Saturday, August 20, 2011

Pengusaha kain maut tersepit


BATANG KALI - Seorang pengusaha kain maut setelah tersepit di bawah kereta yang dihempap treler muatan batu-bata seberat 30 tan dalam satu kemalangan di Kilometer 40, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Taman Tasik Teratai, di sini tengah hari semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa, Nazrul Islam, 38, warga Bangladesh maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta patah hampir keseluruhan abdomen.

Ketua Polis Dearah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta jenis Toyota Rush yang melanggar belakang kereta mangsa ketika berhenti di persimpangan Taman Tasik Teratai.

“Mangsa yang memandu berseorangan dipercayai berhenti di persimpangan itu sebelum sebuah kereta yang mengekori dari belakang merempuh kereta mangsa menyebabkan tersasar ke laluan bertentangan.

“Ketika itu, treler muatan batu-bata yang datang dari arah Batang Kali gagal mengelak lalu merempuhnya menyebabkan kenderaan mangsa diseret kira-kira lima meter sebelum melanggar paip air utama di bahu jalan, seretan itu turut menyebabkan kereta mangsa terbalik dan terjunam ke tebing longkang,” katanya kepada Sinar Harian.

Norel berkata, mangsa maut serta merta, pemandu treler, Mohd Nazri Rashid tidak mengalami sebarang kecederaan sementara pemandu kereta Rush dilaporkan stabil.

Laporan polis telah dibuat laporan di Balai Polis Serendah.

Menurutnya, mayat mangsa di bawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Kejadian tragis itu turut memaksa anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu (KKB) mengambil masa lebih empat jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Operasi itu dilakukan dengan bantuan dua kren, dua lori penunda serta sebuah jentolak.

Usaha menyelamat turut dibantu orang awam yang sejak awal lagi mengerumuni lokasi kejadian.

Pada awalnya, operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba KKB, Abdul Latif Mat Noor itu dimaklumkan terdapat empat mangsa tersepit di bawah kenderaan.

Bagaimanapun, setelah empat jam usaha menyelamat dilakukan, bomba mengesahkan hanya seorang mangsa terlibat dalam kelamangan itu, semalam.

Sumber: SH


Pemandu Treler Dikehendaki Polis


SUNGAI PETANI – Polis menjejaki pemandu sebuah treler yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Alor Setar Butterworth dekat Sungai Lalang yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut akibat pergeseran.

Pegawai Penyiasat, Inspektor Isalihin Boyahmin berkata, pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan menghilangkan diri sejurus selepas berhenti seketika di lokasi.

Menurutnya, mana-mana saksi yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat boleh menghubunginya menerusi talian 019-7080747.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila mangsa, Keritaran Arumugam, 18, berasal dari Bedong yang ketika itu tiba di simpang lampu isyarat bergeser dengan seorang lagi penunggang motosikal yang sedang berhenti bagi menunggu lampu isyarat hijau untuk ke Bukit Selambau.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal, Zamri Hasan, 38, terjatuh ke hadapan manakala Keritaran pula terjatuh ke sebelah kiri,” katanya.

Menurutnya, Keritaran yang juga seorang anak tunggal menuntut di Kolej PTPL baru sahaja pulang dari hospital bagi mendapatkan rawatan susulan setelah mengalami kecederaan di bahagian dagu akibat kemalangan terdahulu.

“Selepas terjatuh dari motosikal, Keritaran yang tidak sempat mengelak digesel sebuah treler yang datang dari arah belakang menyebabkan dia maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, ketiga-tiga kenderaan datang dari arah sama iaitu dari Sungai Petani ke Sungai Lalang.

“Menurut maklumat mangsa kedua (Zamri), ketika terjatuh dia ada dengar bunyi hon dan menoleh ke arah kiri jalan sebelum ternampak sebuah treler sedang menuju ke arah lokasi dan melanggar mangsa.

“Masa itu juga, dia juga memaklumkan ternampak pemandu treler berhenti untuk melihat kejadian, namun pemandu berkenaan teruskan perjalanan selepas berhenti seketika,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan, Keritaran maut di tempat kejadian dan Zamri mengalami cedera ringan bagaimanapun pihak polis masih mencari pemandu treler yang terbabit dalam kejadian itu.

Sumber: SH

Pekerja Kilang Maut Digilis Lori


Al-Fatihah

PRAI: Seorang pekerja kilang maut selepas terjatuh daripada motosikalnya dan digilis sebuah lori di KM 139.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Juru, di sini hari ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Seberang Perai Tengah ASP S Manogaran berkata Mohd Farid Sulaiman, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari Bagan Ajam ke tempat kerja di Perai. Motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah motosikal lain menyebabkan mangsa terjatuh.

