loading...

Thursday, April 11, 2013

Ajal pusingan U




Inalillahi wainailaihi rojiun

12 April 2013
Raub: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapanya terbunuh selepas motosikal dinaiki tiga beranak itu dirempuh kereta ketika sedang membuat pusingan U di kilometer 341, Jalan Raub-Kuala Lipis, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss, Mohd Fareez Ramli, 26, dari Kampung Pia, Dong, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Isteri Mohd Fareez yang membonceng, Siti Mariam Hashim, 25, disahkan meninggal dunia di Hospital Raub (HR) ketika menerima rawatan manakala anak lelaki pasangan terbabit, Danial Fitri Syahmi berusia dua tahun cedera ringan di kepala dan kini masih dirawat di HR.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Samsuddin Wan Osman berkata, kejadian berlaku selepas motosikal dinaiki tiga beranak itu yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Lipis dari Raub dipercayai cuba membuat pusingan U secara mengejut.

Bagaimanapun menurutnya, pada masa sama pemandu kereta Proton Tiara, Wan Ahmad Firdaus Wan Dzulkifli, 25, dari Kampung Bukit Betong, Kuala Lipis, bersama seorang penumpang dipercayai tidak sempat mengelak berikutan jarak terlalu dekat lalu merempuh motosikal itu.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/PusinganU__8216_berdarah__8217_//Article


Lori 10 tan terbalik





12 April 2013
ALOR GAJAH - Seorang pemandu dan kelindan lori berdepan detik cemas selepas lori 10 tan yang dibawa hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 210.2 Lebuhraya Plus arah utara, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, lori tanpa muatan dipandu Khidir Novel, 44, bersama kelindan, Khan, 29, yang merupakan warganegara Myanmar dari Johor Bahru menuju Kuala Lumpur untuk mengambil barangan sebelum terlibat dalam kemalangan.

Jurucakap polis berkata, lori berkenaan yang dipandu di lorong kiri merempuh besi pembahagi jalan menyebabkan lori terbalik.

"Akibat kejadian ini, pemandu dan kelindan terperosok di tempat duduk kelindan.

"Kedua-dua mereka dibawa keluar oleh pengguna lebuh raya dan cedera ringan di badan," katanya.

Pengguna terawal di tempat kejadian, S Jagen, 48, berkata, dia dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan ke Melaka terlihat sebuah lori terbalik.

"Dalam keadaan hujan lebat saya lihat kedua-dua mangsa masih terperangkap dan saya bersama dua lagi rakan terus membantu mengeluarkan mereka menerusi cermin hadapan lori yang pecah," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lori-10-tan-terbalik-1.149266



Ibu mengandung tujuh bulan nyaris maut




12 April 2013
ALOR GAJAH - Seorang ibu sarat mengandung tujuh bulan nyaris maut apabila kereta dipandu suaminya bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan di jalan Simpang Garing, Durian Tunggal, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam itu, K Muthulagi, 25, bersama suaminya, M Yoga, 30, dalam perjalanan dari pekan Durian Tunggal menuju ke Tebong.

Difahamkan, mangsa yang menaiki Proton Wira bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis sama dipercayai kereta curi dipandu seorang lelaki ketika melalui selekoh berbahaya sebelum terbabas ke kiri jalan.

Jurucakap polis berkata, kereta dipandu lelaki itu hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali hingga memasuki laluan bertentangan.

"Akibat kejadian itu, kereta dinaiki suami isteri itu dirempuh pada sebelah kiri sebelum kedua-dua kereta terhenti pada jarak kira-kira 10 meter.

"Pertembungan itu juga menyebabkan kereta lelaki berkenaan merempuh deretan kedai di kiri jalan," katanya.

Menurutnya, kereta pasangan suami isteri yang terbabas juga hampir merempuh sebatang tiang elektrik manakala kereta dipandu lelaki terbabit terperosok ke ruang hadapan deretan kedai dalam kedudukan menghala semula keluar.

"Sejurus rempuhan berlaku, kedua-dua mangsa segera keluar dari kereta namun lelaki terbabit sudah melarikan diri.

"Dalam keadaan cemas, mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh orang awam untuk rawatan lanjut manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/ibu-mengandung-nyaris-maut-1.149245


Staf Hospital Ampang Puteri maut




Inalillahi wainailaihi rojiun

12 April 2013
KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan  hospital  maut  apabila motosikal ditungganginya merempuh belakang lori di Kilometer 24.5, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Mohd Ramdan Abu Bakar, 28, menunggang motosikal dari arah Plaza Tol Jalan Duta di laluan kecemasan gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar kon serta papan tanda sebelum merempuh belakang lori penyelenggara lebuh raya Propel.

