loading...
Monday, August 15, 2011
Pasangan Kekasih Nyari Rentung di Jambatan Pulau Pinang
GEORGETOWN - Tindakan pantas pengguna jalan raya memberi bantuan dengan mengeluarkan sepasang kekasih dari sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 0.4 jambatan Pulau Pinang berjaya menyelamatkan nyawa mereka apabila kereta itu tiba-tiba terbakar.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi semalam apabila pasangan berusia lingkungan 20-an berkenaan dalam perjalanan dari Georgetown ke Butterworth sebelum kereta yang dinaiki terbabas.
Kereta berkenaan kemudian melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar secara tiba-tiba dan berpusing beberapa kali membuatkan orang ramai terpaksa memberhentikan kenderaan masing-masing.
Melihatkan keadaan kereta yang terbakar dan masih ada orang di dalam, orang ramai dengan pantas membawa keluar pasangan terbabit yang ketika itu agak panik dan terperangkap dalam kenderaan.
Ketika dikeluarkan dari kereta, kaki kanan mangsa perempuan dilihat sudah terbakar manakala pasangannya yang juga pemandu hanya mengalami kecederaan ringan dan kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Difahamkan, ketika menyelamatkan pasangan terbabit api sedang marak namun orang ramai bertindak berani dan ia ternyata berjaya menyelamatkan mangsa.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yaakob Abdul Aziz berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 2.04 pagi dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 10 minit kemudian.
“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Perai selain anggota bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian walaupun pada mulanya agak sukar kerana jalan sesak hampir lima kilometer dari tempat kemalangan," katanya.
Sumber: SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment