loading...

Saturday, January 21, 2012

11 Kematian Pada Hari kelima Ops Sikap ke-25

2012/01/21
KUALA LUMPUR: Hari kelima Ops Sikap ke-25 mencatatkan peningkatan dari segi jumlah kematian dengan 11 maut menjadikan jumlah angka korban sebanyak 58 orang sejak operasi dilancarkan pada Isnin lalu.

Polis Diraja Malaysia menerusi laman webnya melaporkan, pengguna kereta mencatatkan angka tertinggi dengan menyumbang kepada enam kematian diikuti penunggang motosikal empat kematian dan pengguna lori satu kematian.

Sebanyak 1,652 kemalangan dilaporkan berlaku dengan jalan bandar mencatat jumlah tertinggi 646 kes, diikuti jalan persekutuan (384), jalan negeri (282), lebuh raya (238) dan 102 kes bagi jalan lain.
Polis juga mengeluarkan 17,973 saman semalam, menjadikan jumlah terkumpul setakat lima hari Ops Sikap sebanyak 86,991 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

Ops Sikap ke-25 yang berakhir 30 Januari ini dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina dengan pihak polis mengambil pendekatan mengeluarkan saman serta-merta kepada pesalah trafik bagi mendidik pengguna memandu secara berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya pada musim perayaan. - BERNAMA

Batu Pahat catat kemalangan tertinggi di Johor

 NORIZAN Kulob mengikat tali topi keledar seorang kanak-kanak pada Majlis Pelancaran 
Kempen Keselamatan Jalan Raya di Batu Pahat

BATU PAHAT 20 Jan. - Daerah ini mencatat kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di Johor dua tahun berturut-turut mulai 2010.

Jumlah kematian akibat nahas jalan raya di daerah ini sepanjang tahun lalu 192 orang berbanding 177 tahun sebelumnya.

Seramai 1,073 orang maut dalam nahas jalan raya di negeri ini sepanjang tahun lalu berbanding 1,075 mangsa 2010.

Secara purata, lebih seorang pengguna jalan raya dilaporkan maut setiap dua hari di daerah ini, manakala hampir tiga orang maut setiap hari di seluruh negeri ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Noormazura Mat Nawi berkata, peningkatan jumlah kematian itu agak membimbangkan dan statistik juga menunjukkan Batu Pahat mencatat kematian tertinggi sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, lokasi utama kemalangan di daerah ini adalah di Jalan Batu Pahat-Kluang dan berharap apabila pembahagi jalan serta laluan pusingan U yang sedang dalam pembinaan disiapkan, ia dapat mengurangkan kemalangan.

"Jalan di sini lebar dan lurus, manakala di kiri dan kanan pula ada kampung serta perumahan menyebabkan masalah timbul apabila penduduk hendak membelok masuk atau keluar ke simpang perumahan.

"Ada juga yang lambat memberi isyarat membelok. Justeru, kalau kenderaan di belakang agak perlahan pun mungkin sukar hendak mengelak daripada terlanggar," katanya pada majlis Pelancaran Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina di Jalan Setia Jaya di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Norizan Kulob.

Jalan Raya (MKJR) negeri yang turut mengedarkan risalah keselamatan dan hamper kepada pengguna jalan raya sempena sambutan Tahun Baru Cina ini.

Noormazura berkata, sepanjang tahun lalu, daerah Kluang mencatat bilangan kematian akibat nahas jalan raya kedua tertinggi iaitu 119 orang, diikuti Johor Bahru Selatan seramai 109 mangsa.

Katanya, bilangan kemalangan tertinggi di negeri ini sepanjang tahun lalu dicatatkan di Johor Bahru Selatan iaitu 10,975 kes, meningkat berbanding 10,177 tahun sebelumnya.

"Daerah Batu Pahat mencatatkan bilangan kemalangan lebih rendah iaitu 7,455 sepanjang tahun lalu dan 7,112 pada 2010, tetapi menyebabkan lebih banyak kematian.

"Aliran trafik lebih tinggi di Johor Bahru Selatan mengakibatkan lebih banyak kemalangan dan ada antaranya kemalangan kecil," katanya.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_03.htm

Polis Selangor keluarkan 1,942 saman

SHAH ALAM 20 Jan. - Meskipun baru empat hari Ops Sikap ke-25 bermula, Polis Selangor mengeluarkan sebanyak 1,942 saman kepada pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan trafik di negeri ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Zulkifli Junit berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,095 saman dikeluarkan kepada pengguna motosikal.

Beliau berkata, jumlah itu amat membimbangkan memandangkan pengguna motosikal juga dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kepada kadar kemalangan yang berlaku di negeri ini.

"Daripada jumlah saman yang dikeluarkan kepada pengguna motosikal itu, sebanyak 471 saman dikeluarkan kerana tidak memiliki lesen memandu selain 101 kerana cukai jalan tamat tempoh," katanya selepas mengetuai operasi itu di Bukit Jelutong hari ini.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_04.htm


8 Kematian Hari keempat Ops Sikap 25

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Hari keempat Ops Sikap ke-25 merekodkan lapan kematian yang melonjakkan angka korban jalan raya kepada 47 sejak operasi dilancarkan pada Isnin.