"Sebuah lori yang kebetulan berada di laluan sama tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa," katanya kepada pemberita, di sini.


Mayat Mohd Farid dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Beliau juga berkata kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih lima kilometer. - Bernama

 Sumber: metro
               sinar harian


Hati-Hati Di Laluan Bahaya


IPOH – Bagi memastikan penurunan kes kemalangan pada musim cuti perayaan Aidilfitri, polis telah mengenal pasti beberapa lokasi di negeri ini yang didapati kerap berlaku kemalangan maut.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, seramai 234 anggota polis trafik ditempatkan di lokasi berkenaan sempena Ops Sikap ke-24 yang bermula 22 Ogos hingga 16 September.

“Laluan tersebut ialah Jalan Ipoh-Simpang Pulai, Ipoh-Teluk Intan, Ipoh-Butterworth, Jalan Sitiawan-Taiping, Ipoh-Kuala Lumpur dan Teluk Intan-Hutan Melintang.

“Lokasi lain adalah Seri Manjung-Simpang Lekir, Sitiawan-Teluk Intan, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli dan Ipoh-Taiping,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya mensasarkan penurunan kemalangan sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu di negeri ini melalui Ops Sikap ini.

“Ops Sikap ke-22, kita berjaya menurunkan kadar kemalangan sebanyak lima peratus dan tahun ini kita optimas sasaran yang sama akan dicapai,” katanya,

Ops Sikap ke-24 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini akan dilancarkan di seluruh negara oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada Isnin ini.

Kemalangan 8 Beranak


Al-Fatihah

BANDAR BAHARU - Seorang terbunuh manakala lima lagi cedera apabila van yang dinaiki terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di kilometer 174.5 Lebuh Raya Utara Selatan, menuju ke arah utara kira-kira jam 11.20 malam, kelmarin.

Semua mangsa terlibat dilaporkan tinggal di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Ketua Polis Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris berkata, dari siasatan awal mendapati punca kemalangan berlaku apabila tayar belakang van terlibat pecah sebelum hilang kawalan.

Mangsa yang terkorban Hasbullah Abd Rahman, 30, manakala mereka yang tercedera Salmah Hassan 52, Siti Sarah 28, Khairul Bariah Abd Rahman, 22, dan Muhamad Anir Shafiq, 16.

“Van ini dinaiki lapan beranak. Mereka dikatakan baru balik dari melawat seorang waris yang sakit. Tayar belakang sebelah kiri van pecah dan mengakibatkan pemandu hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.

“Mangsa yang berada dalam van tercampak keluar dan jatuh di laluan bertentangan sebelum dirempuh kenderaan lain.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera mendapat rawatan di Hospital Sungai Bakap. Jenazah dikebumikan di Sik, semalam,” katanya.

Helmi menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya jangan memandu dengan laju dan menjalankan pemeriksaan untuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik.

Sumber: SH

Kemalangan Lori dan Bas Ekspres


BAGAN SERAI - Dua lelaki maut di tempat kejadian apabila lori membawa muatan barangan elektronik hilang kawalan sebelum bergesel dengan bas ekspres di Kilometer 187.8, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Bukit Merah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari, apabila lori dari arah utara ke selatan hilang kawalan sebelum bergesel dengan bas ekspres dari arah sama.

Menurutnya, akibatnya, lori berkenaan terbabas dan melanggar pengadang jalan sebelum terhumban ke bawah jambatan.

“Pemandu dan kelindan lori terpelanting keluar selain jatuh ke bawah jambatan.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan dan meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Mat Fauzi berkata, pemandu lori, Rosdin Rahim, 38, dan kelindannya, Zulkifli Mohamed, 23, kemudian dihantar ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Parit Buntar dengan sebuah jentera telah datang ke lokasi kejadian untuk membantu menyelamat mangsa.

Sementara itu, katanya, barangan elektronik bertaburan di atas jalan yang sedang dibaiki oleh Plus.

“Lori membawa barangan elektronik dipercayai dari arah utara (Butterworth) menuju ke Ipoh remuk selain mengalami kerosakan teruk.

“Manakala, bas ekspres terbabit hanya mengalami kerosakan kecil, sementara pemandu bas yang juga masih belum dikenal pasti identitinya bersama kira-kira 15 penumpang selamat, dan meneruskan perjalanan ke selatan dengan bas lain,” katanya.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, kesesakan sepanjang kira-kira dua kilometer berlaku di laluan berkenaan.

Sumber: SH

Friday, August 19, 2011

Elak Pulang Kampung Dengan Motosikal


SUNGAI PETANI 18 Ogos - Kajian Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mendapati menunggang motosikal untuk pulang ke kampung sempena musim Hari Raya Aidilfitri ibarat menempah maut.

