Sadis, Ngeri Asas Iktibar dan Pengajaran

Saturday, September 3, 2011

Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Bas


KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut dirempuh bas di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, mangsa, Hoi Chien Teck, 34, dari Kampung Sungai Soi, di sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas terperosok di bawah bas itu.

Sebelum kejadian, lelaki itu dipercayai baru saja selesai membaiki motosikalnya di sebuah bengkel berhampiran tempat kejadian sebelum menghala ke Jalan Gambut di sini.

Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Jasmani Yusof, berkata mangsa kemudian cuba melintas jalan dengan motosikalnya tanpa menyedari kehadiran bas yang sedang dalam perjalanan dari Maran ke Terminal Makmur itu.

Mohd Jasmani berkata, pemandu dan penumpang bas seramai 20 orang berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sudah merekodkan keterangan pemandu berusia 59 tahun itu untuk membantu siasatan.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Rempuh Tiang Konkrit



Inalilahi Wainalilahi Rojiun 

SENAI - Seorang maut, manakala dua yang lain cedera parah apabila kereta dinaiki terbabas ke kiri jalan dan merempuh tiang konkrit penunjuk arah jalan dalam kejadian di Kilometer 38.6, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), Kulaijaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, mangsa, Mohamad Jamal Embok Hitam, 36, dari Bukit Seri Senawang, Sungai Gadut, Negeri Sembilan, yang menaiki kereta jenis Honda maut di tempat kejadian.

Menurutnya, dua ahli keluarga lain yang cedera parah dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki tiga sekeluarga telah terbabas ke kiri jalan lalu merempuh tiang konkrit penunjuk arah jalan.

“Mangsa yang memandu kereta terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala yang lain cedera parah dan masih dirawat di Hospital Kulaijaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, kemalangan yang berlaku menyaksikan keadaan aliran trafik di kedua-dua belah arah di lebuh raya berkenaan sesak sejauh satu kilometer.

Sumber: sh


Friday, September 2, 2011

184 kematian hari ke-10 Ops Sikap Ke-24


KUALA LUMPUR 2 Sept. - Jumlah kematian pengguna jalan raya dalam Ops Sikap Ke-24 meningkat kepada 184 orang setakat ini, apabila 18 orang lagi dilaporkan terbunuh pada hari ke-10 semalam.
Daripada 18 kematian terbaru yang direkodkan itu, 13 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal diikuti lima pengguna kereta.

Laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menyatakan, jumlah kemalangan kembali menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 1,178 kes berbanding 1,036 kes semalam.

Selain peningkatan jumlah kemalangan, bilangan saman yang dikeluarkan kepada pesalah lalu-lintas juga bertambah kepada 6,334 saman.

Menurut kenyataan itu, kes kemalangan paling banyak berlaku di jalan Persekutuan iaitu 458 kes, diikuti jalan bandaran (322), jalan negeri (213), lebuh raya (100) dan lain-lain jalan (85).

Tambah kenyataan itu lagi, daripada 1,178 kemalangan dilaporkan, hanya 15 kes melibatkan kemalangan maut.

Ops Sikap Ke-24 dilancarkan pada 22 Ogos lalu sempena Hari Raya Aidilfitri dan akan berakhir pada Selasa depan

Sumber: Utusan Malaysia

Kakitangan UiTM Chendering Maut


Inalilahi Wainalilahi Rojiun

BESUT– Seorang kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Kuala Terengganu terbunuh apabila motosikal yang dinaikinya terbabas sebelum dilanggar sebuah kereta di selekoh Kampung Padang Bual, Hulu Besut, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, mangsa Mohd Nor Hasrul Basiran, 24, menaiki motosikal bersendirian dari arah Keruak, Hulu Besut ke Jerti:h.

:Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas alami kecederaan parah.

Menurutnya, mangsa dari perjalanan dari rumah rakan di Keruak dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Besi namun apabila sampai di tempat kejadian dipercayai motosikal mangsa telah terbabas akibat jalan licin.

