loading...

Saturday, June 25, 2011

Remaja 17 Terbunuh

SENAI - Seorang remaja lelaki terbunuh selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori dari arah bertentangan di Jalan Jati Taman Air Biru, Pasir Gudang pagi semalam.

Mangsa Muhamad Ashrul Afandi Ridzuan, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini mati di tempat kejadian selepas dipercayai gagal mengawal kereta jenis Proton Satria yang dipandunya.

Mangsa dikatakan telah masuk ke arah aliran trafik bertentangan dan kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Roslan berkata, akibat kegagalan mangsa mengawal kenderaan, menyebabkannya masuk ke arah bertentangan sebelum melanggar sebuah lori muatan tiga tan.

“Kemalangan maut itu berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3, dan mangsa didapati parah di bahagian kepala dan badan tersepit menyebabkannya meninggal di tempat kejadian.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa dan kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story9231304.asp

Tragedi Perjalanan Percutian ke Melaka


KULAIJAYA – Hasrat enam sekeluarga bercuti di Melaka bertukar menjadi tragedi apabila empat daripada mereka maut setelah terbabit dalam nahas jalan raya di Kilometer 46.7, Sedenak, di sini, semalam.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.50 pagi di laluan lebuh raya arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur turut menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun, Wong Jing Xuan, maut setelah tercampak keluar dari kenderaan dipandu datuknya, Wong Tong Hing, 66, yang juga meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi maut, Fong Kum Kai, 59, dan Fong Kum King, 60.

Ng Chai Yun, 21, dan Wong Ai Ling berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Enam sekeluarga berkenaan sedang dalam perjalanan dari kediamannya di Bandar Putra di sini untuk bercuti ke Melaka apabila kereta yang mereka naiki terbabas ke bawah jejantas menuju ke Felda Bukit Nyamuk.

Salah seorang saksi, pekerja Propel, Mohd Azri Yusuf, 36, berkata, dia mendapati kanak-kanak yang tercampak masih bernyawa namun berada dalam keadaan nazak dan meninggal dunia kira-kira 15 minit kemudian.

“Saya sampai di tempat kejadian lebih kurang jam 9 pagi, ketika itu keadaan kanak-kanak itu agak parah dan tidak bermaya kerana mengalami kecederaan teruk di kepala. Kira-kira 15 minit kemudian dia tidak bernafas,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kulaijaya, Masnon Idris berkata, pihaknya tiba ditempat kejadian kira-kira 9.25 pagi dan mendapati kesemua mangsa maut dan dua penumpang cedera.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story9227525.asp
& facebook

Friday, June 24, 2011

Pemuda Orang Asli Maut


RAUB – Seorang pemuda Orang Asli berusia 21 tahun meninggal dunia serta merta akibat mengalami kecederaan setelah terlibat kemalangan di Kilometer 355 Jalan Raub – Cheroh, kelmarin.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, kejadian pada jam 4.40 petang itu melibatkan motosikal ditunggang mangsa, Shamsudin Yok Wa bertembung dengan kenderaan bertentangan.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kampung Belau, Pos Senderut dikatakan cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung sebuah kereta dari arah Cheroh dipandu wanita berusia 29 tahun.

“Mangsa cuba memotong kenderaan di hadapannya yang sudah bersedia untuk membelok ke kanan memasuki persimpangan dekat Masjid Sempam Baru.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk patah rusuk dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999.

“Masyarakat terutama pengguna jalan raya disarankan supaya mengikuti peraturan ditetapkan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Elakkan daripada mengekori kenderaan terlalu hampir dan pastikan berada pada masa yang sesuai sekiranya ingin memotong kenderaan lain,” kata Mohd Nazlan.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/pahang/content/story9223451.asp


Toyota Corrola Nyaris Rempuh Kedai


TUMPAT – Seorang warga emas di sini, terselamat selepas keretanya terbabas dan hampir merempuh kedai runcit di laluan bertentangan berhampiran lampu isyarat di Chabang Empat, akibat kerosakan pada brek, semalam.

Mat Zain Kadir, 80, yang memandu kereta Toyota Corrola, tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun bahagian hadapan keretanya remuk, akibat berlanggar dengan kereta Daihatsu yang diparkir di hadapan kedai runcit berkenaan.

Mat Zain berkata, ketika dia membelok ke kiri di hadapan kedai gunting rambut berdekatan lampu isyarat itu, stereng keretanya tiba-tiba tidak dapat berpusing menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas.

“Kereta saya terbabas melintas pembahagi jalan itu, lalu memasuki jalan bertentangan dan merempuh kereta yang dipakir di hadapan kedai runcit itu.

“Nasib baik kereta saya tersekat di kereta Daihatsu itu, kalau tidak habis kedai runcit ini dirempuh,” katanya yang merupakan pesara polis.

Menurutnya, dia yang bertolak dari rumahnya di Kampung Kok Seraya, di sini untuk membeli makanan kucing di Wakaf Bharu, bagaimanapun tidak menduga keretanya ada masalah.

“Saya bersyukur, tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan ini, memang terkejut, tetapi dapat mengawal perasaan panik itu,” katanya.

Akibat kemalangan itu, orang ramai dan pelanggan kedai ayam berhampiran kedai runcit itu, lari bertempiaran apabila melihat kereta Mat Zain terbabas memasuki jalan bertentangan, namun tiada kecederaan melibatkan orang awam.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story9223450.asp

Tuesday, June 21, 2011

Minta Jalan Parit Bunga Diturap Segera

LEDANG – Keengganan pihak terbabit untuk menurap bahagian jalan belakang di Taman Gading Jaya, Parit Bunga di sini menimbulkan rasa tidak puas hati kepada hampir 250 penduduk di kawasan tersebut.


Mereka mendakwa sudah mengemukakan banyak permohonan kepada pihak terbabit, tetapi sehingga kini masih tidak mendapat sebarang perkembangan yang positif.

Salah seorang penduduk, Miskan Talib, 61, berkata, sebelum ini keadaan jalan di sini elok, tetapi selepas longkang berhampiran di naik taraf sejak dua tahun lalu, jalan tersebut tidak diselenggara dan terbiar.

Menurutnya, jalan sepanjang hampir 500 meter itu menjadi laluan alternatif kepada sebilangan penduduk di sini.

“Bahkan juga ia turut digunakan oleh pelajar-pelajar di taman ini untuk ke sekolah menengah yang terletak berhampiran dengan perumahan ini.

“Sepatutnya jalan ini diturap serentak semasa pihak terbabit menurap jalan bahagian hadapan taman ini sekitar pada penghujung April lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, keadaan jalan yang hampir dilitupi dengan rumput telah mengubah rupa bentuk jalan itu dan menjadi lebih mirip seakan-akan padang.

“Pastinya keadaan seperti ini secara tidak langsung turut mencacatkan keindahan di Taman Gading Jaya.

“Fungsi jalan ini sangat penting terutamanya jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kebakaran akan dapat memudahkan pihak bomba melaksanakan kerja-kerja pemadaman api dengan lancar,” katanya.

Miskan berkata, jelas menunjukkan bahawa peranan jalan belakang kepada penghuni kawasan perumahan sangat penting terutamanya berkaitan soal keselamatan.

Justeru, beliau berharap agar pihak yang berkenaan dapat mengambil berat terhadap permasalahan ini untuk kepentingan dan keselesaan penduduk-penduduk di sini.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story9212829.asp

Murid Tahun 6 SK Balok Makmur Maut


KUANTAN - “Boboy beritahu saya bahawa dia sering mimpikan arwah ibu yang meninggal dunia tiga tahun lalu sehingga terbayang-bayang ketika di sekolah,” demikian luahan Nor Hazrita Nordin, 23, kakak kepada Mohd Aiman Azmil Nordin, 12, atau lebih mesra dipanggil Boboy yang maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Balok Baru, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 malam di Balok Pine itu, Mohd Aiman Azmil Nordin yang membonceng motosikal ditunggang rakannya, Mohd Daniel Mustakim Zulkifli, 14, turut maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut Nor Hazrita, anak bongsu daripada lapan adik-beradik itu menunjukkan perangai pelik sejak seminggu lalu apabila enggan ke sekolah walaupun sudah puas dipujuk.