Pengarah JKJR negeri, R. Surentharan berkata, berdasarkan pemerhatian dan data pihaknya, risiko menunggang motosikal adalah lebih 1,000 kali ganda berbanding menaiki kapal terbang, kereta api, bas dan kereta.

Justeru, kata beliau, motosikal sewajarnya menjadi kenderaan terakhir digunakan untuk pulang berhari raya ke kampung kerana tiada jaminan keselamatan dalam penggunaannya.

"Orang ramai perlu membuat perancangan awal sebelum pulang ke kampung dan tidak memilih motosikal kerana ia amat mengundang risiko," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri kepada pemandu bas di Stesen Bas Ekspres Sungai Petani, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM), Saadan Man.

Statistik nahas jalan raya pada tahun lepas menunjukkan seramai 4,535 penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia dengan jumlah kes kematian kira-kira 66 peratus daripada keseluruhan kes kemalangan yang direkodkan.

Menurut Surentharan, orang ramai juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti bas untuk pulang ke kampung berbanding memandu kenderaan sendiri.

"Pada musim perayaan, jumlah kenderaan akan bertambah tiga kali ganda daripada hari biasa. Keadaan itu juga merupakan faktor utama berlakunya kesesakan jalan raya dan menyebabkan kemalangan," jelasnya.

Statistik Kemalangan





Rentung! Hanya Plat Kereta Menjadi Bukti Jasad


Al-Fatihah

KANGAR - Seorang penuntut perubatan tahun akhir di Allianze University College of Medical Science (ACMS) kampus Kangar di sini, terbunuh selepas kereta Perodua Myvi yang dinaikinya dirempuh dari belakang di Kilometer 7.2 Jalan Kangar-Alor Setar dekat sini, malam kelmarin.

Akibat rempuhan tepat pada bahagian tangki minyak oleh pemandu lain, Lim Tai Eng, 58, yang memandu Toyota Corolla SEG dari belakang kira-kira jam 7.50 malam itu menyebabkan kenderaan mangsa terbakar dan mangsa meninggal dunia.

Mangsa Mohamad Danial Zulkifli, 24, yang dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kangar selepas dirempuh gagal keluar akibat kakinya tersepit dalam kenderaan yang sedang terbakar.

Malah, api yang marak itu membakar hampir 100 peratus tubuhnya sehingga gagal dikenal pasti.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Suprintendan Rosli Yahaya berkata, Mohamad Danial terbunuh selepas kemalangan itu manakala Lim Tai Eng terselamat dan hanya patah bahu selepas berjaya meloloskan diri dari kereta Toyota Corolla yang dipandunya.

Menurutnya, disebabkan keadaan mayat yang rentung, identiti Mohamad Danial hanya dapat dikenal pasti melalui lampu suluh pen milik mangsa yang digunakan ketika pembelajaran.

Malah, bapa mangsa yang juga Timbalan Ketua Pengarah di salah sebuah pejabat kerajaan di Putrajaya turut membuat pengesahan bahawa mangsa adalah Mohamad Danial melalui nombor pendaftaran kenderaan Myvi berkenaan.

Katanya, pengecaman mayat Mohamad Danial dibuat bapa saudara mangsa di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah, di sini.

Lim Tai Eng kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan kes itu disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Ada eksiden dekat masjid (di Perlis)...hati-hati ketika memandu,”

itu antara mesej terakhir mangsa kemalangan, Muhammad Danial Zulkifli, 24, yang dipaparkan dalam akaun Facebook miliknya minggu lalu.

Muhammad Danial yang mengemaskini status akaun facebook miliknya menasihati rakan dalam senarai akaunnya supaya berhati-hati ketika menggunakan jalan raya memandangkan banyak berlaku kemalangan terutama pada musim perayaan. Pelajar tahun akhir jurusan perubatan Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) itu bagaimana pun meninggal dunia kira-kira jam 7.50 malam kelmarin apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di kilometer 7.2 Jalan Alor Setar-Kangar.

Ibunya, Rosnah Othman, 54, berkata kali terakhir dia berjumpa anak kedua daripada tiga beradik itu adalah ketika mangsa pulang ke rumahnya di Presint 9, Putrajaya kira-kira dua minggu lalu untuk menyambut kedatangan Ramadan. “Pada waktu itu, dia pulang ke rumah dihantar seorang rakannya. Saya juga sempat meminta bantuannya memandu kereta untuk membawa saya menyelesaikan urusan.

“Dia seorang anak yang baik, pendiam dan mendengar kata orang tua. Tidak banyak perubahan dalam diri Allahyarham sepanjang dia pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi jenayah anaknya yang dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Selatan, Presint 20, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.