“Setelah terbabas motosikal dan mangsa telah menggelongsor ke laluan bertentangan, malangnya pada masa sama datang sebuah kereta lalu merempuh mangsa dan motosikal.

“Oleh sebab jarak dekat, pemandu kereta, Mohd Noor Che Seman, 35, dari Kampung Chalok, Setiu tidak sempat mengelak menyebabkan motosikal terperosok di bahagian depan kereta,” katanya.

Mayat mangsa yang masih bujang di hantar ke bilik mayat Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Kemalangan maut ini yang kedua dicatatkan berlaku di daerah ini sepanjang Ops Sikap 24 dilaksanakan.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Azmi Che Harun, 26, berkata, sebelum itu mangsa dan 19 rakan lain telah berkonvoi dengan motosikal ke rumah rakannya (Mohd Azmi) di Kampung Keruak.

“Kami tiba di Kampung Keruak kira-kira jam 6 petang tetapi 15 minit kemudian belum pun sempat naik ke atas rumah kawan saya, Mohd Nor Hasrul tergesa-gesa mahu pulang semula ke Dungun.

“Kami larang dia balik seorang diri dan minta dia pulang bersama selepas Isyak tetapi katanya ada kenduri di rumah keluarganya,” katanya.

Mohd Azmi berkata, dia mengetahui rakan sekampungnya itu meninggal dunia kira-kira jam 9 malam setelah dihubungi waris mangsa di Bukit Besi.

 Sumber: SH

Remaja Putus Kaki


KULIM- Seorang remaja lelaki berusia 24, putus kedua belah kakinya apabila motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggangi mangsa merempuh motosikal jenis sama di hadapannya sebelum terseret ke pembahagi jalan.

Mangsa ditemui di tengah jalan arah bertentangan dalam keadaan parah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 2 pagi kelmarin apabila mangsa dan empat rakan lain datang dari arah Baling menuju ke Butterworth.

Katanya, mangsa yang cedera parah ditemui terbaring di tengah jalan arah bertentangan.

“Kejadian melibatkan lima motosikal dan dua kereta. Kesemua kenderaan terlibat dari arah sama.

“Seorang penunggang motosikal yang berada di hadapan telah merempuh bahagian belakang sebelah kanan sebuah kereta lalu terjatuh sebelum dilanggar oleh mangsa yang tidak sempat memberhentikan motosikalnya.

“Akibat rempuhan kuat itu, mangsa bersama motosikal tunggangannya terseret ke pembahagi jalan. Kedua-dua belah kaki mangsa putus dan mangsa tercampak di laluan bertentangan,” katanya.

Ghuzlan berkata, mangsa yang cedera dibawa ke unit kecemasan Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan. Kedua-dua kaki mangsa yang terputus ditemui di bawah pembahagi jalan. Kaki mangsa gagal disambung semula kerana kecederaan parah dialaminya.

Sehingga kini, mangsa yang parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala tiga lagi dirawat di wad.

Seorang daripada penunggang motosikal terlibat cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar. Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: SH

Kanak Perempuan Digilis Bas


IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan terbunuh selepas digilis bas apabila dia terjatuh daripada motosikal yang ditunggang ibunya di Km40 Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat Perak Tengah, Khamis.

Ketua Polis Trafik Negeri, Superitendan Wan Abdullah Ishak berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 3.20 petang Khamis, Nor Ezwin Mohd Erwan, 6berasal dari Kampung Bakar Arang, Kota Setia, Sungai Renggam, Perak Tengah.

“Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, Jumaat.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa membonceng motosikal yang ditunggangibunya Rodiah Abdullah, 40-an dalam perjalanan dari Sitiawan ke Teluk Intanapabila dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal lain.

Katanya, akibat kejadian itu mangsa tercampak di atas jalan dan gilis oleh sebuah bas yang datang dari arah belakang, manakala ibu mangsa terselamat.

Sementara itu, seorang wanita terbunuh selepas kereta yang dipandu suaminya terbabas dan merempuh penghadang jalan di Km 285.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekatsini pada pukul 3 petang Khamis.