Polis Diraja Malaysia menerusi laman webnya, melaporkan penunggang motosikal adalah korban tertinggi dengan tiga kematian serta masing-masing satu bagi kereta, van, bas, basikal dan pejalan kaki.

Sebanyak 1,110 kemalangan dilaporkan berlaku dengan jalan bandaran mencatat jumlah tertinggi 381 kes, diikuti jalan negeri (291), jalan persekutuan (236), lebuh raya (126) dan 76 kes bagi jalan-jalan lain.

Polis juga mengeluarkan 20,829 saman semalam, menjadikan jumlah terkumpul setakat empat hari Ops Sikap sebanyak 69,018 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

Ops Sikap ke-25 yang berakhir 30 Jan ini dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina dengan pihak polis mengambil pendekatan mengeluarkan saman serta-merta kepada pesalah trafik bagi mendidik pengguna memandu secara berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya pada musim perayaan.

-- BERNAMA

Wanita Maut Bertembung Lori

Inalillahi wainailaihi rojiun

BATU GAJAH: Seorang wanita terbunuh apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Batu 8 Jalan Batu Gajah-Tanjung Tualang di sini, hari ini.

Kejadian pada jam 12.40 tengah hari itu menyebabkan Zaitun Ramli, 35, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shahrul Anuar, berkata ketika kejadian, wanita yang bertugas di Jabatan Perangkaan di sini dalam perjalanan dari Ipoh ke rumahnya.

Zaitun yang memandu sendirian kereta jenis Proton Aeroback dikatakan cuba memotong sebuah kereta di hadapan tetapi gagal lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan, katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan Zaitun tersepit di dalam keretanya yang remuk dan mayatnya terpaksa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

Pemandu lori yang membawa muatan tong gas itu cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan, katanya. - BERNAMA

Al-Fatihah...

Sumber: bharian.com.my/bharian/articles/WanitamautkeretabertembungloridiBatuGajah/Article

Pesanan Terakhir Ummi

Inalillahi wainailaihi rojiun

MUAR: “Dua hari lalu, ketika kami makan malam bersama, ummi meminta saya menjadi imam solat jenazahnya jika dia meninggal dunia.

“Saya anggap ia gurauan, tetapi rupa-rupanya itu pesanan terakhirnya sebelum dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Fared Shazwan Shukor, 16, anak kepada Rosmi Mahfodz, 42, yang maut dirempuh treler di Batu 17, Air Hitam di sini, pagi semalam.


Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, Rosmi dari Kampung Batu 14, sedang menghidupkan enjin motosikalnya untuk pulang selepas membeli kuih untuk sarapan pagi di sebuah gerai di tepi jalan itu apabila dia dirempuh treler terbabas.

Ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Aminah, Fared yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, ketika sedang menikmati hidangan, ibunya yang mesra dipanggil ummi tiba-tiba meluahkan hasrat mahukannya melakukan perkara berkenaan.


“Ummi terdiam dan merenung mata saya sambil berkata, ‘Angah, ummi mahu angah jadi imam sembahyang jenazah ummi nanti.


“Saya membalas permintaan berkenaan dengan senyuman. Walaupun agak pelik dengan permintaan itu, tetapi saya anggap ummi bergurau,” katanya.

Menurut pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Vokasional di Sungai Abong itu, sebelum ke sekolah pagi semalam, dia sempat bersarapan telur separuh masak yang disediakan ibunya dan bersalaman serta mencium tangan ibunya itu.


“Ketika itu ummi kelihatan ceria seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik. Seperti kebiasaan, ummi juga turut memerhatikan saya ke sekolah dari pintu rumah.

“Tidak sampai sejam kemudian, saya diberitahu pihak sekolah mengenai kemalangan itu dan pengetua menghantar saya ke tempat kejadian,” katanya.


Anak bongsu mangsa, Emer Yusoff, 7, berkata, ketika menghantarnya ke Sekolah Kebangsaan Bukit Naning, pagi semalam, ibunya berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh.


“Seperti biasa, ummi senyum setiap kali saya mencium tangannya sebelum memasuki kelas. Ummi turut berpesan supaya saya belajar rajin-rajin,” katanya.


Dalam kejadian itu, Rosmi sedang menghidupkan enjin motosikalnya selepas membeli kuih di gerai berkenaan apabila dirempuh dan diheret treler yang terbabas.


Rosmi diheret hingga terbenam ke dalam parit di belakang gerai menjual kuih berkenaan dan jenazahnya berjaya dikeluarkan kira-kira tiga jam kemudian.


Kemalangan itu turut membabitkan empat kenderaan lain, tetapi semua pemandu serta penumpangnya selamat.



Sempat Tarik Tangan Rakan




“Saya menarik tangan rakan untuk menyelamatkan diri manakala Rosmi pula dirempuh dan diseret treler hingga terbenam ke dalam parit di belakang gerai kuih,” kata peniaga kuih, Siti Wagiah Amat, 43, menceritakan tragedi mengorbankan ibu tunggal, Rosmi Mahfodz, 42, selepas membeli kuih di gerainya, semalam.

Menurut Siti, dia terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat dan terkejut apabila melihat treler itu menghala ke gerainya.


“Tanpa berfikir panjang, saya menarik rakan dan berlari ke kedai runcit berhampiran untuk menyelamatkan diri. Tak sangka arwah tidak sempat berbuat apa-apa dan dirempuh treler terbabit.

