loading...

Saturday, May 12, 2012

Dilanggar Kereta Diseret Lori



KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja kontrak maut setelah motosikal yang ditunggangnya terlanggar kereta, sebelum diseret sebuah lori sejauh kira-kira lima meter di hadapan Kem 512, Askar Wataniah, Kem Padang Midin, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin di Jalan Padang Midin itu, mangsa, Ismail Jusoh, 52, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Bukit Payong, Marang ke rumahnya di Durian Burung, di sini, sebelum motosikalnya terlanggar bucu belakang sebuah Proton Waja.

“Mangsa kemudian terbabas ke lorong kanan jalan dan dilanggar sebuah lori. “Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut keluarga malam semalam (kelmarin),” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan hospital apabila isteri mangsa, Fatimah Muda, 46, gagal menahan sebak atas kehilangan suami tercinta.

Fatimah berkata, dia hampir pitam setelah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memaklumkan insiden berkenaan, sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Alangkah luluhnya hati dan perasaan saya sebaik tiba di tempat kejadian apabila melihat tubuh suami kaku dan tidak bernyawa lagi. “Sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan luar biasa dan pemergiannya secara tiba-tiba ini menyebabkan kami sekeluarga hilang tempat bergantung,” kata ibu kepada enam anak ini.

Menurutnya, dia yang bekerja di sebuah kedai makan berdekatan rumahnya, kini perlu menanggung keluarga sendirian, apatah lagi kesemua anaknya masih bersekolah dan menuntut di universiti.

“Bagaimanapun, saya agak terkilan kerana seorang anak kami yang sedang menuntut di Mesir tidak sempat menatap arwah bapanya buat kali terakhir, namun saya tetap reda,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/diseret-lori-lima-meter-1.47307

Friday, May 11, 2012

Peneroka Maut Bertembung Lori

Inalillahi wainailaihi rojiun  

JERANTUT: Seorang peneroka maut manakala rakannya parah selepas Perodua Kembara yang dipandunya terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori di KM24 Jalan Jerantut-FELDA Kota Gelangi, di sini, pagi ini.

Mangsa, Mohd Hasan Yatni, 57, dari FELDA Kota Gelanggi mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala sementara rakannya, Pengurus FELDA Kota Gelanggi 4, Nik Sim Nik Hassan, 57, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail, berkata dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa dan rakannya sedang dalam perjalanan dari arah Kota Gelanggi menuju ke bandar Jerantut.

"Sampai tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.

"Akibat itu, mangsa dan rakannya mengalami cedera parah. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Rakan mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk rawatan," katanya di sini.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jerantut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Penerokamaut_pengurusFELDAparahnahaskereta-lori/Article

Bas Persiaran Rempuh Pokok


NILAI: Pemandu sebuah bas persiaran yang dalam perjalanan membawa 28 penumpang ke Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang, terbunuh selepas kenderaan itu terbabas dan merempuh pokok di Batu 11, Jalan Gadong Jaya, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu turut menyebabkan tujuh penumpang, rata-ratanya wanita warga emas cedera termasuk seorang masih kritikal.


Pemandu bas berkenaan, K Gunachandar, 52, maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini. Jurucakap polis berkata, bas yang membawa sembilan lelaki dan 19 wanita berusia antara 40 hingga 72 tahun itu dalam perjalanan dari Tampin ke LCCT.

“Setiba di tempat kejadian, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaannya di satu selekoh lalu terbabas dan melanggar pokok serta terbalik.


“Mangsa meninggal dunia akibat cedera teruk di kepala dan badan manakala semua penumpang yang cedera dirawat di HTJS termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU),’’ katanya di sini, semalam.


Menurutnya, kemalangan mengakibatkan bahagian depan bas itu remuk teruk yang terpaksa dipotong pihak bomba untuk mengeluarkan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.




Terpelanting 

“Saya serta suami panik apabila bas terhuyung-hayang dan beberapa minit kemudian kami terpelanting keluar melalui tingkap depan. Semua penumpang bas ketika itu menjerit dan ada yang memecahkan tingkap bas untuk menyelamatkan diri,” kata Law Tau Fong, 62, semalam.

