loading...

Saturday, June 11, 2011

Ngeri Pelajar Sekolah Menengah Bukit Sentosa Digilis Treler


Al-Fatihah...
Seorang pelajar maut, manakala rakannya parah selepas digilis treler dalam kemalangan di Jalan Rasa Bukit Beruntung, berhampiran Masjid Bukit Sentosa.

Anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.


Nahas yang menimpa mereka hanya disedari pengguna jalan raya pagi tadi setelah hairan melihat sebuah treler dibiarkan merintangi jalan dalam keadaan enjin yang masih hidup.

Selepas diperiksa, dua mangsa ditemui terperosok dibawah treler.



Penunggang motorsikal, Muhd Zulfali Ramli, 16 tahun, maut setelah parah digilis di bahagian badan serta kaki.

Manakala, rakannya, Muhammad Azim Firdaus Mohamad Abdullah, 14 tahun, ditemui bernyawa di celah tayar.



Keadaan menjadi hiba apabila ibu bapa kedua-dua mangsa tiba di lokasi sebaik dimaklumkan kemalangan berkenaan.

Mereka terpaksa ditenangkan anggota polis dan orang ramai.



Mayat Muhd Zulfali dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.


Manakala Muhammad Azim Firdaus dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan.

Treler terpaksa digerakkan perlahan-lahan ketika mengeluarkan mangsa bagi mengelakkan kecederaan lebih parah.


Kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Bukit Sentosa ini dipercayai dalam perjalanan pulang setelah makan di sebuah restoran.

Motosikal mangsa dilanggar treler bermuatan besi keluli yang cuba membuat pusingan U di laluan ini.

Pemandu treler melarikan diri ke arah Balai Polis Bukit Sentosa.

Anak maut digilis treler

 

Berita dari Harian Metro;

BUKIT BERUNTUNG: “Saya tak sanggup melihat mayat anak yang hancur kaki dan badannya akibat digilis treler. Sungguh tidak sangka dia pergi secara mengejut dan ia memilukan kami sekeluarga,” kata Rosnah Dollah, 49, ibu Mohd Zulfadzli Ramli, 16, yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Bukit Sentosa-Kuala Kubu Bharu, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dan dibonceng rakannya, Muhammad Azim Firdaus Mohamad Abdullah, 14, pulang daripada bekerja sambilan sebagai pelayan restoran di Bandar Bukit Sentosa ke rumah mereka di Taman Seroja, dekat sini.


Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 3.10 pagi selepas menerima berita itu daripada jiran.

“Saya tidak dapat menahan sebak melihat mayat anak yang terperosok bawah treler panjang. Rakannya parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) sejam selepas kejadian.


“Arwah mahu pulang ke rumah selepas bekerja sambilan sejak setahun lalu di Bandar Bukit Sentosa untuk mencari wang saku untuk belanja persekolahannya. Dia anak yang baik dan manja dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Menurut Rosnah, ketika kejadian dia dan suaminya, Ramli Mohd Yusof, 54, tidur di rumah.

Katanya, arwah yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa 2 anak bongsu daripada tiga beradik suka berjenaka dan penyayang.


“Saya tidak sangka perangai peliknya yang meminta digosok kakinya berulang kali dua hari lalu petanda akhir hayatnya.

“Kami terkilan melihat keadaannya yang teruk selepas terbabit kemalangan itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi, berkata kejadian itu membabitkan motosikal ditunggang dua remaja bertembung treler dipandu seorang lelaki dikenali sebagai Nehru, 40, yang membuat pusingan U di laluan terbabit.


Katanya, treler terbabit melanggar motosikal mangsa mengakibatkan mangsa terperosok sebelum digilis.


“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu terbabit datang ke Balai Polis Bukit Sentosa untuk membuat laporan sejurus kejadian itu,” katanya.


Maut digilis treler


Berita dari Sinar Harian;

BUKIT SENTOSA - Seorang remaja maut sementara rakannya parah setelah digilis treler dalam kemalangan di simpang tiga, Jalan Rasa-Bukit Beruntung dekat Masjid As Salam, di sini awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Zulfadhli Ramly, 16, maut akibat kecederaan parah di kepala dan kaki setelah terperosok di bawah treler dan rakannya, Mohd Azim Firdaus Mohamad Abdullah, 14, yang turut terperosok parah dan mengalami patah dibeberapa bahagian badan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kejadian itu melibatkan motosikal ditunggang kedua-dua mangsa dengan treler dipandu Nehru, 40 yang membuat pusingan U di laluan terbabit.

Bagaimanapun katanya, treler terbabit telah melanggar motosikal mangsa mengakibatkan mangsa terperosok sebelum digilis.

“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori terbabit datang ke balai polis untuk membuat laporan sejurus kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat. Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu yang mengambil masa hampir sejam berbuat demikian.

Sementara itu, menurut beberapa saksi di lokasi kejadian, traler terbabit didapati membuat pusingan U di laluan salah iaitu menongkah arus kerana didakwa tidak mahu melalui jalan jauh di hadapan masjid.

Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi rumah mangsa di Jalan Seroja 5, di sini apabila ahli keluarga tiba dan bersiap untuk solat jenazah selepas solat Jumaat di Masjid As Salam.

Ibu mangsa, Rosmah Dollah, 49, ketika ditemui hanya sempat menceritakan permintaan anak bongsunya itu yang kerap mahu diurut setelah letih bersukan.

Menurutnya, anaknya bekerja sambilan di sebuah restoran di Bandar Bukit Sentosa dan pulang selepas habis kerja kira-kira jam 2.45 pagi.

“Arwah seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga dengan bekerja sambilan.

“Tetapi, tidak sangka arwah mati dalam keadaan tragis begini,” katanya.

Rakan mangsa, Mohd Azim Firdaus masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB dan dilaporkan stabil.

1 comment:

  1. kemalangan ini ialah jiran saya di seroja dan malam itu arwah muhd azim firdaud pun pergi ke alma lain

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my