loading...

Saturday, April 23, 2011

Tukar Kaedah Lapuk Polis Trafik


Sembunyi balik tiang tangkap pesalah trafik kaedah lapuk

24 APRIL 2011; SHAH ALAM: Polis tidak lagi akan bersembunyi atau menyorok di sebalik pokok, tiang atau dinding di lokasi tertentu di jalan raya hanya semata-mata untuk mengesan pesalah trafik.

Timbalan Ketua Polis Negara yang baru, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata anggota polis perlu menunjukkan kehadiran mereka di depan orang awam, bukannya menyorok tetapi kesalahan lalu lintas masih boleh dikesan menerusi penambahan kamera di beberapa lokasi strategik.
"Kita tidak lagi menyorok balik tiang, kita saman terus dan kalau sudah kena saman, jangan lupa bayar.



"Polis berpendapat pendekatan menyorok ini tidak lagi sesuai. Namun, pengguna jalan raya jangan terkejut jika tiba-tiba dikenakan saman kerana kita akan menggunakan bantuan teknologi untuk mengesan kesalahan di jalan raya," katanya selepas menghadiri Program Sehari Bersama Polis khusus untuk belia India di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Program berkenaan dihadiri kira-kira 1,000 belia India yang antara lain bertujuan menarik minat belia kaum itu untuk menyertai polis.

Katanya, selain peningkatan kehadiran polis, pemandu juga diingatkan bahawa polis juga menggunakan kamera dan beberapa alat lain untuk mengesan kesalahan mereka.
Ditanya adakah pendekatan terbaru pihak polis itu turut membabitkan perangkap had laju atau saman ekor, Khalid berkata, pendekatan berkenaan masih ada.

"Walau apa yang kita lakukan dan pelaksanaannya yang membezakan, perkara akhir yang perlu kita sedar ialah kesedaran pengguna jalan raya di negara ini masih rendah," katanya.

Mengenai usaha polis membanteras gejala samseng di kalangan masyarakat India di Selangor, Khalid berkata selain didakwa di mahkamah, polis juga melakukan tindakan pencegahan.

Friday, April 22, 2011

4 Sekeluarga Maut


PEKAN: Empat sekeluarga termasuk sepasang suami isteri maut apabila Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan treler membawa muatan kimia di Kilometer 63, Jalan Kuantan-Segamat, kira-kira jam 4.50 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang terbunuh adalah pemandu kenderaan, Diong Kah Keng, 24; isterinya, Koh Kian Hui, 23; adik Diong, Koh Kian Hui, 23; Diong Kah How, 21 (adik Diong) dan saudara mereka, Choi Kok Sin, 23.
Diong, isteri dan adiknya masing-masing dari Skudai, Johor manakala Choi dari Maran, Pahang.
Kereta itu dalam perjalanan ke rumah saudara mereka Sri Jaya dekat Maran.

‘Saya tidak sempat mengelak’ – Pemandu

PEKAN 22 April – Seorang pemandu lori tangki tergamam apabila kenderaan yang dipandunya di kawasan gelap tiba-tiba bertembung dan menggilis sebuah kereta Perodua Myvi di Paloh Hinai, di sini awal pagi ini.
Mokhtar Ahmad, 45, memberitahu, kemalangan ngeri yang dialaminya itu merupakan kali pertama berlaku sepanjang bertugas sebagai pemandu lori sejak 15 tahun lalu.
Menceritakan detik-detik cemas tersebut, Mokhtar berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari Kerteh, Terengganu menuju ke Nilai, Negeri Sembilan untuk menghantar bahan kimia.
“Pada waktu itu, saya sedang mendaki bukit sebelum ternampak sebuah kereta Perodua Myvi dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluan saya.
“Saya tidak dapat mengelak kereta tersebut yang terlalu hampir sebelum kenderaan kami bertembung,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 pagi itu, lori tangki yang dipandu Mokhtar bertembung sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat sekeluarga yang meragut empat nyawa di Kilometer 63, Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai, di sini.

 BERITA PENUH


PEKAN 22 April - Hasrat empat sekeluarga dari Skudai, Johor Bahru untuk meraikan ulang tahun kelahiran datuk mereka ke-81 di Kuantan tidak kesampaian apabila mereka maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 63, Jalan Kuantan-Segamat, Paloh Hinai, di sini awal pagi ini.
Kejadian 4.50 pagi itu berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tangki dari arah hadapan.
Perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa, Diong Kah Keng, 24, dan isterinya, Koh Kiah Hui, 23, adiknya, Diong Kah How, 21, dan seorang saudara mereka, Choi Kok Sin, 23, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Yahaya Othman berkata, kereta yang dipandu Kah Keng sedang berkonvoi bersama dua lagi kereta ke arah Kuantan untuk meraikan ulang tahun datuk mereka, Diong Chang Sou, 81.
"Sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai melanggar bahagian kanan lori treler yang terkeluar daripada laluannya. Ia menyebabkan kereta itu berpusing sebelum terperosok ke bawah lori terbabit," katanya kepada pemberita di Hospital Pekan, di sini hari ini.
Menurut Yahaya, pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa hampir dua jam bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum dibawa ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat.
Kata beliau, pemandu lori berusia 30-an itu masih belum membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ibu mangsa, Ong Yuee Lian, 43, memberitahu, konvoi seramai 12 orang bertolak dari Skudai pada pukul 1 pagi untuk ke rumah datuk mangsa di Taman Tas dekat Kuantan, bersama tiga kereta.
"Saya menaiki kereta di barisan paling hadapan, kereta yang dipandu Kah Keng pula di tengah dan sebuah lagi kereta dinaiki anak bongsu lelaki di belakang.
"Sampai di tempat kejadian, tiba-tiba anak bongsu saya, Diong Kah Sian, 15, menelefon dan bertanya mengenai kemalangan di jalan itu yang dilihatnya dari jarak jauh," katanya.
Selang seminit kemudian, ujarnya, Kah Sian menghubunginya sekali lagi dan memaklumkan kereta dipandu Kah Keng terlibat dalam kemalangan itu lalu mereka berpatah balik.
"Hati saya jadi luluh, lemah dan tak mampu berdiri semasa melihat kereta dinaiki dua anak lelaki, menantu dan anak saudara remuk digilis lori," katanya.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/EmpatsekeluargamautdirempuhloridiMuadzamShah/Article
http://www.utusan.com.my

Ibu Maut Selepas Lawat Anak


GOMBAK – Perjalanan pulang sepasang suami isteri ke Jerantut, Pahang selepas melawat anak di Seksyen 13 Shah Alam bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 41.2, Lebuh raya Duta-Ulu Klang Expressway (Duke) arah utara, di sini, semalam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.55 pagi.



“Kereta Proton Putra yang dipandu seorang anggota Polis Unit Cawangan Khas Bukit Aman yang cuba mengelak motosikal di sebelah kirinya lalu terbabas dan merempuh sebuah kereta Kancil.

“Kereta kancil itu dinaiki sepasang suami isteri bersama adiknya itu terseret dan terbalik sejauh tiga meter,” katanya.



Akibatnya, Rosnah Mat Nor, 65, maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Manakala suaminya, Baharuddin Hussin dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, saksi yang juga pemandu teksi, Amir Arshad, 47, berkata, ketika kejadian dia berada di bahagian belakang kereta mangsa yang terletak di tengah antara tiga lorong lebuh raya itu.

“Dari jauh melalui cermin pandang belakang saya ternampak dua kereta satu jenis Mitsubishi Evo dan Proton Putra berwarna putih sedang berlumba dalam keadaan merbahaya.

“Melihat keadaan itu saya terus mengelak ke kiri jalan. Sebaik dua kereta itu melepasi kereta saya, terus ternampak kepulan asap di depan manakala kereta Kancil sedang berpusing sebelum terbalik di tengah lebuh raya,” katanya.

Menurut Amir, kereta Proton Putra yang hilang kawalan dipercayai melanggar sebatang pokok sebelum bergesel dengan kereta kancil tersebut dan dua motosikal, masing-masing dinaiki seorang penunggang.

Katanya, pemandu kereta Evo terus melarikan diri, manakala kereta Proton Putra terbabas di kiri jalan arah ke utara berhadapan Tanah Perkuburan Islam Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak.

“Saya melihat ke tempat kemalangan mendapati pemandu Kancil lingkungan 60-an, terselamat dan masih boleh keluar daripada kenderaan, manakala isterinya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

Amir berkata, penunggang dua motosikal terbabit dilihat mengalami kecederaan bahagian bahu.

Katanya,semua mangsa tercedera dapat segera dibawa ke hospital kerana kebetulan terdapat ambulans melalui lebuh raya itu.

Sementara itu, Peronda Lebuh raya Duke, Anuar Borhan, 39, berkata, sebaik kejadian dia terus menelefon bilik gerakan polis sebelum mereka sampai beberapa minit kemudian.

“Ambulans membawa kesemua mangsa tercedera ke Hospital Selayang. Sementara mangsa yang maut terpaksa dikeluarkan dengan bantuan bomba.

Difahamkan berikutan marah dengan kejadian itu, sekumpulan penduduk berhampiran bertindak membelasah pemandu Proton Putra tersebut.

Bagaimanapun, tindakan penduduk itu berjaya ditenangkan polis, manakala kejadian menyebabkan lebuh raya sesak sepanjang kira-kira dua kilometer ke arah utara.

Untuk maklumat dan gambar yang lebih lanjut, layari ondscene.my

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story9006335.asp
http://ondscene.my/kemalangan/bekal-nasi-terakhir-buat-ibu

Monday, April 18, 2011

Gara-gara Tertidur


TANAH MERAH - Gara-gara tertidur ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pagi kelmarin, tiga kereta yang diletakkan di hadapan rumah kedai di Kampung Salak di sini, rosak teruk dilanggar seorang lelaki.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Machang.

Disebabkan tertidur ketika memandu, pemandu kenderaan itu gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh kereta Mazda, Alza dan Honda yang diletakkan sederet di hadapan rumah kedainya itu.

Anak pemilik kenderaan yang dirempuh dikenali sebagai Adri,22, berkata, kesan pemandu menekan brek jelas dapat dilihat di atas jalan.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur dan dikejutkan emak yang memberitahu keretanya baru dua minggu dibeli dilanggar.

“Saya terus bergegas keluar dan melihat bukan sahaja kereta emak yang rosak malah kereta ayah dan juga jiran turut rosak,” katanya kepada Sinar Harian.

Adri berkata, hasrat pemandu mahu ke tempat kerja pagi kelmarin terbantut berikutan kejadian itu.

Menurutnya, kejadian menyebabkan kereta mangsa rosak teruk pada bahagian belakang selepas merempuh tiang rumah kedai dan berpusing merempuh sebatang lagi tiang sehingga bahagian hadapan kereta berputar menghala ke arah Pasir Mas.

“Pemandu dalam perjalanan dari arah Pasir Mas, tetapi kemalangan menyebabkan kereta berpusing arah sebaliknya.

“Bagaimanapun pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story8992723.asp

Sunday, April 17, 2011

Rempit Oh Mat Rempit


REMBAU - Gejala mat rempit yang dikatakan semakin membimbangkan di sesetengah kawasan tidak akan selesai sekiranya tiada usaha untuk mendekati golongan itu.

Masyarakat sebenarnya boleh membantu dengan mendekati golongan muda yang menjadikan sukan bermotosikal sebagai hobi, lantas mengeluarkan mereka daripada tergolong dalam kumpulan mat rempit tidak bermoral.



Justeru, Majlis Belia Daerah Rembau dengan NSDrag Club mengambil langkah bijak mendekati remaja yang minat dengan sukan permotoran itu, sekali gus menghindar mereka daripada terbabit dengan kegiatan tidak berfaedah berkenaan.

Penyelaras program, Siti Aishah Mohd Nor berkata, program mendekati mat rempit bertujuan menangani masalah membelenggu golongan berkenaan yang sebelum ini dicop sebagai sampah masyarakat.

“Selama ini masyarakat mungkin memandang serong terhadap golongan mat rempit, namun mereka sebenarnya ada kemahiran tersendiri dan bakat yang ada itu boleh dicungkil.

“Melalui program ini kita dapat mendekati golongan terbabit untuk membimbing mereka dengan cara betul dan kemahiran yang ada itu boleh digunakan untuk pembangunan negara,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program berkenaan.

Siti Aishah berkata, program seperti ini dapat memberi ruang dan peluang kepada golongan muda untuk menggunakan litar berlumba lebih sesuai dan selamat tanpa mengganggu pengguna jalan raya lain.

Selain itu, mereka juga diberikan panduan pemanduan dalam memastikan keselamatan terjamin semasa di jalan raya.



“Dalam program diadakan ini, kita akan memberi maklumat kepada mat rempit dan menganjurkan aktiviti untuk memberi pendedahan kepada mereka cara menunggang dengan selamat, selain menerapkan budaya yang baik kepada,” katanya.

 Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8988839.asp


Parah, Melekat di Kepala Lori


SHAH ALAM – Seorang remaja cedera :parah setelah kereta yang dipandunya melekat di kepala lori dalam kemalangan di Persiaran Selangor, di sini, semalam.

Perodua Kancil yang dipandu remaja itu, dikenali hanya sebagai Arif, sedang menuju ke arah Bulatan Stadium kira-kira jam 11 pagi apabila ia terbabas ke laluan bertentangan, dipercayai akibat jalan licin kerana basah.

Pemandu lori, dikenali sebagai Ahmad, dalam usia 40-an berkata, kereta itu muncul di hadapannya secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya langsung tidak sempat mengelak.

“Kami sekeluarga tidak dapat keluar segera kerana kedua-dua pintu lori remuk,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad, bersama isteri dan anak lelakinya, dalam perjalanan ke Stadium Shah Alam untuk berniaga ayam golek, sempena hari terbuka sebuah syarikat swasta.

Katanya, orang ramai membantu mengeluarkan Arif, Ahmad dan keluarga dari kenderaan.

Jurucakap polis berkata, Arif dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8989251.asp


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my