Menurut sumber, ketika kejadian kontraktor sedang berkemas selepas selesai menyelenggarakan papan tanda.

"Mangsa melanggar papan tanda jalan yang baru hendak dibawa naik ke atas lori," katanya.

Katanya, mangsa kakitangan Hospital Ampang Puteri itu, dalam perjalanan ke tempat kerja parah di muka maut di tempat kejadian.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning mengesahkan menerima laporan kes itu.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/staf-hospital-maut-rempuh-lori-1.149109


Gara-gara tertinggal bas




Inalillahi wainailaihi rojiun

11 April 2013
Melaka: Seorang pekerja kilang maut dilanggar sebuah kereta ketika menunggu di tepi Jalan Duyong-Bukit Katil di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, Zainah Adam, 53, menjalani rutin harian menuju ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Bachang, namun tertinggal bas dan meminta bantuan rakan, Norhafiza Omar, 27, menjemputnya.

Sejurus membeli kuih jala untuk bekalan, ibu beranak tiga yang menunggu di tepi jalan berdekatan sebuah restoran itu bagaimanapun dilanggar kereta dipandu lelaki berusia 30-an.

Difahamkan, kereta menghala ke Bukit Katil itu terbabas selepas berlanggar dengan sebuah van dipandu lelaki berusia 50-an yang turut berada di jalan berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan mangsa yang menetap kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Ajaltertinggalbas//Article




Tersepit bawah lori




11 April 2013
SUNGAI PETANI - Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah yang terjadi terhadap seorang mangsa kemalangan yang nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas ketika bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Kejadian yang berlaku dekat bulatan berdekatan Taman Dahlia di persimpangan antara jalan ke Sungai Jagung dan Pekan Baru itu, melibatkan mangsa berusia 40-an tercampak ke bawah lori akibat kemalangan itu.

Menurut saksi, mangsa yang datang dari Pekan Baru, Sungai Petani ingin membelok ke kiri menghala ke Kampung Teluk sebelum bertembung dengan lori terbabit dalam kejadian kira-kira 7.50 malam kelmarin.

Difahamkan, walaupun tercampak ke bawah lori, mangsa masih sempat menghubungi ahli keluarga memaklumkan dia terlibat dalam kemalangan.

Manakala, orang awam berdekatan menghubungi bomba bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Pegawai Bomba Kanan, Mohd Radzi Abdul Talib berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.50 malam dan bergegas ke lokasi kejadian sejurus kemudian.

Menurutnya, apabila sampai bomba mendapati, mangsa, seorang lelaki Melayu berusia 40-an berada di bawah lori akibat tercampak.

“Pemeriksaan mendapati, salah satu kaki mangsa tersepit dan tidak dapat dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa yang mengalami patah kaki dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani dengan bantuan pasukan sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kuala Muda.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/kaki-tersepit-bawah-lori-1.148876



Tukang rumah maut




Inalillahi wainailaihi rojiun

11 April 2013
MARANG – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta lain di kilometer 42.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Gong Balai, Merchang di sini, malam kelmarin.



Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, mangsa, Mohd Nazi Kassim, 37, memandu kereta jenis Proton Wira, membawa bersama seorang penumpang wanita, Zaharah Ibrahim, 52, dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Mohd Nazi yang bekerja sebagai tukang rumah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah manakala penumpang wanita terbabit dan seorang lagi pemandu kereta, Mohd Ridwan Mustaffa, 32, mengalami cedera ringan.

Menurut adik tiri mangsa, Mohd Suhelmi Razali, 20an, abang tirinya yang beralamat dari Jalan Anak Balai Besar, Dungun itu keluar dari rumah keluarganya untuk ke Kuala Terengganu dan sempat singgah di rumah ayahnya di Balai Besar lebih kurang jam 9 malam.

“Abang (mangsa) kerap ke Kuala Terengganu dan sebelum kejadian, dia singgah terlebih dahulu di rumah ayah dan memaklumkan akan ke Kuala Terengganu sebelum terlibat dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan manakala kereta berpusing apabila mangsa mengelak sebuah lori di tepi jalan.

“Kereta yang dipandu mangsa itu kemudiannya dirempuh sebuah kereta dari arah Kuala Terengganu. Mohd Nazi meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Limbat, di Bukit Payung di sini, tengah hari semalam.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tukang-rumah-maut-kereta-hilang-kawalan-1.148838



Wednesday, April 10, 2013

2 maut nahas berasingan




10 April 2013
KUANTAN - Seorang pemandu maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah van dalam kemalangan di Batu 6 Jalan Kuantan - Gambang dekat sini, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 7 petang itu, mangsa, Woi Chun Wah, 46, dari Air Putih di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dada.

Ketua Jabatan Ketente-raman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Gambang.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri dan merempuh belakang van yang berhenti di bahu jalan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang wanita maut selepas traktor yang dipandunya terbabas ke dalam parit di kawasan kebun sayur milik keluarganya di Kampung Sri Damai dekat Jaya Gading di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Zubaidah Daud, 23, dari Kampung Sri Damai dekat sini yang cedera parah dihantar pulang ke rumahnya bagaimana pun disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa dipercayai memandu traktor berkenaan untuk memungut hasil sayur-sayuran di kebunnya.

“Semasa menjalankan kerja-kerja tersebut, traktor dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam parit sedalam dua meter.

“Ekoran kejadian itu, mangsa yang cedera di bahagian dalaman dan dada itu dibawa balik ke rumah namun disahkan meninggal dunia sebelum sempat ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tanah jalan di kawasan kebun tersebut tidak rata dan berlopak namun cuaca baik semasa kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/2-maut-nahas-berasingan-1.148365



Warga emas maut basikal dilanggar lori




10 April 2013
KOTA BHARU - Seorang warga emas maut apabila basikal yang ditungganginya dilanggar sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Panji di Jalan Raja Perempuan Zainab II di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian yang berlaku pada jam 4.55 petang tersebut menyebabkan mangsa, Hamzah Abu Bakar, 69, mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.

“Mangsa yang menunggang basikal dari arah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) itu dikatakan cuba menyeberang ke kanan jalan dan membuat pusingan U.

“Ketika mangsa berbuat demikian sebuah lori dari arah lampu isyarat Panji menghala ke arah Pengkalan Chepa merempuhnya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa yang bekerja sebagai tukang kebun di JPJ Panji itu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Beliau berkata, mangsa berasal dari Kampung Beris Pauh Sembilan, Tawang, Bachok.

Sementara itu, seorang penduduk, Jayaraman Karappan, 63, berkata, ketika kejadian berlaku dia sedang berehat di dalam kedainya dan dikejutkan dengan bunyi geseran.

“Saya keluar dari kedai dan terkejut melihat tayar di sebelah kanan lori tersebut berada di atas separuh badan mangsa,” katanya.

Menurutnya, ia merupakan kali pertama kemalangan maut berlaku di kawasan tersebut semenjak dia berniaga di sini 30 tahun lalu.

“Sebelum ini kalau ada kemalangan pun hanyalah yang ringan sahaja,” katanya.

Jayaraman menunjukkan tempat kejadian di mana Hamzah maut apabila basikal ditungganginya dilanggar lori kecil.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/warga-emas-maut-dilanggar-lori-1.148353


Sunday, April 7, 2013

Pengantin baru maut




7 April 2013
LEDANG – Pasangan pengantin baru yang melangsungkan perkahwinan dua minggu lalu antara tiga yang terbunuh selepas terbabit dalam nahas  melibatkan sebuah kereta, lori dan bas di kilometer (KM) 162.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.45 malam itu turut mengorbankan seorang lagi penumpang kereta terbabit manakala seorang daripada dua yang terselamat dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tangkak.

Mereka yang terbunuh ialah Kumar Arunasalam, 40, dari Kampung Serani, Melaka, isterinya, Rita Maria Gilret, 42, merupakan warganegara Singapura dan Carrieanne Fransica Dicosta, 22, berasal dari Kampung Portugis, Melaka.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mangsa yang terkorban itu adalah penumpang tempat duduk belakang, manakala yang terselamat ialah penumpang hadapan yang dikenali sebagai Brian Jeremieh Sta Mariah, 21, dari Kampung Portugis, Melaka, sementara pemandu kereta Proton Waja, Pang Yun, 59, dari Tangkak, Jaya, kritikal.

Menurutnya, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Singapura untuk pulang ke kampung halamannya di Melaka bagi membuat persiapan persandingan Kumar dan Rita pada 23 Mei depan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta terbabit hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori seberat satu tan menyebabkan kereta itu berpusing sebelum terbabas ke kiri laluan lebuh raya.

“Malangnya sebuah bas persiaran dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kereta mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Harun berkata, akibat rempuhan kuat itu kereta dinaiki mangsa remuk teruk dan semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

Beliau berkata, mangsa yang terbunuh itu mati serta merta di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan anggota badan serta tersepit di tempat duduk belakang.

“Kesemua mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak dibantu enam anggota bomba dari Muar dalam masa 30 minit.

“Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke rumah mayat Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing,” katanya.

Kata Harun lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/pengantin-baru-maut-1.147434



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my