“Ia cukup dahsyat dan orang ramai yang ada di sekitar lokasi kejadian cuba membantu, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.


Menurut Siti, sebelum kejadian, dia melihat Rosmi singgah di kedai runcit berhampiran membeli sayur dan ikan sebelum beredar ke arah Parit Sulong.


“Bagaimanapun, tidak sampai lima minit kemudian, Rosmi berpatah balik dan singgah untuk membeli kuih dan ketika dia membeli karipap serta pau, saya lihat mukanya pucat tetapi ceria,” katanya yang mengenali Rosmi yang juga tukang urut sejak 23 tahun lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Arif Jili berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada jam 7.58 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama lapan anggota dan sebuah jentera.


“Keadaan parit dan tanah gambut menyukarkan kerja mengeluarkan mangsa yang berada di bawah tayar treler berkenaan.

“Kami terpaksa mendapatkan bantuan dua kren untuk mengangkat treler yang terbenam bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.


Menurut Arif, jenazah mangsa berjaya dikeluarkan tiga jam kemudian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli yang dihubungi mengesahkan kejadian.


“Jenazah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Difahamkan, pemandu treler, kelindan, pemandu empat kenderaan lain serta penumpang terselamat.


Al-Fatihah...

Sumber: hmetro.com.my/articles/Ibumintasolatjenazah/Article

Penumpang Melambung 10 Meter



Inalillahi wainailaihi rojiun

KUALA TERENGGANU - Seramai empat lelaki terbunuh di tempat kejadian dalam satu kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kereta di Jalan Tengku Mohamad, berdekatan Taman Semarak di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang itu melibatkan sebuah kereta Honda, Perodua Kancil dan Proton Persona.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nor Azni Mat Jusoh, 21, dari Felda Mengkawang Ajil dan rakannya, Mohd Zaini Abdul Razak, 43 dari Ayer Keroh, Melaka. Kedua-dua mangsa merupakan pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil.

Manakala dua lagi yang maut adalah tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu, Mohd Faris Mohd Shaimi, 26 dari Perak dan Mohd Rizal Ibarahim, 30, dari Baling Kedah yang merupakan pemandu dan penumpang kereta Honda.

Bagaimanapun, pemandu kereta Persona, Nooriana Mohammad, 35 yang juga saksi kejadian kemalangan ngeri itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Nooriana, kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke rumahnya di Wakaf Tengah.

Katanya, ketika melalui Jalan Tengku Mohamad, sebuah kereta jenis Honda dari arah bertentangan tiba-tiba terbabas sebelum ‘terbang’ ke laluan sebelah dan menghempap kereta Perodua Kancil di hadapannya.

“Ketika itu, saya sedang berada di belakang sebuah kereta Kancil yang dinaiki dua lelaki.

“Beberapa minit kemudian, saya nampak kereta Honda itu menghempap bahagian atas kereta Kancil menyebabkan seorang penumpang Honda melambung keluar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Dia yang bekerja sebagai kerani disebuah syarikat di Kuala Ibai dekat sini berkata, kereta Honda itu turut melanggar bahagian hadapan keretanya menyebabkan dia terbabas.

“Saya nampak dua lelaki yang berada di dalam kereta Kancil itu tersepit sementara seorang penumpang kereta Honda melambung sejauh lebih 10 meter,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Abdullah Zawawi Moham mengesahkan kesemua mangsa mati di tempat kejadian.

“Empat yang maut kesemuanya lelaki sementara pemandu kereta Persona yang merupakan seorang perempuan terselamat dalam kejadian itu,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/terengganu/empat-maut-dalam-nahas-ngeri-1.18997

Maut Rempuh Pokok


Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA BHARU- Seorang lelaki maut manakala dua penumpang cedera apabila kereta jenis Proton Wira yang dinaiki melanggar sebuah pokok berhampiran Jambatan Kampung Baung, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 petang itu, mangsa Wan Hezlen Wan Arffin, 35, maut di tempat kejadian, sementara dua penumpang Norlidiana Noor, 24, yang duduk di hadapan serta adiknya yang duduk di belakang, Norsyamimie Noor, 12, yang cedera dan sedang dirawat di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HRPZ II).

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pemandu kereta berkenaan Wan Hezlen Wan Ariffin maut di tempat kejadian, selepas mengalami kecederaan parah di bahagian dada.

”Penumpang kereta berkenaan yang berada di sebelah tempat duduk, pemandu, Norlidiana cedera di bahagian kepala dan lulut, manakala adiknya Norshamimi yang berada di bahagian belakang mengalami kecederaan di mulut.

”Kereta jenis Proton Wira yang dipandu mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Pengkalan Chepa dipercayai hilang kawalan dan melanggar simen pengadang di bahu kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok,” katanya.

Azham berkata, kes ini disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987.

Sementara itu, Seorang saksi Noor Hisyam Daud, 36, berkata, ketika kejadian dia sedang makan tengah hari bersama keluarga dan kemudiannya dikejutkan dengan dentuman kuat dari arah luar rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari kawasan tersebut.

Hisyam berkata, akibat terkejut dengan bunyi dentuman itu, dia terus keluar untuk melihat sendiri apa yang berlaku.

”Sebaik sahaja keluar dari rumah saya lihat sebuah kereta melanggar pokok sambil orang ramai turut mengerumuni kawasan tersebut.

“Kereta terbabit yang dinaiki tiga orang termasuk seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak,” kata Hisyam ketika ditemui di tempat kejadian.

Al-Fatihah

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pemandu-maut-dua-cedera-1.19404

Mengangkat Mayat Ahli Keluarga Sendiri



KUALA KANGSAR - Seorang anggota polis, Koperal A. Maniveran tidak menyangka akan mengangkat mayat tiga ahli keluarganya sendiri yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 253.3 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, hari ini.

"Sebelum ini saya mengangkat mayat orang lain, kali ini tak sangka saya angkat mayat anggota keluarga saya sendiri," katanya yang bertugas sebagai penguat kuasa trafik di IPD Ipoh.

Seorang warga emas bersama anak dan cucunya terbunuh apabila kereta yang mereka naiki melanggar bahagian belakang sebuah treler awal pagi ini.

Mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Letchumy Manikan, 77, iaitu penumpang duduk di sebelah kiri pemandu, anaknya Espury Apparoo, 60, dan cucunya Naren, 5, penumpang duduk di bahagian belakang.

Yang cedera parah pula pemandu kereta itu, S. Ambiggan, 26, Maruthayee Apparoo, 53, dan S. Veneswaran, 11. Pemandu lori yang berumur 57 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Supt Abdul Gaffar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 1.15 pagi tadi, keluarga itu dalam perjalanan dari Sungai Besi, Kuala Lumpur ke Butterworth.

"Semasa kejadian hujan renyai dan jalan licin serta kawasan tempat kejadian berbukit. Treler yang membawa gulungan plat besi berada di sebelah kiri jalan dan dalam keadaan perlahan kerana jalan di situ berbukit.

"Tiba-tiba pemandu treler terdengar bunyi dentuman dari arah belakang dan memberhentikan kenderaannya dan mendapati sebuah kereta telah langgar belakang lorinya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Bedah siasat ke atas mangsa yang terbunuh telah dijalankan di Hospital Kuala Kangsar pada 10 pagi tadi manakala mereka yang cedera dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Maniveran berkata, beliau bersama ibu, adik-beradik dan saudara yang lain dalam perjalanan dari Sungai Besi kerana menghadiri majlis perkahwinan seorang kakaknya. "Kami menaiki kereta berasingan, saya sampai dulu di Ipoh. Apabila terima berita kejadian ini daripada adik, saya terus ke tempat kejadian," katanya yang bertugas sebagai anggota polis di Ipoh.

Menurut Maniveran, kata-kata terakhir Espury kepadanya ialah  memberi pesanan supaya berhati-hati ketika memandu.

"Akak saya anak sulung daripada lapan beradik. Dia memang rapat dengan saya, saya takkan lupa pesanan terakhir dia untuk saya," katanya.

Salam Takziah

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm
sinarharian.com.my/nasional/koperal-polis-tak-sangka-akan-angkat-mayat-keluarga-sendiri-1.19360

Thursday, January 19, 2012

Beria nak pindah


Inalillahi wainailaihi rojiun 

KUALA TERENGGANU - “Rizal beria-ria paksa saya jual pemain cakera padat (VCD) milik saya kepada dia sebaik saja dia dapat tau Faris dipilih jadi warden, sebab dia nak bawa VCD itu sekali bila tinggal bersama Faris nanti.”

Demikian cerita, Mohd Farid Mat Isa, 27, ketika ditanya mengenai perbualan terakhir bersama Mohd Rizal Ibrahim, 30, yang maut bersama seorang lagi rakan mereka Mohd Faris Mohd Shaimi, 26, dalam satu kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tengku Mohamad berhampiran Taman Semarak di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, tingkah laku Rizal amat menghairankannya walaupun dia tahu kedua-dua mereka memang amat rapat sejak menjadi tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini pada 2009 yang lalu.

“Rizal memang periang manakala Faris pula agak pendiam, tetapi Rizal tidak pernah begitu gembira dan bersungguh-sungguh nak ikut Faris pindah seolah-olah mereka berdua memang tidak boleh berpisah.

“Ramai yang tak tahu kerana selain rapat dan mula bekerja pada masa yang masa, Rizal dan Faris juga berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu 9 Jun yang lalu,” katanya di pekarangan rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Selain Rizal dan Faris, turut maut dalam kemalangan ngeri itu adalah pemandu serta penumpang Perodua Kancil, Mohd Zaini Abdul Razak, 43, dan Nor Azni Mat Jusoh, 21.

Dalam pada itu, Farid berkata, dia sepatutnya menemani dua rakan sekerjanya itu ke stesen bas bagi mendapatkan tiket pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina pada jam 8 malam kelmarin.

“Tapi selepas `punch card’, Rizal dan Faris keluar tanpa beritahu saya ke mana mereka pergi. Sedar-sedar, saya terima satu panggilan mengatakan mereka terlibat dalam kemalangan.

Sementara itu, Pengarah ILP Kuala Terengganu, Abdul Halim Abdul Rahman berkata, pihaknya akan me­nguruskan segala perbelanjaan bagi uru­san pengebumian kedua-dua kakitangannya itu.