“Sebelum ini Boboy tidak pernah bersikap begitu.

“Kami sempat sambut Hari Bapa pagi semalam (Ahad). Tak sangka Boboy pergi dalam sekelip mata,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian, adiknya yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Balok Makmur itu keluar untuk bertemu rakannya kira-kira jam 4 petang sebelum dimaklumkan jiran adiknya terlibat dalam kemalangan tidak jauh dari rumah.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya melihat Boboy sudah terbujur kaku. Saya amat sedih mengenangkan dia adik bongsu malah manja dengan saya sejak ibu meninggal tiga

“Mungkin sikap dia sebelum ini petanda dia akan pergi,” katanya.

Bagaimanapun, bapa mangsa, Nordin Mahmud, 54, reda dengan kejadian berlaku ke atas anak bongsunya.

“Saya terkilan kerana dia tidak sempat menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dua bulan lagi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintenden Zainalabidin Othman berkata, kejadian itu berlaku apabila motosikal Modenas yang ditunggangi Mohd Daniel Mustakim dari arah Kampung Balok menuju ke Taman Balok Baru sebelum bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha di laluan sama.

“Akibat pergeselan itu, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa jatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar oleh kereta Perodua.

“Penunggang motosikal Yamaha dan pemandu kereta Perodua tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kedua mangsa mati di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. 




Murid Tahun 6 Maut Dibawah Bas


KUANTAN - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun maut selepas terperosok di bawah sebuah bas di Kilometer 114 Jalan Raub-Bentong tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.25 tengah hari itu, mangsa, Sam Chee Kent, 12, yang menunggang motosikal jenis Honda dipercayai terbabas ketika memasuki selekoh sebelum terbabas dan jatuh.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintenden Zainalabidin Othman berkata, mangsa yang terjatuh telah terperosok di bawah bas.

“Pemandu bas yang dalam perjalanan dari Raub ke Kuala Lumpur itu terkejut dengan kejadian yang berlaku secara tiba-tiba lalu turun dari bas untuk melihat keadaan sebenar.

“Sebaik turun dari bas, pemandu bas mendapati mangsa berada di bawah bas dengan keadaan tidak sedarkan diri kerana cedera parah di kepala serta bahagian badan sebelum di sahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPK, di sini, semalam.

Zainalabidin berkata, mangsa di bawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimana pun katanya, saksi yang melihat kejadian tersebut diminta menghubungi polis untuk memberi keterangan lanjut.



Anggota JPJ Maut Dirempuh Ford Laser


Al-Fatihah...


SEREMBAN - Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbunuh selepas dirempuh kereta ketika sedang melakukan pemeriksaan lori rosak di Batang Benar, Nilai, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi, ketika Wardi Ahmad, 28, bersama tiga rakannya yang menaiki kereta peronda JPJ memberhentikan kenderaan di bahu jalan.

Jurucakap polis berkata, mangsa ketika itu sedang berdiri dibelakang kereta peronda JPJ terbabit sebelum dirempuh kereta jenis Ford Laser yang datang dari arah belakang.

“Kereta berwarna hijau itu dipandu seorang lelaki dikatakan hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa tersepit pada kenderaan berkenaan dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira 1.10 tengahari tadi (semalam),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, jenazah dibawa ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.

“Sementara tiga lagi anggota JPJ serta pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, pemandu Ford laser Ismail Dahlan, 44, berasal daripada Batang Benar, di sini juga dilaporkan meninggal dunia beberapa jam selepas menerima rawatan di HTJ akibat cedera parah di kepala dan badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih disiasat.

Sementara, saksi kejadian, Mohd Aezrool Aadzree Rosni, 29, berkata, kejadian berlaku sangat pantas dan dia tergamam ketika melihat sebuah kereta terbabas, lalu merempuh rakan setugasnya itu.

“Saya nampak kereta Ford Laser itu dipandu laju hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh arwah di bahagian belakang kereta peronda JPJ,” katanya.

Menurutnya, ketika itu, dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dan terus berlari ke tempat selamat.

“Jika saya tidak lari, mungkin saya juga jadi mangsa. Bagaimanapun, saya tidak sangka arwah meninggal dunia dengan keadaan sebegini,” katanya.

Aezrool berkata, dia dan rakan baiknya itu bertugas dalam satu pasukan berkhidmat sejak tiga tahun lalu.

“Arwah meninggalkan seorang balu yang sedang mengandung dan seorang anak berusia setahun,” katanya. 

Sumber :
http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story9213263.asp
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PenguatkuasaJPJmautdirempuhkereta/Article

Sunday, June 19, 2011

Kuih Lopes Untuk Anak


JASIN: “Ibu… Ibu… ibu… bangunlah ibu,” hanya itu terdaya dilakukan seorang kanak-kanak, Muhammad Faerid Mohd Hafizi, 8, untuk mengejutkan ibunya, Hazlinah Abu Samah, 34, yang tersepit selepas kenderaan dinaikinya terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di Kilometer 17, Jalan Bemban-Tehel, di sini, tengah hari kelmarin.

Walaupun menyedari kepala ibunya berlumuran darah, naluri sebagai seorang anak kuat menyatakan wanita yang melahirkannya itu hanya pengsan lalu terus memanggil serta menggerakkan badannya.


Kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu disedari seorang lelaki yang kebetulan melalui tempat kejadian sebelum memberikan bantuan kecemasan.

Muhammad Faerid, murid tahun dua Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Falah di Selandar, di sini, kemudian dikejarkan ke Hospital Jasin sebelum sepasukan anggota bomba mengeluarkan ibunya yang tersepit.


Bagaimanapun, ibu kanak-kanak itu meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan dia hanya mengetahui ibunya sudah tiada lima jam kemudian.


Muhammad Faerid berkata, ketika kejadian, dia dan ibunya dalam perjalanan dari rumah mereka di Selandar ke rumah datuknya di Alai, di sini, untuk mengambil abangnya, Muhamad Hafiz Hakimin, 9, yang demam campak. Sepanjang perjalanan, mereka hanya berdiam diri sebelum tiba-tiba berasa kenderaan bergegar seolah-olah melanggar sesuatu.

Katanya, kejadian itu berlaku pantas dan dia hanya mendengar dentuman kuat sebelum melihat ibunya sudah tidak bergerak lagi walaupun cuba mengejutkannya beberapa kali.


“Saya dikeluarkan seorang lelaki sebelum dibawa ke hospital dan dimasukkan ke wad kerana cedera di lengan kanan serta dahi kiri kerana terhentak papan pemuka kereta,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.

Kematian ibunya hanya diketahui selepas datuknya, Abu Samah Musa, 60, dan nenek, Fatima Zainal, 57, membawanya melihat jenazah ibunya buat kali terakhir.


Ustazah maut nahas ketika ke rumah ibu

MELAKA 19 Jun - Hasrat seorang ustazah menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga di kampung berakhir dengan tragedi apabila dia terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 17, Bemban-Tehel di sini, semalam.

Lebih menyayatkan hati, hajat Hazlina Abu Samah untuk menjamah kuih kegemaran, kuih lopes yang dibuat oleh ibunya juga tidak kesampaian.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika Hazlinah, 34, yang memandu kereta jenis Proton Wira ditemani oleh anak lelakinya, Mohd. Faerid Mohd. Hafizi, 8, dalam perjalanan dari rumah mereka di Selandar menuju ke rumah ibu bapa Hazlinah di Pengkalan Jajar, Kampung Alai.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu oleh mangsa terbabas ketika melalui satu selekoh tajam di tempat kejadian.

"Akibatnya, kereta yang dipandu oleh mangsa terbabas di kiri jalan lalu merempuh tiang lampu dan tembok pagar batu di kaki lima jalan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Che Suza, mangsa yang mengajar di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Selandar meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Bagaimanapun, katanya, Mohd. Faerid tidak mengalami kecederaan serius.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala Mohd. Faerid turut diberi rawatan pesakit luar di hospital yang sama.

Sementara itu, Mohd. Faerid ketika ditemui di rumahnya di Selandar memberitahu, dia hanya mengetahui ibunya meninggal dunia selepas lima jam kejadian berlaku.

"Selepas kemalangan, saya fikir ibu hanya pengsan, namun ketika saya cuba menggerakkannya, saya lihat darah mengalir dari kepala ibu dan dia tidak bangun," katanya.

Tambahnya, selepas dibawa ke hospital, datuknya kemudian membawanya ke bilik mayat dan memberitahu ibunya telah meninggal dunia.

Bapa mangsa, Abu Samah Musa, 60, memberitahu, apa yang menyedihkan, anak keduanya itu sepatutnya memulakan kelas pertama Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Institut Perguruan Perempuan Melayu (IPPM) Durian Daun, hari ini.

"Tuhan lebih menyayangi dia, sudah lama arwah mengimpikan untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang perguruan, namun hasratnya itu tidak kesampaian," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pengkalan Jajar di sini, hari ini.

Sumber:  myMetro
              Sinar Harian
              Utusan Malaysia

 

Budak Lelaki 8 Tahun Maut

Al-Fatihah..



SITIAWAN 19 Jun – Seorang maut, tiga parah manakala 17 lagi cedera ringan setelah terlibat dalam kemalangan antara sebuah bas ekspres dan kereta di Kilometer 8, Jalan Lekir-Teluk Intan, awal pagi ini.

Mangsa yang maut ialah penumpang kereta jenis Proton Iswara iaitu Affandi Maruan, 8, manakala bapanya, Maruan Jalil, 44, dan adiknya, Putri Adrian Maruan, 3, serta seorang penumpang bas, Lim Choo Soou, 24, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Kesemua 17 penumpang bas yang cedera ringan pula dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, kemalangan berlaku pukul 1.15 pagi ini apabila kereta yang dipandu Maruan dalam perjalanan dari Klang, Selangor menghala ke Manjung.

Katanya, kereta dipandu mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas tersebut yang dalam perjalanan dari Manjung ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor.

Sumber: Utusan Malaysia

Enam Cedera Pertembungan Antara Saga dan Nissan

JELI 19 Jun - Dua pemandu dan empat penumpang dua buah kenderaan nyaris maut selepas kereta Proton Saga dan Nissan Sunny yang mereka naiki bertembung dalam kemalangan di Lebuh Raya Jeli-Gerik dekat Kampung Kuala Long di sini, lewat petang semalam.

Mereka yang cedera ringan ialah pemandu Proton Saga, Faizul Mokhtar, 20, adik perempuannya, Rohaja Mokhtar, 18, dan dua saudaranya, Zulkifli Ismail, 21, dan Siti Aminah Hanapi, 18.

Turut cedera ringan ialah pemandu kereta jenis Nissan Sunny, Hamzah Kalai, 50-an, dan seorang penumpang yang tidak dapat dikenalpasti identitinya.

Menurut seorang penduduk, Zamri Ismail, 34, yang menyaksikan kejadian itu, kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.30 petang selepas kereta Nissan Sunny yang datang dari arah Jeli menuju ke Gerik, dikatakan cuba memotong barisan enam buah kenderaan.

Ketika itu, datang kereta Proton Saga dipandu Faizul dari arah bertentangan dan cuba mengelak, tetapi gagal disebabkan terdapat longkang di bahagian kiri jalan.

"Ketika kejadian, saya berada di kedai makan berhampiran tempat kejadian dan terus bergegas selepas melihat kemalangan tersebut. Empat daripada mangsa yang tersepit dalam kenderaan, berjaya dikeluarkan oleh penduduk kampung," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Jeli dengan bantuan ambulans.

Sementara itu, bapa saudara Faizul, Hanapi Che Mat, 67, ketika ditemui di Hospital Jeli memberitahu, keempat-empat anak saudaranya itu keluar rumah di Kampung Sungai Long kira-kira pukul 5 petang bagi menghantar Rohaja dan Siti Aminah pulang ke asrama di Sekolah Menengah Ayer Lanas.

"Saya dimaklumkan kejadian itu oleh penduduk kampung dan terus bergegas ke tempat kejadian," jelasnya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan,Sheik Azhar Sheik Omar ketika di hubungi, mengesahkan kejadian tersebut.




Hasrat menziarahi ibunya tidak kesampaian

 Al-Fatihah...

MUAR – Hasrat seorang wanita untuk menziarahi ibunya tidak kesampaian apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Jeram-Sungai Terap di sini, malam semalam.

Mangsa terbunuh, Minah Mistari, 48, mati serta-merta di tempat kejadian apabila kereta Perodua Kancil yang dipandunya dipercayai dirempuh oleh Perodua Alza yang dinaiki oleh dua pemuda dari arah bertentangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Minah yang memandu secara bersendirian dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Sri Bakri Batu 3 ke rumah ibunya di Bukit Pasir.

Setibanya di tempat kejadian, kereta mangsa telah dirempuh oleh Perodua Alza dari arah Sungai Terap menghala ke Bakri.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum melanggar tiang lampu jalan.

Suami mangsa, Abd Ghani Ibrahim, 51, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia tidak menyangka isterinya akan meninggal dunia dalam insiden yang tragis.

“Selepas solat Maghrib isteri telah bersiap-siap untuk keluar ke rumah ibu dan dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan yang pelik.

“Seperti biasa sebelum keluar rumah dia akan bersalaman dengan saya terlebih dahulu dan tidak menyangka ia merupakan salam yang terakhir darinya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.

“Kedua-dua pemuda yang menaiki kereta Perodua Alza pula hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


1 maut, 3 parah Pertembungan Proton Waja vs Bas Ekspres


LUMUT: Seorang maut, tiga cedera parah manakala 17 yang lain cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan sebuah kereta Proton Waja di KM8, Jalan Sitiawan-Teluk Intan, Lekir, Manjung awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Osman, berkata bas berkenaan dalam perjalanan dari Seri Manjung ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor, manakala Proton Waja terbabit datang dari arah Klang, Selangor, menuju ke Seri Manjung.

"Nahas 1.15 pagi itu berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan bas ekspres terbabit dan mengakibatkan bas tersebut tergelincir serta memasuki longkang di kiri jalan.

"Anak lelaki pemandu kereta itu yang berusia lapan tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

"Manakala pemandu kereta tersebut yang dikenali sebagai Maruan Jalil, 41, dan seorang lagi anak perempuannya serta seorang penumpang bas ekspres berkenaan dikejarkan ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menerima rawatan," katanya.

Ketika kejadian bas berkenaan sedang membawa 26 penumpang dan baru sahaja 15 minit bertolak dari Seri Manjung menuju LCCT.

Kereta terbabit pula dinaiki enam orang yang dipercayai baru pulang daripada bercuti di Klang.
Mohd Jamil berkata, semua 17 penumpang bas itu dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Seri Manjung (HSM).

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta terbabit remuk teruk di bahagian depan manakala bumbungnya hampir tercabut.

"Polis masih menyiasat punca kejadian," katanya.

Mohd Jamil berkata pemandu bas yang dikenali sebagai Julie Marail, 32, mengalami patah tangan dan dibenarkan keluar dari HSM beserta 17 penumpang.

"Seramai 12 orang penumpang bas itu bagaimanapun meneruskan perjalanan ke LCCT kerana mereka sudah menempah tiket penerbangan ke destinasi masing-masing," katanya. - BERNAMA



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my