Mangsa Rohaya Darus, 41 berasal dari Taman Mulia, Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, manakala suami mangsa terselamat dalam kejadian itu. Ketika kejadian mangsa bersama suaminya dalam perjalanan dari Utara ke Selatan apabila sebuah tayar kereta yang mereka naiki meletup lalu terbabas dan merempuh penghadang jalan. – BERNAMA

Sumber: mynewshub


Wednesday, August 31, 2011

Muhyiddin Sedih Kemalangan Jalan Raya Meningkat


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu melahirkan rasa sedih dengan peningkatan jumlah kemalangan di jalan raya pada musim perayaan ini.

Beliau berkata peningkatan itu terutama sekali di jalan-jalan negeri dan bandaran tidak sepatutnya berlaku kerana pelbagai kempen telah diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, sehingga Jabatan Keselamatan Jalan Raya ditubuhkan bagi menangani perkara itu.

Jumlah kes kemalangan jalan raya terutamanya yang melibatkan motosikal membimbangkan kerajaan, katanya.

"Saya rasa sedih.., paling banyak kes melibatkan motosikal. Kempen dah lama kita jalankan sehingga kita tubuhkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya tetapi malangnya perkara ini masih berulang sama ada pada musim perayaan atau bukan musim perayaan," katanya.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai peningkatan kemalangan jalan raya di musim perayaan ini semasa ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Kompleks Seri Pekembar di sini Rabu.

Sebanyak 15 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dicatatkan pada hari kelapan Ops Sikap-24 semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus meneliti langkah terbaik bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini dan meskipun langkah memperketatkan peraturan mungkin menerima bantahan banyak pihak.

Pengguna jalan raya, kata beliau boleh menyalahkan jalan yang berlubang-lubang atau sempit sebagai punca kemalangan namun ia boleh dielakkan jika mereka berhati-hati dan tidak memandu laju.

Justeru, Muhyiddin menasihati pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab, menghargai nyawa, menghormati satu sama lain dan ingat kepada orang yang disayangi ketika memandu. -BERNAMA

Sumber: mStar


Tak Sempat Beraya




INALILAHI WAINALILAHI ROJIUN
 
PORT DICKSON – Dalam kesibukan umat Islam menuju ke bandar Port Dickson membeli keperluan sempena Aidilfitri, malang bagi seorang pemuda apabila maut selepas terlibat kemalangan di bandar itu, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa, Mohamad Hadzwan Kamarudin, 20, berasal dari Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching Sarawak, menunggang motosikal bersendirian dari arah Telok Kemang ke Port Dickson.

Mangsa dipercayai merempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan di simpang menghala ke sebuah pasar raya di bangunan PD Central.

Motosikal yang ditunggangi mangsa merempuh bahagian pintu penumpang belakang kereta terbabit sebelum mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superitenden Baljeet Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson, di sini untuk bedah siasat.

Sumber: SH

Tuesday, August 30, 2011

Tragedi Pulang Beraya



 Al-Fatihah,,,

KUANTAN - Hasrat seorang pemuda pulang beraya bersama keluarga berakhir dengan tragedi apabila dia terbunuh dalam kemalangan di Jalan Beserah di sini, awal pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Mohd. Ismail Yunus, 20, dikatakan menunggang motosikal seorang diri dari arah Jalan Teluk Sisek menuju ke Kemaman.

Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Negeri, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.05 pagi.

Menurutnya, mangsa, seorang kakitangan swasta itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Kampung Bakar Tinggi, Kemaman Terengganu.

“Mangsa yang menunggang seorang diri dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum tercampak ke dalam longkang,” katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Zainalabidin berkata, mangsa dipercayai terhentak ke bucu longkang dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu terutama pada musim perayaan.

Sumber: Sinar Harian
              Utusan Malaysia

Sunday, August 28, 2011

Pengantin Baru Maut


Al-Fatihah,,,

SETIU – Inai masih merah di jari, namun takdir telah memisahkan sepasang suami isteri yang baru sebulan mendirikan rumah tangga, apabila si suami maut dalam kemalangan di Kampung Kolam, Merang, di sini, jam 7.50 malam kelmarin.

Mangsa, seorang buruh, Mohd Sapira Mohd Salleh, 30, ketika kejadian, mahu pulang ke rumahnya di Kampung Padang Pisang, Tepoh, Kuala Terengganu, namun hasratnya itu tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam kemalangan maut itu.

Mangsa yang memandu kereta Proton Saga dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu dilanggar sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu Mohamad Arif Mohamad, 16 tahun, dari Kampung Merang, Penarik.

Difahamkan mangsa baru sahaja mendirikan rumah tangga sebulan lalu dan ketika kejadian, arwah baru lepas menghantar isterinya pulang ke kampung di Rantau Panjang, Kelantan.

Menurut Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, kemalangan itu berlaku apabila kereta yang dipandu Mohamad Arif gagal dikawal dalam keadaan hujan renyai sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, pemandu kereta Proton Saga maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat daerah Setiu kira-kira 15 minit kemudian.

“Manakala pemandu Proton Iswara pula mengalami kecederaan parah di seluruh bahagian badan dan dihantar ke Hospital Setiu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya.

Rohaizat berkata, kereta Proton Iswara itu remuk pada bahagian hadapan manakala Proton Saga pula remuk bahagian kanan akibat pertembungan kuat antara kedua-duanya.

Sementara itu, bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, anaknya baru sahaja keluar dari rumah selepas berbuka puasa bersama ahli keluarga untuk menghantar barang berdekatan rumahnya.

“Tidak sangka pula saya dikejutkan dengan berita kemalangan yang begitu menyayat hati kerana sebelum ini Mohamad Arif memang selalu membawa kereta saya walaupun tidak mempunyai lesen memandu.i,” katanya.

Sumber: SH

Beraya Di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS)



TEMERLOH – Hasrat seorang perunding teknologi maklumat (IT) untuk pulang ke kampung halaman dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan bersama 10 ahli keluarga musnah apabila dia terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14.5 Jalan Bentong Raub kira-kira jam 1 petang, Jumaat lalu.

Akibatnya, Wan Jamali Wan Kamarudin, 39, kini ditempatkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan berkemungkinan besar terpaksa beraya di wad.

Menceritakan detik kejadian, Wan Jamali berkata, ketika kejadian dia bersama 10 ahli keluarga merancang perjalanan untuk pulang awal.

Menurutnya, ketika tiba di pertengahan jalan antara Raub dan Bentong, dia memandu secara perlahan untuk singgah di masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

“Tiba-tiba datang sebuah kenderaan dari arah bertentangan memasuki lorong dipandu saya lalu menyebabkan rempuhan secara berhadapan.

“Akibatnya saya tersepit dan alami cedera parah di kaki dan tangan, nasib baik semua ahli keluarga hanya alami calar-calar pada badan,” katanya, semalam.

Wan Jamali berkata, doktor sahkan lutut kanannya cedera teruk dan perlu dibedah.

Menurutnya, tangan kirinya juga patah dan kemungkinan besar raya tahun ini tidak dapat disambut bersama sanak saudara di kampung.

Wan Jamali berkata, isterinya juga yang kampungnya di Tumpat telah pulang bersama anak-anak ke rumahnya di Kuala Lumpur dan kemungkinan besar tidak pulang beraya di kampung halaman.

“Kami memang tinggal di Tumpat, jadi tidak ada masalah untuk merancang perjalanan balik awal ke kampung.

“Namun apakan daya, ini adalah pengalaman pertama beraya di hospital.

“Saya nasihatkan kepada mereka yang memandu pulang ke kampung di saat akhir supaya berhati-hati ketika memandu,” katanya.

Wan Jamali ditemui Sinar Harian ketika Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan ziarah bertemu pesakit di HoSHAS, pagi semalam.

