Al-Fatihah
MELAKA 14 Ogos - Seorang pemandu teksi dan seorang jururawat terbunuh apabila dua kereta yang dipandu mereka terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Datuk Md. Zin, Lebuh AMJ, Cheng, di sini awal pagi ini.
Pemandu teksi jenis Proton Iswara itu ialah Ismail Zainol Abidin,45, dan jururawat Hospital Mahkota, Cynthia Lim Ching Gek, 24, yang memandu Proton Saga BLM.
Ketika kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Ismail dalam perjalanan dari Alor Gajah ke Melaka Sentral, manakala Ching Gek pula dari arah bertentangan.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, sebaik sahaja tiba di persimpangan itu, Proton Saga membelok ke arah Batu Berendam dan ketika itulah teksi tersebut telah melanggar kereta terbabit.
"Pemandu kedua-dua kenderaan itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, isteri Ismail, Suraini Md. Derani, 40, berkata, suaminya baru bersahur bersamanya dan empat anak mereka di rumahnya di Taman Sri Kelemak, Alor Gajah di sini, pukul 3.30 pagi.
"Kami bersahur bersama tetapi arwah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik dan cuma makan sedikit sahaja hidangan nasi ayam dan makanan lain yang dibeli di bazar Ramadan.
"Arwah kemudian keluar untuk memandu teksi, namun pukul 5.40 pagi saya terkejut apabila anggota polis datang ke rumah memaklumkan suami saya kemalangan dan berada di hospital," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka di sini hari ini.
Tambahnya, semasa dalam perjalanan ke hospital, dia mendapat panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan suaminya telah meninggal dunia.
"Saya terus menjadi lemah, tak tahulah bagaimana hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini, tambahan pula bila mengenangkan arwah telah membuat persiapan awal membeli pakaian raya anak-anak tahun ini," katanya menahan sebak.
Arwah yang meninggalkan isteri dan empat anak berusia lima hingga 13 tahun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, selepas Asar, petang ini.
Sementara itu sumber dari Berita Harian, Suraini yang mempunyai empat orang anak berusia lima hingga 13 tahun dan menetap di Taman Sri Kelemak, Alor Gajah berkata, beliau tidak menyangka sahur pagi semalam yang terakhir bersama suaminya.
Katanya, ketika bersahur suaminya tidak menunjukkan sebarang tanda pelik kecuali hanya makan sedikit saja nasi ayam yang dihidangkan, sebelum keluar bekerja pada jam 3.30 pagi, awal dari kebiasaannya.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 5.40 pagi anggota polis menghubungi saya memaklumkan mengenai kecelakaan yang mengorbankan suami saya termasuk seorang wanita.
“Saya kaku dan hanya mampu mengalirkan air mata sebaik mendengar berita itu. Tiada yang menyedihkan melainkan orang yang tersayang pergi menghadap Ilahi buat selama-lamanya, menjelang kehadiran Syawal," katanya sebak ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, semalam.
Sumber: Utusan
Berita Harian
Kosmo
jauhkan menimpa kita dan keluarga yg tercinta
ReplyDelete