Rosnah berkata, kali terakhir dia menghubungi anaknya dua hari sebelum kejadian kemalangan itu berlaku. “Saya tanya pada dia sudah makan atau tidak. Dia jawab mahu keluar sebentar bersama rakannya membeli makanan. “Saya hubungi dia kira-kira jam 8.30 malam iaitu sebelum keluar ke surau menunaikan solat Tarawih, tetapi pada hari kemalangan berlaku, Muhammad Danial keluar seorang diri tanpa membawa rakannya,” katanya. Katanya, dia sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham dan menganggapnya sebagai suratan takdir. Sementara itu, bapa mangsa yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pendaftaran Negara, Zulkifli Rahmat, 54, berkata beliau mendapat tahu mengenai kematian Muhammad Danial selepas dimaklumkan polis kelmarin.

Zulkifli berkata difahamkan kejadian berlaku ketika Muhammad Danial dalam perjalanan pulang dari Alor Setar menghala ke Kangar, apabila kereta Myvi dipandunya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain. “Kawan dia beritahu Muhammad Danial nak cari makan buka puasa di Alor Setar dan tak mahu buka puasa di rumah.

“Dalam perjalanan, Allahyarham ubah fikiran dan mahu berpatah balik ke Kangar sebelum dilanggar sebuah kereta lain dari arah belakang ketika mahu membuat pusingan U,” katanya, sambil memaklumkan anaknya itu bakal menamatkan pengajiannya pada akhir tahun ini.



Zulkifli berkata, sebelum meninggalkan pusara Allahyarham, dia sempat berpesan supaya Muhammad Danial tinggal di alam sana dengan tenang dan mereka sekeluarga sentiasa mendoakan rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman... Amin

Sumber : metro
              kosmo
              utusan


3 Beranak Maut di Simpang Awana Kijal


Al-Fatihah

KEMAMAN: Hanya pakaian raya yang baru dibeli menjadi kenangan abadi tiga beranak yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 127, Jalan Kuala Terengganu–Kuantan di persimpangan masuk ke Awana Kijal & Spa Resort, Kijal, di sini, kelmarin.

Kejadian pada jam 11.15 malam itu berlaku ketika mangsa, Aswari Ariffin, 36, isterinya, Nik Herna Haryani Mokhtar, 28, dan anak tunggal mereka, Mohd Airil Zufairi Aswari, 3, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gong Cengal, Kemasek, di sini, selepas membeli persiapan Aidilfitri di Kuantan.


Mereka mati di tempat kejadian manakala adik Nik Herna, Nik Nursyafikah Mokhtar, 10, yang berada dalam kenderaan itu patah kaki dan tangan serta cedera di kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dipandu Aswari dari Kuantan ke Kuala Terengganu terbabas sebelum bertembung sebuah Suzuki Swift yang datang dari arah bertentangan.

Menurut seorang lagi adik Nik Herna, Nik Mohd Khairul Azim Mokhtar, 20, ahli keluarganya itu mengambil kesempatan cuti umum sempena Nuzul Quran untuk membeli-belah bagi menyambut Aidilfitri di Kuantan.

“Abang ipar saya (Aswari) yang bekerja di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, baru mendapat gaji Selasa lalu dan dia menyewa Perodua Viva untuk membawa keluarganya membeli persiapan menyambut Aidilfitri.

“Dia bersama kakak dan anak bertolak ke Kuantan pada jam 11 pagi, tapi kira-kira sejam kemudian mereka berpatah balik untuk mengambil Nik Nursyafikah kerana sudah berjanji membawanya untuk membeli baju raya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Kemaman, semalam.

Nik Mohd Khairul berkata, dia tahu mengenai kemalangan itu selepas ibunya menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga yang memaklumkan kejadian pada jam 12 tengah malam.

“Kami bergegas ke tempat kejadian dan mendapati semua mereka sudah dibawa ke Hospital Kemaman.

“Apabila tiba di hospital, kami terkejut apabila mendapati kakak, abang ipar dan anak mereka sudah meninggal dunia manakala Nik Nursyafikah dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” katanya.

Bapa Nik Herna, Mokhtar Said, 52, berkata malam sebelum kejadian dia hairan melihat cucunya, Mohd Airil bangun bersahur dan membawakan segelas air minuman.

“Saya agak terkejut kerana sebelum ini dia tidak pernah bangun sahur dan kelihatan ceria sepanjang pagi itu, namun saya tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk bakal berlaku,” katanya yang mengakui tidak berasa sedap hati dan berdebar sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata ketika kejadian, keluarga terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasek di sini, selepas membeli-belah di Kuantan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa terbabas dan gagal dikawal lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung sebuah Suzuki Swift yang datang dari arah Kuala Terengganu,” katanya.

Menurutnya, tiga beranak terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nik Nursyafikah parah di kepala serta badan dikejarkan ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan lanjut.


“Pemandu Suzuki Swift, Ahmad Tajuddin Mohd Ariffin, 25, pekerja Tenaga Nasional Berhad yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Chukai patah kaki dan masih dirawat di Hospital Kemaman,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang meninggal dunia dipercayai akibat parah di kepala dan badan dibawa ke Bilik Mayat Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pekan Kemasik di sini, pada jam 2 petang semalam.

Sementara itu, abang ipar Nik Herna, Rahmat Idris, 29, yang ditemui di HSNZ memaklumkan Nik Nursyafikah berada dalam keadaan koma sejak dipindahkan ke hospital itu, awal pagi semalam.

“Saya tidak pasti keadaan sebenar Nik Nursyafikah yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik, cuma dimaklumkan doktor dia patah kaki dan tangan,” katanya.

Sumber: Kosmo
             myMetro
             Utusan

Thursday, August 18, 2011

9 Warga Indonesia Maut Di Engkelili


Salam Takziah...

KUCHING – Sembilan warga Indonesia yang sedang dalam perjalanan pulang ke Sambas, Kalimantan Barat selepas bercuti di Sarawak, maut apabila kenderaan SUV yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori dekat Engkelili, Sri Aman, awal pagi ini.

Mereka yang terkorban dikenal pasti sebagai Juhran, 26; Asmadi, 51; Yusran Said, 29; Maulidi Jabiah, 25; Muslimin Jabiah, 25; Ilham Tamrin, 27; Ilham Muzani, 26; Jafri Annuar, 26; dan Junaidi Tamrin, 38.


 Konsul Indonesia, Joko Suprapto ketika dihubungi berkata, kemalangan berlaku kira-kira 3.30 pagi ketika kesemua mereka yang dipercayai sedang bercuti di Sarawak dalam perjalanan pulang ke Sambas, Kalimantan Barat dari Bintulu.


 Katanya, pihak konsul Indonesia dimaklumkan tentang kejadian tersebut pagi ini dan kini masih lagi menunggu pengesahan dokumen mangsa daripada pihak polis dan hospital.



"Kita bersimpati dengan keluarga mangsa dan kini sedaya upaya untuk memastikan segala urusan penghantaran jenazah mangsa yang kita percayai ada hubungan saudara (kekeluargaan) dapat dihantar pulang ke Indonesia,” katanya sambil mengesahkan bahawa semua mangsa adalah warga Indonesia. – Bernama

Sumber: Kosmo
              bintulu.org
              The Star
              myMetro


Pelajar Perubatan AUCMS Rentung


Al-Fatihah

KANGAR – Seorang pelajar perubatan rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Km7.2, Jalan Kangar-Alor Setar dekat sini malam tadi.

Pegawai Turus Trafik Perlis ASP Rosli Yahya berkata kejadian berlaku kira-kira 7.50 malam dan pelajar itu dikenal pasti sebagai Mohammad Danial Zulkifli, 24, pelajar tahun akhir di Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) di sini.


Katanya, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu pelajar yang berasal dari Putrajaya itu dari arah Alor Setar menghala Kangar tiba-tiba membuat pusingan U lalu dilanggar oleh sebuah kenderaan di belakangnya.

Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan itu terbakar manakala pelajar itu yang tersepit di tempat duduk gagal menyelamatkan diri dan mati di tempat kejadian, katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Rosli berkata pemandu sebuah lagi kenderaan, Lim Tai Eng, 58, dari jalan Raja Syed Alwi di sini terselamat apabila sempat keluar dari kenderaannya yang turut terbakar. – BERNAMA

Sumber: mynewshub
             Utusan
             TheStar


Wednesday, August 17, 2011

Senarai Larangan JPJ Bagi Lori Pada Cuti Perayaan Aidilfitri 2011

LARANGAN PENGGUNAAN KENDERAAN BARANGAN SEMASA CUTI PERAYAAN
HARI RAYA AIDILFITRI 2011 ( 27, 28 OGOS DAN 03, 04 SEPTEMBER 2011 )



KATEGORI 1

Lori balak, lori pengangkut bahan binaan seperti simen, besi, keluli, batu, pasir, tanah kecuali yang dibenarkan dibawah kategori 3.

Lori pembancuh simen dan jentera berat ( kren, low loader dan lain-lain jentera berat)

  • Sekatan penuh (total ban) pada 27, 28 OGOS DAN 03, 04 SEPTEMBER 2011

KATEGORI 2

Lori kontena/ kargo membawa barang-barang elektronik/ elektrik

Lori kontena / kargo dari pelabuhan ke lapangan terbang tidak setempat

  •  Dibenarkan beroperasi daripada jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam

KATEGORI 3

Lori pembancuh simen (Concrete Mixer Truck)
Kren bergerak ( Mobile Cranes)
Lori tipper pengangkut batu dan pasir

  • Dibenarkan beroperasi daripada jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang, disekitar kawasan Lembah Klang(70KM daripada pusat bandar) dan kawasan Bandaraya Johor Bahru, Ipoh dan Kuantan (50KM daripada pusat bandar) sahaja. Tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan-jalan tertentu
KATEGORI 4

Lori gas dan kimia untuk bekalan perubatan dan industri kimia

Lori kontena/ kargo dari dan ke lapangan terbang

Lori kontena/ kargo dari pelabuhan ke lapangan terbang setempat

Lori kargo membawa bahan keperluan harian (makanan , minuman siap dari kilang, buah-buahan , sayuran , bahan-bahan mentah, surat khabar , barangan runcit dan ternakan ) atau lori kosong dalam perjalanan pulang

Lori mengangkut sampah dan bahan kumbahan (sewerage)

Lori kecil d’controlled (BDM 5,000 kg dan ke bawah)

Lori kontena/kargo antara terminal di pelabuhan setempat (ITT)

Lori kontena/ kargo dari pelabuhan ke gudang dan sebaliknya serta sekitar kawasan industri yang berhampiran dengan pelabuhan

Lori tanker pengangkut bahan bakar (petroleum/ diesel, gas dan LPG)

Lori dan jentera yang terlibat dalam kerja-kerja kecemasan dan menyelamat (rescue operation)

  • Tidak dikenakan sekatan



 Sumber: Protal JPJ

Pemandu bas ekspres digesa ikut peraturan


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta semua pemandu bas ekspres agar mematuhi peraturan keselamatan jalan raya bagi bersama-sama memastikan kadar kemalangan jalan raya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini berkurangan.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd. Nadzri Osman berkata, setiap pemandu bas ekspres tidak harus mementingkan diri sendiri semata-mata mahu cepat sampai ke sesuatu destinasi.

"Ini kerana setiap perjalanan sudah ditetapkan bila ia akan sampai dan anda tidak perlu memandu bas dengan laju sehingga menimbulkan ketakutan kepada para penumpang.

"Jangan kejar 'OT' (kerja lebih masa) untuk menambahkan pendapatan kerana anda sebagai pemandu juga memerlukan rehat yang secukupnya," katanya pada pertemuan dengan pemandu dan pengusaha pelbagai syarikat bas di Pejabat JPJ Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pertemuan dengan pemandu bas itu merupakan antara pendekatan terbaru yang diguna pakai oleh JPJ bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya pada sambutan perayaan kali ini.

Jelas Mohd. Nadzri, pertemuan itu penting bagi memastikan segala permasalahan atau isu berbangkit yang dihadapi oleh pemandu bas ekspres diberi perhatian oleh JPJ.

"Selain pemeriksaan di depot bas serta penyamaran anggota di dalam bas, JPJ turut meluangkan masa bertemu dengan pemandu-pemandu bas untuk mengetahui permasalahan mereka terutama sekali dari segi penguatkuasaan undang-undang," katanya.

Antara yang hadir ialah pemandu bas dari syarikat Pancaran Matahari, Darul Iman Ekspres, Maraliner, Altabina, Handal, Bulan Restu, Etika serta Mahligai.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nadzri memberitahu, sebanyak 528 pemandu bas ekspres yang telah diperiksa mempunyai rekod pemanduan bersih.

"Itu hanya sebahagian daripada jumlah pemandu bas yang telah diperiksa apabila JPJ meminta syarikat-syarikat bas menghantar senarai nama pemandu bas.

"Kami tidak akan berkompromi dengan pemandu yang mempunyai banyak rekod kesalahan atau lesen digantung kerana ia berkaitan dengan nyawa manusia," katanya.

 Sumber: Utusan

Pesakit Nahas Ambulans Meninggal Dunia


Al-Fatihah

MELAKA: Seorang pesakit yang cedera parah ketika dibawa dengan ambulans yang dirempuh sebuah teksi di persimpangan lampu isyarat persimpangan Seri Negeri di sini Isnin lepas, meninggal dunia di Hospital Melaka pada Rabu.

Mariam Baba, 73, dari Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai meninggal dunia kira-kira 9.10 pagi.

Zaidi Senan, 43, anak bongsu kepada Mariam memberitahu pemberita di hospital ibunya mati setelah menerima rawatan lanjut.

"Sebab kematian tidak diketahui kerana masih menunggu jenazah yang akan dibedah siasat," katanya yang merasa terkilan dengan kematian ibunya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Mariam, seorang pesakit kritikal yang dilaporkan sebagai mangsa samun dan dua lagi termasuk seorang doktor dan jururawat mengalami cedera parah ketika dalam perjalanan dari Hospital Melaka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, ASP V. Gunasegaran berkata sebuah teksi telah merempuh ambulans berkenaan menyebabkan ia hilang kawalan dan terbalik.