“Kali terakhir saya jumpa dia (Faris) Selasa lepas untuk memaklum dia bakal menjadi warden di sini dan pihak ILP akan menyediakan kemuda­han kediaman untuknya.

“Dia (Faris) juga ada memaklumkan akan mengajak Rizal untuk tinggal bersamanya dan daripada apa yang saya tahu, Faris adalah seorang pensyarah yang begitu disenangi,” katanya.

Menurutnya, Faris adalah pensyarah di dalam bidang Mekanikal Industri manakala Rizal pula mengajar mata pelajaran Paip Sanitari (pembetungan) dan mereka berdua berpotensi untuk maju lebih jauh.

Justeru, Abdul Halim berkata, kehilangan mereka berdua amat dirasai seluruh warga ILP di sini.

Al-Fatihah

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/terengganu/beria-mahu-pindah-1.19298

Seorang Penumpang Bas Ekspres Maut


Inalillahi wainailaihi rojiun 


20 January 2012
BENTONG – Niat seorang penumpang bas ekspres berpindah tempat duduk dari belakang ke bahagian hadapan bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan petang semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rizal Zaharon, 39 beralamat di Rumah Murah Peramu Jaya, Pekan menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 40.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak melibatkan sebuah bas ekspres dan lori treler membawa muatan kayu kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, bas dinaiki oleh 39 penumpang termasuk mangsa bersama seorang pemandu.

“Setibanya di tempat kejadian iaitu di kawasan menuruni bukit selepas terowong Genting Sempah, bas yang dipandu dipercayai terlanggar bahagian belakang lori treler itu.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan kiri tempat duduk penumpang tersepit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Yusri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurutnya, mangsa terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.

“Selain mangsa, sembilan lagi penumpang dan pemandu dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan akibat kecederaan ringan dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil.

“Kes kemalangan masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



Setengah Jam Keluarkan Mangsa


BENTONG – Seorang penumpang bas maut dalam kemalangan melibatkansebuah bas ekspres dan lori treler membawa muatan kayu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan petang semalam di Kilometer 40.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini.

Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan bas ekspres dan treler muatan kayu.

Pegawai Operasi Menyela-mat, Hamzah Wangai berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 4.00 petang selepas menerima maklumat.

Menurutnya, pihaknya hanya mengambil masa lebih kurang tiga minit ke tempat kejadian memandangkan pada masa itu mereka berada di Genting Sempah sempena Ops Sikap 25.

“Setibanya di tempat kejadian, seorang mangsa berada dalam keadaan tersepit di bahagian tempat duduk hadapan bahagian kiri bas.

“Manakala semua penumpang lain bersama pemandu sudah keluar dari bas terbabit, “ katanya.

Hamzah berkata, pihaknya terpaksa mengalihkan lori treler itu terlebih dahulu sebelum memulakan operasi mengeluarkan mangsa.

Menurutnya, keadaan mangsa yang terperosok di bahagian pinggang ke bawah itu menyebabkan pihaknya mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk mengeluarkannya.

“Mangsa, Mohd Rizal Zaharon, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di bawa ke Hospital Bentong,” katanya.

Seorang mangsa, Nurul Hazirah Sapeai, 21 berkata, dia menaiki bas ekspres itu kira-kira jam 2.30 petang untuk pulang ke Kuantan.

Menurutnya, dia tidak mengingati dengan jelas kejadian yang berlaku kerana apabila sedar, dia sudah berada di Hospital Bentong menerima rawatan.

“Pada masa kejadian saya duduk di bahagian tepi tengah bas sebelah kanan.

“Apabila sedar saya sudah berada di hospital dan doktor mengatakan saya mengalami kecederaan di bahagian mulut,” katanya.

Nurul Hazirah yang merupakan mahasiswa tahun satu Universiti Malaya itu berkata, dia sering menggunakan perkhidmatan bas ekspres itu untuk pulang bercuti. Menurutnya, kali ini dia pulang untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina dan tidak menyangka kejadian seumpama ini berlaku.

Al-Fatihah...

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/pahang/tragedi-genting-sempah-1.19294

13 kematian hari ketiga Ops Sikap ke-25

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kematian dicatat pada hari ketiga Ops Sikap ke-25 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula pada Isnin lalu kepada 39 orang.
Laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan jumlah kematian semalam meningkat empat orang berbanding hari kedua operasi itu dan pengguna kereta mencatatkan angka yang tertinggi.

Mereka yang terkorban melibatkan lapan pengguna kereta, tiga pengguna motosikal dan dua pejalan kaki.

Sebanyak 21,199 saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, kebanyakannya memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan memandu di laluan kecemasan.


Selain itu, sebanyak 1,198 kemalangan dilaporkan berlaku semalam dengan jalan bandaran mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 433 kes diikuti jalan negeri (283) jalan persekutuan (282), lebuh raya (78) dan 122 kes lagi di jalan-jalan lain.

Ops Sikap ke-25 yang akan berakhir 30 Jan dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina bagi mendidik pengguna memandu secara berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya pada musim perayaan. - Bernama

Sumber: hmetro.com.my/myMetro/articles/13terbunuhhariketigaOpsSikapke-25semalam/Article/index_html

9 Kematian Hari kedua Ops Sikap 25

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian pengguna jalan raya sepanjang dua hari Ops Sikap 25 dilancarkan setakat ini seramai 26 orang dan hari kedua menyaksikan penurunan berbanding hari pertama dengan sembilan kematian, namun jumlah kemalangan meningkat 19 kes.

Penunggang dan pembonceng motosikal terus menjadi korban tertinggi apabila lapan daripada sembilan mangsa yang maut adalah golongan terbabit.


Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan, hari kedua mencatatkan 1,322 kemalangan di seluruh negara dengan 606 berlaku di jalan bandaran, 302 di jalan persekutuan, jalan negeri (225), lebuh raya (135) dan 54 di lain-lain jalan.

Keseluruhannya, 13,177 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, kebanyakan memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan memandu di laluan kecemasan.


Harian Metro semalam, melaporkan hari pertama Ops Sikap 25 sempena Tahun Baru Cina 2012 sudah menyaksikan 17 korban kemalangan jalan raya di seluruh negara dan penunggang motosikal masih menjadi mangsa tertinggi dengan jumlah kematian 10 orang.

Sumber: hmetro.com.my/myMetro/articles/Kematianharike-2OpsSikapmenurun/Article/index_html

Pelajar Maut Rempuh Kerbau

Inalillahi wainailaihi rojiun 

KUANTAN - Seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang tunggangi mereka melanggar seekor kerbau yang sedang melintas jalan.

Dalam kejadian 8 malam tadi di KM57, Jalan Temerloh-Pekan Awah, dekat Maran, Mohd. Ikhwan Hamzah, 16, mati di tempat kejadian manakala rakannya, Hayatul Al Amin Ali, 21, yang patah kaki dan tangan kiri kini dirawat di Hospital Jengka.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mereka dalam perjalanan dari arah Jengka 9 ke Hospital Jengka.

"Sampai tempat kejadian, dipercayai sekumpulan kerbau tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan, Hayatul yang membawa motosikal terbabit cuba mengelak namun terlanggar salah seekor kerbau itu dan menyebabkan mereka tercampak ke kanan jalan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - BERNAMA

Al-Fatihah...

Sumber: kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_03.htm

Kemalangan Ngeri 3 Kenderaan


Inalillahi wainailaihi rojiun  

KUALA TERENGGANU - Seramai empat lelaki terbunuh di tempat kejadian dalam satu kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kereta di Jalan Tengku Mohamad, berdekatan Taman Semarak di sini, semalam.


Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang itu melibatkan sebuah kereta Honda, Perodua Kancil dan Proton Persona.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nor Azni Mat Jusoh, 21, dari Felda Mengkawang Ajil dan rakannya, Mohd Zaini Abdul Razak, 43 dari Ayer Keroh, Melaka. Kedua-dua mangsa merupakan pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil.

Manakala dua lagi yang maut adalah tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu, Mohd Faris Mohd Shaimi, 26 dari Perak dan Mohd Rizal Ibarahim, 30, dari Baling Kedah yang merupakan pemandu dan penumpang kereta Honda.

Bagaimanapun, pemandu kereta Persona, Nooriana Mohammad, 35 yang juga saksi kejadian kemalangan ngeri itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Nooriana, kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke rumahnya di Wakaf Tengah.

Katanya, ketika melalui Jalan Tengku Mohamad, sebuah kereta jenis Honda dari arah bertentangan tiba-tiba terbabas sebelum ‘terbang’ ke laluan sebelah dan menghempap kereta Perodua Kancil di hadapannya.

“Ketika itu, saya sedang berada di belakang sebuah kereta Kancil yang dinaiki dua lelaki.

“Beberapa minit kemudian, saya nampak kereta Honda itu menghempap bahagian atas kereta Kancil menyebabkan seorang penumpang Honda melambung keluar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.



Dia yang bekerja sebagai kerani disebuah syarikat di Kuala Ibai dekat sini berkata, kereta Honda itu turut melanggar bahagian hadapan keretanya menyebabkan dia terbabas.

“Saya nampak dua lelaki yang berada di dalam kereta Kancil itu tersepit sementara seorang penumpang kereta Honda melambung sejauh lebih 10 meter,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Abdullah Zawawi Moham mengesahkan kesemua mangsa mati di tempat kejadian.

“Empat yang maut kesemuanya lelaki sementara pemandu kereta Persona yang merupakan seorang perempuan terselamat dalam kejadian itu,” katanya.

Al-Fatihah...



Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/empat-maut-dalam-nahas-ngeri-1.18997
thestar.my/news/story.asp?file=/2012/1/19/nation/10292509&sec=nation
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm

Lori Arak Berbalik



KUANTAN -  “Sedang saya memandu, saya dikejutkan dengan satu bunyi dentuman yang kuat seperti bom. Rupa-rupanya ada kemalangan yang mengakibatkan sebuah treler melentang di tengah jalan dengan beratus-ratus tin minuman keras bertaburan di atas jalan,” kata Wan Ismail Wan Majid, 52, saksi kejadian kemalangan di Jalan Sungai Lembing-Kuantan yang turut berada di belakang treler tersebut.

Wan Ismail yang merupakan kakitangan sebuah pusat rawatan alternatif, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi semalam berhampiran Kolej Profiesional Mara (KPM), dia melihat kenderaan tersebut sedang mengundur di laluan menaiki bukit dan terbalik.