Warga emas itu antara 28 penumpang bas dari Tampin yang terbabas dan melanggar pokok lalu terbalik di Batu 11, Jalan Gadong Jaya, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu mengorbankan pemandu bas, K Gunachandar, 52, yang mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) akibat mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Difahamkan, rombongan itu dalam perjalanan ke Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang untuk bercuti ke Chiangmai, Thailand.


Menurut Law, kejadian berlaku sejam selepas bas berkenaan bertolak dan sebahagian besar penumpang sedang tidur.






Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Basmelekatdipokok/Article/index_html
nst.com.my/nation/general/driver-dies-as-bus-rams-into-tree-1.82984
thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/5/12/nation/11280531&sec=nation
thesundaily.my/news/375969

Tuesday, May 8, 2012

Treler rempuh trafik



BUKIT BARU - Seorang pemandu lori treler sanggup merempuh sebuah motosikal anggota trafik untuk mengelak ditahan di Jalan Munshi Abdullah, di sini, berdekatan bangunan Sirim Melaka, pagi semalam.

Menurut sumber, pemandu terbabit berusia 40-an merempuh motosikal anggota polis berpangkat Koperal yang berada di bahu jalan sehingga jatuh sebelum memandu lori tanpa muatan berkenaan melalui Taman Perkota menuju sebuah kolej Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, anggota trafik itu menemui treler tersebut di jalan mati hadapan kolej berkenaan namun pemandunya melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad yang mengesahkan kejadian itu berkata, treler berkenaan dilaporkan hilang oleh seorang lelaki di hadapan rumahnya di Taman Megah, Masan, dekat sini.

“Menerusi peranti sistem kedudukan global (GPS), treler terbabit dikesan di Batang Melaka, lalu kami terus menghubungi Bilik Gerakan Alor Gajah memaklumkan perkara tersebut.

“Bagaimanapun, seorang anggota trafik Ibu Pejabat Kontinjen Melaka (IPK) telah mengesan treler terbabit di persimpangan Bukit Baru kira-kira jam 9.45 pagi,” katanya.

Mohd Sabri berkata, anggota terbabit mengarahkan pemandu berkenaan menghentikan treler tersebut namun sebelum sempat meminta lesen, suspek yang mengunci pintu treler melarikan diri.

“Dalam proses penahanan, berlaku kemalangan namun tiada cedera. Treler terbabit kemudian masuk ke jalan mati dan cuba undur namun tersangkut sebelum suspek larikan diri,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-treler-rempuh-anggota-trafik-1.46263

Ibubapa bayi 6 bulan maut



Inalillahi wainailaihi rojiun  

KUANTAN - Perjalanan pulang sepasang suami isteri ke rumah mereka di Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan di Kertih, Terengganu berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka terbunuh selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 205.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Gambang dekat sini, petang kelmarin.


Dalam nahas kira-kira jam 6.30 petang itu, pengatur cara komputer, Ahmad Hakimi Ahmad Rabudzi, 31 dan isterinya, Siti Rohani Abdul Halim, 26 yang bekerja di sebuah bank di Shah Alam meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Lebih memilukan, anak sulung pasangan itu, Ahmad Uzair, 6 bulan mengalami kecederaan parah di kepala selepas tercampak keluar dari kereta setelah terlepas dari pangkuan ibunya sebelum jatuh di permukaan jalan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, tiga sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kertih menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Mohd Hakimi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan dan melanggar pengadang di tengah jalan lalu tercampak ke laluan bertentangan.

“Sebuah kereta dipandu, Kow Hong Seng, 31, dari Lorong Seri Kuantan, di sini, datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan cuba mengelak kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu turut terbabas melanggar besi pengadang di tengah laluan,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.


Mohd Jasmani berkata, bagaimanapun pemandu itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan mereka berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba ke lokasi selepas dihubungi.

“Anak mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan oleh saudara mara yang tiba di tempat kejadian setelah menyedari kemalangan menimpa mangsa itu,” katanya.

Menurutnya, mayat pasangan itu dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa pasangan itu manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/bayi-selamat-kemalangan-1.46199
hmetro.com.my/articles/Bayi__8216_terbang__8217_atasjalan/Article
nst.com.my/nation/general/4-killed-in-two-east-coast-crashes-1.81663

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my