Tuesday, June 7, 2011

Wanita Hancur Diseret Treler

SUNGAI PETANI: Akibat terlalu marah, kira-kira 100 lelaki menghalang polis menunda sebuah treler selepas kenderaan itu menggilis dan menyeret seorang wanita hingga hancur sebahagian tubuhnya dalam kemalangan berhampiran pekan Sungai Lalang dekat sini, malam kelmarin.

Malah, kumpulan lelaki terbabit dipercayai turut mengganggu dan cuba menghalang seorang pegawai serta anggota polis trafik menjalankan siasatan sehingga berlaku kekecohan menyebabkan laluan berkenaan sesak sejauh lima kilometer sehingga ke Bedong.

Berikutan itu, sepasukan anggota Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda terpaksa dipanggil bagi membantu meleraikan kumpulan terbabit yang dilihat menghalang tugas polis sebelum seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

Kekalutan itu bermula apabila sepasang suami isteri yang menaiki motosikal dipercayai bergesel dengan sebuah treler dari arah belakang ketika keluar dari stesen minyak di Jalan Sungai Petani-Alor Setar, jam 7.15 malam.

Kejadian itu menyebabkan motosikal yang dibonceng mangsa, V Muniammah, 44, dan suami, R Selvaraju, 46, terbalik dan wanita itu tercampak ke bawah treler sebelum diseret hampir 100 meter menyebabkan sebahagian tubuhnya hancur sebelum treler itu berhenti, manakala suaminya hanya cedera ringan. Pasangan suami isteri dari Ladang Sungai Getah Division 1, Jalan Bukit Selambau, itu dalam perjalanan ke rumah anak saudara mereka di Taman Desa Ria untuk meraikan sambutan hari lahir.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Jat berkata, ketika kejadian, motosikal dinaiki pasangan itu tidak berhenti di persimpangan menyebabkannya bergesel dengan treler sebelum terbalik dan wanita berkenaan terjatuh di bawah kenderaan berat itu.

“Wanita itu diseret sejauh 100 meter dan sebahagian tubuh mangsa digilis tayar treler itu sehingga perut serta sebelah kakinya hancur dan bertaburan di atas jalan sebelum kenderaan itu berhenti, namun pemandunya melarikan diri.

“Tidak lama selepas itu, sekumpulan lelaki muncul dan mencari pemandu terbabit tetapi disebabkan gagal menemuinya, mereka menaiki treler terbabit serta mengambil kuncinya. Keadaan menjadi bertambah kecoh apabila mereka cuba menghalang anggota trafik yang bertugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Kuala Muda, Deputi Superintendan Mohd Kamil Ahmad yang ditemui berkata kemalangan membabitkan treler dan motosikal berkenaan menyebabkan mangsa mati serta-merta di tempat kejadian. “Suami wanita berkenaan hanya cedera ringan di kepala,” katanya.

 Gambar Hiasan

 Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount