loading...

Saturday, January 28, 2012

Rempuh Tiang Lampu


KULIM - Dua remaja lelaki berusia 20an nyaris maut apabila kereta jenis Nissan 120 Y yang dinaiki mereka merempuh tiang lampu di jalan utama ke Simpang Empat Taman Kenari kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Menurut mangsa, dia dalam perjalanan dari arah Hospital Lama menuju ke Taman Kenari.

Apabila tiba di tempat kejadian sebuah kereta dari Taman Kenari menuju ke Pekan Kulim menuruni bukit dalam keadaan laju.

Mangsa cuba mengelak dari dirempuh oleh kenderaan terlibat lalu terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh tiang lampu sehingga patah.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk manakala rakan mangsa yang berada di kerusi penumpang tersepit di tempat duduk.

Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang ramai dengan bantuan anggota Ikatan Relwan Rakyat (Rela) yang sedang membuat rondaan di sekitar kawasan itu.

Mangsa tersepit mengalami kecederaan patah kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan kecemasan.

Dari siasatan awal dijalankan mendapati kereta digunakan mangsa dimiliki oleh seorang wanita beralamat di Kelantan.

Ketua polis Trafik Kulim, ASP Ismail Ayub berkata, terdapat beberapa jalan di sekitar Kulim harus di selenggarakan kerana ia terlalu curam dan membahayakan pengguna jalan raya.

Menurutnya, Simpang Empat Taman Kenari merupakan salah satu kawasan kemalangan dan meminta orang ramai supaya memperlahankan kenderaan ketika tiba di kawasan itu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan berada dalam keadaan stabil manakala pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Kereta yang dipandu mangsa telah di bawa ke balai polis Trafik kulim untuk siasatan lanjut.

“Saya berharap penunggang motosikal dan pemandu kereta supaya memperlahankan kenderaan mereka apabila menaiki atau menuruni jalan di sekitar Kawasan Taman Kenari. Ini adalah kerana jalan itu tidak lurus.

“Apabila ini berlaku kenderaan dari arah bertentangan tidak dapat mengelak kenderaan yang datang dari arah depan dalam keadaan laju,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/berpantang-maut-sebelum-ajal-1.20370

Penunggang maut dirempuh Proton Myvi



BERA – Seorang peniaga yang menunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta Proton Myvi apabila mangsa keluar simpang tanpa berhenti di Kilometer 2 Jalan Lama Triang - Bahau berdekatan Klinik Kesihatan Triang, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, mangsa, Tan Ken Cheng, 46, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai keluar dari simpang tanpa berhenti terlebih dahulu menyebabkan dia dirempuh kuat serta diheret beberapa meter.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian dipercayai cedera teruk di kepala. Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, mangsa di bawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk dibedah siasat.

Mohd Zahid berkata, pengguna seharusnya lebih prihatin dengan peraturan lalu lintas supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini seperti ini.

“Sepatutnya, pada setiap simpang keluar, pengguna mesti berhenti dahulu sebelum memastikan ia benar-benar selamat untuk keluar.

“Memandangkan kawasan ini mempunyai banyak simpang atau lorong kecil, pengguna perlu berhati-hati lebih-lebih kenderaan akan bergerak laju di jalan utama di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Takziah...

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/peniaga-maut-nahas-motosikal-dirempuh-kereta-1.20671

Hajat membeli kereta tak kesampaian

Inalillahi wainailaihi rojiun  

JELI: “Arwah berhajat membeli kereta Mac depan menggunakan wang simpanan, tidak kesampaian apabila meninggal dunia terlebih dulu,” kata Ismail Mohamad, 53, selepas isterinya, Kamariah Rani, 50, terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 93.5, Jalan Kota Bharu-Machang-Grik dekat Kampung Lakota, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa menunggang motosikal jenis Nitro bersama anak lelakinya, Mohd Zarfan Daniel Daud, 9, dipercayai dirempuh Perodua ViVa yang dalam perjalanan dari Tanah Merah menuju Dabong, Kuala Krai.


Mohd Zarfan patah kedua-dua paha dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Menurut Ismail, arwah isterinya sebelum itu mahu ke rumah adiknya, Mat Johan, 47, di Kampung Lakota bagi menghadiri kenduri sempena menduduki rumah baru.


“Kami sempat makan bersama sebelum arwah bertolak dengan anak kami jam 11.30 pagi.


“Saya kemudian pulang ke rumah di Kampung Sungai Satan sebelum dikejutkan dengan panggilan jiran memaklumkan kemalangan itu terus ke tempat kejadian,” katanya Katanya, dia sudah mengesyaki sesuatu tidak kena berikutan kelakuan arwah yang akhir-akhir ini seperti yang tidak mahu berenggang dengannya.

“Kami berdua menoreh dan jika di rumah, arwah sering menghubungi saya supaya pulang lebih awal.


“Arwah seorang isteri yang baik walaupun kami baru tiga tahun hidup bersama,” katanya.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Jeli untuk dibedah siasat.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautpergikenduri/Article/index_html


Proton Iswara bertembung Nissan Cefiro

MELAKA: Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta Proton Iswara dipandunya bertembung Nissan Cefiro dipandu seorang wanita di persimpangan Taman Pewira Cheng, Jalan Tanjung Minyak, dekat sini, semalam.

Difahamkan dalam kemalangan jam 1.30 tengah hari itu, kereta dipandu wanita berusia 30-an itu datang dari Bukit Rambai ke pusat bandar ini, bertembung kereta dipandu lelaki berusia 30-an berkenaan.


Akibat pertembungan itu, lelaki berkenaan yang menaiki kereta terbabit bersama dua penumpang lain tersepit dalam kenderaannya dan cedera di muka dan leher, manakala wanita berkenaan cedera pada muka. Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman mengesahkan kejadian dan menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga mengakibatkan kemalangan.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Tigatersepitduakeretabertembung/Article/index_html

2 lori, 7 kereta, 1 van berlanggar


GEORGETOWN: Kira-kira 10 pemandu nyaris maut apabila seorang drebar lori gagal memberhentikan kenderaannya sebelum merempuh kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, semalam.


Kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu membabitkan 10 kenderaan iaitu dua lori, tujuh kereta dan sebuah van berhampiran simpang lampu isyarat ke Sunny Point menghala ke Gelugor dan Universiti Sains Malaysia (USM).


Sebuah kereta jenis Volkswagen Passat bernilai lebih RM250,000 rosak teruk akibat rempuhan kuat di bahagian belakang menyebabkan ia terperosok antara lori dan kenderaan lain.

Selain itu, sebuah kereta Proton Saga turut remuk, manakala enam kenderaan lain terhimpit antara satu sama lain dan sebuah lori membawa sisa pepejal melintang di tengah jalan raya.


Tiada kecederaan parah dilaporkan dan pemandu lori melarikan diri selepas kejadian.


Pemandu kereta Proton Saga yang dikenali sebagai Jason Loo, 29, berkata, dia terkejut apabila keretanya dirempuh dari belakang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

“Saya terkejut kerana kereta saya terperosok dengan kereta lain, namun bernasib baik kerana tiada kecederaan berlaku,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori 12 tan berusia 30-an itu dari arah Jalan Sungai Nibong menghala ke Jalan Sultan Azlan Shah dan dikatakan membrek lorinya secara mengejut.

Katanya, ketika itu terdapat pelbagai jenis kenderaan berhenti berhampiran lampu isyarat kerana ketika itu lampu merah dan akibat brek mengejut, lori itu gagal berhenti sebelum melanggar kenderaan di depannya.


Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk sepanjang lima kilometer, namun trafik kembali lancar selepas sepasukan anggota bomba dari Jalan Perak mengalihkan kenderaan berkenaan.


Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ahmad Bakhtiar Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan masih dijalankan. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), Inspektor Syed Azman Syed Abdul Aziz di talian 04-2181887.


Sumber:
hmetro.com.my/articles/Tragedilampumerah/Article

Thursday, January 26, 2012

Kereta angkut petrol rempuh gerai


BUNUT SUSU – Seorang warga emas terselamat apabila kedai makannya di Kampung Penggu, dilanggar kereta dengan muatan kira-kira 20 tong petrol, jam 6.30 pagi, semalam.

Mangsa, Siti Fatimah Awang, 60, berkata, ketika dia baru sahaja selesai menunaikan solat Subuh di rumah, dia dikejutkan dengan dentuman kuat dari arah jalan raya.

Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati kedainya rosak manakala pemandu dan penumpang kereta berlumuran darah.

“Saya dapati terdapat puluhan tong berisi petrol berada di belakang kereta berkenaan dan ada sebahagiannya tertumpah di atas jalan raya.

“Mujurlah, kereta ini tidak terbakar, jika tidak, pasti ia akan mengakibatkan kebakaran besar,” katanya semalam.

Fatimah berkata, dia mengalami kerugian hampir RM5,000 kerana bahagian pintu hadapan kedainya, rosak teruk akibat dilanggar kereta tersebut.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan lima anggota.

“Akibat perlanggaran ini, pemandu kereta berkenaan tersepit dan kita berjaya mengeluarkannya dalam masa 19 minit.

“Mangsa dan rakannya yang mengalami kecederaan ringan, dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Bravo Sera, Pok Nik berkata, perlanggaran itu menyebabkan kawasan berkenaan, dipenuhi petrol malah menyebabkan bau yang kurang menyenangkan.

“Kerusi belakang kereta itu juga, tiada dan ia dibuang bagi memudahkan urusan mengambil petrol.

“Kira-kira 20 tong petrol berada di dalam kereta berkenaan dan kita tidak pasti sama ada ia digunakan untuk tujuan penyeludupan,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kereta-angkut-petrol-terbabas-1.19701?localLinksEnabled=false

Wednesday, January 25, 2012

Tokan Dadah Kantoi Dalam Kemalangan

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal melanggar kanak-kanak yang sedang berjalan kaki di Desa Tasik, Sungai Besi semalam, membongkar rahsia lelaki itu memiliki sembilan peket dadah jenis heroin.

Rahsia suspek berusia 22 tahun itu terbongkar selepas seorang anggota polis yang kebetulan melihat kejadian berkenaan menahan lelaki terbabit dan meminta dokumen pengenalan diri.

Namun dalam kejadian pukul 5.20 petang itu, semasa suspek hendak mengeluarkan dokumen miliknya, polis menemui sembilan peket dadah dipercayai heroin yang disimpan di dalam kotak rokok.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak bekerja dan memiliki satu rekod jenayah lampau.

"Kanak-kanak itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius. Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini hari ini.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama lima hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.

Dalam kejayaan kedua, Mohan Singh memberitahu, polis menahan seorang pemandu teksi kerana memiliki pelbagai jenis dadah di kawasan Pusat Perniagaan Metro Pudu, Cheras di sini Jumaat lalu.

Katanya, kesemua dadah itu yang disorokkan di dalam lapan sampul surat dan sampul ang pow terdiri daripada 19 gram dadah jenis ketamin, 95 biji pil ekstasi, 10 biji pil Eramin 5 dan sembilan ketulan mampat ganja.

Tambahnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman sehingga esok.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm

9 Kematian Hari kesembilan Ops Sikap 25

KUALA LUMPUR: Angka kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang Ops Sikap ke-25 sempena Tahun Baru Cina 2012 terus meningkat dengan pertambahan 15 lagi angka korban pada hari kesembilan menjadikan jumlah setakat ini 108 kematian.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), merekodkan tujuh kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal manakala pengguna kereta membabitkan tujuh kematian dan seorang lagi mangsa pejalan kaki.


Namun, jumlah kemalangan menurun dengan 890 kes dicatatkan berbanding hari sebelumnya sebanyak 973 kemalangan jalan raya di seluruh negara dengan 321 kes dilaporkan berlaku di jalan bandaran, 240 di jalan persekutuan, 146 di jalan negeri, 114 di lebuh raya dan 69 di lain-lain jalan.

Lori tangki 15 tan muatan kimia terbalik

JOHOR BAHARU - Sebuah lori tangki seberat 15 tan yang membawa muatan cecair kimia terbalik ketika pemandunya membuat pusingan U di kilometer 19, Jalan Johor Baharu-Ayer Hitam menghala ke Kulaijaya hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, lori yang dipandu A Hamid Md Said, 56, dalam perjalanan dari Pasir Gudang untuk menghantar cecair kimia jenis 'caustic soda' ke sebuah kilang di Taman Teknologi di sini.

"Pemandu lori berkenaan cedera ringan di kepala dan telinganya. Punca sebenar kejadian masih disiasat," kata Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara ACP Ruslan Hassan di sini hari ini.

Sementara itu, Shahrir Abu Bakar, Pengurus Pentadbiran dan Akaun New Port Bulk Terminal Sdn Bhd, syarikat lori tangki itu berkata tiada tumpahan bahan kimia berlaku.

Beliau yang ditemui di tempat kejadian, berkata bahan cecair kimia itu kebiasaanya diguna oleh pihak industri untuk merawat air.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/lori-bawa-cecair-kimia-terbalik-1.20103

Rehatkan diri anda jika keletihan ;)

Anak 6 Tahun Maut Dihempap Van


Inalillahi wainailaihi rojiun

SEREMBAN 25 Jan. - Kegembiraan sebuah keluarga selepas bercuti di Langkawi tidak berpanjangan apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 254.1, Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan dekat Senawang di sini, hari ini.

Danish Abdul Latif, 6, maut di tempat kejadian selepas van jenis Joylong yang dinaiki bersama lapan ahli keluarganya terbabas di tepi longkang lebuh raya tersebut.

Nahas yang berlaku pukul 6.45 pagi itu mengakibatkan mangsa tercampak keluar sebelum van berkenaan menghempap mangsa di kepala.

Ibu mangsa, Zurina Omar, 36, dan bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, bersama enam lagi ahli keluarga, termasuk dua kanak-kanak berusia setahun dan 10 tahun cedera dan diberi rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

Jurucakap polis memberitahu, van yang dipandu oleh Abdul Latif itu hilang kawalan sebelum terbalik di tepi longkang berkenaan.

"Danish meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap van itu. Mayatnya dihantar ke hospital dan dituntut oleh ahli keluarganya pukul 1 petang ini," katanya di sini.

Jurucakap itu berkata, keluarga tersebut dalam perjalanan ke Johor selepas bercuti di Langkawi, Kedah sempena Tahun Baru Cina.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa, Suhana Sofia Omar, 27, berkata, mereka bertolak malam tadi dan dalam perjalanan pulang ke Johor.

"Ketika kejadian, saya tidur dan cuma sedar apabila van yang kami naiki bergoncang dan terbalik. Ketika itu, saya cuma dengar jeritan.

"Dalam samar-samar itu, kami semua merangkak keluar menerusi cermin van yang pecah, tetapi saya dapati Danish tiada.

"Selepas mencari di dalam van, hati kami luluh apabila ternampak sebahagian tubuhnya dihempap van dan tidak bergerak lagi," katanya sedih ketika ditemui di HTJ hari ini.

Jenazah Danish dibawa pulang ke Segamat, Johor untuk dikebumikan petang ini.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm




SEREMBAN – “Keadaan masa itu kelam-kabut. Kami memanggil antara satu sama lain,” kata Suhana Sofia Omar, 27, salah seorang mangsa kemalangan membabitkan sebuah van terbalik di Kilometer 254.1 Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, semalam.

Menurut Suhana, sebaik sahaja van dinaikinya terbalik, dalam keadaan panik serta gelap, dia cuba memanggil anak saudaranya, Danish Abdul Latif, 6, yang tidak kelihatan pada masa itu.

“Saya memanggil satu persatu penumpang dalam van, termasuklah memanggil Danish.

“Namun, saya tidak mendengar sebarang sahutan daripada Danish sehinggalah saya berjaya merangkak keluar menerusi tingkap van yang pecah dan mendapati Danish sudah pun terkulai layu terhimpit di bawah van,” katanya ketika menceritakan detik cemas kemalangan berkenaan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, van dinaiki sembilan sekeluarga terbalik selepas terbabas menyebabkan kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat tercampak keluar dan dihempap van terbabit.

Kemalangan itu turut menyebabkan ibu mangsa, Zurina Omar, 36, yang sedang hamil serta bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, bersama enam lagi ahli keluarga lain, termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia satu dan 10 tahun cedera.

Suhana Sofia berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di bahagian belakang van berkenaan.

“Saya mula tersedar apabila secara tiba-tiba terasa van yang kami naiki sudah terbalik di sebelah kiri jalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, Danish meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala lapan lagi penumpang van berkenaan hanya cedera ringan.

“Sewaktu kejadian, van jenis Joylong yang dipandu bapa mangsa dikatakan terbabas, sebelum terbalik di tepi longkang di lebuh raya berkenaan,” katanya.

Al-Fatihah...

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/budak-maut-dihempap-van-1.20162

9 Kematian Hari kelapan Ops Sikap 25

KUALA LUMPUR: Ops Sikap ke-25 sempena sambutan Tahun Baru Cina mencatatkan 93 kematian setakat ini, selepas sembilan lagi maut dalam kemalangan di seluruh negara pada hari kelapan, semalam.

Laman web Polis Diraja Malaysia melaporkan enam kematian membabitkan penunggang motosikal dan tiga pengguna kereta.
Menerusi laporan berkenaan, jumlah kemalangan menurun kepada 973 kes semalam berbanding 1,161 pada hari sebelumnya.
Jalan bandaran kekal mencatatkan rekod kemalangan tertinggi dengan 310 kes, diikuti jalan persekutuan (302), jalan negeri (170), lebuh raya (124) dan 63 kes bagi jalan lain.

Sebanyak 17,736 saman dikeluarkan menjadikan jumlah terkumpul 138,574 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

Ops Sikap kali ini akan berakhir pada 30 Januari. - BERNAMA

Pengantin Baru Maut Selepas Majlis

Inalillahi wainailaihi rojiun 

BESUT - Hasrat seorang pengantin baru menziarahi datuk saudaranya yang tenat di hospital tidak kesampaian apabila maut akibat kemalangan jalan raya kira-kira lima jam selepas majlis pernikahannya dengan lelaki pilihan.

Roshnida Razali, 28, dari Kampung Seri Medang, yang  terlibat dalam nahas jalan raya di satu selekoh tajam berhampiran Kampung Beting Lintang di sini, Ahad lepas, meninggal dunia kira-kira 3.40 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Besut.

Mangsa, seorang ibu tunggal, melangsungkan perkahwinan dengan Azhar Mustafa, 35, dalam satu majlis 11.30 pagi Ahad, berhasrat menziarah datuk saudaranya di
Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bersama suami dan anggota keluarga lain pada sebelah petang hari yang sama.

Azhar ketika ditemui hari ini berkata mereka ke Kuala Terengganu pada kira-kira 5 petang dan kemalangan itu berlaku hanya 10 minit selepas bertolak dari rumah isterinya.

"Ketika tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta Perodua Kembara datang dari arah bertentangan memasuki laluan saya ketika mengambil selekoh, yang menyebabkan perlanggaran kuat dengan kenderaan kami," katanya.

Azhar berkata dalam kejadian itu, dia pengsan seketika dan setelah sedar semula mendapati mangsa yang duduk di sebelahnya, mengerang kesakitan.

Turut berada dalam kereta Proton Saga yang dipandu Azhar ialah ibu mertuanya, Mek Nak Hamid, 51, serta anak Roshnida, Nik Norinsyirah Dialina Nik Mohd Shamsul, 9 tahun.

Azhar berkata isterinya dan dua yang lain dihantar ke Hospital Besut.

Ibu  mertua dan anak tirinya kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan kerana kedua-duanya patah kaki kanan.

"Roshnida ditahan di wad Hospital Besut kerana pihak hospital memberitahu isteri saya tidak mengalami patah atau kecederaan serius, sementara saya dibenarkan pulang pada hari sama walaupun masih berasa teramat sakit pada bahagian dada," katanya.

Azhar berkata Roshnida masih mampu bercakap dengannya namun keadaan mangsa benar-benar tidak bermaya sehinggalah isteri yang dikenali tiga bulan lalu
menghembuskan nafas terakhir di depannya awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Kamaruddin Zakaria mengesahkan kejadian. - Bernama

Al-Fatihah...

Sumber: sinarharian.com.my/nasional/pengantin-baru-maut-5-jam-selepas-nikah-1.20161

Tuesday, January 24, 2012

Simpang Dataran Mentari Merbahaya



PETALING JAYA: Pengguna yang sering melalui Jalan PJS 8/5 dan PJS 8/8 di Dataran Mentari, Sunway, di sini, berdepan situasi bahaya berikutan simpang empat di jalan berkenaan tiada lampu isyarat.

Penduduk, Lee Tim Siew, 42, mendakwa jalan terbabit sentiasa sibuk dengan kenderaan termasuk bas penumpang dan lori berat.


“Pada waktu puncak keadaan huru-hara seketika kerana masing-masing tidak mahu mengalah untuk cepat sampai.

“Pernah sampai satu tahap dengan semua kenderaan berada di tengah jalan berikutan tiada kenderaan yang mahu bertolak ansur membuatkan jalan sesak malah boleh membahayakan nyawa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Tinjauan mendapati rata-rata pengguna tidak menghiraukan keselamatan apabila mereka memecut lalu masuk ke arah simpang berkenaan tanpa menghiraukan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.


Lebih membahayakan apabila laluan itu juga sering digunakan pejalan kaki yang tinggal di kawasan sekitar untuk ke premis berhampiran.

Sementara itu, pemilik kedai haiwan yang hanya mahu dikenali sebagai Joshua, 36, berkata kemalangan sudah biasa dilihatnya, tetapi belum sampai meragut nyawa.


“Laluan di simpang empat itu memerlukan lampu isyarat berikutan ia boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Tindakan segera perlu diambil supaya dapat mengelakkan perkara lebih buruk berlaku,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Persimpangan__8216_huru-hara__8217_/Article/index_html

Warga Bangladesh Maut Dirempuh Diseret



PUCHONG – Beberapa kes kematian yang pernah dilaporkan berlaku di Lebuhraya Bukit Jalil di sini sebelum ini tidak menjadi pengajaran apabila seorang lagi menjadi korban ketika cuba melintas lebuh raya itu, di kilometer 1.6 di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa warganegara Bangladesh yang masih tidak diketahui identitinya maut serta-merta selepas dirempuh dan diseret sebuah kenderaan sebelum tercampak di bahu jalan berdekatan simpang masuk ke Bandar Kinrara.

Jurucakap polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berkata, tindakan lelaki terbabit yang melintas lebuh raya mengundang padah apabila diseret beberapa meter sebelum tercampak di tepi pengadang besi lebuh raya.

“Mangsa ditemui mukanya tersembam oleh penunggang motor yang melalui jalan itu.

“Akibat kecederaan parah dan patah tangan mangsa maut serta-merta di tempat kejadian,”katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-89422222 atau 016-9055595 untuk bantu siasatan.

Sumber: sinarharian.com.my/jenayah/pejalan-kaki-tak-pernah-serik-1.19971

Penjara mandatori pemandu bahaya

KUANTAN - Polis Diraja Malaysia sedia mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan hukuman penjara mandatori ke atas pemandu yang menyebabkan kemalangan maut.

Namun, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, saranan itu harus diperhalusi terlebih dahulu bagi memastikan keberkesanannya.

"Jika hukuman penjara mandatori ke atas mereka (pesalah) boleh  menyedarkan orang lain daripada  melakukan perkara yang sama, kenapa tidak kita lakukan," katanya dipetik Bernama selepas mengetuai Ops Sikap ke-25 peringkat negeri Pahang di sini, hari ini.

Hukuman itu juga katanya telah diperuntukkan ke atas pemandu yang disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Beliau mengulas pandangan Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Tan Sri Lee Lam Thye kelmarin, yang menyarankan agar pihak berkuasa mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Sementara itu mengenai Ops Sikap kali ini, Salleh berkata setakat ini sebanyak 152,356 saman dikeluarkan, iaitu peningkatan 63 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata sepanjang tempoh lapan hari itu juga, sebanyak 82 kemalangan maut dicatatkan dengan 93 kematian dan daripada jumlah 48 adalah penunggang motosikal.

"Secara keseluruhan, operasi kali ini adalah positif, di mana  berlaku penurunan kes kemalangan maut berbanding tahun lepas untuk tempoh yang sama iaitu sebanyak 94 orang.

"Manakala saman kita keluarkan adalah tinggi berbanding tempoh  yang sama pada tahun lepas kerana untuk operasi kali ini kita lebih  mengutamakan aspek penguatkuasaan supaya pengguna jalan raya sentiasa mematuhi had laju yang dibenarkan," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/nasional/pemandu-bahaya-polis-sedia-kaji-penjara-mandatori-1.19916

Tragedi Tahun Baru Cina



SEREMBAN 24 Jan. - Hasrat lima beranak untuk bergembira bagi meraikan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarganya di Puchong, Selangor, bertukar tragedi apabila pasangan suami isteri keluarga itu maut dalam kemalangan di Jalan Mantin-Beranang di Nilai dekat sini hari ini.



Selain pasangan itu, kemalangan ngeri melibatkan dua buah kereta yang berlaku pada pukul 12.30 tengah hari itu turut mengorbankan seorang lagi lelaki yang memandu kereta yang bertembung dengan mereka.

Mereka yang terbunuh ialah penumpang belakang kereta Toyota Vios, Lim Fong Len, 74, dan isterinya, Chong Yoon Ying, 57, serta Tee Chan Hen, 23, yang memandu kereta Proton Saga.

Tiga lagi anak mangsa dalam kereta Toyota Vios terbabit termasuk pemandu dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Seorang saksi, Zakaria Mohd. Kadir, 23, memberitahu, ketika kejadian, dia bersama tiga lagi rakannya sedang bekerja membaiki paip bocor di tepi jalan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila terdengar satu bunyi letupan kuat dan mendapati dua buah kereta dalam keadaan remuk akibat bertembung, iaitu kira-kira 20 meter dari lokasi dia berada.

"Ekoran kejadian itu, saya bersama rakan yang lain berlari ke lokasi kejadian dan cuba membantu mengeluarkan penumpang dalam kereta Toyota Vios terbabit.

"Keadaan ketika itu sungguh mencemaskan kerana beberapa penumpang dalam kereta Toyota Vios terbabit mengerang kesakitan, manakala pemandunya yang tersempit itu pula menjerit-jerit meminta tolong.

"Pemandu kereta Proton Saga itu pula saya lihat sudah tidak bernyawa dan mayat mangsa pula tersepit dalam kenderaannya yang remuk," katanya ketika ditemui dilokasi kejadian di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, pemandu kereta Proton Saga itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambah beliau, seorang penumpang dalam kereta Toyota Vios itu meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Mantin dan seorang lagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini untuk menerima rawatan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang maut itu merupakan ibu bapa kepada pemandu kereta Toyota Vios terbabit dan berasal dari Taman Desa Mantin dekat sini.

"Ketiga-tiga mangsa maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan manakala semua mangsa yang parah menerima rawatan susulan di HTJ.

"Siasatan awal polis mendapati, ketika kejadian lima beranak yang menaiki kereta Toyota Vios tersebut dipercayai dalam perjalanan menghala ke Beranang, manakala kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki itu menghala ke Mantin.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian kereta Proton Saga itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Toyota Vios itu," katanya.

Mohd. Yusoff berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan semua mayat dibawa HTJ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Takziah...

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Kenderaan Berat Tidak Dibenarkan Pada 21, 22, 28 dan 29 Januari

SHAH ALAM – Tanggapan bahawa kadar kemalangan lalu lintas meningkat secara ketara setiap kali musim perayaan tidak berasas, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut, bermula Januari hingga November lalu, setiap hari mencatatkan purata 19 kematian akibat kemalangan.

Sebaliknya kata beliau, disebabkan tumpuan orang ramai ketika musim perayaan, maka sudah wujud persepsi bahawa kemalangan meningkat ketika sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya turut ditanya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu tetapi hakikatnya pada musim perayaan ataupun hari biasa, jumlah purata kematian akibat kemalangan adalah hampir sama.

“Apa yang ketara hanyalah laporan kemalangan itu dilaporkan media setiap hari semasa musim perayaan dan sepanjang operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian Online baru-baru ini.

Oleh itu, kata beliau, Ops Sikap ke-25 pada musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini memberi tumpuan ke atas penunggang dan pembonceng motosikal kerana mereka yang paling ramai terkorban tahun lalu.

Kenderaan berat kecuali lori yang membawa makanan, dilarang menggunakan lebuh raya dan jalan persekutuan pada 21, 22, 28 dan 29 Januari ini untuk mengurangkan risiko kemalangan ke atas kenderaan-kenderaan kecil.

Penemuan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan (Miros) menunjukkan dua faktor utama menjadi punca kemalangan iaitu manusia dan kejuruteraan jalan itu sendiri. Laporan itu turut mendapati 80 peratus punca kemalangan adalah disebabkan oleh faktor manusia.

“Antara sikap pemandu itu sendiri yang ada kala membahayakan diri sendiri dan orang lain. Tidak kurang juga pemandu yang gagal menjangkakan tentang kelajuan kereta lain apabila memotong kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Ops Sikap ke-25 sempena sambutan Tahun Baru Cina mencatatkan 93 kematian setakat ini, setelah sembilan lagi maut dalam kemalangan di seluruh negara pada hari kelapan, semalam.

Laman web Polis Diraja Malaysia melaporkan enam kematian membabitkan penunggang motosikal dan tiga pengguna kereta.

Laporan itu juga menyebut jumlah kemalangan menurun kepada 973 kes semalam berbanding 1,161 pada hari sebelumnya.

Jalan bandaran kekal mencatatkan rekod kemalangan tertinggi dengan 310 kes, diikuti jalan persekutuan (302), jalan negeri (170), lebuh raya (124) dan 63 kes bagi jalan-jalan lain.

Sebanyak 17,736 saman dikeluarkan menjadikan jumlah terkumpul 138,574 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

Ops Sikap kali ini akan berakhir pada 30 Januari ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/nasional/menteri-tanggapan-kemalangan-naik-masa-perayaan-tak-benar-1.19895

Monday, January 23, 2012

Pandulah Cara Berhemah

PULAU PINANG 23 Jan. - Sikap pengguna jalan raya ke arah pemanduan yang berhemah dikatakan dapat mengurangkan kadar kemalangan sepanjang Ops Sikap ke-25 sempena sambutan Tahun Baru Cina yang berakhir 30 Januari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, perubahan sikap pengguna jalan raya bukan sahaja boleh mengurangkan kemalangan malah mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Penurunan kadar kemalangan yang lebih tinggi boleh dicapai sekiranya pengguna jalan raya mematuhi had laju yang ditetapkan dan menjadi pengguna yang bijak bagi mengelak kemalangan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat tinjuan di kawasan Ops Sikap di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Menurut Ayub, sebanyak 844 kes kemalangan termasuk tiga kemalangan maut yang mengakibatkan kematian seorang penunggang basikal, seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta dicatatkan di negeri ini.

Katanya, 8,328 saman telah dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan sepanjang Ops Sikap ini.

"Bagi Ops Sikap kali ini kami akan bertindak tegas dan tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang dan dijangkakan jumlah saman akan bertambah sehingga Ops Sikap ditamatkan.

"Kita juga telah menggerakkan anggota bagi mengawal trafik dan ketenteraman awam agar semua lapisan masyarakat dapat meraikan Tahun Baru Cina dengan aman dan selesa," katanya.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_04.htm

Deretan lori dan treler membahayakan

KOTA TINGGI 23 Jan. - Sikap pemandu meletakkan lori mereka di bahu jalan utama Felda Simpang Waha dekat sini, bukan sahaja menyebabkan gangguan lalu lintas, malah membahayakan pengguna laluan berkenaan.

Ini kerana, deretan lori dan treler tersebut menyebabkan kenderaan dari kedua-dua arah terpaksa bergilir-gilir untuk melepasi kawasan berkenaan.

Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, pemilik kenderaan itu tidak sepatutnya meletakkan lori dan treler tersebut di bahu jalan, sebaliknya menempat kenderaan berkenaan di kawasan yang disediakan.

"Ini kerana, ia akan menyusahkan pengguna lain terutamanya malam. Jalan dua hala itu disediakan untuk pengguna memandu dengan selesa, tetapi kehadiran lori ini sangat menyulitkan kami," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rakannya pula berkata, masalah tersebut boleh diatasi sekiranya pemilik lori memiliki rasa tanggungjawab dan tidak mementing diri.

"Baru-baru ini seorang warga emas hampir menjadi mangsa kemalangan ketika hendak keluar simpang. Mujur pemandu kereta itu sempat mengelak dan tidak berlaku insiden yang tidak diingini.

"Kami amat bimbang jika berlaku kemalangan lebih-lebih lagi ketika memandu pada waktu malam.

"Sebelum terjadi insiden yang tidak diingini, saya harap agar pihak berkenaan mengambil inisiatif untuk meletakkan lori masing-masing di tempat yang disediakan," katanya.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_02.htm

84 Kematian 120,838 Saman Pada Hari Ketujuh Ops Sikap Ke-25

KUALA LUMPUR - Penunggang motosikal menjadi penyumbang utama kepada kemalangan maut pada hari ketujuh Ops Sikap ke-25 dengan mencatatkan sembilan kematian daripada 14 kes yang dilaporkan semalam.

Dengan ini, jumlah keseluruhan angka korban sejak Ops Sikap ke-25 dilancarkan Isnin lepas ialah sebanyak 84 orang, menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman webnya.

Pengguna kereta merupakan penyumbang kedua kepada jumlah kematian dengan merekodkan sebanyak empat kematian, manakala pengguna basikal satu kematian.

Daripada 1,161 kemalangan yang dilaporkan, Jalan Bandaran mencatatkan rekod tertinggi iaitu 459 kemalangan, diikuti Jalan Persekutuan 298, Jalan Negeri 189, lebuh raya 161 dan 54 kes bagi jalan-jalan lain.

Polis juga mengeluarkan 18,722 saman semalam, menjadikan jumlah terkumpul setakat tujuh hari operasi itu, kini 120,838 saman atas pelbagai kesalahan.

Ops Sikap sempena Tahun Baru Cina itu akan berakhir pada 30 Januari ini. - Bernama

Maut Dilenyet Rakan

MENGGATAL: Disebabkan terlalu mengantuk dan tertidur di laman rumah, seorang lelaki menemui ajal apabila dilenyek lori lima tan milik rakannya yang kebetulan mengundurkan kenderaan berat itu dalam kejadian di Kampung Lobou berdekatan Taman Flamingo, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, Daniel Asau, 28, tidak menyedari rakan baiknya, Yuslee Kulah, 26, yang tertidur di belakang lori dan terus menggilis tubuh lelaki itu ketika mengundurkan kenderaan untuk ke tempat kerja pada jam 4.40 pagi.


Difahamkan, pemandu itu terkejut apabila mendapati dia seolah-olah melanggar sesuatu, sebelum mendapati rakannya menggelupur kerana parah di kepala dan badan.

Mangsa meninggal dunia beberapa minit kemudian.


Daniel berkata, dia tidak menyedari Yuslee tertidur di bawah bahagian belakang lori yang diletakkan di laman rumah kerana sebelum mengundurkan kenderaan, bapa saudaranya turut mengalihkan vannya di lokasi sama.


Katanya, ketika mengundurkan lori untuk ke tempat kerja bagi menghantar barang, dia berasa seolah-oleh melanggar sesuatu sebelum berhenti untuk memeriksa.

“Saya terkejut mendapati Yuslee terbaring berlumuran darah di bawah lori sebelum mengalihkan tubuhnya itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di rumahnya.


Mengimbas beberapa jam sebelum kejadian, Daniel berkata, dia melihat Yuslee berbual dengan adiknya di laman rumah jam 12 tengah malam.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan Yuslee tertidur di laman selepas adiknya masuk ke rumah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautdilenyekrakansendiri/Article/index_html

Guru Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Maut Dalam Kemalangan

Inalillahi wainailaihi rojiun 


KLUANG: Seorang guru wanita maut, seorang parah manakala empat yang lain cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang dipandu seorang daripada mangsa dilanggar dari belakang dalam kejadian di Kilometer 58, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala Johor Bahru, pada jam 4.15 petang kelmarin.

Mangsa, Zainun Maas, 44, antara enam peserta Program Usrah Perdana yang diadakan di Parit Raja, dekat sini, dan dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru.


Adik Allahyarham Zainun, Marina, 40, ketika ditemui di Hospital Kluang malam kelmarin berkata, arwah anak sulung daripada lapan beradik dan mengajar di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Taman Universiti, Skudai, serta masih bujang.

“Kali terakhir kami berjumpa pada Disember lalu selepas dia pulang dari China dan membelikan ole-ole untuk kami sekeluarga,” katanya.


Menurutnya, jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Raja, Kulai, malam kelmarin.

Al-Fatihah...

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/GurumautMPVnahas/Article/index_html

Bapa Maut Kemalangan Di Jabi

Inalillahi wainailaihi rojiun  

JERTIH: Seorang lelaki maut manakala tiga yang lain termasuk pemandu kedua-dua kereta parah apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Jertih-Kuala Terengganu, dekat Kampung Gong Penaga, Jabi, semalam.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Saarani Mat Yunus, 50, penumpang hadapan kereta Perodua Kancil yang dipandu anaknya, Norhadi Saarani, 30, dalam kemalangan jam 9 pagi. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Zakaria berkata, kenderaan dipandu Norhadi dari Kuala Terengganu terbabas sebelum berlanggar sebuah kereta lain dipandu Wafiuddin Mohd Noor, 23.


“Norhadi yang berasal dari Jalan Maran, Temerloh, memasuki laluan kiri bagi mengelak lubang besar di jalan itu sebelum hilang kawalan lalu bertembung kereta dipandu Wafiuddin yang datang dari arah bertentangan pada sisi sebelah kiri,” katanya.

Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan Saarani yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.


Kamaruddin berkata, Norhadi dan rakannya, Mohamad Shahrul Azlizan Burhan yang duduk di tempat duduk belakang cedera di kepala serta badan dan dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.


Difahamkan ketika kejadian itu, Mohamad Shahrul dalam perjalanan ke Jertih dari Temerloh bersama bapa tirinya dan rakannya manakala Wafiuddin bersama dua rakannya menuju tempat kerja mereka di Renek, dekat sini.

Al-Fatihah...

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapaterbunuhkeretaanakberlanggar/Article/index_html

12 Kematian Pada Hari Keenam Ops Sikap Ke-25

KUALA LUMPUR – Ops Sikap ke-25 yang masuk hari keenam hari ini terus mencatat peningkatan dari segi jumlah kematian dengan 12 orang maut, menjadikan keseluruhan angka korban sebanyak 70 orang sejak operasi itu dilancarkan Isnin lalu.

Laman web Polis Diraja Malaysia melaporkan, daripada 12 kematian dalam 10 kemalangan, tujuh adalah pengguna kereta dan enam penunggang motosikal.

Daripada 1,535 kemalangan yang dilaporkan, 578 kemalangan berlaku di jalan perbandaran manakala jalan persekutuan (396), lebuh raya (238), jalan negeri (228) dan 95 kes bagi jalan-jalan lain.

Polis juga mengeluarkan 15,125 saman semalam, menjadikan jumlah terkumpul setakat enam hari operasi itu kini kepada 102,116 saman atas pelbagai kesalahan.

Ops Sikap ke-25 sempena Tahun Baru Cina itu akan berakhir pada 30 Januari ini. – BERNAMA

Pelajar Makassar Indonesia maut dirempuh bas persiaran



SERDANG – Seorang pelajar Sekolah Menengah (SM) dari Makassar, Indonesia maut apabila bas Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang dinaikinya bersama 29 ahli rombongan lain dirempuh sebuah bas persiaran di Kilometer 307.8 Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, lima daripada 11 penumpang bas persiaran turut mengalami kecederaan parah dan masih mendapat rawatan di Hospital Serdang.

Difahamkan, rombongan dua bas membawa 35 pelajar, 18 mahasiswa, dua pensyarah  dan  lima guru. Masing-masing dari Pasca Sarjana Universitas Halvoleo, Sulawei Tenggara; Sekolah Menengah (SM) Atas Negeri 1 Kendari; SM Atas Negeri3, Makassar;  SM Negeri 2 Kendari dan SM Atas Kartika Kendari Indonesia.

Sinar Harian dimaklumkan kesemua 60 ahli rombongan mengikuti lawatan sambil belajar ke Malaysia dan Songkhla, Thailand.

Kejadian berlaku ketika semuanya dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian membabitkan dua bas yang meragut nyawa seorang penuntut Indonesia, Uci Luciana Adil Taulo, 17,  kira-kira jam 7 pagi.

Menurutnya, mangsa yang cedera dikenali sebagai, Saderi Mat Jedin, 48; Tan Sze Yie, 18; P Sajidaran, 21, warganegara Thailand, Armeeldatumada, 24; dan warga Indonesia  Hartimertirasitulius, 30.

Jelasnya, siasatan awal mendapati bas persiaran yang berada di bahagian belakang laluan kiri lebuh raya mengekori bas membawa rombongan pelajar itu dengan jarak terlalu dekat.

“Mengikut keterangan awal, tayar bas depan meletup secara tiba-tiba menyebabkan bas persiaran yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan belakang bas JLKN itu.

“Rempuhan kuat menyebabkan mangsa yang duduk di tempat duduk terakhir mengalami hentakan kuat dan cedera parah. Mangsa dikejarkan ke hospital, bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan,” katanya.

Abd Razak berkata, kedua-dua bas akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan keterangan pemandu, dia mendakwa memandu dengan kelajuan 90 kilometer/jam. Namun melihat kepada impak kemalangan, didapati wujud keraguan kelajuan dan perkara itu akan disiasat dengan lebih lanjut.

“Apa yang pasti siasatan awal mendapati bas belakang mengekori dengan jarak yang  tidak selamat antara bas dengan bas,” katanya memaklumkan saringan awal ujian air kencing dilakukan kepada kedua-dua pemandu bas didapati negatif.

Takziah...

Sumber: sinarharian.com.my/nasional/pelajar-indonesia-maut-bas-plkn-dirempuh-bas-persiaran-1.19761

Sunday, January 22, 2012

Pengguna jalan raya Kota Tinggi dinasihat berhati-hati


KOTA TINGGI 22 Jan. - Para pengguna jalan raya diminta lebih berwaspada ketika berada di lokasi berisiko kemalangan maut di daerah ini bagi mengelakkan nahas daripada berlaku sepanjang cuti Tahun Baru Cina.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik berkata, mereka yang pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina tidak sepatutnya mengubah suasana gembira kepada tragedi akibat kelalaian dan cuai ketika memandu.

''Pemandu perlu mengelak memandu terlalu laju terutama di jalan yang lurus kerana ia boleh menjadi penyumbang kepada kemalangan maut,'' katanya selepas Majlis Pelancaran Kempen Rumah Selamat dan Ops Sikap ke-25 sempena Tahun Baru Cina di Tapak Pasar Lambak, Taman Sri Saujana di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Lions Club daerah, Pang Hai Shiang dan Pegawai Jabatan Perpaduan daerah, Rahmad Maulud.

Kempen anjuran bersama Lions Club dan Jabatan Perpaduan daerah itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba bersama dengan Che Mahazan mengedarkan 200 cenderamata kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal selain risalah keselamatan.

Menurut Che Mahazan, berdasarkan statistik Ops Sikap tahun lalu, sebanyak tujuh kes kemalangan jalan raya dengan tiga kematian dicatatkan iaitu peningkatan jumlah berbanding 2010.

Pada 2010, sebanyak 89 kes kemalangan yang melibatkan 672 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, bagaimanapun jumlah tersebut meningkat tahun lalu sebanyak 96 kes dengan tiga kematian serta 1,096 saman.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_04.htm

Jalan Seksyen 4 Wangsa Maju Membahayakan


KUALA LUMPUR 22 Jan. – Jalan Seksyen 4 Wangsa Maju di sini tidak jauh jaraknya, namun jalan tersebut merupakan laluan penting kepada ramai pengguna untuk ke kawasan komersial sekitar Wangsa Walk.

Selain itu, jalan tersebut juga menghubungkan penduduk dengan kawasan sekolah, sekali gus menjadikannya sentiasa sibuk dengan kenderaan.

Namun, setiap kali penduduk melalui jalan tersebut, mereka pasti merungut berikutan keadaannya yang rosak teruk.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jalan tersebut sememangnya rosak teruk dengan permukaannya yang berlubang-lubang, beralun, berlopak dan tidak rata.

Seorang pengguna, Azizi Bakar, 26, berkata, jalan yang perlu dilaluinya hampir setiap hari itu kini sangat tidak selesa untuk digunakan dan membahayakan terutama jika hujan dan pada waktu malam.

Namun, menurutnya, memandangkan dia tiada pilihan, jalan tersebut terpaksa dilaluinya setiap hari untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerjanya di Wangsa Walk.

“Saya berharap agar jalan ini akan diturap semula dengan segera supaya ia lebih sempurna dan tidak membahayakan pengguna terutama penunggang motosikal,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Dzulshami Rozaimi, 22, berkata, laluan tersebut tetap menjadi pilihan utama pengguna walaupun membahayakan dan tidak selesa dilalui.

Dia berharap pihak berkuasa sentiasa peka dan sering memantau kualiti dan keadaan jalan di kawasan pentadbiran mereka supaya pengguna selesa dan tidak lagi merungut.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm

Tahun Baru Cina tidak kesampaian


LEDANG – Kegembiraan sepasang suami isteri untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama keluarga di kampung tidak kesampaian apabila mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Parit Bunga dekat sini, semalam.

Lebih malang lagi apabila isteri mangsa, Cheng Le Ping, 23, mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala juga anggota badan yang lain.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu melibatkan kereta Perodua MyVi yang dinaiki mangsa dari arah Muar menghala ke Tangkak, manakala kereta Mercedes dari Tangkak menghala ke Muar.

Mangsa bersama suaminya dari Taman Sakeh Baru, Muar dalam perjalanan pulang ke kampung di Ledang.

Setiba di tempat kejadian dipercayai kereta mangsa cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan tetapi gagal dan hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan.

Ini menyebabkan kereta Mercedes dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa.

Kereta Perodua MyVi remuk teruk di bahagian hadapan dan mangsa tersepit di tempat duduk penumpang.

Pemandu kereta Mercedes dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan dan suami mangsa pula patah kaki kanan.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ledang di talian 06-9781222,” katanya.

Takziah....

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kempunan-makan-besar-1.19659

2 Maut bertembung Lori Ikan

SUNGAI PETANI — Dua pemuda maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori di Batu 13, Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali berkata, kejadian berlaku pada 8.05 pagi apabila motosikal dinaiki Muhamad Shamrin Rojali, 19, dan Mohamad Izhar Che Saad, 16, bertembung sebuah lori yang membawa tong ikan dari arah bertentangan setelah melalui selekoh tajam.

"Motosikal datang dari arah Sungai Petani menghala ke Kuala Ketil dan ketika sampai di selekoh tajam, ia telah termasuk ke laluan lori di arah bertentangan.

"Penunggang dipercayai gagal mengelak sehingga berlaku pertembungan dengan bahagian depan sebelah kanan lori berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Hashim berkata mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat manakala pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. — BERNAMA

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm

2 Maut Nissan Skyline terbabas



KUALA LUMPUR – Empat maut dalam dua kejadian berasingan melibatkan dua kenderaan mewah dan penunggang serta pembonceng motosikal di Jalan Kuching dan Jalan Maarof, Bangsar, di sini awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi itu, dua lelaki maut selepas kereta jenis Nissan Skyline berwarna putih yang dinaiki terbabas selepas dipercayai hilang kawalan di Jalan Kuching.

Mangsa yang dikenali sebagai Chong Hwa Ming dan Zulkarnain Bujang, masing-masing berusia 28 tahun mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kenderaan yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah bulatan Segambut menghala ke ibu negara.

“Dipercayai kenderaan yang dipandu salah seorang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang papan tanda di pembahagi jalan raya.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa memotong beberapa bahagian kereta berikutan keadaan pemandu yang tersepit di tempat duduk dan mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Jalan Maarof, dua lelaki berusia 23 dan 29 tahun maut dipercayai dirempuh sebuah kereta jenis BMW di persimpangan lampu isyarat, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, kereta BMW dari arah Jalan Maarof memasuki Lorong Telawi dipercayai merempuh motosikal yang datang dari arah bertentangan.

Penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha LC tercampak dan maut di tempat kejadian.

“Kejadian ini berlaku 30 minit selepas kejadian yang pertama di Jalan Kuching dan kesemua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat punca kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/empat-lelaki-maut-dalam-dua-nahas-berasingan-1.19552
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm

Lori terjunam ke dalam gaung


REMBAU – Seorang pe­­man­du dan kelindan sebuah lori membawa muatan tanah lumpur nyaris maut apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di Kilometer 238, Lebuhraya Utara - Selatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, lori berkenaan yang turut merempuh papan tanda iklan dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Buloh, Selangor menuju ke Pasir Gudang, Johor.

Menurut pemandu lori berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Halim, 38, kejadian itu berlaku begitu pantas dan ketika kejadian dia gagal mengawal kenderaan susulan ingin mengelak kereta yang secara tiba-tiba menghimpit lorinya yang dipandu di bahagian paling kiri jalan.

“Akibat dihimpit sebuah kereta, saya terperanjat lalu dengan spontan cuba mengelak. Namun, saya gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Masa itu saya hanya berfikir untuk cepat-cepat keluar dari lori bersama kelindan, namun terpaksa meninggalkannya untuk mendapat bantuan awal di tepi jalan selepas usaha membantunya yang tersepit gagal,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.11 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 5.22 pagi.

Menurutnya, dengan kekuatan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dan Senawang, pihaknya berjaya mengeluarkan mangsa iaitu kelindan yang tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.

“Mangsa yang tersepit dikejarkan ke hospital berhampiran bagi mendapat rawatan lanjut,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lori-terjunam-dalam-gaung-1.19557

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my