loading...
Saturday, May 12, 2012
Dilanggar Kereta Diseret Lori
KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja kontrak maut setelah motosikal yang ditunggangnya terlanggar kereta, sebelum diseret sebuah lori sejauh kira-kira lima meter di hadapan Kem 512, Askar Wataniah, Kem Padang Midin, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin di Jalan Padang Midin itu, mangsa, Ismail Jusoh, 52, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Bukit Payong, Marang ke rumahnya di Durian Burung, di sini, sebelum motosikalnya terlanggar bucu belakang sebuah Proton Waja.
“Mangsa kemudian terbabas ke lorong kanan jalan dan dilanggar sebuah lori. “Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut keluarga malam semalam (kelmarin),” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan hospital apabila isteri mangsa, Fatimah Muda, 46, gagal menahan sebak atas kehilangan suami tercinta.
Fatimah berkata, dia hampir pitam setelah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memaklumkan insiden berkenaan, sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Alangkah luluhnya hati dan perasaan saya sebaik tiba di tempat kejadian apabila melihat tubuh suami kaku dan tidak bernyawa lagi. “Sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan luar biasa dan pemergiannya secara tiba-tiba ini menyebabkan kami sekeluarga hilang tempat bergantung,” kata ibu kepada enam anak ini.
Menurutnya, dia yang bekerja di sebuah kedai makan berdekatan rumahnya, kini perlu menanggung keluarga sendirian, apatah lagi kesemua anaknya masih bersekolah dan menuntut di universiti.
“Bagaimanapun, saya agak terkilan kerana seorang anak kami yang sedang menuntut di Mesir tidak sempat menatap arwah bapanya buat kali terakhir, namun saya tetap reda,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/diseret-lori-lima-meter-1.47307
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment