.


“Saya dan isteri tergerak hati untuk pulang ke kampung melawat adik dan ibu, namun tidak menyangka pagi tadi (semalam) saya diberitahu adik terbabit kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.


“Adik juga mengadu kurang sihat apabila penyakit asma menyerang lagi akibat keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

“Ketika itu, saya mula berasa bimbang dengan keadaannya apatah lagi dengan ibu sudah uzur. Saya menasihatinya berehat dan tidak bekerja sehingga sembuh sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut kejadian terbabit masih disiasat.

Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4411221 atau 06-4411222.

Sumber: myMetro

Bas Ekspres Rentung



LEDANG – Seorang pemandu bas dan 12 penumpang nyaris maut apabila bas ekspres yang mereka naiki musnah terbakar di Kilometer 144, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Pagoh di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru apabila bahagian dalamnya tiba-tiba mengeluarkan asap.

Pemandu bas terbabit segera memberhentikan bas di bahu jalan dan mengarahkan kesemua penumpang turun untuk menyelamatkan diri.

Kesemua penumpang terselamat dan meneruskan semula perjalanan ke Johor Bahru dengan menaiki bas lain.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Malley Abd Salim berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7.48 malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 8.12 malam.

Menurutnya, sebuah jentera bersama lima anggota bergegas ke tempat kejadian dan turut dibantu dengan satu jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar.

“Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, bas berkenaan telah musnah terbakar.

“Pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian dan nilai kerugian,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan kejadian tersebut juga menyebabkan kesesakan lebuh raya hampir 500 meter.

Sumber: Sinar Harian

Warga Emas Maut Di Jalan Jelutong


GEORGETOWN - Seorang wanita warga emas menemui ajal dalam satu kemalangan ngeri berhampiran Maybank di Jalan Jelutong, dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa Liang Took How, 56, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala selepas motosikal ditungganginya dikatakan dirempuh sebuah motosikal.

Kemalangan itu membabitkan tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPPP) untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), Inspektor Zhafran Ariff Mohd Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Setakat ini, polis masih menyiasat punca berlakunya kemalangan ini.

“Mana-mana saksi awam yang melihat atau mengetahui kemalangan ini diminta menghubungi telefon bimbit saya di talian 0197172681 atau IPDTL di talian 06-2834139 membantu siasatan,” katanya.

Mayat Took How dihantar ke HPP untuk dibedah siasat.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my