Pemandu ambulans itu Mambang Rudy Hartono, 41, serta pemandu teksi Ali Muhamad, 30, hanya mengalami cedera ringan sementara doktor dan jururawat yang tidak didedahkan identiti mereka dihantar ke HKL untuk rawatan lanjut.

Sumber: myStar

       

Teksi Berlanggar Ambulans


MELAKA: “Sebaik menghampiri ambulans, jururawat wanita itu mengerang kesakitan dan meminta tolong lalu saya mengangkatnya dengan berhati-hati ke tepi jalan,” kata anggota penyelamat pantai sambilan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Tan Bun Han, 40, saksi kejadian kemalangan membabitkan ambulans dan teksi, di Jalan Tun Abdul Razak menghala ke Plaza Tol Ayer Keroh, malam kelmarin.



Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, ambulans yang dinaiki lima orang termasuk pesakit wanita warga emas yang kritikal akibat pendarahan kepala, terbalik di tengah jalan sejurus dirempuh teksi dari arah Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Kejadian di persimpangan Seri Negeri-MITC, itu menyebabkan pesakit, Mariam Baba, 73, yang disamun di rumahnya di Bukit Rambai, kira-kira sembilan jam sebelum itu dan dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) cedera parah dan kini menerima rawatan intensif di Hospital Melaka (HM).
Sementara itu, jururawat, Yuhanis Yasin, 30, juga dirawat di HM, manakala doktor lelaki berusia 25 tahun terpaksa dirujuk ke HKL akibat kecederaan parah dialami.

Dua lagi mangsa, pembantu perawatan dan pemandu ambulans, Mambang Rudy Hartono, masing-masing berusia 56 dan 41 tahun, hanya cedera ringan, manakala pemandu teksi dikenali, Ali Muhammad Don tidak cedera.

Menurut Tan, dia berada di belakang ambulans dan mendakwa melihat kenderaan itu dilanggar teksi berkenaan di bahagian belakang menyebabkannya hilang kawalan dan terbalik.

“Saya berhenti di persimpangan apabila lampu isyarat bertukar merah dan memberi laluan kepada ambulans meneruskan perjalanan.

“Tiba-tiba muncul teksi dari arah MITC melanggar sebelah kiri di bahagian belakang ambulans menyebabkan ia terhuyung-hayang sebelum terbalik ke sebelah kanan.
“Saya terus memandu ke arah ambulans untuk memberi bantuan,” katanya.

Tan berkata, dia kemudian didatangi seorang lelaki mengatakan ibunya yang sakit berada di dalam ambulans dan menolongnya dengan dibantu pemandu dan atendan ambulans.

“Kami membuka pintu belakang ambulans dan ternampak pesakit sedang tertiarap, manakala doktor lelaki yang cedera di kepala berusaha keluar sendiri melalui cermin hadapan yang pecah sebelum baring di bahu jalan.

“Saya kemudian membantu atendan dan pemandu ambulans mengeluarkan pesakit sebelum orang ramai datang membantu lalu saya menelefon talian kecemasan,” katanya.



Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Azmi Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian membabitkan kakitangan HM dan pesakit terbabit.

“Saya difahamkan keadaan pesakit wanita dan jururawat adalah tenat dan masih dirawat ketika ini, manakala doktor sudah dirujuk ke HKL. Pemandu ambulans dan pembantu perawatan pula cedera ringan,” katanya.

Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam Melaka Tengah, Asisten Superintendan V Gunasegaran berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ambulans dari HM sedang membawa pesakit menuju ke HKL memberi siren dan terus bergerak ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat Seri Negeri-MITC.

“Apabila tiba di pertengahan simpang, tiba-tiba sebuah teksi keluar dari simpang MITC ke Seri Negeri menyebabkan ambulans berlanggar dengannya dan terbalik.Menurutnya siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi cawangan Trafik IPD Melaka Tengah di talian 06-283 4139.

Sumber: Metro
             Sinar Harian

Ibu Maut Bertembung Lori 5 Tan

LUKUT – Seorang ibu maut manakala anaknya cedera apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori lima tan yang membawa muatan batu binaan di Kilometer 21 Jalan Lukut-Sepang 12.45 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, mangsa ysng dikenali sebagai Toh Siew Lin, 55, maut sebaik tiba di Klinik Kesihatan Lukut sementara anaknya, Loo Chang Ming, 25, dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Seremban untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta dari arah Sepang memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan lori.

“Pemandu lori cuba mengelak, namun tidak berjaya kemudian terbabas dan merintangi jalan.

“Pemandu lori berkenaan cedera ringan di bahagian kaki dan mendapat rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

Menurutnya, mangsa dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian berikutan tangki minyak kereta sudah bocor.

“Tindakan awal diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian lebih buruk berlaku jika kereta berkenaan meletup dan terbakar,” katanya.

Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

Sumber: SH


Monday, August 15, 2011

Nasi Ayam Sahur Terakhir Buat Suami

Al-Fatihah

MELAKA 14 Ogos - Seorang pemandu teksi dan seorang jururawat terbunuh apabila dua kereta yang dipandu mereka terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Datuk Md. Zin, Lebuh AMJ, Cheng, di sini awal pagi ini.

Pemandu teksi jenis Proton Iswara itu ialah Ismail Zainol Abidin,45, dan jururawat Hospital Mahkota, Cynthia Lim Ching Gek, 24, yang memandu Proton Saga BLM.

Ketika kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Ismail dalam perjalanan dari Alor Gajah ke Melaka Sentral, manakala Ching Gek pula dari arah bertentangan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, sebaik sahaja tiba di persimpangan itu, Proton Saga membelok ke arah Batu Berendam dan ketika itulah teksi tersebut telah melanggar kereta terbabit.

"Pemandu kedua-dua kenderaan itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, isteri Ismail, Suraini Md. Derani, 40, berkata, suaminya baru bersahur bersamanya dan empat anak mereka di rumahnya di Taman Sri Kelemak, Alor Gajah di sini, pukul 3.30 pagi.

"Kami bersahur bersama tetapi arwah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik dan cuma makan sedikit sahaja hidangan nasi ayam dan makanan lain yang dibeli di bazar Ramadan.

"Arwah kemudian keluar untuk memandu teksi, namun pukul 5.40 pagi saya terkejut apabila anggota polis datang ke rumah memaklumkan suami saya kemalangan dan berada di hospital," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka di sini hari ini.



Tambahnya, semasa dalam perjalanan ke hospital, dia mendapat panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan suaminya telah meninggal dunia.

"Saya terus menjadi lemah, tak tahulah bagaimana hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini, tambahan pula bila mengenangkan arwah telah membuat persiapan awal membeli pakaian raya anak-anak tahun ini," katanya menahan sebak.

Arwah yang meninggalkan isteri dan empat anak berusia lima hingga 13 tahun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, selepas Asar, petang ini.



Sementara itu sumber dari Berita Harian, Suraini yang mempunyai empat orang anak berusia lima hingga 13 tahun dan menetap di Taman Sri Kelemak, Alor Gajah berkata, beliau tidak menyangka sahur pagi semalam yang terakhir bersama suaminya.

Katanya, ketika bersahur suaminya tidak menunjukkan sebarang tanda pelik kecuali hanya makan sedikit saja nasi ayam yang dihidangkan, sebelum keluar bekerja pada jam 3.30 pagi, awal dari kebiasaannya.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 5.40 pagi anggota polis menghubungi saya memaklumkan mengenai kecelakaan yang mengorbankan suami saya termasuk seorang wanita.

“Saya kaku dan hanya mampu mengalirkan air mata sebaik mendengar berita itu. Tiada yang menyedihkan melainkan orang yang tersayang pergi menghadap Ilahi buat selama-lamanya, menjelang kehadiran Syawal," katanya sebak ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, semalam.

Sumber: Utusan 
              Berita Harian
              Kosmo



Pasangan Kekasih Nyari Rentung di Jambatan Pulau Pinang


GEORGETOWN - Tindakan pantas pengguna jalan raya memberi bantuan dengan mengeluarkan sepasang kekasih dari sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 0.4 jambatan Pulau Pinang berjaya menyelamatkan nyawa mereka apabila kereta itu tiba-tiba terbakar.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi semalam apabila pasangan berusia lingkungan 20-an berkenaan dalam perjalanan dari Georgetown ke Butterworth sebelum kereta yang dinaiki terbabas.

Kereta berkenaan kemudian melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar secara tiba-tiba dan berpusing beberapa kali membuatkan orang ramai terpaksa memberhentikan kenderaan masing-masing.

Melihatkan keadaan kereta yang terbakar dan masih ada orang di dalam, orang ramai dengan pantas membawa keluar pasangan terbabit yang ketika itu agak panik dan terperangkap dalam kenderaan.

Ketika dikeluarkan dari kereta, kaki kanan mangsa perempuan dilihat sudah terbakar manakala pasangannya yang juga pemandu hanya mengalami kecederaan ringan dan kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Difahamkan, ketika menyelamatkan pasangan terbabit api sedang marak namun orang ramai bertindak berani dan ia ternyata berjaya menyelamatkan mangsa.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yaakob Abdul Aziz berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 2.04 pagi dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 10 minit kemudian.

“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Perai selain anggota bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian walaupun pada mulanya agak sukar kerana jalan sesak hampir lima kilometer dari tempat kemalangan," katanya.

Sumber: SH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount