loading...

Saturday, January 21, 2012

Pesanan Terakhir Ummi

Inalillahi wainailaihi rojiun

MUAR: “Dua hari lalu, ketika kami makan malam bersama, ummi meminta saya menjadi imam solat jenazahnya jika dia meninggal dunia.

“Saya anggap ia gurauan, tetapi rupa-rupanya itu pesanan terakhirnya sebelum dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Fared Shazwan Shukor, 16, anak kepada Rosmi Mahfodz, 42, yang maut dirempuh treler di Batu 17, Air Hitam di sini, pagi semalam.


Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, Rosmi dari Kampung Batu 14, sedang menghidupkan enjin motosikalnya untuk pulang selepas membeli kuih untuk sarapan pagi di sebuah gerai di tepi jalan itu apabila dia dirempuh treler terbabas.

Ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Aminah, Fared yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, ketika sedang menikmati hidangan, ibunya yang mesra dipanggil ummi tiba-tiba meluahkan hasrat mahukannya melakukan perkara berkenaan.


“Ummi terdiam dan merenung mata saya sambil berkata, ‘Angah, ummi mahu angah jadi imam sembahyang jenazah ummi nanti.


“Saya membalas permintaan berkenaan dengan senyuman. Walaupun agak pelik dengan permintaan itu, tetapi saya anggap ummi bergurau,” katanya.

Menurut pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Vokasional di Sungai Abong itu, sebelum ke sekolah pagi semalam, dia sempat bersarapan telur separuh masak yang disediakan ibunya dan bersalaman serta mencium tangan ibunya itu.


“Ketika itu ummi kelihatan ceria seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik. Seperti kebiasaan, ummi juga turut memerhatikan saya ke sekolah dari pintu rumah.

“Tidak sampai sejam kemudian, saya diberitahu pihak sekolah mengenai kemalangan itu dan pengetua menghantar saya ke tempat kejadian,” katanya.


Anak bongsu mangsa, Emer Yusoff, 7, berkata, ketika menghantarnya ke Sekolah Kebangsaan Bukit Naning, pagi semalam, ibunya berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh.


“Seperti biasa, ummi senyum setiap kali saya mencium tangannya sebelum memasuki kelas. Ummi turut berpesan supaya saya belajar rajin-rajin,” katanya.


Dalam kejadian itu, Rosmi sedang menghidupkan enjin motosikalnya selepas membeli kuih di gerai berkenaan apabila dirempuh dan diheret treler yang terbabas.


Rosmi diheret hingga terbenam ke dalam parit di belakang gerai menjual kuih berkenaan dan jenazahnya berjaya dikeluarkan kira-kira tiga jam kemudian.


Kemalangan itu turut membabitkan empat kenderaan lain, tetapi semua pemandu serta penumpangnya selamat.



Sempat Tarik Tangan Rakan




“Saya menarik tangan rakan untuk menyelamatkan diri manakala Rosmi pula dirempuh dan diseret treler hingga terbenam ke dalam parit di belakang gerai kuih,” kata peniaga kuih, Siti Wagiah Amat, 43, menceritakan tragedi mengorbankan ibu tunggal, Rosmi Mahfodz, 42, selepas membeli kuih di gerainya, semalam.

Menurut Siti, dia terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat dan terkejut apabila melihat treler itu menghala ke gerainya.


“Tanpa berfikir panjang, saya menarik rakan dan berlari ke kedai runcit berhampiran untuk menyelamatkan diri. Tak sangka arwah tidak sempat berbuat apa-apa dan dirempuh treler terbabit.

“Ia cukup dahsyat dan orang ramai yang ada di sekitar lokasi kejadian cuba membantu, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.


Menurut Siti, sebelum kejadian, dia melihat Rosmi singgah di kedai runcit berhampiran membeli sayur dan ikan sebelum beredar ke arah Parit Sulong.


“Bagaimanapun, tidak sampai lima minit kemudian, Rosmi berpatah balik dan singgah untuk membeli kuih dan ketika dia membeli karipap serta pau, saya lihat mukanya pucat tetapi ceria,” katanya yang mengenali Rosmi yang juga tukang urut sejak 23 tahun lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Arif Jili berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada jam 7.58 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama lapan anggota dan sebuah jentera.


“Keadaan parit dan tanah gambut menyukarkan kerja mengeluarkan mangsa yang berada di bawah tayar treler berkenaan.

“Kami terpaksa mendapatkan bantuan dua kren untuk mengangkat treler yang terbenam bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.


Menurut Arif, jenazah mangsa berjaya dikeluarkan tiga jam kemudian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli yang dihubungi mengesahkan kejadian.


“Jenazah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Difahamkan, pemandu treler, kelindan, pemandu empat kenderaan lain serta penumpang terselamat.


Al-Fatihah...

Sumber: hmetro.com.my/articles/Ibumintasolatjenazah/Article

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my