“Kejadian itu berlaku begitu pantas, dalam sekelip mata sahaja treler itu telah melintang di tengah jalan,” katanya.

Selain itu, kenderaan berat itu dipercayai dalam perjalanan dari Selangor untuk menghantar minuman keras di Indera Mahkota, di sini mengakibatkan pemandu dan kelindannya cedera parah.

Difahamkan, kemalangan berkenaan mengakibatkan laluan di sepanjang kedua-dua hala sesak hampir 10 kilometer namun berjaya dikawal lapan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Pada masa sama, dalam kesibukan beberapa wakil kakitangan syarikat minuman keras itu memunggah tin, segelintir `kaki mabuk’ dipercayai turut mengambil kesempatan untuk mencuri minuman itu.

Bagaimanapun, keadaan terbabit berjaya dikawal orang awam serta anggota polis yang tiba di tempat kejadian bertindak memasang pita dilarang masuk.

“Beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian membantu mengeluarkan pemandu dan kelindan kenderaan itu kerana tersepit sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya.

Menurutnya, sepanjang laluan berkenaan sememangnya menjadi tumpuan kenderaan berat untuk menghala ke Sungai Lembing, di sini.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, ketika dihubungi di sini, semalam mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit dan siasatan masih diteruskan.

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/pahang/lori-minuman-keras-terbalik-1.19004

Wednesday, January 18, 2012

17 kematian hari pertama Ops Sikap 25

KUALA LUMPUR: Tidak sampai 24 jam Ops Sikap 25 dilancarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, kelmarin, 17 kematian dicatatkan pada hari pertama operasi itu di seluruh negara dengan 10 daripadanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Jumlah kematian itu adalah peningkatan sekali ganda berbanding hanya lapan kematian pada hari pertama Ops Sikap 23 sempena Tahun Baru Cina 2011 dan penambahan tiga kematian berbanding 14 yang direkodkan dalam Ops Sikap 24, musim Aidilfitri tahun lalu.

Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga menunjukkan, selain penunggang dan pembonceng motosikal, tujuh kematian lain membabitkan lima pemandu dan penumpang kereta serta masing-masing seorang pemandu lori dan pejalan kaki.
Dalam tempoh itu, 1,303 kemalangan dicatatkan di seluruh negara dengan 647 berlaku di jalan bandaran, 265 di jalan persekutuan, jalan negeri (225), lebuh raya (109) dan 57 lagi di lain-lain jalan.

Keseluruhannya, 13,813 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, kebanyakannya memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan memandu di laluan kecemasan.

Kelmarin, Ismail berkata, pesalah trafik Ops Sikap hingga 30 Januari ini akan dikenakan saman serta-merta bagi mengurangkan kemalangan terutama membabitkan kematian.

Beliau berkata, fokus kali ini adalah enam jenis kesalahan iaitu pematuhan had laju, operasi terhadap penunggang motosikal, pemandu mabuk, penggunaan lorong kecemasan, memotong barisan dan melanggar lampu isyarat.

Sumber: bharian.com.my/bharian/articles/17mautharipertamaOpsSikap25/Article

Padah Menonton Video Lucah


JOHOR BAHRU: Keasyikan seorang pemandu lori pasir menonton cakera padat video (VCD) lucah pada skrin mini kenderaannya ketika memandu dikatakan menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan lain dan mengorbankan sepasang suami isteri di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan ke Singapura sebelum kecuaian pemandunya menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas dan berlanggar dengan sebuah lori lain, dua kereta serta dua motosikal, termasuk motosikal dinaiki pasangan suami isteri yang maut itu.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir tiga jam manakala usaha mengeluarkan mayat pasangan suami isteri terbabit dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, suami isteri yang terbunuh itu dalam perjalanan ke tempat kerja dan mereka mati di tempat kejadian manakala seorang penunggang motosikal lain parah.


Menurutnya, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai K Vijaya, 34, dan isterinya, S Hemalatha, 27, dari Bukit Indah, di sini, manakala mangsa yang parah, lelaki berusia 32 tahun belum dikenal pasti identitinya dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).


“Lori pasir yang dipandu lelaki itu mempunyai skrin mini LCD dan kita sedang menyiasat dakwaan dia memandu sambil menonton VCD lucah. Kami sedang mengesan VCD lucah yang didakwa berada dalam lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Ruslan, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian dan beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.


Sementara itu, bapa mangsa yang dikenali sebagai Muruandy, 54, berkata, kejadian yang menimpa Vijaya dan menantunya adalah tragedi buruk bagi keluarganya kerana kedua-duanya maut sekelip mata.

“Setiap hari mereka ke tempat kerja dengan menaiki motosikal dan saya tidak menyangka rutin harian itu menjadi tragedi. Saya sedih mengenangkan nasib tiga cucu yang masih kecil, berusia bawah 12 tahun,” katanya.

Takziah...

Sumber: hmetro.com.my/articles/Drebar__8216_syok__8217_ragut2nyawa/Article

Anggota RELA maut


Inalillahi wainailaihi rojiun  

JABI – Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) maut, manakala enam lagi cedera parah apabila dua buah kereta bertembung dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Jerteh-Kuala Terengganu dekat Kampung Gong Penaga berhampiran Klinik Kesihatan Jabi, di sini pagi semalam.


Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Saarani Mat Yunus, 50, penumpang hadapan kereta Perodua Kancil.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.05 pagi itu, kereta Perodua Kancil yang dinaiki empat orang termasuk Saarani dipandu anak mangsa, Norhadi Saarani, 30, yang turut cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

Dua lagi yang cedera yang berada di tempat duduk penumpang belakang ialah seorang lagi anak Saarani, Muhammad Azwan, 10 dan rakan Norhadi, Mohamad Shahrul Azlizan Burhan, 29, berasal dari Kampung Paya Luas, Jalan Maran, Temerloh, Pahang.

Sementara kereta Nissan Sunny yang bertembung dengan kereta mangsa dinaiki tiga orang, dipandu Wafiyuddin Mohd Noor, 23, dan dua lagi rakannya Tarmizul Othman, 24 (penumpang depan) dan Mohd Sabri Ayob, 23.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kereta yang dipandu Norhadi dari arah Kuala Terengganu hilang kawalan lalu terbabas masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan ke­reta Nissan Sunny.

Difahamkan Norhadi cuba mengelak lubang besar di kawasan itu menyebabkan kereta itu hilang kawalan, sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu Wafiyuddin.

“Kereta Nissan Sunny telah merempuh bahagian tengah kiri kereta Kancil iaitu mengenai bahagian penumpang,” katanya.

Kamaruddin berkata, Saarani disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala, manakala mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Daerah Besut.

Menurutnya, pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jertih turut dipanggil ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Difahamkan Saarani bersama anaknya dari Temerloh untuk ke Pasir Puteh, Kelantan manakala penumpang kereta Nissan Sunny terdiri daripada pekerja kimpalan dari Jabi ke Kampung Renek tidak jauh dari tempat kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/ajal-depan-anak-1.18569
theborneopost.com/2012/01/17/rela-member-killed-3-others-seriously-injured-in-head-on-collision/

Monday, January 16, 2012

Terhumban ke dalam gaung



PENGKALAN - Dua beranak nyaris maut apabila kereta yang dinaiki terhumban ke dalam gaung selepas didakwa dirempuh sebuah kenderaan lain di Bulatan Pengkalan, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.


Ketika kejadian, mangsa, Nasri Katan, 42, bersama ibunya, Samiah Osman, 65, yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil dari arah Pekan Alor Gajah ke Durian Tunggal dalam perjalanan pulang selepas melawat anak di sebuah kolej di Simpang Ampat.

Dakwa Nasri, kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki empat beranak dan dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an sebaik hampir melepasi bulatan berkenaan.

“Sebelum itu, kereta terbabit merempuh pintu penumpang belakang sebelah kiri hingga menyebabkan saya hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter.

“Ketika itu, Allah SWT sahaja yang tahu betapa berderaunya darah saya sambil menjerit ‘Allah’ sehingga kereta berhenti sendiri selepas meredah rimbunan semak dalam gaung itu. Sementara emak berada dalam keadaan lemah sebaik kereta terhenti.

“Saya terkejut kerana ketika itu sedangv rancak berborak dengan emak. Tiba-tiba kereta saya dirempuh kereta berkenaan yang dari arah Machap,” katanya.

Bagaimanapun, Nasri dan ibunya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan semasa kejadian, mereka turut dibantu orang awam yang melalui jalan berkenaan.

Menurut Nasri, disebabkan dia dan ibunya terselamat, dia enggan memanjangkan masalah itu, sebaliknya pemandu Proton Wira itu menuju ke Balai Polis Trafik Daerah (IPD) Alor Gajah untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan akan dijalankan bagi mencari punca sebenar kemalangan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kancil-masuk-gaung-7-meter-1.18598
hmetro.com.my/articles/Berpusingmasukgaung/Article

Bas terbalik 20 penumpang selamat


KOTA KINABALU 15 Jan. - Seramai 20 penumpang bas mengalami detik mencemaskan selepas bas yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di Jalan Tuaran Lama, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, bas mini itu dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Inanam dikatakan terbabas ke laluan bertentangan sebelum terbalik.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Salah seorang penumpang, Mohammad Irham, 42, berkata, kemalangan berlaku terlalu pantas dan menyebabkan semua penumpang panik.

"Semasa kejadian, saya menaiki bas dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Inanam tetapi tiba-tiba saya merasakan kenderaan itu terhuyung-hayang sebelum ia terbabas ke sebelah jalan.

"Keadaan waktu itu amat panik dan kelihatan semua penumpang bertindih-tindih. Apa yang lebih menakutkan adalah kami risau bas tersebut akan meletup," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu seorang saksi yang enggan dikenali berkata, bas berkenaan pada mulanya cuba memotong sebuah kenderaan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Sementara itu, Ketua Trafik Kota Kinabalu, Deputi Supritendan Peter Umbuas berkata, polis telah mengambil keterangan pemandu bas berkenaan.

"Kita masih menyiasat kes ini dan berdasarkan keterangan pemandu bas itu, dia mendakwa kenderaan tersebut mengalami masalah brek sebelum terbabas dan terbalik," katanya.

Tambahnya, hanya tiga penumpang mengalami cedera ringan dalam kejadian tersebut.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my