Dalam kemalangan terbabit pemandu kereta yang bertembung dengan kenderaan Wan Jamali meninggal dunia di tempat kejadian.

Sumber: Sinar Harian

Dua Wanita Maut Dirempuh Van

BAGAN SERAI 28 Ogos - Dua penumpang maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas sebelum dirempuh sebuah van di Kilometer 202, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah di sini tengah malam tadi.

Kedua-dua mangsa ialah Noorzaihan Ishak, 28, dan adik iparnya Nurhasyimah Halim, 20.

  Keadaan kereta yang dinaiki mangsa

Ketika kejadian kira-kira pukul 12.08 tengah malam mereka dalam perjalanan dari Kedah ke rumah suami Noorzaihan di Batu Caves, Selangor untuk pulang berhari raya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, kereta Proton Satria yang dipandu suami Noorzaihan gagal dikawal selepas dipotong secara laju oleh sebuah kenderaan lain.

Berikutan itu, kereta dinaiki keluarga malang itu terbabas dan merempuh besi penghadang di tengah lebuh raya.

Mat Fauzi berkata, ketiga-tiga mereka kemudian cuba keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.

"Tiba-tiba, sebuah van tidak sempat mengelak lalu merempuh kedua-dua wanita itu menyebabkan mereka tercampak dan cedera parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, suami Noorzaihan bagaimanapun terselamat apabila sempat mengelak dirempuh van itu.
Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat, manakala pemandu van bersama tiga penumpang cedera ringan.

Sumber: Utusan Malaysia

Penurunan Kes Kematian Hari Kelima Ops Sikap-24


Pada 27 Ogos - Bilangan kematian dalam Ops Sikap Ke-24 yang masuk hari keempat semalam meningkat kepada 77 orang.

Sebanyak 24 lagi kematian dicatatkan dan jumlah itu merupakan yang tertinggi sejak Ops Sikap sempena Hari Raya Aidilfitri dijalankan sejak Selasa lalu.

Sepanjang tempoh 24 jam semalam juga, sebanyak 20 kes kemalangan maut dicatatkan daripada 1,625 kes kemalangan yang dilaporkan di seluruh negara.

Daripada 24 angka kematian yang dicatat semalam, jalan persekutuan merekodkan 13 kematian, diikuti tiga kematian masing-masing di lebuh raya, jalan bandaran dan lain-lain jalan serta dua kematian di jalan negeri.

Menurut laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), penunggang motosikal terus mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 14 orang, diikuti pengguna kereta (6), pejalan kaki (2) manakala pengguna lori dan lain-lain kenderaan masing-masing satu kematian.

Kenyataan itu turut menyebut, sehingga semalam, PDRM mengeluarkan sejumlah 9,556 saman atas pelbagai kesalahan.

Ops Sikap Ke-24 dimulakan Selasa lalu dan akan berakhir pada 6 September depan sempena sambutan Lebaran pada tahun ini.


Pada 28 Ogos (Bernama) -- Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pada hari kelima Ops Sikap-24 semalam menurun berbanding Jumaat dengan mencatat 17 kematian, walaupun jumlah kenderaan bertambah di kebanyakan jalan-jalan utama di seluruh negara.

Menurut Polis Bukit Aman dalam laman webnya, rekod kematian berikutan kemalangan jalan raya semalam hanya 17 orang berbanding 24 orang pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, penunggang motosikal mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 11 kematian, dan masing-masing tiga kematian membabitkan pengguna kereta dan pejalan kaki.

Menurut kenyataan itu, 17 kematian itu dicatatkan dalam tujuh kemalangan maut di jalan persekutuan, enam kemalangan maut di jalan bandaran dan masing-masing satu kemalangan maut di jalan negeri dan lain-lain jalan.

Sementara sebanyak 9,108 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi semalam.

Ops Sikap yang dilancarkan oleh Timbalan Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada Isnin lepas bertujuan menyedarkan orang ramai mengenai pemanduan berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya pada musim perayaan akan berakhir 6 Sept ini.

Sumber: Utusan 
             Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount